Zat yang Maha Hebat

Zat-Nya Adalah Maha Hebat
 
Apakah engkau tidak takut kepada satu Zat yang luar biasa
Yang Dia adalah Maha Berkuasa di atas segala-galanya
Dialah yang menaikkan orang-orang yang berkuasa
Dia jugalah yang menurunkan orang yang pernah berkuasa
Dialah yang memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki
Itulah Dia Tuhan yang patut kita cintai dan takuti
Zat-Nya adalah Maha Hebat
Dekat-Nya tidak boleh ditunjukkan seperti makhluk
Jauh-Nya tidak boleh kita katakan
Kerana Dia tidak berjarak
Zat-Nya tidak terlibat dengan tempat dan juga tidak dilingkung oleh masa
Dia tidak terlibat dengan pihak dan hala
Kerana pihak dan hala adalah juga ciptaan-Nya
Tuhan tidak berhajat kepada makhluk-Nya
Tapi makhluk-Nyalah yang berhajat kepada-Nya
Istimewanya Dia kerana tidak dapat digambarkan
Bagaimana hendak digambarkan kerana Dia Maha Suci daripada penyerupaan
Yang boleh digambarkan itu ialah yang ada penyerupaan dan persamaan
Dialah yang mencipta seluruh yang wujud dan mentadbirnya
Seluruh yang ada ini, yang kecil dan yang besar
Pada Allah satu sahaja pandangan-Nya
Tidak ada berperingkat-peringkat penglihatan-Nya
Iaitu kecil dan besar sama sahaja, tidak ada perbezaannya
Tapi Dia tahu ada yang kecil dan ada yang besar
Itulah Dia Tuhan yang patut kita takuti dan cintai

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah