Hukum nusyuz bukan sahaja untuk isteri, bahkan juga ada untuk suami.
Suami yang berlaku zalim seperti tidak menunaikan hak nafkah, bercakap dan bertindak kasar terhadap isteri dan tidak menunaikan hak giliran malam dikira nusyuz.
Seorang suami tidak ada hak untuk memukul isteri tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak.
Jika pukulan suami dibuat kerana isterinya nusyuz dan mengikut batas-batas syarak seperti yang dijelaskan tadi, maka isteri tidak berhak untuk lari dari rumah.
Jika isteri mempunyai masalah keserasian, masalah tersebut boleh diselesaikan melalui cara lain seperti perbincangan, penglibatan perantara atau orang tengah yang dihormati atau pihak berkuasa agama.
Isteri tidak boleh memilih jalan yang menyalahi syarak, iaitu lari dari rumah.
Jika pukulan suami itu tanpa sebab yang benar atau dilakukan dengan melampaui batas seperti berbentuk penderaan, mencederakan muka, atau suami tidak boleh mengawal emosi dan sebagainya — maka isteri berhak untuk mencari jalan yang munasabah bagi menyelamatkan diri daripada kemudaratan itu.
Jika kemudaratan itu boleh diatasi dengan cara nasihat, perundingan atau penglibatan pihak lain – maka cara begini perlu diutamakan.
Lari Dari Rumah Adalah Wajar Jika Ia Mengancam Keselamatan Isteri
Tindakan lari dari rumah hanya harus jika terdapat ancaman yang nyata terhadap keselamatan isteri.
Bahkan jika isteri yakin bahawa dia akan terus didera dan dipukul oleh suami tanpa sebab yang munasabah, maka dia mesti mencari jalan untuk mengelakkan mudarat tersebut termasuklah dengan cara mencari tempat perlindungan yang sesuai seperti di rumah ibu bapa atau kawan yang boleh dipercayai.
Bahkan isteri sepatutnya melaporkan kes penderaan ini kepada pihak berkuasa bagi menghentikannya daripada terus berlaku.
Namun begitu, pada masa yang sama isteri perlu mengambil tindakan yang wajar untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.
Perkahwinan yang memudaratkan sepatutnya tidak perlu diteruskan , melainkan jika ada jalan untuk memulihkan keadaan.
SI isteri tidak boleh meneruskan keadaan ini berpanjangan tanpa merujuk kepada pihak berkuasa bagi mengatasi kes penderaan dalam rumah tangga.
Perasaan kecil hati, sedih dan kecewa tidak mengharuskan seorang isteri untuk melakukan sesuatu yang diharamkan dan membawa kepada nusyuz.
Masalah rumah tangga begini perlu diselesaikan dengan cara baik seperti perbincangan dari hati ke hati, saling menasihati menghadiri majlis ilmu atau kaunseling.
No comments:
Post a Comment