Jika niat atau dorongannya telah tercampur dengan kerana -kerana lain atau ada terselit niat-niat lain di dalam kerana Allah itu, dorongannya bukan satu lagi tapi sudah menjadi dua atau tiga. Misalnya, niat membuat kerja itu dicampur sama kerana riyak, megah, nama, glamour, pangkat, duit, kerana orang minta, kerana takut orang tidak suka, untuk mental exercise, kerana boring di rumah, kerana hendak lari daripada masalah, kerana ingin sokongan atau undi, kerana hendak menguji kemampuan, kerana hendak berlawan, kerana hadiah, kerana piala, kerana kawan. Maka orang itu sudah tidak khalis lagi di dalam kerja-kerjanya. Ikhlas sudah tiada, sudah tidak murni, ikhlasnya telah ternoda.
Justeru apa yang dibuat itu `kerana Allah`nya telah bercampur dengan kerana-kerana yang lain. Oleh itu `kerana Allah`nya sudah tidak bersih atau tidak murni lagi, niatnya telah bersekutu. Niatnya telah syirik, iaitu syirik khafi.
Di Akhirat nanti Allah meminta orang itu, "Pergilah minta pahala daripada orang yang awak keranakan itu." Allah Taala tidak akan membalas kebaikan apa-apa kepada orang itu kerana tujuan dia beramal itu tidak kepada Allah lagi atau tidak sepenuhnya kerana Allah Taala tapi ada kerana yang lain selain Allah Taala.
Untuk berlaku ikhlas di dalam sebarang perbuatan kita amat susah sekali. Terutama kerja-kerja dan amalan yang ada hubung kait dengan kepentingan umum atau dengan orang ramai atau amalan yang terdedah kepada pandangan umum seperti ceramah, dakwah, mengajar, belajar, gotong-royong, membaca Al Quran di hadapan khalayak, forum, wawancara, memberi hadiah, memberi bantuan di hadapan umum atau di hadapan orang ramai.
Lebih-lebih lagi bagi orang yang jarang memikirkan hati, kurang muhasabah hatinya, hatinya dibiar atau terbiar, jarang diambil tahu atau diambil kira, selalunya lebih banyak terjebak kepada tidak ikhlas. Ramai yang nawaitunya tercampur dengan hal-hal huzuzunnafsi, kepentingan atau tujuan diri sama ada disedari atau tidak disedari kerana kurang menyuluh hati.
Adakalanya amalan itu awal-awal lagi nawaitu atau niatnya telah rosak. Ibarat membuat rumah atau bangunan di atas lumpur maka awal-awal lagi rumah atau bangunan itu runtuh di awalnya lagi. Kalau tidak di awalnya, rosak pula di pertengahan jalan. Kadang-kadang di awal-awal dan di pertengahan jalan masih hatinya kerana Allah, tidak bercampur kerana kerana yang lain selain Allah Taala, tapi dia terjebak di hujung atau di akhir perbuatannya.
Di sini saya datangkan contoh bagaimana ia boleh terjadi.
a. Niat rosak di awal lagi.
Katalah kita hendak berdakwah di satu tempat pada hari sekian. Sama ada kita yang membuat program itu, mahupun penduduk tempat itu menjemput kita.
Hati kecil kita pun berkata: "Ha! Inilah masanya aku akan popular."
"Aku akan terkenal!"
"Adalah peluang duit poket!"
"Aku akan hentam puak-puak ini yang menjadi musuh aku selama ini." "Barulah mereka tahu siapa aku!"
"Padanlah muka mereka nanti!"
Usaha dakwahnya rosak sama sekali! Di awal-awal lagi sudah tidak ada keikhlasannya. Bukan kerana Allah Taala tapi kerana diri kita sendiri atau kerana tujuan menghentam, tapi kita menggunakan hak-hak Allah sebagai alat. Ini ibarat melukis di atas air atau membangunkan rumah di atas lumpur.
b. Rosak di pertengahan.
Bagaimana pula rosak di tengah-tengah atau di dalam perjalanannya. Mula-mula memang dibuat kerana Allah.
Hati berkata: "Aku wajib menyampaikan seruan Allah itu. Lebih-lebih lagi peluang sudah ada atau sudah terbuka."
"Aku mesti mengisi program itu. Aku tidak ada apa-apa keuzuran. Kalau aku tidak mengisi program itu nanti Allah marah. Insya-Allah aku akan pergi berdakwah di tempat itu."
Waktu sedang menyampaikan dakwah dengan petahnya, dengan bahasa yang indah, dalil-dalil dan hujah-hujah yang fasih, orang ramai pun mengangguk-angguk. Begitu ceria muka mereka mendengarnya dan menerima apa yang kita sampaikan menunjukkan ada respon dari orang ramai. Hati kita pun berbunga. Syaitan pun menghembus-hembuskan ke dalam hati untuk kita lupa dengan Allah. Kita pun terasa luar biasa. Hati kita pun membisikkan kepada kita:
"Hebat aku ni!"
"Boleh tahan juga aku ini."
"Payah juga orang lain hendak menandingi aku."
Di pertengahan dia rosak. Rosak di dalam perjalanan. Keikhlasannya tadi telah diungkaikannya semula. Dia telah berkongsi niat di antara Allah dengan dirinya sendiri, syirik khafi. Ibadahnya atau kebaikannya berdakwah itu telah dibatalkan. Ibarat membuat rumah atau bangunan, sedang membinanya belum pun siap lagi telah diruntuhkan semula.
c. Rosak di hujung.
Di awalnya sebelum berdakwah itu niatnya sudah bagus. Dia hendak berdakwah di tempat dan masa sekian-sekian, tujuannya betul kerana Allah. Dia ingin menunaikan tanggungjawab untuk menyampaikan risalah Tuhan kepada umat. Apabila sampai masanya, berhadapan dengan orang ramai, dia pun menyampaikan dakwahnya. Di waktu itu hatinya masih baik. Belum tergugat lagi. `Kerana Allah Taala`nya masih belum terungkai lagi.
Tapi dalam perjalanan pulang dari majlis dakwah itu, ada kawan yang sama-sama berada di dalam keretanya pun bercakap: "Ustaz bercakap tadi sedap betul."
"Saya tengok orang ramai di majlis itu mengangguk saja tanda memberi respon."
"Ustaz ni kalau terus-menerus boleh membuat dakwah ini, ustaz akan lebih lagi lincah dan matang."
Hatinya terus berbunga. Ujub pun datang. Syaitan membisikkan di dalam hatinya bahawa dia orang yang mampu dan berkebolehan. Dia telah lupa kemampuan itu anugerah dari Allah Taala yang Maha Pengurnia. Patut dia malu kepada Tuhan kerana Allah Taala telah memberi dia berkebolehan di dalam berceramah atau pidato. Maka terbatal pula ibadahnya. Pahala dakwahnya malam itu telah terkorban.
Ibarat membangunkan rumah atau bangunan, siap-siap sahaja rumah itu, ia pun runtuh. Apa yang kita bawa ini adalah sebagai satu contoh. Kita bolehlah kiaskan kepada usaha-usaha dan kerja-kerja yang lain.Apakah usaha dan kerja itu kita buat kerana Allah atau kerana kita seratus peratus atau bercampur kerana Allah dengan kerana kita.
No comments:
Post a Comment