Di antara rahmat Allah Taala
kepada seorang hamba-Nya;
kerana hendak menyelamatkan hamba itu
daripada kemurkaan dan Neraka-Nya;
setiap kali dia beribadah dia merasakan tidak sempurna.
Dia merasakan terlalu banyak cacat celanya.
Lantaran itu hatinya sentiasa susah atau cemas dari ibadah ke ibadahnya.
Dia merasakan ibadahnya fardhu dan sunat tidak pernah sempurna.
Begitu juga dia merasakan diri sentiasa berdosa.
Hingga jiwanya tidak pernah tenang dengan Tuhannya.
Apatah lagi kalau dia sedar terbuat dosa.
Aduh, jiwanya parah, hatinya gundah-gulana.
Jiwanya bertambah terseksa dan derita.
Dia sentiasa menangis.
Kalau matanya tidak menangis, hatinya menangis.
Kesalnya tidak pernah putus-putus.
Memohon ampun kepada Tuhannya terus-menerus.
Dia tidak pernah rasa aman bila berhadapan dengan Tuhannya.
Begitulah apabila Tuhan hendak menyelamatkan seseorang hamba-Nya.
Cara itulah Tuhan memberi rahmat kepada hamba yang dikehendaki-Nya.
Rasa takut kepada Tuhan itulah yang dikehendaki oleh Tuhan
kerana seorang hamba itu dapat mengekalkan rasa kehambaannya.
Maka di situlah jatuhnya keredhaan Tuhan.
Keredhaan Tuhan itu menyelamatkan
seseorang itu dari Neraka.
No comments:
Post a Comment