MADAH baru 304


*M741*
Kalau kita orang besar atau orang pandai dan cerdik atau ada kuasa di tangan atau orang penting pada orang besar... 
Segala kesalahan kita boleh kita sorok, kecurangan kita tidak ada orang yang berani memperkatakannya, kezaliman kita tidak sanggup orang membawa ke mahkamah, penipuan kita tidak ada orang yang berani membongkarnya. Janganlah kita merasa senang hati, janganlah kita merasa orang istimewa, kerana ada satu lagi mahkamah yang paling adil menunggu-nunggu iaitu Mahkamah Rabbul Jalil. 
Di waktu itu segala-galanya terbuka,
yang samar-samar menjadi jelas,
yang tertutup,  terbuka,
yang terlindung, nampak,
yang tersorok akan nyata. 
Di waktu itu anggota-anggota kita akan bercerita, membuka pekung kita, mulut tertutup, tidak ada pembela sekalipun kekasih kita. 
Tidak takutkah kita?! 

*M742*
Pokok yang besar lagi tinggi itu, kalau ia tumbang atau jatuh, bunyinya kuat bergema satu kampung tapi kalau pokok yang kecil lagi mudah tumbang, bunyinya tidak kuat, adakalanya tidak di dengar. 
Begitulah pemimpin besar, kalau dia jatuh dari jawatannya, gemanya besar, riuh rendah orang memperkatakannya, seluruh negara bahkan seluruh dunia. 

*M743*
Setinggi-tinggi pokok ada hujungnya. Kalau kita memanjat pokok sampai ke hujung, berhati-hatilah, di waktu itu kita akan turun.
Biarlah kita turun secara biasa, ia akan selamat. 
Jangan turun terjatuh kerana tidak berhati-hati, kita akan dapat mudharat. 
Begitulah seseorang itu bila naik menjadi pemimpin, janganlah mentang-mentang telah berkedudukan tinggi, kita sombong, kita boleh buat apa saja. Kalaulah nanti sikap kita itu menjadi sebab kita jatuh, gemanya besar dan kita dapat malu besar. 

*M744*
Apabila seseorang pemimpin itu tidak cukup tinggi wibawanya, sudah tentu rakyat di dalam sesebuah negara atau pengikut di dalam sesebuah jemaah, tidak mungkin boleh disatukan.  

*M745*
Pemimpin di dalam sesebuah negara atau sebuah jemaah, ibarat tali pengikat di dalam seberkas potongan-potongan kayu. Apabila tali itu kukuh dan kuat, berkas kayu itu akan kuat. 
Tapi apabila tali pengikat itu tidak teguh, berkas kayu itu longgar dan tidak kuat, akhirnya mudah terburai dan terungkai.

Panduan Dalam Berdakwah



Kalau kita bersyarah di hadapan orang, anggaplah kita bersyarah kepada diri kita.
Orang ramai hanya menumpang mendengar sahaja.
Yang patut lebih dahulu mengamalkannya adalah kita.
Jika sering kita bersyarah orang tidak berubah, apakan daya, hidayah bukan di tangan kita.
Yang penting diri kita semakin berubah.
Kita yang bersyarahlah role modelnya.
Kalau setiap kali kita bersyarah orang tidak berubah, janganlah marah-marah kepada mereka.
Lebih-lebih lagi jangan maki hamun terhadap mereka.
Yang eloknya, marah-marahlah kepada diri kita.
Kerana kita menyuruh orang, kita lupa diri kita.
Orang tidak berubah, doakan mereka.
Kita tidak berubah, celalah diri kita.
Jangan pula mencela mereka.
 

didik anak perempuan

Didiklah anak perempuan kita untuk 'mahalkan' diri
1. Didik anak perempuan untuk merasa malu dengan aurat sendiri dan aurat orang lain
2. Didik anak perempuan untuk merasa cantik daripada dalaman bukan cuma cantik luaran
3. Didik anak perempuan untuk mencari cinta Pencipta daripada berharap untuk mencari cinta manusia
4. Didik anak perempuan untuk jadikan Al Quran sebagai pegangan dan rujukan harian
5. Didik anak perempuan untuk mengenal siapa mahram dan siapa bukan mahram bagi dirinya
6. Didik anak perempuan untuk menghargai dirinya sendiri lebih daripada cuba mencari penghargaan daripada manusia lain
7. Didik anak perempuan untuk menjaga maruah diri lebih daripada untuk menjaga hati orang yang baru dikenali
“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”
[HR Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi].

MADAH baru 303


*M736*
Rakyat di dalam sebuah negara itu adalah ibarat batu bata yang berharga.
Setengahnya tidak boleh dipakai lagi kerana telah pecah-pecah dan setengahnya masih elok lagi tapi malangnya tidak ada lagi arkitek atau juru bina untuk membangunkan batu bata itu menjadi rumah.
Sayang sekali batu bata itu terbiar dengan percuma.
Begitulah rakyat sebuah negara,
setengahnya tenaga mereka tidak boleh lagi di gunakan kerana telah terlibat dengan dadah dan budaya lepak,
dan ada yang masih baik lagi
tapi tidak ada pemimpin yang mampu menggunakan tenaga mereka untuk membangunkan agama, bangsa dan negaranya. 

*M737*
Hendaklah menjadi orang alim
tapi jangan mengaku alim.
Jadilah orang alim
tapi jangan membuat-buat alim. 

*M738*
Janganlah jadi alim pelita, orang terang kita binasa.
Jangan jadi alim berkata-kata atau cerita tapi jadilah alim mengkota. 

*M739*
Keindahan orang alim itu ialah tawadhuk, penyayang, pemurah.
Jika kaya, keindahan orang kaya itu pemurah,  tawadhuk dan penyayang. 

*M740*
Keindahan pemimpin itu
adil, kasih sayang, merendah diri, bertimbang rasa, pemaaf, mesra, pemurah jika kaya.

Hati Mukmin Tidak Tenang Dengan Tuhan


Orang mukmin bagaimanalah hatinya hendak tenang dengan Tuhannya.
Apa yang dilihat, apa yang dirasa, apa sahaja yang dimakan dan minum, apa sahaja yang didengarnya, semuanya mengusik-ngusik jiwanya.
Menyentuh perasaan dan hati nuraninya.
Adakalanya kebesaran Tuhan dan keagungan-Nya yang dia rasa.
Ada ketikanya sayu hatinya dan sedih mengenang dosa.
Waktu-waktu tertentu rasa gerun dan hebat dengan Tuhannya.
Ada masanya malu dengan Penciptanya.
Di waktu-waktu tertentu terlalu hina dirinya dia merasa.
Begitulah seterusnya berbagai-bagai rasa hatinya yang silih berganti di dalam hidupnya.
Bertukar yang dilihat, bertukar apa yang disentuh dan yang dimakan dan yang diminum, bertukar pula perasaannya terhadap Tuhannya.
Orang mukmin yang jiwanya sentiasa hidup kerana mengingat Tuhannya, dunia dan nikmatnya tidak dapat melalaikannya.
Keindahan hidup tidak mempesonanya.
Bahkan nikmat dan keindahan hidup itu makin mengingatkannya terhadap Tuhannya.
Begitulah hati dan jiwa mukmin.
Setiap yang dilihat, dirasa, dimakan dan diminum dia merasakan ayat-ayat Tuhannya. 


MADAH baru 302


*M731*
Golongan yang membawa kebenaran itu, selalunya pendukungnya  bilangannya sedikit, tapi disokong oleh orang ramai, sekalipun orang kafir, barulah nampak kehebatan kebenaran itu dan luar biasa. 
Begitu pulalah golongan yang membawa kebatilan itu, selalunya pendukungnya bilangannya ramai, tidak hairanlah disokong oleh orang ramai, bukanlah satu keluarbiasaan. 

*M732*
Adakalanya seorang yang pernah menerima kebenaran, kemudian menolak semula kebenaran itu, dia lebih jahat daripada sebelum menerima kebenaran. 

*M733*
Allah tidak akan persoalkan kelak menang dan kalah, tapi yang akan Allah persoalkan ialah benar dan salah, begitu jugalah Allah tidak akan tanya tentang berjaya dan gagal, tapi yang Allah akan tanya adalah bekerja dan berusaha mengikut syariat atau sebaliknya melanggar syariat. 

*M734*
Apabila Allah membantu usaha-usaha hamba-Nya yang mukmin dengan keredhaan-Nya, sama ada di sudut ekonomi, pembangunan, ketenteraan dan lain-lain, kerana ketaqwaan hamba-hamba-Nya, terutama pemimpin, di samping mendapat kejayaan dan pahala, ia berlaku sekali dengan sifat-sifat terpuji seperti merendah diri di dalam kejayaan, timbul perpaduan, keharmonian, pemurah, bertimbang rasa, bertolak ansur, jujur, taat, setia, sabar, redha, adil, terlalu sedikit maksiat, masyarakat bersih daripada gejala-gejala tidak sihat. 
Tapi apabila usaha-usaha kita berjaya dengan kemurkaan (dengan istidraj), justeru di dalam kita membangun, masa yang sama kita derhaka kepada-Nya, akan berlaku 'side-effect' dari kemajuan itu, iaitu lahir orang-orang jahat, timbul kerosakkan, terjadilah perpecahan, perbalahan, perpaduan punah, disiplin hidup tiada, berfoya-foya, pergaulan bebas menjadi-jadi, zina, dadah, masyarakat huru-hara, hidup di dalam kebimbangan dan ketakutan, kemajuan yang pesat hanya boleh dimegah-megah dan dibangga-bangga sahaja, namun hidup terseksa, di sinilah perlunya keredhaan dan keberkatan dari Allah di dalam usaha-usaha kita. 

*M735*
Alangkah sedihnya negara maju,
pemandangan cantik,
perhubungan mudah, 
tapi manusia yang miskin terbiar sendiri.
Kalau ada yang membantu, untuk publisiti.
Orang kaya makan sendiri, membantu jauh sekali.
Orang alim membawa diri, jaga diri sendiri.
Muda-mudi atau muda remaja berfoya-foya atau berpeleseran, jadi bahan caci maki.

Taqwa Aset Orang Mukmin


Sifat taqwa adalah aset bagi orang mukmin.
Aset di dunia aset juga di Akhirat.
Ertinya taqwa itu sangat mahal.
Carilah taqwa sebanyak mungkin di dalam kehidupan.
Ia adalah bekalan orang mukmin di Akhirat.
Tuhan memang berpesan carilah bekalan, sebaik-baik bekalan adalah sifat taqwa.
Asas taqwa adalah rukun iman, rukun Islam dan ihsan.
Selain yang tiga adalah tambahan.
Atau selain yang tiga adalah buahnya.
Oleh itu jadikanlah semua aktiviti kita addin, cara hidup.
Jika cara hidup kita addin, ia adalah sifat taqwa.
Jadikan projek pendidikan kita addin, projek ekonomi addin.
Projek kebudayaan kita addin, projek pentadbiran kita addin.
Bahkan jadikanlah seluruh projek perjuangan kita addin.
Kalau seluruh projek perjuangan kita jadi addin barulah Tuhan terima dan diberi pahala.
Itulah yang dimaksudkan oleh Tuhan, “Barangsiapa mengkehendaki selain Islam sebagai addin maka tidak akan diterima daripadanya.”
Maka di Akhirat kelak menjadi orang yang rugi.
Barulah kita faham sifat taqwa ada di mana-mana.
Ia boleh berlaku di dalam sebarang masa.
Cuma terpulang kepada kita sahaja.
Apakah usaha kita boleh kita jadikan addin.
Addin itu adalah cara hidup mengikut Tuhan.
Janganlah anggap sifat taqwa itu hanya boleh berlaku di dalam masjid sahaja.
Sifat taqwa banyak berlaku di dalam kehidupan yang global.
Di darat, di laut, di udara.
Di hutan, di lurah, di gunung.
Di tengah padang pasir, di dalam musafir.
Di rumah, di pejabat, di pasar.
Di ladang, di masa lapang, di waktu tidur dan baring.
Ada orang hendak mencari sifat taqwa di Mekah dan di Madinah.
Di luar Mekah dan Madinah lebih lagi banyak.
Mahu atau tidak sahaja.
Terpulang kepada kita, tepuk dada tanya selera.
Sifat taqwa ada di mana-mana.
Janganlah sempitkan erti addin mengikut otak kita. 


MADAH baru 301



*M721*
Kita berasa pelik dan aneh manusia hari ini. 
* Mengeluh tentang penjagaan anak-anak tapi isteri disuruh bekerja atau dia sendiri suka bekerja, 
* mengeluh mencari pembantu rumah amat susahnya tapi isteri disuruh bekerja di luar rumah, 
* tidak senang isteri kurang memberi layanan, bagaimana hendak melayan suami, balik rumah isteri sudah letih. 
* Adakalanya dia bekerja balik larut malam, isteri-isteri ada yang cemburu dengan pembantu rumah tapi malangnya dia sendiri yang hendakkan pembantu, 
* ada suami isteri takut mengambil pembantu rumah maka dipanggillah ibunya untuk menjaga anak-anaknya, sudah-sudahlah kita dahulu dia menjaganya, sekarang anak kita pula kita suruh dia menjaganya, di mana adab kita dengan orang tua, sepatutnya orang tua kita itu, kita suruh dia rehat sahaja dan kita jaga dia, bukan dia yang hendak menjaga kepentingan kita. 
* Kita inginkan isteri yang taat setia kepada kita, bagaimana dia hendak setia, sebelum kahwin lagi perangai kita telah diketahuinya, di samping itu dia makan gaji, duit ada di poket, adakalanya gaji dia lebih besar dari gaji kita, kelulusan lebih tinggi daripada kelulusan kita, dia boleh berdikari, bagaimanalah dia hendak memberi sepenuhnya ketaatan pada kita, 
* yang isteri pula tidak senang, kurangnya layanan suaminya, dia lupa yang melayan makan minum suaminya, orang gaji atau ibunya, dia balik sudah keletihan, adakalanya suami ada di rumah, dia belum balik lagi dari kerja, adakalanya suaminya bercuti rehat, isteri tidak dapat cuti, 
* adakalanya suami ada kereta, isteri juga ada kereta, masing-masing pakai kereta masing-masing, seorang ke hulu, seorang ke hilir, 
* setengah isteri sudah balik ke rumah pun, orang cari dia lagi kerana dia orang penting masyarakat, bila hendak layan suami, orang datang ke rumah bukan cari kita, mereka cari isteri kita, justeru dia orang besar negara, bagaimana tidak tersentuh hati suami? 
* Kita tidak senang dengan anak-anak kita, selalu saja keluar rumah, balik lewat malam, taat setianya sudah tidak ada lagi dengan kita, dia sudah gagal, macam-macam hal dibuat di luar rumah, kita lupa kita suami isteri makan gaji, selalu tidak ada di rumah, anak terbiar dan tidak terurus, kalaupun ada yang melayan, orang gaji mana sama dengan ibu bapa. Kita sebagai ibu bapa, bila balik badan sudah letih, mudah saja marah dengan anak, sudahlah begitu, kita sebagai suami isteri atau ibu bapa di dalam keluarga, tidak ikut syariat pula, kalau sembahyang pun tidak berjemaah, anak-anak tidak diberatkan bersembahyang, beradab dengan ibu bapa tidak diajarkan, bagaimana makan minum, berpakaian, tidur baring, berehat, dengan jiran tidak pernah didisiplinkan, kemudian susah hati dengan anak telah menjadi liar, sudahlah begitu, TV pula memainkan peranan mendidik kita dan anak kita di luar adab sopan agama dan bangsa, pengaruh TV inilah yang membangunkan insaniah kita dan mereka, kemudian kita merasa terseksa di dalam keluarga, kerana masing-masing tidak ada rasa bersama, tidak ada timbang rasa, tidak ada hormat-menghormati, bertolak ansur sudah tidak wujud, kemudian kita yang di dalam rumah tangga/keluarga yang sudah kusut ini, pergi bekerja ke pejabat, ke kilang, ke sekolah, sudah tentu sekalilah kita membawa fikiran kusut, jiwa berserabut, di tempat kerja penyakit rumah tangga ini terpalit pula, di tempat kerja, di sana pula sudah tidak dapat bahagia.
Tidak nampak lagikah manusia-manusia ini di mana punca kehilangan kasih sayang, keharmonian dan kebahagiaan?

*M722*
Kalau seorang isteri itu berpelajaran tinggi, berjawatan penting, terkenal pula, banyak masanya dengan masyarakat, pada si suami juga dapat nama, tapi jiwa menderita, kerana sangat kurang dapat berhibur dengannya, adakalanya melihat isteri itu, macam melihat ikan dalam akuarium, geram di buatnya tapi susah sekali hendak di tangkap. 

*M723*
Isteri-isteri hari ini selalu rasa tidak puas hati terhadap suaminya, kerana katanya kurang dapat layanan dari suaminya tapi terfikirkah olehnya, dia juga perlu melayan suami dengan sebaik-baiknya, seperti yang dia juga suka mendapat layanan. 

*M724*
Orang yang beriman atau terlalu lemah imannya, apabila suaminya beristeri lagi, dia menerkam mendapat musuh dan suaminya juga dimusuhi tapi wanita mukmin, apabila suaminya berkahwin lagi dia merasakan mendapat kawan baru atau merasakan menambah keluarga, anak-anak pun terasa gembira kerana mendapat banyak ibu. 

*M725*
Biasanya kalau seseorang itu cinta kasihnya terlalu dicurahkan berhabis-habisan kepada seseorang yang dia cintai sebelum dikahwininya, selepas kahwin, cinta kasihnya kalaupun tidak pudar, setidak-tidaknya menurun.
Akan jadilah nanti macam tebu, makin ke hujung semakin tawar.
Di waktu itu mudah saja bercerai, keindahan bersuami isteri sudah tiada lagi.

Kemuliaan Insan



Menghina diri di hadapan Tuhan.
Di sinilah kemuliaan setiap insan.
Membesarkan diri satu penghinaan.
Rendah diri kepada Tuhan, patut buat insan.
Kalau hendak meminta, mintalah kepada Tuhan.
Jangan minta kepada makhluk Tuhan.
Meminta kepada Tuhan, maruah tidak jatuh.
Meminta kepada makhluk, jatuh maruah diri.
Serahlah diri kepada Tuhan, tawakal namanya.
Tapi jangan sampai menafikan usaha.
Janganlah usaha sahaja yang ada.
Tawakalnya juga mesti ikut bersama.
Jika kita kaya, jangan menunjuk-nunjuk pula.
Kalau kita susah jangan menunjuk gelisah.
Sifat orang mukmin itu tenang di dalam apa suasana.
Di waktu senangkah atau di waktu susah.
Sabar menerima ujian, redha menerima ketentuan.
Dua sifat yang wajib ada pada hamba.
Kedua-dua sifat ini kesukaan Tuhan.
Kekalkanlah sifat-sifat ini di dalam kehidupan. 


MADAH baru 300



*M716*
Kanak-kanak itu cahaya mata,
boleh membawa cahaya hati,
fizikalnya menyenangkan mata melihat,
kelakuannya dan gelagatnya juga senang mata melihat,
hingga tangisannya pun senang mata melihat. 

*M717*
Bila aku renung anak-anakku sedangkan mereka masih kecil lagi, 
sebahagian mereka belum bersekolah,
sebahagian besar masih bersekolah,
hatiku sayu pilu,
bukan sedih tentang makan minumnya,
tapi agamanya, iman dan Islamnya, syariat dan akhlaknya.
Justeru pada hari ini di mana saja dan ke mana saja pergi, tidak selamat.
Aku bolehlah didik mereka di rumah, 
disiplinkan ibadah mereka,
pimpin akhlak mereka,
beri kesedaran kepada mereka,
tapi di sekolah? 
Di dalam perjalanan? 
Di tempat membeli belah? 
Di masyarakat umum? 
Semuanya sudah tidak selamat lagi.
Bukankah media massa setiap hari memaparkan berita pelajar-pelajar terlibat dengan dadah?
Dadah diedar di sekolah-sekolah.
Di dalam perjalanan, anak perempuan dilarikan kemudian dirogol,
pelajar-pelajar menjadi samseng,
bergaduh di luar sekolah,
pemuda remaja melepak di mana-mana,
kidnap berlaku di mana-mana,
pelajar-pelajar sekolah muda remaja sering melakukan zina,
manusia satu sama lain tidak boleh dipercayai lagi,
tipu-menipu berlaku,
jatuh-menjatuhkan, tuduh-menuduh jadi budaya.
  

*M718*
Di dalam Islam, seorang lelaki berkahwin dengan perempuan yang berketurunan orang-orang besar, kaya pula, ilmunya lebih daripadanya,
bergaji besar, pangkatnya lebih besar daripada pangkat suaminya,
bukanlah satu kesalahan,
cuma di dalam faktor kejiwaan,
suami itu akan inferiority complex (rasa rendah diri),
bila rasa rendah diri, takut atau segan dengan isteri atau malu,
lebih-lebih lagi kalau isteri pula sedar tentang kelebihannya, 
iman tiada atau lemah pula,
egonya besar,
dia sedar pula bahawa suaminya segan dengannya,
sudah tentu suaminya takut
hendak memberi nasihat,
hendak menyuruh dan melarang.
Kalaupun suami melaksanakan tugas,
namun isteri tidak akan memberi sepenuh ketaatan kepadanya,
maka si suami tidak ada kemerdekaan yang sepenuhnya
untuk mengatur dan mengendalikan serta mendidik isteri.
Perkahwinan semacam ini jangka panjang amat merbahaya,
sudah pasti keharmoniaan keluarga tidak akan wujud.
Kalaupun tidak akan membawa perceraian, 
kebahagiaan beristeri sudah tentu tidak wujud.
Oleh itu perkahwinan seperti ini eloklah dielakkan
walaupun bukan merupakan satu kesalahan.
Di dalam Islam, faktor kufu diambil kira juga demi keselamatan rumah tangga. 

*M719*
Untuk menyuburkan cinta,
jarangkanlah bertemu,
selalu bertemu itu mengurangkan rasa cinta, akhirnya nanti cinta menjadi lesu.  

*M720*
Hari ini sudah menjadi budaya, anak-anak di jaga oleh orang gaji, suami diurus oleh pembantu rumah, setengah isteri menjadi setiausaha  peribadi bos pejabat atau syarikat, setiap hari melayan kehendak-kehendak bos, kesannya anak-anak kurang memberi kasih sayang kepada ibu bapanya, suami terjatuh hati dengan layanan orang gaji, suami lebih mesra dengan setiausaha peribadinya, boleh jadi juga isteri telah terpaut hati dengan bos, kemudian mengharapkan keharmonian rumah tangga, bolehkah tercetus keharmonian hidup begini?

Peranan Mahmudah dan Solat



Bagi orang mukmin, ilmu adalah penyuluh hidupnya.
Pengalamannya adalah pengajaran, iktibar dan penasihatnya.
Takutnya kepada Tuhan adalah pengawal diri.
Sabarnya adalah perisai hidupnya.
Redha dengan Tuhan kerana baik sangka dengan Tuhannya.
Tawakalnya adalah harapan masa depannya.
Bacaan Al Quran adalah hiburannya dan bercakap-cakap dengan Tuhan.
Juga perbualannya dan bercakap dengan Tuhan Pencipta manusia.
Selawat adalah penyejuk dan pelembut hatinya.
Doa dan permintaannya kepada Tuhannya tanda dia hamba.
Hamba adalah hina, lemah, memerlukan pertolongan Tuhannya.
Sembahyang adalah pembaharuan ikrar dan membaharukan syahadah serta membersihkan jiwa dari mazmumah.
Begitulah peranan setengah daripada sifat-sifat mahmudah.
Juga setengah daripada peranan mendirikan solat.
Kalau begitu, cuba gambarkan orang yang tidak bersembahyang yang juga memiliki sifat-sifat mazmumah.
Ertinya segala masalah berkumpul di kepala dan jiwanya.
Bagaimana tidak menderita dan terseksa.
Mampukah menanggungnya?!



MADAH baru 299


*M711*
Zaman ini susahnya mendapat kawan setia,
guru yang mursyid,
pemimpin yang adil, 
jiran yang dipercayai,
isteri yang setia,
anak yang berbakti dengan kedua ibu bapa,
ibu bapa yang mulia,
sanak saudara yang seia-sekata,
penduduk setempat yang bekerja sama. 

*M712*
Segala apa yang kita boleh buat, kaji semula untuk membaikinya.
Kerja yang kita sedang buat, perhaluskan.
Kerja yang belum lagi dibuat, fikirkan,
syariat jadikan panduan. 

*M713*
Berbuatlah, bertindak mengikut ukuran diri sendiri,
janganlah berbuat bertindak mengikut ukuran orang lain,
kita akan kehilangan harga diri. 

*M714*
Berusahalah mengikut syariat-Nya,
bertindaklah dengan bijaksana,
kajilah dahulu sebelum melaksana,
nilai semula setelah selesai mengerjakannya,
kalau terlanggar larangan-Nya,
pintalah ampun kepada-Nya,
tersalah teknikal, ubah caranya. 

*M715*
Pandanglah atau merenunglah ke belakang
untuk menilai segala yang sudah.
Merenunglah ke hadapan untuk memikirkan apalagi yang hendak dibuat.
Setelah dibuat, kaji lagilah agar yang tidak kena dapat diubah.

Tuhan Merindui Orang Yang Merindui-Nya



Rahmat Allah akan turun kepada mukmin yang bertaqwa.
Yang hatinya sensitif dengan Tuhannya.
Apabila diberi amaran, kecut hatinya.
Apabila ada berita gembira dari Tuhan, lembut hatinya.
Kasih sayang Tuhan akan dianugerahkan kepada hamba-hamba-Nya yang insaf.
Bila berdosa, derita jiwanya, mengalir air matanya.
Kesalnya tidak berkesudahan, kenangannya sepanjang masa.
Dia selalu bertaubat, dia tebus dengan kebaikan.
Allah Taala akan redha dengan orang yang redha dengan ketentuan-Nya.
Yang sentiasa sabar dengan ujian yang ditimpa kepadanya.
Setiap kali ujian yang datang, dia teringat dosa-dosanya.
Setiap nikmat yang diberi, syukurnya tidak terhingga.
Tuhan amat suka orang yang berdosa, bertaubat dengan dosanya.
Bahkan orang mukmin sentiasa sahaja rasa berdosa.
Rasa bersalah, rasa cuai menghantui fikirannya.
Dunia yang mempesona tidak dapat menipunya.
Tuhan merindui orang yang merindui-Nya.
Tuhan membenci orang yang melupakan-Nya.
Cintailah Tuhan yang memberi kita segala-galanya.
Kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan yang menjaga kita.
 

MADAH baru 298



*M706*
Di akhir zaman, cerdik pandai dan orang besar di kalangan wanita
susah mendapat jodoh,
tidak seperti di kalangan kaum bapa,
makin pandai atau makin berjawatan besar,
makin mudah mendapat jodoh. 

*M707*
Di antara perkara yang menyeksakan hidup di akhir zaman ialah
negara cantik tetapi tidak ada kawan,
hidup nafsi-nafsi.
Ada masalah tanggung sendiri,
kalau mengadu sama ada tidak dipeduli
atau akan jadi bahan perli atau caci.

*M708*
Di akhir zaman jarang orang jadi pemimpin kerana ada kekuatan sendiri.
Oleh itu untuk naik jadi pemimpin,
kena pijak tengkuk kawan atau
kena jatuhkan dulu kawan di dalam organisasi,
atau beli undi,
maka dapat pemimpin yang tidak sejati. 

*M709*
Di akhir zaman ini,
bersembahyang di rumah lebih baik daripada di masjid dan surau,
kerana di masjid dan di surau tidak ada disiplin diri.
Kalau kita cuba melakukan,
boleh timbul sakit hati.
Kalau begitu lebih baik di rumah sendiri,
dapat kita disiplinkan anak isteri. 

*M710*
Di akhir zaman ini,
di zaman sains dan teknologi,
kaya makan sendiri,
susah tanggung sendiri,
kalau ada bencana alam atau accident,
manusia mengambil peluang mencuri.

Menilai Bahagia


Di waktu zaman kanak-kanak, kesukaan kita susu, coklat, biskut.
Hiburan kita main-main kertas, main-main kereta kecil dan berbagai-bagai mainan kanak-kanak.
Itulah kebahagiaan kita, tidak ada yang selain itu.
Jika ibu dan ayah cuba mengalih pandangan atau kesukaan selain yang tadi,
kita marah, sakit hati, hilang bahagia.
Ketika remaja, teralih pula rasa dan perasaannya.
Kegemaran dan hobi bertukar tanpa diminta.
Yang tadi tidak terasa hiburan dan kebahagiaan lagi.
Hiburan dan kebahagiaan muda remaja keluar rumah, bermain-main di padang, berlepak-lepak, bergaul bebas, bercinta-cinta.
Selain itu makan-makan, berkelah-kelah, membuang-buang masa.
Di waktu itu, kita rasa tidak ada hiburan dan kebahagiaan selain itu.
Ibu dan ayah kita faham bahawa hiburan dan kebahagiaan itu adalah perkara murahan.
Ada yang lebih utama dan hakiki dari hiburan dan kebahagiaan itu.
Iaitu kenalkan Tuhan, cintakan Tuhan, membuat baik kepada manusia,
rindukan Akhirat, tempat negara yang kekal abadi.
Dia dorong anak-anaknya yang muda remaja ke arah itu.
Anak-anaknya yang tidak mengerti
iaitu kita terasa tergugat, risau, marah, benci, kecewa, putus asa, ingin lari.
Bergaduh dengan ibu dan ayah, kalau tidak terang-terangan, berlaku di dalam hati.
Apabila kita sudah dewasa seterusnya tua, selera tadi berubah pula.
Mula sedar dan insaf bahawa hiburan dan kebahagiaan yang dianggap di zaman
kanak-kanak, zaman remaja adalah palsu, menipu.
Tapi nasi sudah jadi bubur, kita sudah terlanjur, hendak belajar lagi bukan masanya lagi.
Tuhan belum kenal lagi, ibadah tidak tahu, syariat tidak faham, Akhirat hanya dengar-dengar sahaja.
Di waktu itu kita rasa apa yang dianjurkan oleh orang tua kita adalah benar.
Terasa oleh kita rasa kasih sayang kepada kita di waktu itu.
Tapi masa sudah berlalu, kita sudah tersilap nilai. Di waktu itu, kita tidak pun mendengar pandangan orang tua kita.
Mungkin juga kita mahu bertaubat, membaiki diri, tapi banyak perkara kita tidak tahu, maka kita pun berbuat secara meniru-niru.
Apakah Tuhan akan menerimanya?
Itulah yang kita khuatiri.
Mati menunggu masa, kubur sudah di depan mata. 

MADAH baru 297




*M701*
Di akhir zaman ini
kalau dilihat dengan mata lahir, rumah tempat tinggal
situasinya lebih kurang sama
cuma sedikit berbeza saiz (besar kecilnya),
bahan murah dengan bahan mahal.
Rumah orang soleh (jel) dipagar,
rumah orang tidak soleh pun dipagar.
Rumah orang soleh ada pengawal,
rumah orang tidak soleh pun ada pengawal.
Cuma fungsi kawalannya dan pagar itu saja yang tidak sama.
Rumah orang soleh dipagar dan dijaga,
agar jangan mereka lari,
rumah orang tidak soleh dipagar dan dikawal agar jangan wang dan hartanya dibawa lari atau dicuri. 

*M702*
Di akhir zaman ini,
di zaman moden ini, jarang sekali guru dikenang,
pemimpin disenangi, ulama disayang,
orang kaya disanjung, fakir miskin diberi simpati,
orang sakit diziarahi. 

*M703*
Di akhir zaman, pembaca Al Quran
disanjung tinggi tapi malangnya
pengamal-pengamal Al Quran dibenci dan dimusuhi, dihalang dan dianggap jahat. 

*M704*
Di zaman ini, orang laki-laki
lebih suka melakukan perbuatan zina
daripada berpoligami kerana takut dengan bini. 

*M705*
Di akhir zaman, di zaman sains dan teknologi ini,
orang ramai terkeliru dibuat oleh para pemimpin
atau cerdik pandai Islam
yang justeru tiada prinsip hidup.
Adakalanya bersemangat bercakap Islam,
di masa yang lain bercakap berdasarkan ideologi.
Adakalanya bercakap bercampur ajaran Islam dengan ajaran ideologi.
Belum lagi melihat sikap, tingkah laku dan gerak geri,
lagi mengelirukan,
hidup macam sesumpah,
selalu saja bertukar warna.

Redha-Mu Sangat Berharga Padaku



Ya Allah!
Aku tidak kira apa yang berlaku padaku.
Miskin, kaya, sakit, sihat, yang penting adalah redha-Mu.
Redha-Mu padaku amat mahal sekali.
Kerana itulah, aku meminta selalu redha-Mu.
Jika redha-Mu Engkau beri kepadaku, sekalipun seluruh dunia menghinaku, aku tidak peduli.
Walaupun aku miskin, aku rasa kaya dan bahagia.
Apalah ertinya aku kaya, Engkau murka padaku.
Tidak ada erti apa-apa sekalipun ada nama, jika Engkau murka.
Jika Engkau murka, segala-galanya tidak ada erti lagi padaku.
Sungguh mahal redha-Mu Tuhan.
Anugerahkanlah redha-Mu padaku selalu.
Kerana itulah aku beramal bukan mencari pahala.
Bukan inginkan fadhilat atau Syurga.
Tapi inginkan keredhaan-Mu.
Tuhan!
Kerana itulah aku mencari keredhaan-Mu di dalam beramal.
Berilah redha-Mu kepadaku.
Itulah yang aku tunggu dari-Mu.
Redha-Mu adalah sangat berharga padaku.
Redha-Mu itulah yang aku harap pada-Mu untuk keselamatanku. 


MADAH baru 296


*M696*
Gejala-gejala negatif yang diimport dari Barat, 
bukan sahaja budaya lepak, punk,
disko, pergaulan bebas, homoseksual, lesbian, arak, judi,
tapi lebih dari itu
iaitu ego, mementingkan diri,
hidup nafsi-nafsi, materialisme, sekularisme.


*M697*
Di dunia ini
hidup berpura-pura menjadi budaya, 
yang lahir tidak menunjukkan yang batin, 
kerana hendak mengambil hati manusia
untuk menjaga kepentingannya, 
kecuali ada 2 golongan.
Pertama:
Orang yang pergantungan dengan Allah saja
yang tidak peduli manusia,
bagaimana yang kita lihat
begitulah yang tersirat. 

Kedua:
Orang-orang jahat yang tidak ada kepentingan dengan setengah manusia, 
di waktu itu dia akan lahirkan
tanpa malu-malu sikap hidupnya, 
walaupun apa orang nak kata. 

Yang tadi baiknya nyata, 
yang ini jahatnya nyata.
Selain yang dua golongan ini, 
keburukan dan kebaikannya samar-samar.


*M698*
Di dalam dunia ini
sejak dulu hingga ke hari ini, 
kita dapat mengesan
mana golongan-golongan yang berada di dalam sebuah jabatan 
atau kementerian
yang sikapnya di dalam tugas 
selalu kejam, kasar, menindas, menzalim
dan tidak ada perikemanusiaan, 
Allah bala'kan kepada mereka, 
yang mana kebanyakan anak-anak mereka
tidak berdisiplin, jahat
dan terlibat gejala-gejala sosial.


*M699*
Zaman sekarang apabila kita membawa kereta di jalan raya
terutama di waktu malam, 
jika kita nampak ada kereta di tepi jalan, 
tuannya memanggil kita seolah-olah ada masalah
atau ada orang yang hendak menumpang, 
kita menjadi serba salah, 
kalau tidak ditolong bimbang kalau benar-benar ada masalah,  
kalau ditolong
takut kita kena belasah, 
habis duit dan barang-barang kena geledah.


*M700*
Hari ini kalau kita ada masalah di jalan raya
terutama di waktu malam
sulit sekali kita hendak mendapat bantuan, 
kerana orang takut kalau-kalau kita perompak jalan raya atau lebuh raya, 
kerana lumrah berlaku kepada mereka.
Inilah gara-gara akhir zaman.

Beza Kita Berjuang Dengan Sahabat Berjuang


Rasulullah SAW dan para Sahabat gigih berjuang, akhlak mereka cemerlang dan gemilang.
Kita gigih berjuang, akhlak kita sangat malang.
Mereka berjuang begitu serius.
Di malam hari menjadi abid menangis mengenang dosa.
Kita serius juga berjuang, tapi sembahyang Subuh yang wajib terabai.
Mereka sibuk berjuang, balik ke rumah laksana Syurga.
Kita sibuk berjuang, balik ke rumah bermasam-masam muka.
Mereka bila berhadapan dengan ujian sabarnya amat ketara.
Musuh-musuhnya didoakannya.
Kita bila berhadapan dengan ujian rasa derita dan kecewa.
Maka kita pun melaknat dan mencerca musuh kita.
Kita pun mengata di sini, mengata di sana.
Seluruh negara mendengarnya.
Mereka berjuang, Sahabat-Sahabat yang miskin dipertanggungjawab oleh yang kaya.
Yang kaya gembira memberi, yang miskin tidak meminta-minta.
Kita yang kaya menambah lagi harta.
Kawan seperjuangan tinggal menderita.
Kita susah hendak memberi.
Yang miskin pula meminta-minta dan mengadu-ngadu di sini sana.
Mereka dan kita, tentang berjuang sama-sama gigih dan sibuk.
Tapi di dalam perkara lain jauh berbeza.
Mereka benar-benar model di zamannya.
Tapi kita modelnya tiada.
Marilah kita berjuang sama-sama membetul dan membaiki diri.
Agar Allah Taala redha, manusia senang menerima. 

Ular patuk Gergaji

Salam wrt...

Kongsi sket... dapat dari kawan... kisah yg penuh pengajaran...

Suatu malam seekor ular menyelit masuk ke dalam gudang kayu. Secara tak sengaja, ia menyusur di atas gergaji. Tajamnya mata itu gergaji menyebabkan perut ular terluka.

Ular beranggapan gergaji itu menyerangnya.
Ia pun membalasnya dengan mematuk gergaji itu berkali-kali, serangan tersebut menyebabkan luka parah di bagian mulutnya.

Marah dan sakit yang amat sangat, ular itu berusaha mengerahkan kemampuan terakhirnya untuk mengalahkan 'musuh' tersebut. Ia pun membelit gergaji itu sekuat tenaga. Belitan tersebut menyebabkan lukanya teramat parah dan akhirnya ia pun mati di situ.

Di saat beremosi dan marah, rasanya mudah sekali bagi kita untuk melukai dan menyakiti orang lain.

Padahal kalaulah benar-benar kita sedar, sebenarnya yang akan terluka dan sakit adalah diri kita sendiri.

Maka benarlah sabda Nabi saw yang bermaksud, "Bukanlah orang yang kuat itu orang yang menang bertumbuk, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal diri daripada sifat marah." 

(HR Bukhari & Muslim)

MADAH baru 295


*M691*
Gejala masyarakat yang tidak sihat bukan boleh selesai dengan pidato berapi-api, mengugut-ugut dan mencaci-caci, buat undang-undang, tangkap dan gari, ia memerlukan sifat taqwa yang menangani, kaedah yang tepat, pemimpin secara dekat.


*M692*
Kalaulah makanan itu ubat pun dicampur racun pun dicampur, kemudian disajikan, yang berpengaruh adalah racun bukan ubat, begitulah apabila masyarakat itu yang negatif disajikan, yang positif pun disogokkan, maka yang berpengaruh kepada masyarakat ialah yang negatif.


*M693*
Kalau kita inginkan anggota masyarakat berdisiplin, rakyat bermoral, masyarakat bersih daripada gejala tidak sihat, kita mestilah lebih dahulu berdisiplin dan bermoral, kita dan keluarga mesti dahulu menjadi model, barulah orang lain berdisiplin dan mudah mereka mencontohi kerana ada model.


*M694*
Kalau kita lihat watak, gelagat dan sikap manusia hari ini, kalaulah tidak dilindungi oleh kepintaran dan ilmu yang banyak serta oleh alat-alat kehidupan yang canggih hingga mudah dikesan oleh mata kepala, kita rasa kejahatan yang tersembunyi ini lebih banyak dan hebat lagi dari gejala-gejala yang kita lihat hari ini.


*M695*
Orang Islam hari ini, dia membenci orang Barat, tapi tidak membenci kelakuan dan budayanya, justeru itulah sebahagian umat Islam masih lagi berkelakuan dan berbudaya Barat.

Berkorbanlah Untuk Agama, Bangsa Dan Negara


Berkorbanlah untuk agama, bangsa dan negara.
Berkorban apa sahaja, harta dan jiwa raga.
Pengorbanan itu tidak sia-sia.
Setiap keringat, setiap harta, diberi pahala.
Bahkan setiap dosa berjatuhan dan berguguran.
Apatah lagi jiwa raga, lebih besar nilainya.
Kalau terkorban kerananya, syahid namanya.
Wah! Alangkah indahnya terlepas seksa kubur dan tiada hisabnya.
Kalau kita mengata Akhirat kekal abadi, sama ada di dalam Syurga ataupun di dalam Neraka, berkorban tidak ada susahnya.
Bahkan mudah dan ghairah kerana Tuhan dan kerana mencintai kehidupan di sana.
Berkorbanlah! Berkorbanlah! Berkorbanlah!
Sementara nyawa masih di badan.
Peluang masih luas, pintunya terbuka.
Terpulanglah kepada kita mahu atau tidaknya.
Mengapa kita mahu bertangguh-tangguh lagi?!
Masa tidak menunggu kita.
Kematian kita boleh berlaku bila-bila masa.
Biarlah sedikit susah sekarang.
Jangan menyesal di kemudian hari.
Berkorbanlah apa saja.
Segala pengorbanan tidak sia-sia.
Rabbul Hannan wal Mannan tetap membalasnya. 


seorang lelaki kaya

~Hikmah yang mengagumkan: ~

Suatu hari seorang lelaki kaya memberikan sebuah bakul berisi makanan yang sudah basi kepada seorang fakir.
Lelaki fakir itu tersenyum, kemudian berlalu meninggalkan rumah mewah dengan membawa bakul berisi makanan basi itu. Sesampai di tempatnya, dia kosongkan bakul dari isinya dan dia bersihkan. Setelah itu dia isi dengan bunga yang cantik lalu dia kembali ke rumah mewah itu.
Dia memberikan bakul yang sudah berisi bunga itu kepada lelaki kaya tadi.
Orang kaya itu hairan....
"Aku beri kamu bakul berisi makanan yang sudah basi tetapi mengapa kamu mengembalikannya berisi bunga?"
Lelaki fakir menjawab:
"Setiap orang memberikan apa yang ada di dalam hatinya".

ORANG MUKMIN YANG HEBAT IALAH.....



1) Dia meninggalkan dunia, sebelum dia meninggal dunia.

2) Dia bersedekah sampai kaya, bukan dah kaya baru bersedekah.

3) Dia berdakwah sampai jadi alim, bukan dah alim baru berdakwah.

4) Dia dtg ke masjid@surau sampai ke tua, bukan dah tua baru nak ke masjid@ surau.

5) Dia beramal sampai ikhlas, bukan dah ikhlas baru nak beramal.

MADAH baru 294


*M686*
Hari ini manusia hidup di dalam kegelisahan kerana gejala tidak sihat berlaku di mana-mana, di rumah, di sekolah, di tempat kerja, bahkan di rumah Allah.


*M687*
Di dalam keluarga kalau anak-anak tidak terdidik, kesalahannya ada pada ibu bapa, isteri kalau tidak terdidik, kesalahannya kepada suami, di dalam sekolah, kalau pelajar-pelajar tidak terdidik, kesalahannya kepada guru-guru, di dalam masyarakat umum, kalau rakyat tidak terdidik, kesalahannya kepada pemimpin.


*M688*
Kalaulah  kita datang ke tempat pelesiran atau ke tempat ramai orang membuang-buang masa dengan tujuan semata-mata hendak mencari kesalahan mereka atau dengan tujuan menangkap mereka atau dengan tujuan menakut-nakutkan mereka, gejala masyarakat tidak akan selesai, bahkan mungkin bertambah menebal, tapi cuba pihak-pihak yang ingin menangani gejala sosial ini pergi bergaul dengan mereka, berbual-bual dengan mereka, ajak mereka makan dan minum, kemudian tunjuk kasih dan sayang, tunjuk akhlak yang mulia, secara tidak langsung kita dapat menyelami jiwa dan masalah mereka, kemudian lakukan begini secara selalu dan istiqamah, kemudian didik mereka secara perlahan-lahan dengan tidak secara rasmi, cara ini Insya Allah sangat memberi kesan.


*M689*
Di dalam masa hendak membenteras gejala-gejala masyarakat yang ditimbulkan oleh pelajar-pelajar dan para remaja, di dalam masa yang sama orang-orang besar, guru-guru, pihak keselamatan, ibu bapa, pegawai-pegawai kerajaan pun menimbulkan masalah, bagaimanakah pelajar-pelajar dan para remaja mahu menerima nasihat dan disiplin hidup, kerana hati kecil mereka berkata :
"Alah, penyakit kita orang muda-muda disibukkan, orang-orang besar dan orang-orang tua pun buat masalah"


*M690*
Apabila kebanyakan manusia telah diasuh dari kecil oleh ibu bapanya, guru-guru, masyarakat, pemerintahnya, bahkan cita-cita dirinya sendiri, bahawa belajar itu dengan tujuan jawatan, mencari kekayaan dunia, kemegahan dan pangkat kebesaran, sudah tentu buahnya akan lahirlah nanti di kalangan bangsa di negara itu doktor-doktor yang mementingkan diri, ahli undang-undang yang mementingkan diri, ahli ekonomi yang mementingkan diri, ahli-ahli politik yang mementingkan diri, ahli-ahli pentadbir yang mementingkan diri, ahli-ahli sains yang mementingkan diri, ahli-ahli sastera yang mementingkan diri, ahli-ahli pasukan keselamatan yang mementingkan diri, kesannya orang awam atau rakyat jelata akan menjadi sasaran negatif, timbul kegelisahan di dalam masyarakat oleh sikap golongan tadi, itulah dia gejala-gejala masyakarat yang kebanyakan manusia tidak menyedari, bila lahir gejala masyarakat dari golongan yang menjadi penyebab gejala itu terjadi, golongan itu pula lah yang bangun kononnya hendak menangani gejala-gejala masyarakat, bolehkah  gejala masyarakat itu menjadi baik ?!

KEINDAHAN BUKAN PADA BENDA



Keindahan itu bukan melihatnya.
Tidak juga melihat benda-benda yang kehijauan pada pandangan mata.
Juga tidak pada melihat awan yang berarak dan beralih di angkasa.
Keindahan itu bukan melihat kebun yang mengalir di dalamnya air-air yang jernih.
Ada ikan yang bermain-main dan berlari-lari.
Tidak juga melihat laut yang airnya sentiasa bergelombang menghempas
dan memulas.
Kalaulah keindahan itu pada bunga, orang yang ada kebun bunga atau bekerja di kebun bunga paling bahagia.
Orang yang tinggal di tempat yang banyak kehijauan-kehijauan tentu bahagia.
Orang yang selalu merenung awan macam
golongan sasterawan sudah tentu bahagia.
Orang yang bekerja di kebun juga termasuk orang yang bahagia.
Bahkan orang yang paling bahagia sepatutnya yang tinggal di tepi laut.
Tapi realitinya tidak begitu.
Hakikatnya tidak terjadi.
Sebenarnya keindahan itu bukan benda luaran.
Keindahan itu di dalam jiwa, ia bertempat di hati.
Apabila jiwa subur rasa bertuhan, di situlah keindahannya.
Dia adalah pelindung dan pembela,
di sanalah keindahannya
Jadi keindahan itu bukan kepada benda.
Bukan benda luaran yang menjemukan kalau selalu dilihat dan dirasa.
Tapi keindahan itu adalah di dalam diri yang hakiki.
Di dalam hati dan jiwa yang rasa bertuhan.
Sedangkan Tuhan itu sangat dicintai.
Kerana itulah orang yang beragama terlalu sedikit hiburannya di luar dirinya. 


MADAH baru 293

*M681*
Rahsia mengapa gejala-gejala masyarakat hari ini, walaupun sudah diusahakan dengan gigih, namun bukan sahaja tidak berkurang, bahkan bertambah meningkat kerana sebahagian manusia yang menangis sama-sama membuat kemungkaran dan maksiat, cuma tidak nampak oleh mata, seperti apa yang dibuat oleh para remaja yang dapat dilihat oleh mata kepala, kalaulah dapat dilihat jangan-jangan kejahatan yang dilakukan oleh remaja itu lebih ringan daripada kejahatan yang tersembunyi itu.


*M682*
Apabila manusia menjadikan duit dalam sebarang perkara, termasuklah belajar agama, Allah akan menimpakan kepada mereka bermacam-macam gejala masyarakat agar menjadi bala kepada mereka.


*M683*
Biarlah pengetahuan, kemajuan, kekayaan itu melahirkan manusia yang bersyukur, taat, berkasih sayang, perpaduan, pemurah, harmoni, merendah diri, bertimbang rasa, hormat-menghormati, bertolak ansur, janganlah melahirkan sebaliknya, iaitu kufur, sombong, bangga, tamak, bakhil, zalim, khianat, rebutan, perpecahan dan gejala-gejala tidak sihat, agar masyarakat sihat dan harmoni serta dapat keampunan Allah.


*M684*
Di antara masalah gejala masyarakat yang tidak sihat, payah hendak diselesaikan, sebahagian besar orang yang menanganinya kerana hobi, kerana nama, kerana kepentingan, kerana arahan, kerana takut apa orang kata, bukan kerana Allah untuk keredhaanNya.


*M685*
Setiap hari orang cakap tentang dunia di dalam pidato, di dalam ceramah, di waktu forum, di media massa, di dalam perbualan sesama manusia, cakap Islam hanya ditempel-tempel dan sebagai penyulam saja, bukan dasar di dalam berkata dan bercerita, lebih-lebih lagi bukan prinsip di dalam bekerja, tidak hairanlah gejala masyarakat lahir di mana-mana, boleh maju tapi usaha-usaha kita tidak ada berkat.

NIKMAT TUHAN YANG PALING BERHARGA

Marilah kita berfikir tentang nikmat Tuhan.
Agar kita boleh bersyukur dan malu kepada-Nya.
Sedarlah kita, lebih banyak nikmat
yang kita tidak minta diberi, yang kita minta tidak dikabuli sedikit sahaja.
Tapi kita tidak sedar apa yang berlaku kepada diri kita.
Bahkan nikmat yang diberi yang tidak diminta, lebih berharga daripada yang kita minta, sama ada dikabuli atau tidak.
Wujudnya kita, satu nikmat yang besar tanpa kita minta.
Iman dan Islam yang ada pada kita lebih besar lagi tidak kita minta juga.
Kerana kita lahir daripada ibu bapa
yang sudah sedia menerimanya.
Kita pun terus menyambungnya, cuma kita
diperintah berusaha menyuburkannya.
Otak dan hati nurani, bukankah juga kita
tidak memintanya?
Mata, telinga, hidung dan mulut dan segala jawarih, adakah kita memintanya?!
Tidak perlu saya menjawabnya.
Juga nafas turun naik Tuhan anugerahkan
tanpa memintanya.
Yang kita usahakan dan yang kita minta dapat, murah sangat nilainya.
Di antaranya pangkat, wang ringgit, kesihatan, suami atau isteri dan anak-anak.
Juga rumah, pakaian, pinggan mangkuk dan perhiasan yang ada.
Selain ini tidak payahlah disebut lagi, sangat murahnya nilainya.
Mengapa kita tidak terfikir selama ini nikmat yang diberi yang tidak kita minta lebih besar nilainya bahkan lebih banyak.
Mana lebih besar nikmat wujudnya kita
yang kita tidak minta dengan wang ringgit
yang kita usaha dan minta?
Juga iman dan Islam yang kita tidak minta,
mana lebih besar daripada pakaian dan perabot?
Nafas turun naik yang kita tidak minta,
mana lebih utama daripada suami atau isteri kita?
Semua orang boleh menjawabnya.
Oleh itu jika ada yang kita minta tidak dikabulkan oleh Tuhan kita, tak usahlah susah hati.
Kerana yang tidak dapat itu nilainya murah sahaja dibandingkan dengan yang tidak diminta.
Syukurilah Tuhan apa yang ada!
Nanti Allah Taala akan menambahkan lagi
sekalipun tidak diminta. 


MADAH baru 292



*M676*
Di zaman dahulu setiap orang Islam yang datang kemana-mana kampung umat Islam di rasakan kepulangan keluarga yang sudah lama hilang, satu kampung menyambut kedatangannya, tapi sekarang apa yang berlaku, apabila ada orang Islam masuk ke kampung umat Islam, samada orang kampung itu buat tidak perduli atau dirasakan penyengat mana pula yang datang.


*M77*
Sebelum merdeka perhubungan susah, makanan dan pakaian terbatas, tempat tinggal dhaif, kemiskinan terserlah, cerdik pandai kurang, tapi masyarakat indah, gotong royong menjadi budaya, gejala masyarakat sangat kurang, masyarakat agak harmoni, kemana pergi kita tidak takut dan curiga.


*M678*
Tidak mesti faham ilmu masyarakat (faham ilmu sosiologi) pandai bermasyarakat, dan dengan itu pandai meletakkan diri di dalam masyarakat pergaulannya, berapa ramai ahli kaji masyarakat atau ahli psikologi masyarakat apabila bergaul dengan masyarakat dibenci oleh masyarakat kerana tidak pandai bermasyarakat.


*M679*
Di pekan atau di bandar nampak lahirnya indah dan cantik, tapi penduduknya tidak tenang, hati selalu bimbang, satu sama lain tidak kenal mengenal, tidak seperti kampung, suasananya tidak cantik, tapi manusia agak tenang, kebimbangan kurang, boleh berkenal satu sama lain.


*M680*
Hari ini sibuk orang menyesat dan mempersalahkan dukun yang mempercayakan keramat, keris, jampi, mantera.
Baguslah ! tapi keyakinan dan semangat ini makin lama makin kekurangan kerana orang sudah banyak yang pandai, orang tidak mahu lagi tapi timbul kesesatan yang lain yang berbentuk modern yang lebih hebat lagi, namun demikian jarang sangat orang menyalahkan, ulama-ulama pun tidak berani menyalahkan, mungkin barangkali sudah hampir semua golongan terlibat, justeru itu orang tidak mempersoalkan lagi, iaitu faham kebendaan, faham sekuler, penganut isme atau ideologi, orang yang tidak memperdulikan Allah, atau acuh tak acuh dengan Tuhan.

Moga Nikmat-Mu Dalam Redha-Mu


Di antara rahmat dan nikmat Tuhan kepadaku yang berlaku padaku di akhir-akhir ini yang jarang aku lupakan.
Apabila aku menghadapi hidangan makanan, atau aku berpakaian di badan.
Juga ketika aku menaiki kenderaan.
Fikiranku pun merayap-rayap berjalan.
Perasaanku pun berbagai-bagai ingatan.
Mula-mula aku ingat bahawa nikmat itu tidak layak aku dapatkan.
Tapi dengan kemurahan Tuhan diberi-Nya juga apabila diperlukan.
Aku bisikkan di dalam hati kepada Tuhan dengan merendah diri.
Tuhan! Apa yang Engkau anugerahkan ini berilah dengan redha.
Janganlah Engkau beri kepadaku dengan istidraj dan tipuan.
Ingatanku terus berjalan jauh di lubuk hati.
Hatiku membisikkan kepada Tuhan.
Tuhan! Apa yang aku dapati ini ramai orang yang campurtangan.
Dari yang menyediakan bahan mentahnya, hinggalah yang menyajikan.
Cuma aku tidak kenal mereka-mereka itu.
Mungkin mereka itu ada yang miskin dan menderita.
Tidak kurang juga hasil usaha mereka, mereka tidak merasa.
Aduh! Hatiku sedih seketika.
Orang lain yang bersusah-payah, aku yang mendapat faedah.
Aku pun membisikkan kepada Tuhan buat mereka.
Tuhan! Berilah mereka petunjuk, murahkan rezeki mereka, ampunkan dosa mereka.
Begitulah hatiku merasa tersayat apabila berhadapan dengan nikmat Tuhan.
Hatiku menangis bila mengenangkan mereka-mereka yang berjasa.
Mereka yang mendapat kesusahan, aku pula yang senang. 


MADAH baru 291


*M671*
Najis lahir mudah disuci, tapi najis batin amat sulit sekali disuci. Manusia hari ini yang diambil berat sangat ialah najis lahir, kerana ia ada hubungan dengan kesihatan badan, justeru manusia terlalu takut dengan penyakit kebersihan lahir, ia sangat dijaga, kerana najis batin, mata tidak dapat melihat, kecuali hati yang besih yang dapat melihat, umum (majoriti) manusia mengabaikannya, padahal kerosakan yang dilakukan oleh najis atau penyakit batin itu akan menimbulkan gejala-gejala masyarakat yang akan merosakkan agama, bangsa dan negara, di akhirat kelak akan dicampakkan ke neraka, wal'iyazubillah.


*M672*
Kalaulah kita mengenangkan bahawa manusia sesama manusia satu sama lain tidak banyak bezanya atau terlalu sedikit perbezaannya, malu manusia ini hendak sombong, berbangga, kata mengata, hina menghina satu sama lain, perbezaan yang sedikit itu ialah di antara pangkat besar dengan pangkat kecil, rumah besar dengan rumah kecil, harta banyak dengan harta sedikit, cantik dengan yang hodoh, ilmu banyak dengan ilmu sedikit, yang lain semuanya sama, sama-sama sakit, sama-sama ke jamban, sama-sama dibenci orang, sama-sama takut, sama-sama ditimpa bencana alam, sama-sama tua, sama-sama terlupa, sama-sama memerlukan tidur, sama-sama memerlukan makan minum, sama-sama memerlukan rehat, sama-sama memerlukan bantuan, sama-sama memerlukan pertolongan orang, sama-sama ditimpa letih, sama-sama menerima ujian, sama-sama sejuk, sama-sama panas, sama-sama kehilangan yang dicintai, sama-sama mati, sama-sama masuk keranda, sama-sama masuk kubur.


*M673*
Orang yang miskin bukanlah satu kesalahan, tapi orang yang melahirkan satu sistem dan melaksanakan sistem hingga dengan sistem itu orang menjadi miskin, mereka itulah yang bersalah.


*M674*
Di antara yang menjadi masalah hari ini ialah sesuatu perkara itu tidak disetujui oleh tokoh-tokoh sesuatu kaum atau puak atau golongan, kemudian dibesarkan oleh media massa, timbullah polemik di dalam masyarakat, setengah orang menganggap telah timbul perbalahan, kaum itu atau puak itu atau golongan itu, padahal kalau kita kaji, golongan atau puak itu tidak pun timbul masalah tapi telah jadi masalah, kerana dibangkitkan oleh tokoh-tokoh itu, seolah-olah ia adalah pandangan umum golongan itu, sebenarnya adalah pandangan peribadi tokoh itu untuk menarik perhatian, dia alatkan golongannya atau babitkan golongannya, berhati-hatilah dengan tokoh-tokoh seperti itu, kerana dia selalu membuat kecoh dan mengeruhkan suasana masyarakat.


*M675*
Zaman dahulu perhubungan amat susah dan payah,! namun demikian umat Islam suka mengembara menjadi mubaligh mencari ilmu dan pengalaman, tapi yang indahnya di mana saja singgah di kampung-kampung umat Islam penduduknya sangat suka dan menghormati kedatangan tetamu masing-masing mengucapkan ; "ahlan wasahlan wamarhaban, bahkan ada kalanya berebut-rebut hendak menjadikan tetamunya, apabila menyambung semula musafir masing-masing membekalkan macam-macam makanan dan dirinya dengan menghantar beramai-ramai, di zaman ini tidak berlaku lagi.

Janganlah Menjadi Orang Yang Hasad Dengki


Orang yang paling derita jiwanya, orang hasad dengki.
Sakit hati, derita, kecewa, marah, gelisah.
Lihat sahaja orang lebih darinya, sakit hati.
Ingin mengusahakan orang itu hilang nikmat darinya.
Nikmat bertambah pada orang itu,
aduh! Marahnya meluap-luap, kecewanya bertambah parah.
Lebih-lebih lagi ingin jatuhkan atau rosakkan orang, dia pula yang terjatuh.
Wah! Hatinya bertambah marah dan parah.
Apabila orang makin berjaya, dia sebaliknya, hatinya semakin tidak tenang.
Hilang ketenangan, fikiran tidak menentu dan bercelaru.
Semakin berjaya musuhnya, semakin derita dan kecewa jiwanya.
Begitulah keburukan orang yang hasad dengki.
Jiwanya tidak pernah tenang dan senang.
Kalaupun Tuhan tidak menghukum,
derita jiwanya itu pun sudah cukup sebagai hukuman kepadanya.
Janganlah menjadi orang yang hasad dengki.
Akibatnya engkau menghukum diri sendiri. 


Sombong memporak-peranda dunia


Penyakit sombonglah yang memporak-perandakan dunia.
Dari sakit sombonglah manusia menderita dan sengsara.
Dari sifat sombong lahir hasad dengki.
Berapa ramai orang yang teraniaya dari hasad dengki seseorang.
Dari sifat sombong lahirlah sifat pemarah yang tidak dapat dikawal.
Berapa ramai pula orang yang dapat malu atau terseksa dari kemarahan seseorang.
Dari sifat sombong lahirlah tidak mahu menerima kebenaran seseorang.
Ramai pula orang yang teraniaya dari dendam kesumatnya yang tidak dapat dikawal dan ditahan.
Dari sifat sombonglah lahirlah sifat menghina dan mencerca orang, terutama orang bawahan.
Beberapa ramai pula orang yang dapat malu dan terhina dan jiwa derita.
Dari sifat sombong, seseorang ada kuasa sedikit sahaja, lahirlah sifat bangga, rasa ada kuasa, rasa mulia memandang orang lain hina.
Maka dijatuhkanlah maruah orang sesuka hati, menghina orang, memalukan orang, membuat arahan sewenang, menganggap orang tidak berguna.
Ramai pula orang sakit hati, benci, dendam, marah, menunggu peluang hendak membalasnya.
Dari sifat sombong lahirlah tidak taat, tidak mahu patuh, susah hendak didisiplinkan.
Ibu bapa, guru, pemimpin pula selalu sakit hati.
Rasa tercabar, tentu marah kalau mereka sombong pula akan bertindak semberono dan melulu atau sesuka hati.
Maka haru-birulah berlaku, perpecahan menjadi-jadi, kasih sayang punah-ranah.
Dari sifat sombong lahirlah sifat tidak boleh dicabar atau tidak boleh orang lain lebih maka dia mencabar pula dan membalas dendam.
Beberapa ramai pula manusia teraniaya menderita dan sengsara kerananya.
Dari sifat sombonglah hilang kasih sayang, hilang persaudaraan, hilang rasa bersama, tidak ada kerjasama, perpaduan pun hilang.
Hilang bahagia, timbul ketakutan, prejudis sesama manusia, harmoni tidak ada.
Sepatutnya para pemimpin dan ulama mendidik manusia menghilangkan penyakit sombong.
Jangan hanya ajak manusia bersatu dan berpadu.
Penghalang perpaduan dan persatuan adalah penyakit sombong, tapi dibiarkan.
Itulah yang terjadi di dunia hari ini. 
Manusia terseksa kerana sifat sombong.
 

MADAH baru 290



*M666*
Nama baik bukan boleh di jual beli atau bukan boleh ditukar ganti, apabila satu dua sahaja perbuatan yang kita lakukan yang boleh menghilangkan keyakinan orang ramai, kita tebus dengan sejuta ringgit pun tidak akan boleh memulihkan semula keyakinan orang, kita akan dihukum sampai mati.


*M667*
Hendaklah jadi orang yang pandai tapi jangan memandai-mandai, janganlah jadi orang yang bodoh, tapi membuat-buat bodoh tidak mengapa.


*M668*
Pakaian lahir kita baju dan kain atau baju dan seluar, pakaian rohaniah atau pakaian batin atau maknawiah ialah sifat-sifat taqwa, hendaklah kamu berbekal, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah sifat taqwa.


*M669*
Penderitaan adakalanya banyak mengajar kita kesenangan, adakalanya melalaikan kita, tertutup pintu kebenaran, pembaziran menjadi amalan, istana mewah, makanan yang lazat rasanya, gadis-gadis cantik yang menunggu-nunggunya, siapa menempuh jalan ke syurga menderita dahulu senang kemudian, siapa menempuh jalan ke neraka senang dahulu menderita kemudian, pilihlah mana satu kedua-dua jalan terentang di hadapan kehidupan kita, kedua-dua sangat jelas, tidak ada kesamarannya terpulanglah kepada kita, pilihlah mana yang kita suka.


*M670*
Penghibur-penghibur di dunia banyak yang sakit jiwa, paling tidak, banyak yang kecewa, yang kena hibur lupa segala, terbuang masa, keluarga terbiar, tanggung jawab tiada. 

 

MADAH baru 289


*M661*
Membuka kitab mudah, membaca kitab susah, memahami kitab lagi susah, mengamalkan isi kitab, itulah yang paling susah dan payah.


*M662*
Tunggulah peluang, jangan peluang menunggu kita.
Bila terlepas peluang, dia akan terlepas seama-lamanya, kalaupun selepas itu kita dapat, tapi itu yang lain pula.


*M663*
Siapa di kalangan hamba Allah, sekalipun golongan bawahan, yang tidak dikenali mungkin tidak dipeduli, terlepas dari godaan syaitan dan belenggu hawa nafsu, dia hanya terikat dengan Allah yang menciptanya semata-mata.
Inilah orang yang sebenar-benar merdeka dan bebas, inilah hamba Allah yang hakiki, selain itu seseorang itu belum lagi dikatakan merdeka, sekalipun dia seorang pembesar negara yang disanjung tinggi.


*M664*
Merenunglah ke hadapan tentang nasib kita di alam akhirat, janganlah merenung  nasib kita di waktu tua  yang mana masa di dunia sudah singkat.


*M665*
Mencari orang Islam (Muslim) mudah saja, apabila mengucap 2 kalimah syahadat, Islam lah seseorang ituñ tapi untuk menjadi seorang mukmin tidak semudah itu, dia kenalah faham, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam lahir dan batin.

Anggota Lahir Cacat Kita Terasa



Anggota lahir kalau dia cacat kita terasa, atau dia sakit kita terasa juga.
Cacat atau sakit disebabkan kena duri, kena kayu, terpijak paku, terjatuh atau terantuk.
Kerana cacat atau sakit kita terasa, cepat-cepat kita mengubatnya.
Anggota batin atau hakikat diri engkau cacat atau sakit, tidak terasa.
Kerana itulah engkau tidak terfikir untuk mengubatnya.
Cacat atau sakit disebabkan ilmu, kedudukan atau harta.
Juga disebabkan oleh pujian, kecantikan muka atau sasa badannya.
Atau dia rosak disebabkan oleh bala bencana yang kita tidak sabar menanggungnya atau tidak redha.
Adakalanya dia cacat dikeranakan oleh ibadah yang banyak, hati pun berbunga.
Rasa takut dengan Allah pun hilang, bahkan terasa aman.
Tidak kurang juga ia cacat rasa bertuhan.
Juga tidak rasa kehambaan merosakkan hati dan jiwa.
Rosak anggota lahir, habis di dunia sahaja.
Bahkan ia boleh mendatangkan pahala kepada seseorang hamba, ia masih untung juga.
Rosak hati atau jasad batin, ia jadi derhaka.
Bala bencananya lebih besar lagi, kerana berdosa akhirnya ke Neraka.
Jagalah jasad batin jangan sampai ia cacat, lebih-lebih lagi rosak.
Ia adalah hakikat diri kita.
Ia kekal abadi hingga ke Akhirat.
Dialah yang akan diazab atau menerima rahmat di Syurga. 


Keutamaan ilmu dibandingkan harta menurut Ali bin Abi Thalib



1.ilmu adalah warisan para nabi dan rasul,sedangkan harta adalah warisan fir'aun dan qarun

2.ilmu akan menjaga kita,sedangkan harta sebaliknya,kitalah yang harus menjaganya

3.semakin banyak ilmu semakin banyak orang yang menyayangi dan menghormatinya.sedangkan semakin banyak harta,semakin banyak musuh dan orang yang iri kepadanya

4.ilmu jika diamalkan malah akan semakin bertambah,sedangkan harta jika digunakan akan semakin bekurang

5.pemilik ilmu akan dihormati dan mendapat sebutan baik,sedangkan pemilik harta seringkali dicemooh dan mendapat julukan yang buruk

6.ilmu tidak ada pencurinya sedangkan harta banyak pencurinya

7.pemilik ilmu akan diberi syafaat (pertolongan) dihari akhir kelak,sedangkan pemilik harta akan dihisab diusut asal muasal hartanya oleh allah swt

8.ilmu akan kekal selamanya,sedangkan harta akan habis suatu saat nanti

9.pemilik ilmu akan dijunjung tinggi dengan kualitas manusianya,sedangkan pemilik harta akan dijunjung tinggi dengan kualitas hartanya

10.ilmu itu akan menyinari pemiliknya,sehingga hatinya menjadi lembut.sedangkan harta akan membuat gelap mata pemiliknya,hati menjadi keras dan hidup tidak tenteram

MADAH baru 288


*M656*
Buatlah jalan raya sebesar dan seluas mana yang kita kehendaki, kalau pemandu-pemandu yang menggunanya berjiwa sempit, jalan raya itu tetap akan sempit, ia akan tetap selalu berlaku traffic jam.


*M657*
Apabila menanam bukan di musimnya, menuai pun bukan pada masanya, kita akan gagal mendapatkan hasilnya, di waktu itu kita membuat kerja sia-sia.


*M658*
Tersalah tersilap, terlalai, terlupa, perkara biasa, boleh dijaga, yang menjadi masalah orang yang sengaja membuat salah kemudian dapat dilindungi oleh kuasa dan kepintarannya.


*M659*
Untuk melahirkan manusia yang berkualiti, iaitu 
a. Allah dicintai/ditakuti
b. Rasul ikutan diri
c. Ilmu memenuhi dada
d. Akhlak mulia hiasan diri
e. Fikiran tajam, cergas membuat kerja
Ini memerlukan latihan dan mujahadatun nafsi dengan pimpinan guru yang sejati.


*M660*
Barang yang hilang mungkin boleh bertemu lagi atau boleh diganti, tapi kalau masa hilang, tidak mungkin bertemu lagi atau diganti.

MAZMUMAH MENGERASKAN HATI



Mazmumah itulah yang mengeraskan hati nurani yang bertapak di dalam hati daging yang lembut.
Apabila hati nurani menjadi keras, seluruh pintu kebaikan tertutup.
Tersumbatlah telinga untuk mendengar kebenaran.
Ilmu sudah tidak terjatuh ke hati, hanya tersangkut di dalam akal.
Mata melihat, namun kebenaran tidak juga dapat dilihat.
Pintu hati tersendat rapat.
Rasa takut, malu, cinta, bertimbang rasa, tabah dan redha tidak masuk lagi di hati.
Akal bukan lagi memikirkan kebaikan.
Bukan lagi memikirkan Tuhan dan perintah-perintah-Nya.
Yang difikirkan adalah makan, minum, pangkat, dunia dan betina.
Apabila tidak dapat, mengeluh, dukacita, kecewa, kemuncaknya putus asa.
Kalau dapat pula bakhil, sombong, angkuh, tamak, menzalim dan berfoya-foya.
Jagalah hati dengan sebaik-baiknya.
Ia adalah merupakan sumber kebaikan dan juga sumber kejahatan.
Kalau dia menjadi sumber kebaikan, sumber kejahatan tertutup.
Jika ia menjadi sumber kejahatan, maka sumber kebaikan pula tertutup.
Kedua-dua sifat itu tidak akan boleh bertemu.
Apabila yang satu menang, maka yang satu lagi kalah.
Kalau yang satu itu berfungsi maka yang satu lagi mati.
Jadikanlah hati itu sumber segala kebaikan.
Jangan jadikan ia sumber segala kejahatan.
Kamu akan binasa dan kecewa. 


mak

Jam 6.30 petang. Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian.

Mak ambil berat di mana anak anak Mak dan bagaimana keadaan anak anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian,

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, “Mana Mak?”

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan Facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari cari di mana Mak.

Tidak ada anak anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, “Mana Mak?”

Tiba tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata kata Adik.

Dulu anak anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya “Mana Mak?” apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, “Mana Mak.” Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah.

Mak resah apabila anak anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak anak sudah besar. Sudah lama anak anak Mak tidak bertanya “Mana Mak?”

Semakin anak anak Mak besar, soalan “Mana Mak?” semakin hilang dari bibir anak anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti.

Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak anak Mak. Mak buangkan daun daun yang mengotori kereta anak anak Mak.

Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil.

Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak anak seperti masa anak anak Mak kecil dulu.

Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu.

Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak anak Mak.

Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda,

“Wah berebutlah budak budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni.”

Sekurang kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat.

Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak anak melompat lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak anak Mak akan makan bersama.

Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung.

Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, “Saya dah suruh Uda telepon budak budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat.”

Mak minta Mak Uda telepon anak anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk.

Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta.

Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata kata ayah,

“Kita tak usah susahkan anak anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa apa pun. Mereka ada kehidupan masing masing. Tak payah sedih sedih.

Maafkan sajalah anak anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mti kita masih ada peluang merasa anak anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak.

Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anakanak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

“Mana Along?” , “Mana Angah?”, “Mana Ateh?”, “Mana Alang?”, “Mana Kak Cik?” atau “Mana Adik?”.

Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap.

Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, “Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , “Mana mak?” ”

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang.

Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata kata Mak malam itu,

“Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal.”

“Ayah, ayah ….bangun.” Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar ketar ayah bersuara, “Mana Mak?”

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan “Mana Mak?” masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa.

KataRasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah . Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya.

Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

Ps: Ingat, kita cuma ada 1 sahaja ibu dan ayah di dunia ini. Jangan sampai apabila mereka sudah tiada, barulah kita hendak menangis.

Sedihnya baca kisah ini. Buat anak anak diluar sana, janganlah sesekali mengeluh dengan ayah dan ibu kita.

Hargailah mereka selagi masih berkesempatan. Jagalah hati mereka. Ingat, mereka tidak pernah mengeluh melayan karenah kita disaat masih kecil dulu.

Kongsikan, moga bermanfaat buat semua.

MADAH baru 287



*M651*
Bunga yang palsu itu nampak lahirnya lebih cantik dan lama umurnya daripada bunga asalnya, tapi manusia tidak dapat merasakan keharumannya dan tidak memberi oksigen kepada manusia, bunga asli walaupun pendek umurnya, tapi baunya harum dan mempunyai oksigen untuk memberi manfaat kepada manusia.


*M652*
Di antara cinta yang boleh membawa jiwa derita atau seksa, mencintai orang yang tidak mencintai kita, mencintai orang yang telah tiada lagi dengan kita, mencintai orang yang pernah mencintai kita kemudian tidak cinta lagi dengan kita, mencintai sesuatu yang tidak mungkin dapat.


*M653*
Hendaklah kita menjadi orang yang bercita-cita, kita akan berjuang ke arah cita-cita kita itu, jangan menjadi orang yang berangan-angan, kita tidak buat kerja, masa terbuang percuma, angan-angan itu macamlah orang yang menjadi kaya di dalam mimpi sahaja.


*M654*
Tindakan seseorang itu bolehlah dibendung dan disekat, tapi cita-cita dan kehendaknya tidak boleh dibendung dan disekat, bolehkah dibendung dan disekat?


*M655*
Hukuman Allah itu ada pengajaran dan memberi kesan, hukuman manusia membeban dan tidak ada kesan, bahkan secara umumnya orang yang kena hukum itu membalas dendam berpanjangan.

PERTEMUAN DENGAN RAJA SEGALA RAJA



Sembahyang adalah ibu segala ibadah.
Ibadah rasmi dari Tuhan kepada hamba-hamba-Nya seluruhnya.
Ia merupakan pertemuan rasmi.
Lima kali sehari semalam dengan Allah.
Ertinya pertemuan rasmi dengan Raja yang Maha Agung, Raja Segala Raja.
Umpama pertemuan rasmi raja manusia sesama rakyat jelatanya.
Bagaimana keadaan kita, apa yang kita rasa?
Apa persiapan yang sepatutnya?
Kita siapkan pakaian yang cantik.
Kita bersihkan badan kita.
Kita berwangi-wangian, pergi dengan kenderaan sampai istana.
Di istana kita duduk dengan penuh tertib berhadapan dengan raja.
Kita duduk dengan penuh tawadhuk.
Bahu membongkok mata ke lantai dan khudhuk.
Kita tidak pandang kiri dan kanan.
Penuh bimbang, malu dan takut.
Tidak ada seorang yang berani bercakap-cakap dan bersembang-sembang.
Menunggu dengan penuh takut akan perintah raja.
Apa titah raja, apa pesanan, apa amanahnya dan apa nasihatnya.
Begitulah sembahyang, pertemuan dengan Allah secara rasmi.
Ia adalah Raja Segala Raja.
Raja yang bukan jenis manusia.
Raja yang mempunyai Zat yang Maha Suci daripada segala penyerupaan.
Pengetahuan-Nya tembus, penglihatan-Nya tembus, pendengaran-Nya tembus.
Sepatutnya pertemuan kita lebih serius.
Lebih beradab, bertertib dan takut.
Di waktu itu kita menyediakan diri kita, bersih lahir dan batin.
Menunggu penyembahan itu dengan penuh takut, malu, khusyuk, tadharuk.
Takut dan malu hendak bercakap-cakap dan berbual.
Kecuali yang ada hubungkait dengan Tuhan.
Kita menyembah, seluruh fikiran, hati dan jiwa, seluruhnya tertumpu kepada Tuhan.
Fizikal ikut rukuk, fikiran ikut rukuk, hati ikut rukuk.
Fizikal ikut sujud, fikiran ikut sujud dan jiwa ikut sujud.
Waktu berdiri dirasakan seolah-olah kita berada di Padang Mahsyar.
Sedangkan Tuhan sedang melihat.
Aduh kecutnya perut, menggeletar sepatutnya jiwa kita.
Di waktu itu sepatutnya tidak ada apa yang kita ingat.
Kecuali sepenuh hati dan jiwa raga dan fikiran kita hanya kepada ALLAH semata-mata.
Tapi ramai manusia tidak begitu.
Berhadapan dengan raja jenis manusia lebih terasa gerun, malu dan beradab dari berhadapan dengan Tuhan pencipta manusia.
Kerana manusia belum kenal Tuhan Khaliqnya. 


murid menulis keajaiban dunia

Seorang guru memberikan tugasan kepada pelajarnya untuk  menuliskan 7 Keajaiban Dunia. 

Sebelum kelas bersurai, semua pelajar diminta untuk mengumpulkan tugasan mereka.

Seorang gadis kecil yang paling pendiam di kelas itu, menyiapkan tugasannya paling akhir dengan perasaan ragu-ragu. Tidak ada seorangpun yang memperhatikan hal itu…
 
Selepas itu, guru memeriksa semua tugasan itu.

Sebahagian besar pelajar menulis demikian...

Tujuh Keajaiban Dunia:
1. Piramid
2. Taj Mahal
3. Tembok Besar Cina
4. Menara Pisa
5. Kuil Angkor
6. Menara Eiffel
7. Kuil Parthenon

Di saat memeriksa tugasan pelajarnya yang paling terakhir itu, guru terdiam...tugasan terakhir itu adalah milik si gadis kecil pendiam tadi…isi jawapannya adalah :

Tujuh Keajaiban Dunia:
1. Boleh Melihat
2. Boleh Mendengar
3. Boleh Menyentuh
4. Boleh DiSayangi
5. Boleh Merasai
6. Boleh Tertawa, dan
7. Boleh Mencintai…

Setelah duduk diam beberapa saat, guru menutup semua tugasan pelajarnya.
Kemudian menundukkan kepalanya dan berdoa...

Mengucap syukur untuk gadis kecil pendiam dikelasnya yang telah mengajarkannya sebuah pelajaran hebat, yaitu:

'Tidak perlu mencari sampai ke hujung bumi untuk menemukan keajaiban. Keajaiban itu ada di sekeliling kita untuk kita miliki dan tak lupa untuk kita syukuri...'

Jom renungkan....

Kita hidup di gunung, merindukan pantai. Kita hidup di pantai, merindukan gunung.

Kalau kemarau kita tanya bila hujan? Di musim hujan kita tanya bila kemarau?

Duduk di rumah, berkeinginan untuk keluar. Setelah keluar berkeinginan untuk pulang.

Waktu sunyi mencari keramaian. Waktu ramai cari ketenangan.

Ketika bujang mengeluh keinginan untuk berkahwin. Sudah berkeluarga mengeluh belum miliki  anak. Setelah ada anak, mengeluh perbelanjaan hidup.

Ternyata, sesuatu nampak indah kerana belum kita miliki..

Bilakah kebahagiaan akan diperolehi kalau kita sentiasa memikirkan apa yang belum ada, tapi mengabaikan apa yang sudah kita miliki..

Jadilah peribadi yang selalu bersyukur dengan rahmat dan nikmat yang sudah kita miliki..

Mungkinkah sehelai daun yang kecil dapat menutup bumi yang luas ini? Sedangkan menutup mata dengan telapak tangan sahaja pun sudah begitu sukar..

Tapi, kalau daun kecil ini menutup mata kita, maka tertutuplah bumi yang luas ini..

Begitu juga bila hati ditutupi fikiran buruk sekecil manapun, maka kita akan melihat keburukan di mana-mana, dan bumi ini sekalipun akan nampak buruk..

Jadi, janganlah menutup mata kita walaupun hanya dengan daun yang kecil.
Janganlah menutup hati kita dengan sebuah fikiran buruk, walaupun cuma sehujung kuku.

Syukuri apa yang sudah kita miliki, sebagai modal untuk memuliakanNya.

Kerana hidup adalah waktu yang dipinjamkan dan amanah yang perlu dipertanggungjawabkan..

Bersyukurlah atas nafas yang masih kita miliki..

Bersyukur atas keluarga yang kita miliki..

Bersyukur atas pekerjaan yang kita miliki..

Bersyukur atas kesihatan yang kita miliki..

Bersyukur atas rahmat dan nikmat yang kita miliki..

Bersyukur dan sentiasa bersyukur di dalam segala perkara..

Semoga kita mendapat manfaat dan sentiasa bersyukur...

Syukur itu indah...

MADAH baru 286



*M646*
Di dalam Islam, menyembunyikan kebaikan itu sangat disuruh, sepertimana kita menyorokkan kejahatan kita.


*M647*
Banyak orang membaca tidak berfikir, banyak orang berkata tidak mengkota, banyak orang bercerita tidak dapat hikmahnya, banyak orang memberi nasihat, tidak mahu nasihat.


*M648*
Jangan belajar sahaja tapi ambillah pengajarannya, jangan bercerita sahaja tapi ambillah hikmahnya, jangan perhati sahaja tapi prihatin sama, jangan mendengar sahaja tapi nilai sama.


*M649*
Senang tidak mesti bahagia, susah tidak mesti gelisah, kaya tidak mesti selesai masalah, miskin tidak mesti membuat masalah.


*M650*
Berfikirlah tapi jangan salah fikir, merenunglah untuk menginsafi, bukan termenung yang tidak punya erti, prihatinlah, bukan sekadar perhati.

Hikmah Ujian Dalam Perjuangan



Mengapa perjuangan kebenaran, seperti yang dibawa oleh para Rasul banyak rintangannya.
Ujian demi ujian berbagai bentuk sering mendatang.
Ujiannya pula besar-besar dan mencabar.
Yang kecilnya hanya sampingan.
Sudahlah berhadapan dengan ujian demi ujian, mendapat kemenangan pula setelah perjuangan terlalu 
panjang.
Padahal Rasul adalah kekasih Tuhan.
Mengapa pula disusah-susahkan.
Kejadian ini ada banyak hikmahnya.
Kebanyakan orang tidak boleh faham.
Di antara hikmahnya, bahawa kebenaran itu mahal nilainya.
Keselamatan dunia Akhirat yang berkekalan.
Di Akhirat, nikmat yang hendak diberikan nilainya tidak ada tandingannya.
Kesusahan di dunia ini terlalu kecil kalau dibandingkan.
Hikmah yang berikutnya agar para-para pejuang sentiasa berpaut dengan Tuhan.
Berpaut dengan Tuhan itulah sifat hamba yang patut dikekalkan.
Hikmah yang lain, supaya pejuang-pejuang yang datang tidak boleh kepura-puraan.
Kalau tidak ada ujian banyak orang yang tidak ikhlas datang mengambil peluang.
Ujian yang berat itulah menjadikan orang yang ikhlas kerana ALLAH sahaja yang berjuang.
Hikmah seterusnya, agar anggota perjuangan hanya orang pilihan Tuhan.
Setelah ada orang pilihan Tuhan.
Itulah dia orang Tuhan sekalipun sedikit.
Barulah mereka diberi kemenangan.
Setelah ditapis melalui ujian tinggal sedikit baru mendapat kejayaan.
Setelah tinggal sedikit dapat kemenangan.
Baru terasa kuasa dan kebesaran Tuhan.
Dunia akan terkejut.
Golongan yang sedikit diberi kemenangan.
Tentulah di belakangnya adalah Tuhan.
Tuhan hendak memberi kemenangan.
Menunggu pejuang-pejuang yang bertaqwa.
Sekalipun sedikit orangnya.
Ini adalah pengajaran buat umat Islam yang berjuang sepanjang zaman. 


MADAH baru 285



*M636*
Di zaman salafussoleh dahulu, orang  masuk Islam kerana melihat orang Islam sembahyang, ada orang yang masuk Islam kerana melihat orang Islam ada yang menerima ujian penderitaan yang berat tapi tidak pernah mengeluh, ada yang masuk Islam kerana melihat akhlak mulia mereka.
Hari ini setiap hari orang kafir membaca tulisan Islam oleh orang Islam, melihat orang Islam sembahyang, berkongsi dengan umat Islam, semajlis dengan umat Islam, bahkan berkawan dengan orang Islam, tidak ada rasa hati pun orang bukan Islam hendak masuk Islam. 
Hendak masuk Islam rahsianya tiada lain ialah ketaqwaan salafussoleh.


*M637*
Pangkat dan kekayaan hendaklah dijadikan alat untuk membangunkan syariat Islam dan akhlak bangsa, jangan pula syariat Islam dan akhlak dijadikan alat untuk kepentingan bangsa dan negara, pangkat dan kekayaan.


*M638*
Membangunkan insaniah manusia hingga dapat melahirkan hamba Allah yang berilmu dan bertaqwa, ini memerlukan kesedaran dan kefahaman, keyakinan, penghayatan, latihan istiqamah, guru yang bertaqwa dan doa.


*M639*
Untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa tidak cukup dengan ceramah, syarahan dan forum, ini memerlukan tukang cakap yang menjadi contoh dan model, serta para pendengarnya terus dipimpin dan dilatih.


*M640*
Janganlah kita jadikan gelanggang majlis agama medan gelak ketawa, tempat mencari *glamour* dan nama, kita akan digolongkan oleh Allah orang yang bermain atau memalukan agama. 

 

Masalah Yang Sebenar



Ada masalah di dalam kehidupan bukanlah satu masalah.
Masalah memang sudah menjadi sunnatullah di dalam kehidupan di kalangan insan.
Yang menjadi masalah bukan masalah itu.
Yang menjadi masalah orang tidak tahu peranan Tuhan.
Tidak kenal Tuhan dan peranan-Nya itulah yang sebenarnya masalah.
Jadi sudah jadi dua masalah, yang bukan masalah jadi masalah, yang masalah memanglah masalah.
Apabila tidak kenal peranan Tuhan, masalah itu memanglah jadi masalah, dua kali masalah.
Kalaulah masalah itu adalah jadi masalah, kekasih Tuhan tidak akan ditimpakan masalah.
Kalaulah masalah itu adalah masalah, Rasul, Nabi, Tuhan tidak akan timpakan mereka masalah.
Tapi Tuhan datangkan berbagai-bagai masalah kepada kekasih-Nya, Tuhan tahu pada mereka bukan masalah.
Kerana itulah mereka ditimpakan masalah.
Pada mereka masalah itu adalah ibadah.
Masalah itu adalah pahala dan Syurga.
Masalah itu adalah kecintaan dan keredhaan Allah.
Kerana itulah masalah itu mereka tidak jadikan masalah.
Bahkan mereka rasa bahagia dengan masalah.
Dengan masalah, rasa kehambaan mereka bertambah.
Rasa kehambaan itu adalah ibadah kepada mereka, pangkat dan darjat di dalam Syurga.
Oleh itu Tuhan sering sahaja menambahkan mereka itu dengan berbagai-bagai masalah.
Tuhan bertambah cinta kepada mereka dengan masalah, yang mereka anggap bukan masalah tapi ibadah.
Maha Suci Tuhan menyeksa kekasih-kekasih-Nya.
Orang yang bodoh sahaja yang tidak faham kerja-kerja Allah.
Pada Tuhan, masalah yang ditimpakan kepada kekasih-kekasih-Nya bukanlah masalah.
Kerana itulah Tuhan biarkan sahaja mereka bermasalah.
Dengan masalah-masalah itulah mereka mendapat ketinggian darjat di dalam Syurga.
Sungguh pelik kerja Tuhan, payah hendak difaham oleh orang biasa.
 

Mr Vios- Harga sebuah kebodohan

Orang pandai, dia bercakap hanya perkara yang dia tahu. Orang yang cerdik pula hanya bercakap bila perlu.

Orang mukmin itu bercakap perkara yang hanya dia tahu dan bila perlu sahaja. Jika tidak dia diam sahaja, tanda beriman kepada Allah dan hari Akhirat.

Masyarakat rosak bila ramai bercakap perkara yang mereka tidak tahu dan sentiasa cakap perkara yang tidak perlu.

Sangka baik dengan Allah

Orang pandai, dia bercakap hanya perkara yang dia tahu. Orang yang cerdik pula hanya bercakap bila perlu.

Orang mukmin itu bercakap perkara yang hanya dia tahu dan bila perlu sahaja. Jika tidak dia diam sahaja, tanda beriman kepada Allah dan hari Akhirat.

Masyarakat rosak bila ramai bercakap perkara yang mereka tidak tahu dan sentiasa cakap perkara yang tidak perlu.

Rezeki dan syukur

Orang pandai, dia bercakap hanya perkara yang dia tahu. Orang yang cerdik pula hanya bercakap bila perlu.

Orang mukmin itu bercakap perkara yang hanya dia tahu dan bila perlu sahaja. Jika tidak dia diam sahaja, tanda beriman kepada Allah dan hari Akhirat.

Masyarakat rosak bila ramai bercakap perkara yang mereka tidak tahu dan sentiasa cakap perkara yang tidak perlu.

bercakap

Orang pandai, dia bercakap hanya perkara yang dia tahu. Orang yang cerdik pula hanya bercakap bila perlu.

Orang mukmin itu bercakap perkara yang hanya dia tahu dan bila perlu sahaja. Jika tidak dia diam sahaja, tanda beriman kepada Allah dan hari Akhirat.

Masyarakat rosak bila ramai bercakap perkara yang mereka tidak tahu dan sentiasa cakap perkara yang tidak perlu.

Bumi Tuhan... Bersaksilah