Anugerah Nikmat Dan Rahmat Tuhan



Anugerah Tuhan ada rahmat bercampur nikmat.
Ada juga anugerahnya hanya semata-mata nikmat.
Kalau nikmat sahaja tidak semestinya bersama rahmat.
Jika rahmat sudah pasti bersama nikmat.
Nikmat yang besar itu bukan kekayaan dan bukan pangkat.
Tidak juga nikmat yang besar itu kesihatan badan, pengaruh dan nama.
Nikmat yang lahir ini kecil sahaja, lebih-lebih lagi kalau tidak bersama rahmat.
Rahmat dan nikmat yang besar itu selalunya bersifat batin atau bersifat maknawi dan bersifat rohani.
Di antara yang besar-besarnya ialah nikmat iman, Islam dan ibadah.
Termasuk nikmat yang besar itu takut dan cintakan Allah.
Termasuk juga nikmat yang besar itu mengutamakan Akhirat.
Keseluruhan nikmat yang besar itu ialah sifat taqwa.
Nikmat yang besar tidak nampak oleh mata.
Lebih-lebih lagi kemegahannya tidak nampak oleh mata.
Nikmat itu hanya dapat dirasa oleh jiwa.
Balasan nikmat itu hanya dapat di Syurga.
Sebab itulah nikmat dunia atau nikmat yang lahir nampak di mata, jangan pula menipu daya kita.
Kalaupun ia nikmat, hanya sementara di dunia.
Boleh jadi juga lahir nikmat, di situ ada bala yang tersirat.
Sebagai contoh, dapat kekayaan, orang bunuh kita pula.
Dapat  pangkat, nama  dan glamor, orang hasad dengki pula, menyusahkan kita.
Cantiknya muka adakalanya jadi bala.
Atau sedap suara, orang hasad dengki pula.
Adakalanya orang sihir, menderita dibuatnya.
Begitulah kalau nikmat tidak berserta rahmat.
Nikmatnya sedikit, balanya tidak mampu kita menanggungnya.
Jadi, nikmat sudah tidak jadi nikmat lagi.
Ia jadi bala pula.
 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah