ISLAM ADALAH CARA HIDUP


Dikatakan Ad-Din itu ia bukan sekadar fahaman, malah ia adalah amalan hasil faham dan penghayatan. ‘Faham’ adalah kalimah pinjaman dari bahasa Arab, penghayatan juga berasal dari kalimah ‘hayat/hayati’ yang berasal dari kalimah Arab. Faham membawa erti tahu dan kenal, atau tahu dan yakin. Manakala hayati itu bermakna hidup. Jadi bila Dikatakan ISLAM itu dihayati, maknanya Islam itu dihidupkan, samada dalam diri, baik keluarga mahupun masyarakat.

Menghayati Islam ertinya menghidupkan Islam. Salah kalau kita tafsirkan menghayati itu kita fikir semata, tanpa perlaksanaan. Kalimah itu sendiri maknanya menghidupkan. Jadi Islam itu dihidupkan dengan cara ditegakkan dalam diri kita dan keluarga kita. Ia akan merebak kepada masyarakat kita. Begitulah Nabi Muhammad saw dan para sahabat dalam berdakwah, tidak sekadar bercakap. Mereka hidupkan Islam dalam diri mereka. Tegakkan sunnah dan syariat dalam kehidupan. Sebab itu cakap-cakap mereka masin. Mereka mengkotakan kata, tidak sekadar berkata tanpa hasilnya.

Untuk menguatkan lagi dakwah Baginda Rasul saw, Baginda Nabi saw sendiri melakukan dakwah bil-hal. Iaitu dakwah dengan perbuatan! Nabi saw akan melayan tamunya sekalipun bukan Islam sesuai dengan pangkat dan kedudukannya dalam masyarakat. Jika dia raja, sekalipun bukan Islam, maka Nabi akan muliakannya. Pernah Nabi sendiri bentangkan kain serbannya sebagai alas duduk tamunya yang bukan Islam. Jika dengan orang yang berkudis tangannya, Nabi sanggup makan sedulang dengannya. Bahkan Nabi saw sendiri melayan dan menyuap makanan orang tua yang menghinanya, menghalang laluan Nabi ke Kaabah. Lalu bagaimana orang tidak jatuh hati dengan akhlak dan layanan Nabi kita?

Oleh itu, Islam bukan hanya penyedap kata dan pemanis bicara. Ia adalah hidup mati kita. Ia adalah cara hidup dan mati kita. Ia adalah hala tuju hidup kita. Biarlah mati hidup kita dengan Islam, miskin atau kaya dengan Islam, seorang mahupun ramai, biarlah dengan Islam.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah