Sibuk kejar kehidupan?

Assalamualaikum....

Sibuk kejar kehidupan?
Kerja sepenuh masa. Rindu orang itu, orang ini. Cemburu orang itu dengan orang ini. 

Lewat bangun solat subuh, tapi lebih risau lewat nak pergi keje. Tak risau sangat solat lambat. Balik rumah dah lewat, solat asar ke mana, solat maghrib ke mana. 

Perut lapar, cari makanan. Duit takde, pergi bank. Rasa tak tenang, ada benda tak kena, pakai earphone, dengar lagu apa-apa. Duduk di kawasan lapang, tenangkan fikiran. Al Quran tak bersentuh, masjid tak jejak.

Benda sama lagi dibuat. Sambil online, tiba-tiba terbaca satu tweet,
"Buat apa pun, jangan lupa, Allah nampak semuanya. Malaikat mencatat."
Tanpa rasa tersentuh, hati mula kata, "Benda dah selalu diingatkan.

Aku tahulah Allah tu Maha Melihat. Malaikat tu sentiasa mencatat."
Teruskan dengar pula lagu Mr Saxobeat, online lagi. Main game.
Tanpa rasa diperhatikan, sebenarnya malaikat maut daripada pagi duk pandang kita.

Terbangun solat subuh lewat, Allah tahu. Malaikat kiri kanan tahu. Malaikat maut pun tahu.
Sambung dengar lagu Starships pula. Sibuk-sibuk dengar, mulut pun ikut sekali menyanyi. 

Baca Al Quran? Ala nanti-nanti boleh.
Malaikat maut menjengah lagi.
Tiba-tiba terdengar azan. Tengah syok online ni. Tengok jam. Awal lagi. Teruskan online dulu, lagi sepuluh minit solatlah. !! sepuluh minit, tengok jam, cipta alasan lain pula. Sampai dah tinggal lima minit waktu nak habis, baru pulun lari pergi wudhuk, nak solat. Itu Alhamdulillah solat. Yang terus tak solat sebab alasannya dah terlewat? Guane tu?

Malaikat maut ziarah lagi.
Nasib tak nampak je malaikat maut tu. Kalau nampak, confirm masing-masing tak ada masa nak buat benda lagha. Setiap masa pun nak buat baik je.

Sebelum tidur, belek-belek phone dulu. Wish goodnight kat boyfriend/girlfriend dulu.

"Biy, nanti kejut I bangun solat subuh eh? Goodnight sayang. I love you. Esok mesej lagi 😗"
Baru nak tutup mata, nak tidur. Tiba-tiba ada orang ketuk pintu. Ah sudah. Siapa pulak nak kacau aku ni.
"Nak apa?"
Kasar intonasi. Bengang kononnya ada orang kacau waktu mengantuk macam ni.
"Nak nyawa kamu. Masa kamu di dunia sudah tamat. Wahai anak adam, ini adalah waktu pertemuan kembali antara seorang hamba dengan Pencipta segala ciptaan"
Tergamam.

Ah Macam mana ni. Aku belum sempat baca Quran. Aku dah lama tak solat taubat. Solat aku yang lepas-lepas ni yang aku sengaja tinggal nak buat macam mana.
Mati mana boleh tangguh lagi. Aduh. *tepuk dahi*

Esok dah janji dengan kawan nak main futsal. Dah janji nak mesej awek. Esok kena hantar paper work, deadline. Macam mana ni.
Lalu malaikat maut pun masuk ke dalam bilik.
Dengan muka cuak, cuba merayu mohon ditangguhkan waktu mati. Kita lupa, malaikat maut itu sentiasa memerhati. Tunggu masa nak ambil nyawa. 

Selama ni leka dengan dunia. Bila tiba hari kematian, baru yakin yang mati tu bila-bila. Tapi.... semuanya dah terlambat.
Jadi, mulai dari sekarang. 

Rancanglah kematian sebaik-baiknya. Nak mati dalam keadaan sudah bertaubat, atau nak mati dalam keadaan sibuk buat maksiat? 
Jga aurat wahai shabat2ku..
Tepuk dada, tanya iman.

Cerita ini sangat menarik, tolong luangkan masa untuk membacanya.


★Suatu hari Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Ali ( R.A. ) :

Wahai Ali, lakukanlah 5 perkara ini sebelum kamu tidur...

◆ 1. Berikan sedekah 4000 Dinar, kemudian tidurlah..

◆2. Khatamkan Al Quran, lalu tidurlah..

◆3. Belilah Syurga, lalu tidurlah.

◆4. Perbaikkilah hubungan dua orang  yang tengah berselisih, kemudian kamu tidurlah.

◆5. Tunaikanlah satu kali Haji, lalu tidurlah.

★Ali ( R.A.) pun menjawab, "Ya Rasulallah. Mana mungkin aku boleh melakukan semuanya itu ?

Lalu Nabi ( SAW ) pun menjawab :

◆4 kali membaca Al Fatihah adalah sama nilai dengan sedekah 4,000 Dinar.

◆3 kali membaca surah Al Ikhlas adalah sama nilainya dengan menamatkan bacaan satu Al-Qur'an. 

◆3 kali membaca Shalawat adalah sama nilai dgn harga Syurga.

◆10 kali bacaan "Istighfar" adalah sama nilainya dengan menyambung silaturrahim dua orang yg berselisih.

◆4 kali membaca  "Subhanallah,Alhamdulillah, Laa ilaaha ilallah, Allahu Akbar" adalah sama dengan menunaikan satu kali Haji.

★Lalu Ali (R.A.) pun berkata, "Ya Rasulallah SAW! Kini aku akan menjalankan semua nasihatmu itu sebelum aku masuk tidur...

★Hanya perlu masa kurang 5 minit untuk melaksanakannya, 
namun lihatlah semua kebaikan amalan yg Anda akan perolehi...

★Untuk mengingatkan 

🌻Indahnya jika Anda blh hebahkan tulisan ini kpd seramai Muslim yang Anda kenal kerana jika atas usaha Anda seseorang itu dpt menjalankan amalan2 ini, maka Anda pun akan menerima pahala dan kebaikannya .. InsyaALLAH. 
     Aamiin...YaRobbal 'Aalamiin...

MADAH baru 506


*556*
Apabila berusaha dan membuat kerja, Allah dilupakan, fikiran jadi letih, jiwa kosong, badan apatah lagi, akibatnya hati runsing selalu tidak menentu.
Kalau tidak pandai kontrol nafsu, menjadi orang pemarah selalu.  

*557*
Selaraskanlah kehendak kita dengan kehendak Allah, tindakan kita sesuai dengan syariat-Nya, takutilah Allah kalau tersilap dan tersalah, pintalah hidayah dan taufik-Nya, kemudian serahkanlah diri kepada Allah. 

*558*
Harta kita selalu saja kita hisab, hutang orang kepada kita selalu saja kita kira, perniagaan kita selalu saja kita membuat  penilaiannya tapi diri kita kepada  Allah sudahkah kita menghisabnya?! 

*559*
Kalaulah setiap hamba Allah itu merasakan dirinya paling hina dan tak guna serta tidak merasakan ada kebaikan hingga terasa malu selalu dengan Tuhannya, nescaya tidak ada manusia yang ego, sombong, megah, gila glamor, hasad, pemarah, tamak, apalah sangat dunia ini? 

*560*
Apabila tidak redha dengan ketentuan Tuhan, ertinya benci dengan Tuhan.
Tidak bersyukur ertinya lupa dengan Tuhan.
Tidak sabar ertinya menyanggah perbuatan Tuhan.
Tidak bertawakal ertinya bekerja tidak mengharapkan bantuan Tuhan.

Jadikan Ibadahku Mendekatkan Aku Kepada-Mu


Ya Allah, 
jadikanlah ibadahku mendekatkan aku kepada-Mu.
Jadikanlah ibadahku memusnahkan mazmumahku,
menjadikan Engkau redha padaku.
Janganlah jadikan ibadahku derhaka di dalam taat, 
ibadah itu akan melaknat.
Janganlah jadikan ibadahku menyuburkan mazmumah.
Tuhan,
Jadikanlah perjuanganku untuk-Mu.
Janganlah jadikan perjuangan itu untukku.
Ia adalah satu bala bencana.
Ya Rahman, ya Rahim,
jadikanlah ilmuku penyuluh hati,
agar nampak segala mazmumah supaya dapat dimusnah.
Janganlah Engkau jadikan aku, orang lain mendapat manfaat tapi aku dilaknat.
Ya Hannan, ya Mannan,
jadikanlah dakwahku orang sedar, lahir ukhwah, masyarakat bersatu-padu.
Janganlah lahir dari lidahku seperti panah,
yang mengharu-birukan dan memecah-belah serta menjadi fitnah kepada hamba-hamba Allah.
Ya Allah Tuhanku...
Jadikanlah seluruh kebajikan dan khidmatku sebagai ibadah.
Janganlah Engkau jadikan ibadahku untuk bermegah-megah.
Ia akan jadi sebagai habuk-habuk yang berterbangan yang tidak memberi faedah.
Tuhan, aku berlindung dengan-Mu daripada apa yang telah aku sebutkan.
Akhir sekali, 
selamatkan aku Tuhan daripada segala tipu daya nafsu dan syaitan. 

MADAH baru 505


*551*
Orang yang tidak berpaut kepada Allah; sekalipun dia seorang yang pandai;
makin tua makin kosong jiwanya,
makin ke hujung umurnya, makin rasa sepi,
makin bertambah  lagi umurnya, makin menung sahaja.
Ada setengahnya ingin mati segera kerana jemu dengan hidupnya dengan dunia. 

*552*
Beramal dengan qadak dan qadar amat sulit, banyak orang gagal.
Banyak orang jatuh tersungkur di dalam kancah  derhaka kerana qadak dan qadar sekalipun pandai menceramahkan tentang qadak dan qadar. 
Àpabila menimpa diri, jiwanya benci, gelisah setiap hari, mengadu sana mengadu sini, tuduh sana tuduh sini, mengomel dan merintih kepada setiap orang yang dijumpai hingga lupa orang benci, setengahnya ada yang jatuh kufur tidak disedari.  

*553*
Kalaulah manusia ini rasa bertuhan kuat, 
nescaya setiap yang berilmu ingin menyampaikan 
sekalipun tanpa bayaran, 
setiap yang kaya akan  mengagih-agihkan, 
setiap yang berjuang ingin membela, 
setiap yang berkuasa ingin menolong dan menjaga. 

*554*
Rasa bertuhan, apabila seseorang itu jiwanya tidak tergugat oleh harta, tidak tergugat oleh derita, tidak tergugat oleh orang kata, dia termasuk manusia luar biasa kerana jiwanya dengan Tuhan sahaja. 

*555*
Berusaha dan bekerjalah untuk mendapatkan ketentuan dari Allah.
Janganlah menunggu ketentuan dari Allah tanpa berusaha dan bekerja.
Berusaha dan bekerja adalah hak kita, menentukan adalah hak Allah.

Jangan Membuang Masa



Jangan membuang masa sia-sia 
tanpa berusaha untuk kehidupan Akhirat atau dunia.
Kerja sia-sia itu tidak mesti perkara yang haram sahaja.
Masa sangat berharga. 
Apabila berlalu, masa yang berlalu tidak akan tiba.
Kalau masa tiba juga, 
itu adalah masa yang lain pula.
Alangkah malangnya, masa yang berlalu itu 
tidak diisi dengan kerja-kerja yang berguna.
Padahal di Akhirat kelak, 
di antara yang Tuhan akan tanya adalah masa yang merupakan umur kita.
Di antara masa-masa yang sia-sia, 
asyik tidur-tidur sahaja di waktu bukan masa tidur.
Berbual-bual kosong berjam-jam lamanya 
sekalipun tidak membualkan perkara yang haram di sisi agama.
Menung yang lama, 
bukan memikirkan dosa atau ilmu atau sesuatu yang berguna.
Melepak-lepak tidak ada tujuan dan matlamatnya.
Berjalan-jalan yang tidak ada tujuan dan matlamat apa-apa
sama ada untuk faedah Akhirat mahupun faedah dunia.
Selain itu, seperti bermain daun pakau berlama-lama sekalipun bukan berjudi,
hanya seronok-seronok aja.
Termasuk juga bermain catur yang memakan masa 
yang tidak memberi faedah apa-apa.
Di waktu itu kalau diisi dengan amalan-amalan Akhirat 
atau usaha-usaha mencari rezeki, 
alangkah baiknya.
Termasuk juga kerja sia-sia, melihat orang lalu-lalang tanpa tujuan apa-apa.
Menghabiskan masa berangan-angan tanpa usaha dan kerja.
Angan-angan apa dapat?
Hanya dapat angin dan habuk sahaja.
Itulah dia yang dikatakan membuang masa yang sia-sia.
Matlamat dan tujuan Akhirat pun tidak, 
tujuan untuk dunia pun tidak.
Hanya membuang-buang masa percuma dengan tidak ada tujuan apa-apa. 

Susahnya berlaku ikhlas!!!



Jika niat atau dorongannya telah tercampur dengan kerana -kerana lain atau ada terselit niat-niat lain di dalam kerana Allah itu, dorongannya bukan satu lagi tapi sudah menjadi dua atau tiga. Misalnya, niat membuat kerja itu dicampur sama kerana riyak, megah, nama, glamour, pangkat, duit, kerana orang minta, kerana takut orang tidak suka, untuk mental exercise, kerana boring di rumah, kerana hendak lari daripada masalah, kerana ingin sokongan atau undi, kerana hendak menguji kemampuan, kerana hendak berlawan, kerana hadiah, kerana piala, kerana kawan. Maka orang itu sudah tidak khalis lagi di dalam kerja-kerjanya. Ikhlas sudah tiada, sudah tidak murni, ikhlasnya telah ternoda.

Justeru apa yang dibuat itu `kerana Allah`nya telah bercampur dengan kerana-kerana yang lain. Oleh itu `kerana Allah`nya sudah tidak bersih atau tidak murni lagi, niatnya telah bersekutu. Niatnya telah syirik, iaitu syirik khafi.
Di Akhirat nanti Allah meminta orang itu, "Pergilah minta pahala daripada orang yang awak keranakan itu." Allah Taala tidak akan membalas kebaikan apa-apa kepada orang itu kerana tujuan dia beramal itu tidak kepada Allah lagi atau tidak sepenuhnya kerana Allah Taala tapi ada kerana yang lain selain Allah Taala.

Untuk berlaku ikhlas di dalam sebarang perbuatan kita amat susah sekali. Terutama kerja-kerja dan amalan yang ada hubung kait dengan kepentingan umum atau dengan orang ramai atau amalan yang terdedah kepada pandangan umum seperti ceramah, dakwah, mengajar, belajar, gotong-royong, membaca Al Quran di hadapan khalayak, forum, wawancara, memberi hadiah, memberi bantuan di hadapan umum atau di hadapan orang ramai.

Lebih-lebih lagi bagi orang yang jarang memikirkan hati, kurang muhasabah hatinya, hatinya dibiar atau terbiar, jarang diambil tahu atau diambil kira, selalunya lebih banyak terjebak kepada tidak ikhlas. Ramai yang nawaitunya tercampur dengan hal-hal huzuzunnafsi, kepentingan atau tujuan diri sama ada disedari atau tidak disedari kerana kurang menyuluh hati.

Adakalanya amalan itu awal-awal lagi nawaitu atau niatnya telah rosak. Ibarat membuat rumah atau bangunan di atas lumpur maka awal-awal lagi rumah atau bangunan itu runtuh di awalnya lagi. Kalau tidak di awalnya, rosak pula di pertengahan jalan. Kadang-kadang di awal-awal dan di pertengahan jalan masih hatinya kerana Allah, tidak bercampur kerana kerana yang lain selain Allah Taala, tapi dia terjebak di hujung atau di akhir perbuatannya.

Di sini saya datangkan contoh bagaimana ia boleh terjadi.

a. Niat rosak di awal lagi.

Katalah kita hendak berdakwah di satu tempat pada hari sekian. Sama ada kita yang membuat program itu, mahupun penduduk tempat itu menjemput kita.
Hati kecil kita pun berkata: "Ha! Inilah masanya aku akan popular."
"Aku akan terkenal!"
"Adalah peluang duit poket!"
"Aku akan hentam puak-puak ini yang menjadi musuh aku selama ini." "Barulah mereka tahu siapa aku!"
"Padanlah muka mereka nanti!"

Usaha dakwahnya rosak sama sekali! Di awal-awal lagi sudah tidak ada keikhlasannya. Bukan kerana Allah Taala tapi kerana diri kita sendiri atau kerana tujuan menghentam, tapi kita menggunakan hak-hak Allah sebagai alat. Ini ibarat melukis di atas air atau membangunkan rumah di atas lumpur.

b. Rosak di pertengahan.

Bagaimana pula rosak di tengah-tengah atau di dalam perjalanannya. Mula-mula memang dibuat kerana Allah.
Hati berkata: "Aku wajib menyampaikan seruan Allah itu. Lebih-lebih lagi peluang sudah ada atau sudah terbuka."
"Aku mesti mengisi program itu. Aku tidak ada apa-apa keuzuran. Kalau aku tidak mengisi program itu nanti Allah marah. Insya-Allah aku akan pergi berdakwah di tempat itu."

Waktu sedang menyampaikan dakwah dengan petahnya, dengan bahasa yang indah, dalil-dalil dan hujah-hujah yang fasih, orang ramai pun mengangguk-angguk. Begitu ceria muka mereka mendengarnya dan menerima apa yang kita sampaikan menunjukkan ada respon dari orang ramai. Hati kita pun berbunga. Syaitan pun menghembus-hembuskan ke dalam hati untuk kita lupa dengan Allah. Kita pun terasa luar biasa. Hati kita pun membisikkan kepada kita:
"Hebat aku ni!"
"Boleh tahan juga aku ini."
"Payah juga orang lain hendak menandingi aku."

Di pertengahan dia rosak. Rosak di dalam perjalanan. Keikhlasannya tadi telah diungkaikannya semula. Dia telah berkongsi niat di antara Allah dengan dirinya sendiri, syirik khafi. Ibadahnya atau kebaikannya berdakwah itu telah dibatalkan. Ibarat membuat rumah atau bangunan, sedang membinanya belum pun siap lagi telah diruntuhkan semula.

c. Rosak di hujung.

Di awalnya sebelum berdakwah itu niatnya sudah bagus. Dia hendak berdakwah di tempat dan masa sekian-sekian, tujuannya betul kerana Allah. Dia ingin menunaikan tanggungjawab untuk menyampaikan risalah Tuhan kepada umat. Apabila sampai masanya, berhadapan dengan orang ramai, dia pun menyampaikan dakwahnya. Di waktu itu hatinya masih baik. Belum tergugat lagi. `Kerana Allah Taala`nya masih belum terungkai lagi.

Tapi dalam perjalanan pulang dari majlis dakwah itu, ada kawan yang sama-sama berada di dalam keretanya pun bercakap: "Ustaz bercakap tadi sedap betul."
"Saya tengok orang ramai di majlis itu mengangguk saja tanda memberi respon."
"Ustaz ni kalau terus-menerus boleh membuat dakwah ini, ustaz akan lebih lagi lincah dan matang."

Hatinya terus berbunga. Ujub pun datang. Syaitan membisikkan di dalam hatinya bahawa dia orang yang mampu dan berkebolehan. Dia telah lupa kemampuan itu anugerah dari Allah Taala yang Maha Pengurnia. Patut dia malu kepada Tuhan kerana Allah Taala telah memberi dia berkebolehan di dalam berceramah atau pidato. Maka terbatal pula ibadahnya. Pahala dakwahnya malam itu telah terkorban.

Ibarat membangunkan rumah atau bangunan, siap-siap sahaja rumah itu, ia pun runtuh. Apa yang kita bawa ini adalah sebagai satu contoh. Kita bolehlah kiaskan kepada usaha-usaha dan kerja-kerja yang lain.Apakah usaha dan kerja itu kita buat kerana Allah atau kerana kita seratus peratus atau bercampur kerana Allah dengan kerana kita.

GOLONGAN MANUSIA BERHADAPAN DENGAN RAMADHAN


Bulan Ramadhan sangat mulia, membawa rahmat.
Kedatangannya berkat dan maghfirah.
Pahala berlipat ganda, lailatul qadar seperti panjang umur.
Kedatangannya seperti kedatangan seorang pemimpin yang mulia yang sangat dihormati.
Seorang pemimpin seperti Rasul yang maksum.
Akhlaknya tinggi dan mulia serta berilmu dan berwibawa.
Pemurahnya seperti hujan lebat, tawadhuknya menghancurkan hati yang keras.
Pemaafnya menjadikan orang malu.
Mengutamakan orang, setiap hati terpaut kepadanya.
Beraninya menggentarkan musuhnya, berstrategi dan berhikmah.
Ilmunya diucapkan seperti mutiara, mendengar ilmunya tidak bosan-bosan.
Kehilangannya dirindui, kedatangannya dinanti-nanti.
Begitulah Ramadhan jika dia seorang manusia, manusia yang luar biasa.
Apa kita katakan jika ada orang yang berhadapan dengan Ramadhan ibarat pemimpin yang digambarkan tadi?
Ada orang yang tidak mempedulikannya langsung, ia dianggap orang biasa.
Orang yang tidak mempedulikannya adalah orang gila.
Ada orang yang hanya memanfaatkan pemurahnya saja, tetapi orangnya tidak dihormati.
Orang ini adalah orang yang tidak berakhlak mulia.
Ada orang yang senang dengan wibawa pemimpin itu tetapi tidak mengikutinya.
Orang ini senang dengan pemimpin itu tetapi didikan dan pengajarannya tidak dapat diterimanya.
Orang ini tetap orang bodoh dan rosak jiwanya.
Ada orang yang jika berhadapan dengannya terpengaruh dengan kecantikannya.
Dia senang dengan rupa lahiriahnya saja.
Hati budinya tidak difahaminya, fikirannya tidak dapat diselaminya.
Orang ini mabuk dengan syariat lahiriahnya tetapi syariat batiniahnya tidak dapat dijangkaunya.
Orang ini masih tertipu tidak disedarinya.
Orang yang beruntung yang dapat menikmati seluruh kewujudan pemimpin itu.
Hati dan budi dapat dirasakannya, mutiara ilmunya dapat dimilikinya, didikannya dapat dicontohinya.
Inilah orang yang dapat menjadi bayangan gurunya.
Begitulah golongan manusia jika berhadapan dengan Ramadhan, jika ia dianggap seorang guru. 

MADAH baru 504


*521*
Kalau Rukun Iman tidak dihayati, Rukun Islam diabaikan, akhlak Islam tidak menjadi pakaian diri, orang itu tidak boleh dipercayai sekalipun pejuang Islam atau mubaligh, walau hebat membangun dunia untuk kepentingan manusia katanya atau kononnya. 

*522*
Menunggu atau menanti membawa kegelisahan, makin ke hujung membawa kecemasan, Apabila sampai masa yang ditunggu tidak datang, membawa kekecewaan, adakalanya membawa kekesalan yang tidak berkesudahan.
Oleh itu janji kita dengan orang jangan diabaikan. 

*523*
Orang yang bermaruah, biarlah hilang harta, wang ringgit, kehilangan jawatan dan kerja daripada kehilangan maruah diri kerana ia merupakan aset yang paling berharga pada manusia sepanjang hayat. 

*524*
Kalaulah barang yang berharga seperti emas, perak, intan, berlian tidak diletakkan lagi pada tempatnya iaitu di dalam bekas yang tertutup atau di dalam tempat yang eksklusif, ia akan terdedah sama seperti barang yang murah, pasti ia akan binasa, lebih-lebih lagi akan dicuri orang.
Begitulah perempuan, terutama wanita muda, aset yang sangat berharga, sudah tidak mahu lagi diletakkan di tempat yang terkawal bahkan sudah diletakkan di tempat yang terdedah, pastilah dia akan rosak dan merosakkan. 

*525*
Kesusahan bukanlah satu kehinaan, selagi dia tetap menjaga maruah diri. Kesenangan tidak mesti mulia, kalau maruah sudah hilang.

MADAH baru 503



*511*
Siapa yang menganggap sanjungan dan pujian itu merosakkan dirinya, kejian dan kata nista daripada manusia itu membaiki dirinya, insya-Allah dia akan selamat daripada sifat mazmumah yang merbahaya. 

*512*
Jangan selalu termenung, jiwa akan kosong. Janganlah berangan-angan ingin mendapatkan itu dan ini, ia sepertilah kita mendapat sesuatu di dalam mimpi. 

*513*
Apabila pergi ke sekolah rasa terseksa, balik ke rumah terasa neraka, berkawan ukhwah tiada, bergaul tengah masyarakat nafsi-nafsi sahaja, kalau iman tidak kuat, sakit jiwa dan kecewa, boleh membawa putus asa.  

*514*
Manusia ini, apabila tuntutan fitrahnya tidak terisi, kalau iman tidak ada, pasti ditimpa sakit jiwa atau kegelisahan jiwa, mudah kecewa, boleh membawa putus asa.  

*515*
Secara umumnya orang lelaki suka menunjuk-nunjuk kekuatan dan kehebatan, orang perempuan suka menunjuk-nunjuk kecantikan dan perhiasannya.

Mujahadah Jalan Menuju Allah





Mujahadah adalah satu jalan untuk seseorang menuju Allah.
Tanpa mujahadah, adalah mustahil seseorang hamba sampai kepada-Nya.
Kerana yang menjadi penghalang seseorang itu menuju Allah ialah syaitan dan nafsunya.
Tapi nafsu adalah lebih menghalang dari syaitan laknatullah.
Kehendak nafsu dengan kehendak Tuhan biasanya selalu sahaja berlawanan.
Di sinilah perlunya bermujahadah bersungguh-sungguh dan bermati-matian.
Bermujahadah adalah sangat menjemukan.
Bermujahadah adalah terseksa dan menyakitkan.
Tapi di sinilah pahalanya yang besar dari Tuhan.
Bermujahadah adakalanya sangat susah dan payah.
Ada juga dengan rahmat Tuhan, bermujahadah dipermudahkan.
Tapi para rasul dan para nabi dengan anugerah Tuhan, dipelihara Tuhan.
Mereka diberi kelebihan tanpa mujahadah menuju Tuhan.
Mereka itu orang istimewa dan orang Tuhan.
Terlepas daripada syaitan dan bebas daripada nafsunya.
Mereka adalah orang pilihan Tuhan.
Kerana mereka hendak dijadikan contoh dan ikutan.
Mereka itu benar-benar orang Tuhan dan wakil Tuhan untuk diikut oleh manusia berbagai-bagai lapisan.
Kita yang bukan rasul dan nabi ini kenalah bermujahadah.
Di dalam bermujahadah mintalah pertolongan dengan Tuhan.
Agar dibantu Tuhan di dalam bermujahadah melawan nafsu dan syaitan.
Bertawasullah selalu dengan Rasul dan Mursyid,
meminta tolong di dalam bermujahadah agar dimudahkan oleh Tuhan.
Bermujahadahlah secara istiqamah dan jangan jemu-jemu.
Nanti dengan rahmat Allah, mujahadah kita dipermudahkan. 


MADAH baru 502


*491*
Kalau seseorang itu sudah hilang malunya, dia akan buat apa saja.
Kalau perbuatannya itu memberi faedah kepadanya, sekalipun orang tahu dan disiarkan beritanya di dalam surat khabar atau dibualkan orang dari mulut ke mulut namun dia tidak begitu terasa apa-apa lagi, yang penting padanya dia cari jalan jangan sampai kejahatannya itu boleh dibuktikan, takut kena hukum atau didenda atau dibuang kerja atau digugurkan jawatannya, justeru itu ada hubungan dengan kepentingannya. 

*492*
Orang zaman sekarang ini tidak takut membuat kesalahan, yang penting jangan ada orang dapat buktikan kesalahannya kerana malu sudah hilang, takut dengan Allah sudah tiada.  

*493*
Hari ini, tidak malu sudah jadi budaya, siapa malu dianggap kolot.
Mencari kekayaan tidak kira halal haram, siapa menjaga syariat dianggap ketinggalan zaman.
Hari ini makan gaji dianggap mulia, siapa kerja sendiri dianggap hina, setidak-tidaknya dianggap tidak ada status, walaupun pendapatannya lebih lumayan daripada makan gaji.
Seseorang itu kalau ada kelulusan tinggi tidak mahu makan gaji dianggap bodoh atau rugi, padahal manusia yang kaya di dunia ini bukan orang makan gaji, tapi kerja sendiri. 

*494*
Adakalanya kita tinggal seorang diri di suatu tempat, berasa takut kerana kalau apa-apa terjadi tidak ada siapa yang akan menolong, tidak kurang juga berasa takut berada di suatu tempat yang ramai orang tapi kita tidak pernah berjumpa dan tidak pernah kenal orang-orangnya, ditambah lagi pula kalau bahasa dan budaya mereka kita tidak tahu. 

*495*
Sedih menghadapi kegagalan atau berhadapan dengan sesuatu ujian mungkin boleh dimaafkan kerana ia fitrah semulajadi, tapi kalau kesal dan menyesal atau kecewa dan putus asa, Allah Taala murka, justeru telah terputus tali perhubungan dengan Tuhannya.

Aku Cemas Kedatangan Ramadhan


Aduh! Susahnya hatiku bila berhadapan dengan Ramadhan.
Macam ada benda yang tidak kena.
Aku cemas selalu dengan kedatangannya.
Kalau aku tidak menyambut kedatangannya dengan sebaik-baiknya.
Padaku kedatangan Ramadhan macam kedatangan tetamu yang sangat mulia.
Kedatangan seorang yang mulia dan terhormat.
Ketibaan seorang yang dikenali dan dihormati.
Seorang yang disayangi dan dipuja.
Idola semua dan bersama.
Aduh, orang macam ini bagaimana aku hendak menyambutnya?!
Serba tidak kena.
Aduh bimbangnya, cara mana dan bagaimana aku hendak memuliakannya.
Sesuai dengan kebesarannya.
Secocok dengan mulia dan kemasyhurannya.
Kerana itu kedatangannya aku cemas selalu.
Kalau aku tidak beradab dengannya.
Aku takut mencacatkan maruahnya.
Dia adalah orang besar.
Yang patut kita sambut sesuai dengan kebesarannya. 
Kalau dia tidak datang lebih baik daripada kedatangannya.
Tapi sudah ketentuan Allah, setahun sekali dia mengunjungi kita.
Kita sambutlah dia dengan penuh cemas dan bimbang. 


MADAH baru 501


*486*
Ikhlas darjat yang paling tinggi, ia adalah penentu apakah amalan diterima atau sebaliknya.
Ia adalah rahsia Allah, malaikat pun tidak mengetahui, yang punya diri pun tidak tahu.
Kalau seseorang memberi pada seseorang dengan tujuan waktu susah nanti dia dibantu oleh orang itu, batallah amalannya.
Kalau orang itu tidak mengucapkan terima kasih, hatinya berkata, 'Tidak patut', hilang ikhlasnya.
Kalau dia memberi dengan mengatakan, "Ambillah, saya ikhlas ni," batal pula ikhlasnya.
Di suatu masa orang yang pernah dibantu memusuhinya, hati kecilnya berkata, "Eh, orang ini tidak mengenang budi," keihklasannya ditarik semula.
Allah! Susahnya amalan diterima, periksalah hati selalu. 

*487*
Satu perkara itu kalau dibuat secara rasmi-rasmi atau sangat diprogramkan atau diupacarakan, payah hendak ikhlas iaitu payah hendak terhindar daripada riyak, ujub, gila nama, ingin glamour dan tujuan dunia. 

*488*
Janganlah berusaha sahaja tanpa tawakal, begitulah juga jangan tawakal saja tanpa usaha.
Orang yang berusaha tanpa tawakal ialah orang yang bertuhankan diri secara tidak sedar.
Orang yang bertawakal tanpa usaha ialah orang yang ingin kepada Tuhan tapi tidak ada jalan. 

*489*
Batin manusia (hati manusia) lebih banyak derhaka kepada Allah daripada zahirnya tapi kebanyakan manusia tidak sedar. 

*490*
Kebanyakan manusia bila mendapat kesenangan lupa daratan, sombong, bakhil, menghina, menunjuk-nunjuk.
Apabila mendapat kesusahan, menderita, mengeluh sepanjang masa, adakalanya meminta-minta, selalu marah-marah saja.
Jadi, senang pun derhaka, susah pun  derhaka. Bilakah hendak menjadi orang yang taat setia kepada Tuhan?!

Bimbang Menyambut Ramadhan




Tuhan..
Aku tidak tahu mengapa aku ini.
Aku berlainan sekali dari orang.
Setiap kali kedatangan Ramadhan, mereka menyambut dengan gembira.
Muka-muka mereka kelihatan ceria.
Tapi aku berlainan pula.
Kedatangan Ramadhan penuh dukacita.
Bukan aku benci dengan bulan-Mu yang penuh dengan rahmat dan berkat.
Tapi aku benci dengan diriku.
Aku bimbang, Ramadhan-Mu aku tidak dapat mengisinya dengan sebaik-baiknya.
Aku rasa puasaku tidak sempurna.
Bahkan adakalanya aku rasa puasaku terbatal selalu.
Sembahyang yang aku bina kurasa tidak sah.
Tarawikh dan bacaan Al Quranku tidak sampai ke mana.
Tuhan...
Inilah yang menyelubungi hatiku setiap kali kedatangan Ramadhan.
Aku tidak tahu apakah ini satu kesalahan.
Ampunkan aku Tuhan.
Maafkan aku kalau ini satu kesalahan.
Pimpinlah aku dan betulkanlah sikapku.
Sekali lagi aku memohon ampun dari-Mu. 


MADAH baru 500


*481*
Bersabarlah agar kita mendapat pahala tanpa hisab.
Redhalah dengan ketentuan Tuhan, selain pahala, hati tenang.
Bertawakallah kepada-Nya agar kita tidak jahat sangka dengan Allah.
Dengan nikmat, bersyukurlah agar Allah tambah lagi nikmat itu.
Berpuas hatilah dengan apa yang ada, agar hati tidak susah dengan perkara yang tiada.  

*482*
Amalan yang dihayati secara istiqamah memberi kesan kepada jiwa, buahnya pula akan memberi kesan kepada peribadi, dari situ lahirlah akhlak mulia yang dikehendaki. Inilah bunga di dalam kehidupan yang semua makhluk menyenangi.  

*483*
Apabila manusia sudah tidak berlapang dada, bertolak ansur pun tidak akan ada. Di waktu itu manusia hidup di dalam bala, di jalan raya akan berlakulah kesesakan, di lorong-lorong tempat lalu lalang akan bersempit-sempit dan berhimpit-himpit, waktu menaiki bas atau kereta api akan berlakulah bertolakan, di tempat-tempat mengambil tiket akan berlakulah berpusu-pusu dan menyiku, jiwa radang selalu membawa jiwa tidak tenang. 

*484*
Jangan kita anggap orang yang berkorban selalu berpuluh atau beratus-ratus ribu itu pemurah, begitu juga jangan kita anggap orang yang selalu berkorban dua, tiga ringgit atau sepuluh, dua puluh ringgit tidak pemurah. Allah menilai seseorang itu pemurah atau tidak adalah berdasarkan senang dan susahnya pada seseorang itu, bukan berdasarkan banyak dan sedikit.
Contohnya:
Kalau seseorang itu pendapatannya seribu ringgit sebulan, tanggungannya seramai 5 orang, dia selalu berkorban 50 atau 60 ringgit, mungkin sudah dianggap pemurah oleh alak.
Tapi kalau seorang itu pendapatan bulanannya satu juta, tanggungannya 5 orang, dia selalu menderma di antara 5 hingga 10 ribu, mungkin Allah belum menganggap hamba Allah itu pemurah.
Tapi ukuran orang ramai, bila mendengar sahaja orang menderma 20 ribu, oh! pemurahnya orang itu, padahal dia masih lagi dianggap orang yang bakhil oleh Allah kerana pendapatan bulanan 1 juta ringgit, mana padan menderma 20 ribu. 

*485*
Hendaklah kita menjadi orang yang pemurah dengan harta, dengan tenaga, dengan buah fikiran, dengan kemesraan, dengan masa, dengan nasihat, dengan tolak ansur, dengan lapang dada.

Membangunkan Agama dan Bangsa Islam



Membangunkan satu bangsa tidak semudah dikata.
Lebih-lebih lagi hendak membangunkan umat Islam tidak semudah dicerita.
Membangunkan bangsa Islam banyak syarat-syaratnya.
Kalau tidak faham syarat-syaratnya dan tidak pandai mengisi syarat-syaratnya,
hanya angan-angan sahaja.
Di antara syarat-syaratnya agar jelas dan nyata untuk mudah melaksananya,
seperti yang akan dinyata:
* Ada pemimpin yang berilmu, bertaqwa, berwibawa, ikhlas memimpin bangsa.
* Ada team kepimpinan yang berilmu, ada rasa bersama, boleh bekerjasama, boleh berkorban harta dan jiwa.
* Rakyat dan pemimpin juga cerdik pandai mesti ada cita-cita agama dan bangsa.
* Para pemimpin dan cerdik pandai mampu memimpin rakyat-rakyatnya.
* Perlu bersatu-padu berjuang, rasa bersama dan bekerjasama, berkorban apa sahaja.
* Ada jemaah, ada program di dalam jemaah di semua aspeknya.
Ertinya di dalam jemaah ada pembangunan insaniah, ada pembangunan material untuk kehidupan.
* Faham masalah di dalam jemaah dan mampu menyelesaikannya.
* Pandai membuat mana yang utama daripada yang kurang utama.
Yang patut didahulu didahulukan, yang patut dikemudian dikemudiankan.
* Masalah rakyat di semua aspek kehidupan mereka dapat diurus dengan baiknya.
* Rakyat dan pemimpin rajin bekerja dan aktif berusaha untuk agama dan bangsa.
* Kepentingan diri, keluarga dan kroni tidak ada.
* Ada program keluar untuk menyedar dan menginsafkan manusia terhadap Tuhan dan agamanya.
Mana-mana yang sudah sedar dan insaf terus diberi ilmu dan dididik secara istiqamah.
* Membangunkan agama dan bangsa perlu strategi, perlu bijaksana, perlu lama.
Apakah ada pemimpin umat Islam di hari ini boleh mengisi syarat-syaratnya?
Apakah pemimpin umat Islam di hari ini ada ilmu tentang membangunkan agama dan bangsa?
Apakah pemimpin hanya sekadar boleh berslogan sedangkan ilmu mengenainya tidak ada?
Apakah ada pemimpin-pemimpin yang benar-benar ikhlas kerana Tuhan bukan kerana nama dan glamor?
Apakah para pemimpin mampu memberi contoh lebih dahulu sebelum rakyatnya?
Tentu susah untuk menjawabnya!
Lebih-lebih lagi susah untuk melaksana.
Lebih susah lagi untuk sabar melaksana bila berhadapan dengan cabaran-cabarannya.
Ya! Memang susah dan pahit untuk bangunkan agama dan bangsa. 


MADAH baru 499


*476*
Merintihlah dengan dosa, janganlah merintih dengan harta.
Menangislah dengan dosa, jangan menangis dengan orang menghina.
Sedihlah dengan dosa, jangan sedih dengan orang kata. 

*477*
Di dalam berjuang hendaklah kita lebih takut dengan dosa kita lebih daripada takutkan musuh kerana dengan dosa itu Allah murka. Apabila Allah murka, kita dibiarkan oleh Allah kepada musuh. 
Di waktu itu kita akan berhadapan dengan dua kerugian, pertama kemurkaan Allah, kedua kekalahan dan kehinaan.  

*478*
Islam memberitahu kita bahawa di antara dosa yang Allah cepatkan pembalasan di dunia lagi ialah dosa menzalimi manusia tapi banyak manusia tidak terasa atau tidak sedar kerana beberapa sebab atau faktor:
Pertama:
Kerana Allah lambatkan pembalasannya di dunia. Jadi bila berlaku, yang punya diri atau orang lain tidak terfikir disebabkan perbuatan zalimnya yang sudah lama yang pernah dilakukannya.
Kedua:
Kerana bentuk pembalasan Allah itu tidak sama seperti apa yang ditimpakan kepada orang yang kena zalim itu. Umpamanya, seseorang menzalim seseorang dengan cara memukulnya atau memfitnahnya atau memenjarakannya, tidak semestinya Allah balas kepada orang yang zalim itu seperti yang berlaku kepada yang kena zalim, tidak mesti dia kena pukul atau kena fitnah atau kena penjara, mungkin dilakukan bentuk lain seperti hartanya dirampas orang atau dilanggar kereta atau rumahnya terbakar atau terlucut jawatannya atau krisis rumah tangga atau pimpinannya banyak masalah atau dapat malu dan berbagai-bagai lagi.  

*479*
Senang dan tenang tidak sama. Senang, orang yang mempunyai banyak kemudahan hidup.
Tenang, orang yang hatinya bahagia. Kalau terpaksa pilih salah satu, pilihlah tenang daripada senang, yang paling baik dapat menguasai kesenangan dan ketenangan iaitu kedua-dua sekali. 

*480*
Melahirkan orang pandai saja mudah tapi melahirkan orang pandai yang juga merendah diri payah.
Melahirkan para pemimpin mudah, melahirkan para pemimpin yang adil, jujur, merendah diri yang payah.
Melahirkan orang kaya mudah tapi melahirkan orang kaya yang pemurah dan tawadhuk payah.

Dosa Yang Payah Dikesan



Setiap orang itu sejak baligh hingga hari ini kalau membuat dosa ada dua peringkat.
Ada dosa yang mudah dikesan dan mudah pula bertaubat.
Ada dosa-dosa yang tidak mudah dikesan bahkan tidak dirasakan berdosa.
Maka tentu tidak bertaubat.
Dosa-dosa yang mudah diketahui seperti meninggalkan sembahyang, meninggalkan puasa, mencuri, minum arak, bunuh orang.
Dosa-dosa ini payah dilupakan. 
Kalau seseorang itu insaf, mudah bertaubat.
Tapi orang tidak rasa berdosa jika tidak ada rasa bertuhan.
Orang tidak rasa satu kesalahan tidak ada rasa kehambaan.
Berapa ramai orang sejak baligh, dia riyak, sombong, suka dipuji, ujub, ingin nama tidak rasa membuat dosa.
Nampak orang susah tidak ditolong, tidak bertimbang rasa, mengutamakan diri, gembira dengan kesusahan orang tidak dianggap satu kesalahan.
Tamak, bakhil, tidak mesra dengan orang tidak dianggap haram.
Tidak tawakal, tidak sabar, tidak malu dengan Tuhan, tidak belas kasihan, itu tidak dipandang kemurkaan Tuhan.
Dosa-dosa kategori yang kedua inilah yang ramai orang terjebak.
Orang tidak terasa satu dosa.
Apabila tidak terasa perkara itu dosa, ia berlalu begitu sahaja.
Tanpa sedar, tanpa insaf.
Akhirnya tidak bertaubat.
Matilah seseorang itu di dalam kederhakaan tanpa sedar.
Kadang-kadang dosa-dosa yang tidak disedari ini berlaku kepada orang-orang yang dipandang oleh orang ramai sebagai orang baik.
Ada orang ibadahnya banyak, sembahyang malam, puasa sunat di siang hari, sering membaca Al Quran, wirid tidak lekang.
Setengahnya ulama, menasihati orang, dia disegani.
Oleh kerana dosa-dosa tadi sangat tersembunyi, sangat tersirat, ia dosa hati, payah dikesani.
Ahli-ahli ibadah dan para ulama tadi pun tidak menyedarinya.
Orang-orang yang mata hatinya celik sahaja yang dapat mengesani.
Orang-orang yang rohnya bercahaya dan menyuluh yang seni-seninya.
Yang dikatakan ulil abshar.
Bukan ulama yang mampu mengetahui.
Kecuali kalau ulama itu juga ulil abshar. 

MADAH baru 498


*471*
Adakalanya orang yang menyalahkan orang yang membuat salah, dosanya lebih besar daripada orang yang membuat kesalahan atau membuat dosa, kalau dosa itu tersembunyi dibongkarnya atau menuduh atau menghukum terlebih atau keterlaluan daripada kesalahan yang dibuatnya. 

*472*
Setiap hari kiralah dosa-dosa kamu, setidaknya mengingatinya. Janganlah kenang kebaikan kamu, anggap sajalah tidak ada kebaikan. 

*473*
Orang yang setiap hari kerjanya bergelumang dengan najis dan dengan perkara-perkara yang kotor dan menjijikkan, dia telah lali dengan kekotoran itu, busuk najis itu tidak lagi mengganggu perasaannya.  Begitulah orang yang telah bergelumang dengan maksiat dan dosa, tidak terasa lagi dia membuat dosa bahkan rasa sedap dengan dosa, siapa yang menasihatinya akan dianggap mengganggu ketenteraman dan hak asasinya. 

*474*
Dua orang atau lebih yang membuat satu dosa yang sama nilainya, setiap orang itu rasa berdosa tidak sama. Mesti ada lebih, ada kurangnya, mengikutlah ketaqwaan masing-masing atau mengikutlah tingkatan masing-masing. 

*475*
Orang yang halus perasaannya, orang lain yang bersalah, dia yang merasa bersalah. Orang lain yang berbuat dosa, dia yang merasa berdosa. Ada orang yang mati kelaparan, dia yang merasa bersalah. Betapalah kalau dia sendiri yang bersalah atau buat dosa, terseksa jiwanya sepanjang masa.

Bumi Tuhan... Bersaksilah