*1051*
Pokok yang besar lagi tinggi itu kalau ia tumbang atau jatuh, bunyinya kuat, bergema satu kampung.
Tapi kalau pokok yang kecil lagi rendah tumbang, bunyinya tidak kuat, adakalanya tidak didengar.
Begitulah seseorang pemimpin besar.
Kalau dia jatuh dari jawatannya, gemanya besar.
Riuh rendah orang memperkatakannya di seluruh negara bahkan seluruh dunia.
*1052*
Setinggi-tinggi pokok ada hujungnya.
Kalau kita memanjat pokok sampai ke hujungnya, berhati-hatilah.
Di waktu itu petanda kita akan turun, eloklah kita turun dengan cara biasa agar kita akan selamat.
Jangan turun terjatuh kerana tidak berhati-hati, akan memudaratkan. Begitulah seseorang bila naik menjadi pemimpin,
jangan kerana telah berkedudukan tinggi, kita sombong, kita boleh buat apa sahaja.
Kalau nanti kerana sikap kita itu menjadi sebab kita jatuh, gemanya besar dan kita dapat malu besar.
*1053*
Bersalah, tersilap, terlupa atau tersalah faham oleh seseorang pemimpin,
rakyat boleh maafkan.
Sifat-sifat itu memang payah hendak dielakkan.
Tapi kalau sudah disengajakan atau memang dari kesedaran dan kefahaman, memang ada niat melakukan kesalahan, membuat salah dengan faham kerana ada keuntungan,
ini rakyat tidak boleh maafkan.
Cuma rakyat tidak boleh berbuat apa-apa.
Mereka tiada kuasa, dia teruslah berkuasa.
*1054*
Di zaman para pemimpin, para pembesar, ulama sudah tidak dihormati lagi, cuma mereka ditakuti.
Kalau ada satu dua di kalangan mereka ditaati manusia, riuh-rendahlah mereka.
Mereka akan berkata, “Jangan fanatik.”
Sebenarnya perkataan itu keluar untuk melindungi kelemahan diri sendiri.
Agar orang ramai tidak nampak yang mereka sudah tidak dihormati, hanya ditakuti.
*1055*
Ketua di dalam sebuah organisasi atau sebuah negara,
dia ibarat kepala keretapi.
Apabila kepala keretapi masuk gaung
atau tergelincir,
kalaupun gerabak-gerabaknya itu tidak masuk gaung atau tidak tergelincir sama,
setidak-tidaknya gerabak tidak boleh berjalan kerana terkandas.
Begitulah seseorang pemimpin itu sekiranya tidak betul,
kalaupun pengikut-pengikutnya tidak ikut sama membuat salah,
mereka tidak akan dapat dipimpin membuat kebaikan dengan aktif dan meluas kerana pimpinan tidak ada.
No comments:
Post a Comment