MARI MENGENAL TUHAN

 


Mari kita mengenal Tuhan.
Wujud-Nya tiada permulaan dan tiada berkesudahan.
Ertinya wujud-Nya berkekalan.
Kerana tiada yang menjadikan.
Zat-Nya bukan jirim yang memerlukan ruang.
Kerana ruang Tuhan yang menjadikan.
Dia tidak terlibat di dalam masa.
Kerana masa Dia yang menjadikan.
Kerana itulah Tuhan tidak boleh dikatakan tua atau muda.
Muda dan tua adalah sifat makhluk-Nya.
Kerana makhluk ditelan masa.
Kerana tidak terlibat di dalam masa,
kerana itulah Tuhan tidak merasa menunggu.
Tuhan tidak dapat ditunjuk seperti makhluk,
seperti kita kata di sini atau di sana,
di atas atau di bawah.
Kalau masih boleh ditunjuk ertinya Tuhan bertempat.
Sedangkan tempat, Allah yang menjadikan.
Ia tidak perlu kepada tempat.
Memerlukan tempat adalah sistem hidup makhluk.
Tuhan tidak ada penyerupaan.
Tuhan mempunyai Qudrat atau Kuasa.
Kuasa atau Qudrat Tuhan bukannya tenaga.
Tenaga ada batasannya.
Qudrat Tuhan tidak ada batasannya.
Tuhan adalah Berkehendak (Iradat).
Kehendak Tuhan bukan melalui rasa dan kemahuan.
Rasa dan kemahuan dari nafsu dan jiwa.
Tuhan tidak ada nafsu dan jiwa.
Kehendak-Nya adalah dari Zat-Nya yang bersifat Kehendak.
Pengetahuan-Nya meliputi semua.
Dia tahu apa yang ada dan apa yang tiada.
Kerana Tuhan bukan tahu dengan akal dan fikiran.
Pendengaran-Nya dekat dan jauh sama sahaja,
ada suara atau tiada semua didengar-Nya.
Dekat dan jauh, bersuara atau tiada,
pada-Nya sama sahaja tiada bezanya.
Kerana Dia tidak mendengar melalui telinga.
Penglihatan-Nya tembus, jauh dan dekat sama sahaja.
Jauh dan dekat, besar dan kecil semua dilihat-Nya.
Kerana Tuhan melihat bukan dengan mata.
Di antara sifat Tuhan, Dia berkata-kata dan berbahasa.
Bahasa Tuhan tidak ada dahulu dan kemudian.
Dahulu dan kemudian bahasa makhluk-Nya.
Bahasa Tuhan tidak berlafaz dan bersuara.
Al Quran itu adalah bahasa malaikat
terjemahan bahasa Tuhan.
Tuhan sentiasa sibuk tidak ada rehat walaupun sedetik.
Tapi sibuk-Nya tidak seperti makhluk bersibuk-sibuk.
Walaupun Dia sibuk tapi Dia tidak merasa sibuk.
Tidak merasa penat dan meletihkan.
Entahkan berapa bilion perkara,
macam dan jenis yang dicipta-Nya.
Namun tidak ada satu pun walaupun sebesar habuk yang dilupakan-Nya.
Semuanya di dalam pengetahuan-Nya.
Entah berapa banyak ciptaan-Nya.
Tuhan mewujudkan itu semua tidak ada yang sia-sia.
Semuanya itu mengandungi hikmah sekalipun satu habuk yang paling kecil yang berterbangan, ada hikmahnya. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah