Seseorang hamba itu kalau dia kembali kepada fitrahnya
Di situlah ketenangan dan kebahagiaannya
Dia merasa dirinya hina
Kerana kejadiannya memang hina
Kejadian yang pertama dari tanah yang tidak ada nilainya
Kejadian yang kedua dari air mani yang menjijikkan dan amat hinanya
Kerana sedar dirinya hina, rasa malunya terbawa di mana-mana
Dia rasa tidak ada harga diri
Kalau orang hendak menghinanya, hinalah tidak mengapa, memang aku hina
Jika orang memujinya, terseksa dirinya, dia rasakan orang memakinya
Kerana kemuliaan itu tidak patut dia terima
Orang yang hina dimuliakan
Kerana dia sedarkan diri kemuliaan itu amat menyeksakan
Bukan satu keseronokan
Dihina dia lebih merasa dimuliakan
Dimuliakan dia merasa satu penghinaan
Penghormatan yang tidak patut diberi, dianugerahkan
Seolah-olah dia merasakan manusia memerli-merlinya
Orang yang sedar dirinya hamba
Dia tidak terfikir ingin menagih sanjungan dan pujian
Tapi kalau manusia yang tidak sedarkan dirinya
Dia rasa tuan, patut dimuliakan
Di mana-mana pergi patut mendapat penghormatan
Manusia macam ini kalau dihina terseksa jiwanya
Kalau dipuji berbunga hatinya
Terasa pula manusia luar biasa
Orang ini tidak payah dihina
Kalau tidak diberi penghormatan pun sudah cukup menyeksakan
Orang yang rasa dirinya tuan,
Ke mana pergi, jiwa tidak tenang kalau tidak diberi penghormatan
Mana hendak dapat penghormatan setiap masa?!
No comments:
Post a Comment