*491*
Kalau seseorang itu sudah hilang malunya, dia akan buat apa saja.
Kalau perbuatannya itu memberi faedah kepadanya, sekalipun orang tahu dan disiarkan beritanya di dalam surat khabar atau dibualkan orang dari mulut ke mulut namun dia tidak begitu terasa apa-apa lagi, yang penting padanya dia cari jalan jangan sampai kejahatannya itu boleh dibuktikan, takut kena hukum atau didenda atau dibuang kerja atau digugurkan jawatannya, justeru itu ada hubungan dengan kepentingannya.
*492*
Orang zaman sekarang ini tidak takut membuat kesalahan, yang penting jangan ada orang dapat buktikan kesalahannya kerana malu sudah hilang, takut dengan Allah sudah tiada.
*493*
Hari ini, tidak malu sudah jadi budaya, siapa malu dianggap kolot.
Mencari kekayaan tidak kira halal haram, siapa menjaga syariat dianggap ketinggalan zaman.
Hari ini makan gaji dianggap mulia, siapa kerja sendiri dianggap hina, setidak-tidaknya dianggap tidak ada status, walaupun pendapatannya lebih lumayan daripada makan gaji.
Seseorang itu kalau ada kelulusan tinggi tidak mahu makan gaji dianggap bodoh atau rugi, padahal manusia yang kaya di dunia ini bukan orang makan gaji, tapi kerja sendiri.
*494*
Adakalanya kita tinggal seorang diri di suatu tempat, berasa takut kerana kalau apa-apa terjadi tidak ada siapa yang akan menolong, tidak kurang juga berasa takut berada di suatu tempat yang ramai orang tapi kita tidak pernah berjumpa dan tidak pernah kenal orang-orangnya, ditambah lagi pula kalau bahasa dan budaya mereka kita tidak tahu.
*495*
Sedih menghadapi kegagalan atau berhadapan dengan sesuatu ujian mungkin boleh dimaafkan kerana ia fitrah semulajadi, tapi kalau kesal dan menyesal atau kecewa dan putus asa, Allah Taala murka, justeru telah terputus tali perhubungan dengan Tuhannya.
No comments:
Post a Comment