Raja Di Dalam Kerajaan Diri



Hai hati raja diri!
Mengapa engkau tidak jatuh hati kepada Raja segala raja
Raja yang mewujudkan, mentadbir, menjaga, mengatur, mengurus, 
menghidup, mematikan, mengadili dan menghukum engkau
Engkau hanya raja diri, gelaran yang diberi oleh Raja segala raja hanya sementara
Hakikatnya engkau bukan raja
Kerana engkau tempat perhatian Tuhan, engkau dipandang mulia
Mulianya engkau sekiranya engkau cinta kepada-Nya, 
Dia Raja segala raja, Maha  Agung, Maha Baik, Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Penyayang
Hai hati raja diriku!
Sepatutnya engkau bersama Tuhanku!
Mengapa engkau jarang sangat bersama-Nya?!
Mengapa engkau bersama Tuhanku hanya sekali-sekala?
Aku perasan engkau selalu sahaja bersama duitku
Kerana apa engkau sering sahaja dengan isteriku?
Kadang-kadang engkau bersama kereta besarku
Tidak kurang engkau selalu sahaja dengan rumahku
Apakah engkau sudah jatuh hati dengan duitku, dengan isteriku, dengan keretaku dan rumahku?
Mengapa jatuh cinta kepada kepunyaanku, yang bukan itu semua yang menjadikan engkau?
Bukan sahaja Dia Pencipta engkau, Dia Pentadbir, Pengurus, Penjaga, Pemurah, Pengasih, menghidup dan mematikan engkau
Kalau engkau benar-benarlah mengenal-Nya, Engkau akan jatuh hati kepada-Nya
Jika engkau jatuh hati kepada-Nya, engkau akan sentiasa bersama-Nya
Engkau akan mabuk dengan-Nya
Sekiranya orang tahulah percintaan engkau dengan-Nya, engkau akan dianggap orang gila

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah