MAHA SUCI TUHAN DARIPADA PENYERUPAAN


Allah Taala adalah Tuhan yang sungguh berbeza dengan makhluk-Nya.
Sama ada zat-Nya, sifat-Nya mahupun perbuatan-Nya.
Tuhan tidak perlu kepada tempat kerana tempat Dia yang mencipta.
Juga Dia bukan jirim yang memerlukan ruang tempat berada.
Ruang juga makhluk ciptaan-Nya.
Tuhan juga tidak berada di dalam masa.
Kerana Tuhan tidak perlu kepada ciptaan-Nya.
Lantaran itu Tuhan tidak merasa hidup lama.
Oleh itu Tuhan tidak merasa cepat dan lambat.
Yang merasa cepat dan lambat adalah makhluk-Nya.
Cepat dan lambat diukur dengan masa.
Tuhan tidak terlibat dengan masa.
Tapi Tuhan tahu tentang masa, cepat dan lambat.
Pandangan-Nya terhadap yang dekat
dan jauh sama sahaja.
Yang terlindung dengan yang tidak, tiada bezanya.
Yang kecil dengan yang besar serupa aja.
Pendengaran-Nya sama ada yang bersuara atau tidak, semuanya didengar-Nya.
Yang jauh atau yang dekat tetap didengar-Nya
bahkan tidak ada bezanya.
Pengetahuan setiap yang wujud mahupun yang tiada, semua diketahui-Nya.
Sama ada yang kecil mahupun yang besar, tiada kecuali di dalam pengetahuan-Nya.
Sekalipun sebesar debu yang paling halus,
tersembunyi pula namun diketahui-Nya.
Bahkan gerak hati kita sendiri pun yang kita tidak dapat mengesannya, Dia tahu.
Itulah Dia Tuhan, sungguh Agungnya.
Maha Suci Dia daripada penyerupaan.
Sama ada zat-Nya, sifat-Nya mahupun perbuatan-Nya. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah