Ramai orang yang lasak badannya tidak lasak hatinya
Ketahanan badannya luarbiasa, tidak tahu letihnya tapi hatinya rapuh
Boleh berjalan jauh, boleh membuat kerja berat, kurang rehat sungguh luarbiasa
Jarang sakit, kalau sakit ringan masih boleh membuat kerja
Mampu mendaki gunung, larat merenangi lautan, sanggup merentas hutan belantara
Kerja tidak rehat-rehat, cergas, tangkas, gegas
Begitulah hebatnya tubuh kasarnya, boleh menanggung beban yang berat kurang rehat
Tapi malang sekali ramai orang hatinya rapuh
Jiwanya tidak tahan lasak mudah sakit, mudah letih, mudah sedih
Hatinya mudah merajuk susah dipujuk, mudah sakit hati, mudah gelisah
Mudah sahaja hatinya benci, meluat, jemu, lesu
Jiwanya mudah terseksa, derita, sengsara, resah
Jiwanya mudah sahaja tersinggung, padahal masalah kecil sahaja
Tapi jiwa tidak mampu menanggung
Mudah sakit hati, mudah berdendam, mudah dengki, mudah kecewa
Yang lebih dahsyat mudah sombong, mudah marah, mudah menyerang, mudah tercabar
Hati tidak tahan ada saingan, ada cabaran, ada tekanan, ada gesaan
Begitulah manusia ramai yang fiziknya tahan lasak
Tapi jiwanya rapuh, reput, mudah terpelengot
Jiwanya tidak tahan lasak
Tidak mampu dibebankan dengan kesusahan, dibenci, diberi malu, dihina, dikata
Tidak sanggup ada saingan dan cabaran
Tidak mampu berhadapan dengan tekanan, gesaan dan arahan,
Lebih-lebih lagi dengan kemarahan
Oleh itu ramai orang yang sakit jiwa di dunia ini
Paling tidak sering sahaja risau, resah dan gelisah
Orang yang takut dan cintakan Tuhan sahaja jiwanya lasak dan tidak rapuh
No comments:
Post a Comment