Ada sesuatu yang boleh kita pelajari dari Kisah ini. BACALAH...
Alkisah satu pertengkaran
Satu ketika dahulu di sekolah, Hamzah bergaduh hebat dengan rakan baiknya Farid mengenai sesuatu sehingga hampir bergaduh.
Pada pandangan Hamzah ialah “saya betul, Farid yang salah.” Pada pandangan Farid pula, “saya betul, Hamzah yang tak betul.”
Pertengkaran itu kuat sehingga Ustaz Haron terpaksa campur tangan.
Ustaz Haron membawa Hamzah dan Farid ke dalam bilik mesyuarat guru yang mempunyai satu meja yang panjang.
Hamzah dan Farid disuruh duduk bertentangan jauh antara satu sama lain di meja tersebut.
Ustaz Haron memulakan pertanyaan: “Apakah warna cawan di tengah meja?”
Kerana tidak ingin kalah, kedua-dua cepat-cepat menjawab soalan Ustaz Haron:
Hamzah menjawab: “Hitam.” Farid menjawab: “Putih.”
“Tengok ustaz, cawan ini memang berwarna hitam. Tapi kerana saya berkata hitam, Farid terus berkata putih untuk melawan saya meskipun cawan ini hitam,” keluh Hamzah.
“Apa kamu merepek ini Hamzah? Cawan ini memang putih. Kamu buta warna patut pergi buat cermin mata. Jangan nak fitnah saya. Ustaz, lihatlah cara Hamzah fitnah saya. Saya jawab putih bukan kerana dia kata hitam, tapi kerana cawan ini putih,” bidas Farid.
“Apa lagi kamu berdua nak adu?” tanya Ustaz Haron.
Hamzah dan Farid bertengkar lagi untuk 30 minit sehingga dua-dua keletihan.
“Ustaz, cukuplah. Saya dah malas nak cakap dengan kerbau ini,” kata Hamzah kepada Ustaz Haron.
“Ustaz, saya pun sama. Susah nak berhujah dengan manusia yang tak nak menerima hakikat,” kata Farid.
“Ok, kamu berdua tukar tempat,” kata Ustaz Haron.
Selepas menukar tempat, Hamzah dan Farid terus diam. Rupa-rupanya cawan di tengah meja memang berwarna dua, separuh hitam dan separuh putih.
“Nak bertengkar lagi ke? Kadangkala kita kena berdiri di tempat orang lain untuk memahami pandangan mereka. Bukan semua yang ada di depan mata itu ialah betul. Ada benda yang kita tak nampak melainkan kita boleh melihat daripada semua sudut yang ada,” kata Ustaz Haron.
Selepas itu, Hamzah dan Farid saling bermaafan dan mula mengerti untuk menghormati pandangan masing-masing meskipun berbeza.
Wahai anakku,
Jangan selalu menganggap kamu sendiri betul. Belajarlah berdiri di kasut orang lain untuk memahami pandangan mereka sebelum membuat kesimpulan sendiri. Sehebat-hebat mata manusia, ia masih memerlukan cermin untuk melihat wajah mereka sendiri.
Matahari hanya satu, tapi kedudukan matahari di Timur ataupun Barat menyebabkan manusia menggelarkannya matahari terbit atau terbenam meskipun ia adalah matahari yang sama.
No comments:
Post a Comment