Kalau kita sebagai pendidik,
Fikiran (akal) dan jiwa orang kenalah diambil kira
Cara orang berfikir secara umum kenalah tahu
Psikologi orang atau perasaan orang kenalah boleh dibaca secara rambang setidak-tidaknya dan diambil kira
Engkau mesti faham tentang nafsu dan tabiat nafsu
Mendidik orang bererti membangunkan insaniahnya
Mendidik orang fikirannya (akal), jiwa dan nafsunya adalah menjadi target
Soal fizikal perkara gampang, bahkan sampingan sahaja
Ketiga-tiga anggota manusia yang bersifat batiniah itu mendidiknya tidak sama
Mendidik akal ada caranya, mendidik jiwa ada caranya
Dan mendidik nafsu ada caranya pula
Mendidik akal memberi ilmu, maklumat dan pengalaman yang berguna dunia dan Akhiratnya
Disuburkan dengan cara mengkaji, berfikir, membaca serta mengamalkannya
Mendidik jiwa menanamkan keyakinan dengan Tuhan dan apa-apa sahaja yang diwajibkan percaya
Suburkan rasa bertuhan supaya lahir sifat kehambaan kerana manusia itu hamba
Setiap hamba mesti ada rasa bertuhan dan rasa kehambaan
Mendidik nafsu pula tunjukkan cara bermujahadah
Agar sifat-sifat mazmumah dibuang
Dan sifat-sifat mahmudah disuburkan
Tanamkan rasa bertuhan sangat membantu membuang mazmumah dan lahirnya sifat mahmudah
Adakah zaman sekarang ini pendidik-pendidik yang faham mendidik akal, jiwa dan nafsu insan?!
Itulah yang menjadi tanda tanya kita
Kalau kita kata tidak ada, ramai cerdik pandai yang sensitif
Yang berkecil hati dan tidak boleh menerimanya
Yang sebenarnya pemberi ilmu ramai, pendidik tidak ramai
Kerana itulah manusia sudah ramai yang rosak dan punah-ranah insaniahnya
Yang sangat menonjol yang dapat dilihat ialah kasih sayang sudah hilang
Maka seluruh manusia di dunia telah menderita dan kecewa
No comments:
Post a Comment