Tuhan! Jika aku masih boleh sujud kepada-Mu,
menunjukkan Engkau masih memanggil aku.
Engkau masih lagi membenarkan aku membesarkan-Mu.
Cuma aku sahaja tidak pandai beradab dengan-Mu.
Aku hamba-Mu memang tidak pandai beradab dengan-Mu.
Di dalam tidak pandai beradab pun Engkau masih sudi menjemput aku.
Begitulah rahmat dan kasih sayang-Mu.
Hanya aku sahaja tidak pandai menerima rahmat-Mu itu.
Tuhan!
Ajarkanlah aku lagi bagaimana beradab dengan-Mu.
Agar aku dapat bersopan sesuai dengan kebesaran-Mu.
Aku takut setiap kali aku menyembah-Mu,
aku derhaka dengan-Mu tanpa disedari.
Tuhan!
Ampunkanlah aku, kalau aku tidak pandai membesarkan-Mu.
Maafkanlah aku jika aku tidak pandai beradab dengan-Mu.
Begitulah aku hamba-Mu yang lemah lagi hina ini.
Selalu sahaja tidak beradab dengan-Mu.
Kerana itu janganlah sampai Engkau putuskan hubunganku dengan-Mu.
Teruslah Engkau panggil aku mengadap-Mu.
Aku pula cuba membaiki hubunganku dengan-Mu.
Pimpinlah aku lagi agar aku pandai membesarkan-Mu.
No comments:
Post a Comment