Masyarakat Islam Model

Rasulullah Saw mulakan dengan operasi membina Masjid iaitu membina hubungan dengan Tuhan, membina Iman, setelah itu Rasulullah Saw melakukan operasi kasih sayang iaitu dengan mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Rasulullah Saw dengan Saidina Ali, Saidina Abu Bakar dan Saidina kharjah bin Zaid, Saidina Umar dan Saidina Utban, Saidina Abdullah bin Masu'd dan Saidina Muaz bin Jabal, Saidina Musaab bin Umair dan Abu Ayob Al Ansari, Saidina Abu Ubaidah dan Saidina Abu Talhah. Begitulah seterusnya. Ketika itu berlaku satu peristiwa yang belum pernah berlaku dalam sejarah manusia. BagaImana kasih sayang yang berlaku diantara kaum Muhajirin dan Ansar. Para Ansar telah menerima Muhajirin sebagai saudara mereka, dibahagi dua harta, rumah, pakaian, semuanya dibahagi dua dengan saudaranya  Muhajirin Bahkan ada yang sampai mahu menceraikan salah seorang dari isteri mereka untuk dikahwinkan kepada Sahabat dari Muhajirin. Tapi sampai tahap ini, para muhajirin menolaknya dengan baik. Mereka hanya ambil sekadar keperluan sahaja.

  Para Ansar telah membuka hati mereka kepada Muhajirin sebelum mereka membuka pintu rumah mereka, para Ansar telah memberi hati mereka kepada Muhajirin sebelum mereka memberikan harta mereka. Dengan itu tercetuslah satu kasih sayang, tautan hati dan pengorbanan yang sangat luar biasa dalam sejarah manusia seluruhnya. Rasulullah Saw persaudarakan hati mereka dulu sebelum Rasulullah Saw persaudarakan jasad mereka.    Saidina Saad bin Rubayya' Al Ansari Rasulullah Saw persaudarakan dengan Saidina Abdul Rahman. Kita dengar persaudaraan ini dari Hadis riwayat Imam Bukhari dari Saidina Abdul Rahman sendiri.

Bahawa Rasulullah Saw telah mempersaudarakan diantaranya dan Saad bin Rabe’ Al Ansari. Dengan itu Saidina Saad datang menawarkan kepada Saidina Abdul Rahman hartanya. Kata Saidina Saad kepada Saidina Abdul Rahman, lihatlah mana satu dari dua sorang isteriku yang lebih kamu suka, aku akan lepaskan dia kepada kamu, bila selesai iddahnya kamu boleh kahwininya. Saidina Abdul Rahman menolak dan berkata, semoga Allah memberkati kamu pada keluarga kamu dan harta kamu, tetapi tunjukkanlah kepada aku pasar, Saidina Abdul Rahman berjual beli sehingga dia meperolehi harta.

 Saidina Abdul Rahman memang pakar perniagaan, pakar bisnes. Rasulullah Saw bersabda tentang Saidina Adbul Rahman:

Saidina Abdul Rahman ini kalau dia berniaga pasir pun dia akan untung

Saidina Abdul rahman ini datang ke Madinah tanpa sebarang harta, tapi diatas kepercayaan dan amanah Rasulullah Saw kepadanya dia telah berjaya membina kekuatan ekonomi Umat Islam dan membebaskan Umat Islam dari cengkaman Yahudi yang ketika itu menguasai perniagaan di Madinah, menguasai ekonomi Madinah. Saidina Abdul Rahman telah berjaya membangunkan suqul Ansar Pusat ekonomi umat Islam di Madinah.

Kemudian Rasulullah Saw menyusun sistem masyarakat Madinah. Antara taklimat Rasulullah Saw lagi, bahawa Rasulullah Saw sahaja yang berhak membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah dari luar Madinah. Diantaranya lagi, semua perselisihan yang berlaku di Madinah diselesaikan mengikut hukum Islam. Begitu juga Rasulullah Saw tidak membenarkan sesiapa juga memberi jaminan keselamatan kepada orang Kafir Quraisy di Madinah.

Jadi orang orang Madinah yang telah dibangunkan insaniah mereka melalui wakil Rasulullah Saw, Saidina Musaab bin Umair, setelah disusun pula oleh Rasulullah Saw menjadi makin kemas dan makin cantik. Model masyarakat Islam yang terbaik, Masyarakat model yang Allah puji dalam Al Quran.

Ditahun pertama hijrah ini juga, Saidina Asa’d bin Zurarah Al Khazraji wafat. Salah seorang pemimpin Ansar. Orang pertama dalam Islam membangunkan sembahyang Jumaat iaitu dirumahnya sendiri dan dialah yang menyampaikan khutbahnya.

Dalam tempoh 4 bulan pertama hijrah Rasulullah Saw ke Madinah Rasulullah Saw dan pembinaan masyarakat dan negara Islam model ini, berlaku satu ujian kepada Umat Islam. Ketika itu tidak ada seorang pun anak lelaki yang dilahirkan di Madinah dari orang Islam hidup. Anak-anak lelaki yang dilahirkan semuanya meninggal dunia. Orang orang Yahudi mengambil peluang mengeksploitasikan hal ini. Kata mereka, kami dah sihir orang Islam. Mereka tak boleh melahirkan anak lelaki lagi, anak lelaki yang dilahirkan semuanya meninggal dunia. Dengan itu zuriat mereka akan pupus. Bayangkan dalam satu masyarakat yang agak ramai itu, tidak ada anak lelaki yang dilahirkan selamat dalam masa empat bulan. Dengan propaganda Yahudi ini orang-orang yang lemah Imannya mula tergugat. Sehinggalah datang ke Madinah Sayyidah Asmak Puteri Saidina Abu Bakar isteri kepada Saidina Zubair bin A'wam. Siti Asmak berhijrah ke Madinah dalam keadaan sarat hamil, dia sampai di Madinah dipenghujung empat bulan ini. Bila Sati Asmak masuk saja ke Madinah dia melahirkan anak lelaki, terus anak ini dibawa kepada Rasulullah Saw. Rasulullah Saw yang mentahnikkannya, Rasulullah Saw mengunyah tamar dan dimasukkan ke dalam mulut anak ini. Dengan itu yang pertama masuk ke mulutnya adalah air liur Rasulullah Saw. Inilah dia Saidina Abdullah bin Zubair. Kelahiran Saidina Abdullah ini menjadi kegembiraan Umat Islam ketika itu, Saidina Abdullah dibawa berarak keseluruh Madinah sambil bertakbir. Sejak itu senyaplah propaganda yang dibuat oleh orang-orang Yahudi. Saidina Abdullah bin Umar yang menyaksikan tentera Hajjaj membunuh Saidina Abdullah bin Zubair ini, dimana selepas mereka membunuh Saidina Abdullah mereka bertakbir. Kata Saidina Abdullah bin Umar, aku menyaksikan hari kelahirannya dan hari kematiannya. Demi Allah orang-orang yang bertakbir dihari kelahirannya lebih baik dari orang-orang yang bertakbir dihari kematiannya.

Dalam tempoh ini juga Rasulullah Saw mengahwini Siti Aisyah, Ummul Mukminin puteri Saidina Abu Bakar. Dalam tempoh ini juga turun perintah, ditambah rakaat sembahyang. Jadi sejarah sembahyang ini melalui 3 peringkat.

Pertama ; sembahyang belum diwajibkan tapi hanya menjadi perkara sunat. Ketika itu, yang wajib hanya sembahyang malam kepada Rasulullah Saw. Selepas itu diwajibkan kepada orang-orang Islam juga, sembahyang lain semuanya sunat.

Kedua: bila berlaku peristiwa Israk dan Mikraj. Allah wajibkan sembahyang lima waktu tapi semuanya dua rakaat.

Ketiga : diawal hijrah Rasulullah Saw ke Madinah ini Allah tambahkan rakaat sembahyang Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak, hanya sembahyang subuh yang kekal dua rakaat.

Pada waktu itu Rasulullah Saw berfikir bagaImana nak memberitahu orang ramai masuk waktu sembahyang. Para Sahabat pada waktu dengan rasa hati mereka yang tajam, mereka boleh mengagak waktu sembahyang. Sehinggalah Saidina Zaid bin Abdullah bermimpi ada orang datang mengajarnya bagaImana azan. Bila dia beritahu Rasulullah Saw mimpinya Rasulullah Saw akui mimpi itu. Itulah dia azan yang kita pakai sekarang ini. Kata Rasulullah Saw kepada Saidina Abdullah bin Zaid,

Ini mimpi yang baik, ajarkan kepada Bilal kerana suaranya lebih kuat dari suara kamu

Dari sinilah sunnahnya orang yang melaungkan azan itu orang yang paling baik suaranya. Bila Saidina Bilal azan, Saidina Abu Bakar terbangun dari tidurnya mendengar suara azan Saidina Bilal. Cepat-cepat dia datang bertemu Rasulullah Saw, Saidina Umar memberitahu Rasulullah Saw inilah juga azan yang aku lihat dalam mimpiku. Kata Rasulullah Saw. Selepas itu turun wahyu memperkuatkan lagi hal ini.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah