Yang menggugat jiwa kita di dalam kehidupan kita terlalu banyaknya.
Sedikit yang kita dapat duga, banyaknya yang tidak dapat diduga.
Kadang-kadang yang mengugat jiwa hingga hilang ketenangan dan kebahagiaan kita itu, datang bertimpa-timpa di dalam satu masa.
Jika kata pepatah Melayu, "Sudah jatuh ditimpa tangga pula."
Ujian-ujian yang datang adakalanya ringan, adakalanya berat.
Adakalanya sekali-sekala datang, adakalanya sering sahaja datang menimpa.
Walhasil manusia tidak terlepas daripada ujian.
Ertinya di dalam kehidupan manusia, hati atau jiwa manusia sentiasa sahaja tergugat dan digugat.
Jiwa tidak pernah tenang, sentiasa sahaja bergolak berhadapan dengan ujian.
Apabila ujian datang lebih-lebih lagi jika berat pula, segala apa yang ada pada kita tidak dapat mengubatnya.
Tidak dapat diubat oleh harta dan kekayaan, oleh nama dan glamour, oleh pangkat, oleh kekuasaan, oleh ilmu.
Setengah orang bila ditimpa dengan berbagai-bagai ujian, jiwanya sentiasa gelisah dan sengsara.
Dia menjadi orang yang kecewa bahkan ada yang putus asa.
Biasanya berlaku kepada orang yang lemah iman atau yang tidak ada iman.
Di sinilah perlunya kita mengenal Tuhan dan perlu kepada-Nya.
Walaupun fitrah semulajadi jiwa manusia rasa susah dengan ujian dan penderitaan
tapi bagi iman orang yang soleh walaupun rasa sedih terasa juga tapi tidak sampai menggugat.
Dia tidak sampai hilang pertimbangan.
Dengan mujahadahnya, kelihatan tenang juga.
Tapi bagi iman orang yang muqarrobin lebih-lebih lagi golongan siddiqin,
dia rasa terhibur pula dengan ujian itu.
Dia merasakan bernasib baik, Tuhan ada mengambil perhatian terhadap dirinya.
Dia sungguh tenang dan bahagia dengan ujian itu.
Ini adalah orang yang luar biasa.
Ini benar-benar orang Tuhan, ahlillah atau rijalullah.
Di sinilah perlunya kita mengenal Tuhan dan perlu kepada Tuhan.
Tuhan adalah pengubat segala penyakit jiwa yang menimpa manusia.
No comments:
Post a Comment