Sungguh Susah Menjaga Hati

Sungguh susah menjaga hati
Sangat mudah tergelincir kepada dosa yang tidak disedari.
Ia amat seni
Kejahatannya amat halus, payah hendak dikesani, 
Kecuali para Rasul dan Nabi, sedikit daripada wali
Sedikit sahaja kita boleh membuat kejayaan, hati mula berbunga, rasa luar biasa,
Tidak rasa berdosa
Kalau ada orang lain yang lemah, mulalah hendak mengata dan menghina,
Tanggungjawab tidak ada
Cakap-cakap besar pun bermula,
Menyanjung-nyanjung diri secara langsung mahupun tidak langsung menjadi ucapan lidah
Mulalah membentak-bentak orang yang lemah,
Adakalanya mudah kita memberi malu di hadapan khalayak
Jika kita yang lemah, membuat kejayaan tidak mampu, mulalah menghina diri dengan manusia yang berjaya
Rasa malu, rasa kecewa, hasad dengki pun mula berbunga
Kalau tidak kuat mujahadah, orang yang berjaya akan menjadi sasaran kita
Begitulah sifat hati mudah sahaja hendak riyak
Mudah sahaja hairankan diri, rasa lebih, rasa boleh
Kadang-kadang di waktu kita mengatakan jangan riyak, di waktu itu kedatangan riyak
Ketika menyebut ikhlas, di waktu itu tidak ikhlas
Di waktu kita mengatakan tentang sombong, di masa itu kita sombong
Begitu susahnya menjaga hati
Rasa kecewa, rasa hina kepada manusia, rasa putus asa
Suluhlah hati dengan mata hati
Agar mudah terlihat dosa-dosa yang halus tapi besar di sisi Allah

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah