*551*
Orang yang tidak berpaut kepada Allah; sekalipun dia seorang yang pandai;
makin tua makin kosong jiwanya,
makin ke hujung umurnya, makin rasa sepi,
makin bertambah lagi umurnya, makin menung sahaja.
Ada setengahnya ingin mati segera kerana jemu dengan hidupnya dengan dunia.
*552*
Beramal dengan qadak dan qadar amat sulit, banyak orang gagal.
Banyak orang jatuh tersungkur di dalam kancah derhaka kerana qadak dan qadar sekalipun pandai menceramahkan tentang qadak dan qadar.
Ă€pabila menimpa diri, jiwanya benci, gelisah setiap hari, mengadu sana mengadu sini, tuduh sana tuduh sini, mengomel dan merintih kepada setiap orang yang dijumpai hingga lupa orang benci, setengahnya ada yang jatuh kufur tidak disedari.
*553*
Kalaulah manusia ini rasa bertuhan kuat,
nescaya setiap yang berilmu ingin menyampaikan
sekalipun tanpa bayaran,
setiap yang kaya akan mengagih-agihkan,
setiap yang berjuang ingin membela,
setiap yang berkuasa ingin menolong dan menjaga.
*554*
Rasa bertuhan, apabila seseorang itu jiwanya tidak tergugat oleh harta, tidak tergugat oleh derita, tidak tergugat oleh orang kata, dia termasuk manusia luar biasa kerana jiwanya dengan Tuhan sahaja.
*555*
Berusaha dan bekerjalah untuk mendapatkan ketentuan dari Allah.
Janganlah menunggu ketentuan dari Allah tanpa berusaha dan bekerja.
Berusaha dan bekerja adalah hak kita, menentukan adalah hak Allah.
No comments:
Post a Comment