Baiatul Aqabah Saniah

Dalam masa itu juga di Madinah sedang rancak Islam berkembang. Pada tahun terakhir sebelum Rasulullah Saw hijrah ke Madinah. Orang Madinah menghantar 73 orang wakil mereka yang telah Islam bertemu dengan Rasulullah Saw. Dua orang dari mereka perempuan. Mereka datang bersama dengan rombongan haji dari Madinah yang mana ketika itu sebahagian dari rombongan ini belum Islam lagi. Jadi, ditengah-tengah musim haji itu mereka hantar wakil, minta izin dari Rasulullah Saw untuk mengadakan pertemuan dengan Rasulullah Saw. Salah seorang wakil yang datang membuat janji dengan Rasulullah Saw ini ialah Saad bin Malik, seorang penyair terkenal dari Madinah. Rasulullah Saw sangat gembira dengan keIslamannya kerana penyair pada masa itu merupakan satu media yang penting dalam masyarakat Arab. Orang menghafal dan mewariskan syair ketika itu. Jadi perjanjian mereka dengan Rasulullah Saw, mereka akan bertemu dengan Rasulullah di Jabal Aqobah salah satu bukit Mekah untuk berbaiah dengan Rasulullah Saw.

Pada malam yang dijanjikan itu, semua mereka 73 orang, dua darinya perempuan iaitu Nusaibah Umu Amarah binti Kaab dan Asmak binti Amru datang mengadap Rasulullah Saw. Dalam pertemuan itu Rasulullah Saw ditemani oleh bapa saudaranya  Saidina Abbas. Mereka semua mengiklankan keIslaman mereka kepada Rasulullah Saw dan mereka minta apa yang Rasulullah Saw syaratkan kepada mereka. Rasulullah Saw kata, mengucap dua kalimah syahadah. Kata mereka, kami semua mengucap dua kalimah syahadah. Rasululah menyebut nasihat nasihat lain pula tentang akhlak dan menjauhi kemungkaran. Kata mereka, wahai Rasulullah Saw, itu semua syarat untuk Allah, kami mahu syarat untuk diri kamu. Ketika itu Rasulullah Saw menyebut, kalau aku ke Madinah, ketempat kamu, hendaklah kamu pertahankan aku sepertImana kamu mempertahankan isteri-isteri dan anak-anak kamu. Bangun Saidina Saad bin Ubadah bertanya kepada Rasulullah Saw, apa ganjaran kami sekiranya kami berbuat begitu. Kata Rasulullah Saw, untuk kamu syurga Allah. Tidak ada janji janji keduniaan melainkan untuk kamu syurga Allah. Kata Saidina Saad:

Kami tak akan tarik diri dan tak akan batalkan lagi perjanjian ini wahai Rasulullah Saw. Kami juga minta kamu jangan tarik diri lagi dari perjanjian ini.

Maka berlakulah baiah diantara Saidina Saad dengan Rasulullah Saw. Kata Rasulullah, wahai Saad, engkau mewakili diri kamu bagaImana dengan kamu. Ketika itu kesemua mereka bangun berdiri, wahai Rasulullah Saw, kami juga begitu.

Kemudian salah seorang dari mereka bertanya kepada Rasulullah Saw, diantara kami dan Yahudi ada ikatan perjanjian dan kami akan memutuskannya. Apakah kalau kami berbuat begitu dan Allah menangkan kamu, apakah kamu akan pulang kepada kaum kamu dan tinggalkan kami. Rasulullah Saw tersenyum mendengar kata-kata ini. Kata Rasulullah Saw.

Bahkan darah dengan darah, kemusnahan dengan kemusnahan, aku sebahagian dari kamu dan kamu sebahagian dari aku. Aku perangi siapa yang kamu perangi dan aku berdamai dengan siapa yang kamu berdamai.

Kata Rasulullah Saw, ini baiah jihad, baiah darah dan baiah nyawa. Oleh sebab itu kamu berundinglah sesama kamu, pilihlah 12 orang naqib, perwakilan dari kalangan kamu yang kamu persetujui bersama. Datanglah 12 orang yang mewakili semua kaum masing-masing. Mereka berbaiah jihad untuk mempertahankan Rasulullah Saw hingga darah mereka yang terakhir. Inilah baiah jihad yang pertama dalam Islam iaitu baiah Akabah yang kedua.

Setelah selesai baiah itu, terdengar satu jeritan yang kuat dari atas bukit yang paling tinggi disitu. Wahai orang yang nyenyak tidur, apakah kamu masih tidur, Muhammad dan orang orang yang telah keluar dari agama asal mereka telah sepakat untuk memerangi kamu. Suara jin kafir memberitahu orang Kafir tentang baiah itu. Ketika itu Saidina Saad menghunus pedangnya, wahai Rasulullah Saw, kalau kamu izinkan sekarang juga kami perangi mereka. Dari awal lagi kesetiaan mereka dengan baiah mereka sudah jelas. Walaupun hanya 73 orang mereka bersedia untuk menghadapi Quraisy dan kabilah-kabilah Arab yang lain yang sedang berada di Mekah menunaikan haji. Rasulullah Saw kata, jangan dulu dan Rasulullah Saw perintahkan mereka semua bersurai.

Kafir Quraisy dan orang-orang lain yang semua mereka mendengar jeritan jin kafir tadi. Semuanya mencari-cari dan menyiasat siapa yang terlibat. Akhirnya dari maklumat yang mereka dapat, mereka syak orang-orang Madinah yang berbaiah dengan Rasulullah Saw. Lalu mereka kumpulkan semua orang dari Madinah. Mereka tanyakan hal ini. Orang-orang yang tidak Islam dikalangan mereka memang tak tahu langsung tentang hal ini. Mereka bersumpahlah depan Kafir Quraisy bahawa orang Madinah tak terlibat. Para Sahabat yang 73 orang itu hanya diam saja. Akhirnya mereka semua dilepaskan pulang ke Madinah. Tapi Kafir Quraisy tetap syak bahawa orang-orang Madinahlah yang terlibat dalam hal itu.

Akhirnya mereka mengejar orang-orang Madinah ini tetapi mereka hanya jumpa dengan Saidina Saad bin Ubadah dan seorang lelaki lagi yang telah Islam. Lelaki ini sempat melarikan diri tapi Saidina Saad tak sempat. Saidina Saad ditangkap dan dipukul oleh Kafir Quraisy dan disuruh membuat pengakuan bahawa mereka telah berbaiah dengan Rasulullah Saw. Saidina Saad tak mengaku. Ketika itu lalu seorang yang berwibawa dan jernih air mukanya, nampaknya macam orang baik. Maka Saidina Saad berharap dalam hatinya, orang ini akan menolongnya. Rupanya dialah Abu Jahal. Saidina Saad terus dipukul sehinggalah ada orang dari Mekah yang mengenalinya bahawa dia adalah salah seorang dari pembesar Madinah. Dia jamin Saidina Saad dan Saidina Saad pulang semula ke Madinah. Islam makin tersebar luas di Madinah. Ketika itu Saidina Musaab wakil Rasulullah Saw di Madinah menghantar surat kepada Rasulullah Saw, wahai Rasulullah Saw jemput datang ke Madinah sekarang, kami sudah bersedia.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah