Anggota Lahir Cacat Kita Terasa



Anggota lahir kalau dia cacat kita terasa, atau dia sakit kita terasa juga.
Cacat atau sakit disebabkan kena duri, kena kayu, terpijak paku, terjatuh atau terantuk.
Kerana cacat atau sakit kita terasa, cepat-cepat kita mengubatnya.
Anggota batin atau hakikat diri engkau cacat atau sakit, tidak terasa.
Kerana itulah engkau tidak terfikir untuk mengubatnya.
Cacat atau sakit disebabkan ilmu, kedudukan atau harta.
Juga disebabkan oleh pujian, kecantikan muka atau sasa badannya.
Atau dia rosak disebabkan oleh bala bencana yang kita tidak sabar menanggungnya atau tidak redha.
Adakalanya dia cacat dikeranakan oleh ibadah yang banyak, hati pun berbunga.
Rasa takut dengan Allah pun hilang, bahkan terasa aman.
Tidak kurang juga ia cacat rasa bertuhan.
Juga tidak rasa kehambaan merosakkan hati dan jiwa.
Rosak anggota lahir, habis di dunia sahaja.
Bahkan ia boleh mendatangkan pahala kepada seseorang hamba, ia masih untung juga.
Rosak hati atau jasad batin, ia jadi derhaka.
Bala bencananya lebih besar lagi, kerana berdosa akhirnya ke Neraka.
Jagalah jasad batin jangan sampai ia cacat, lebih-lebih lagi rosak.
Ia adalah hakikat diri kita.
Ia kekal abadi hingga ke Akhirat.
Dialah yang akan diazab atau menerima rahmat di Syurga. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah