*481*
Bersabarlah agar kita mendapat pahala tanpa hisab.
Redhalah dengan ketentuan Tuhan, selain pahala, hati tenang.
Bertawakallah kepada-Nya agar kita tidak jahat sangka dengan Allah.
Dengan nikmat, bersyukurlah agar Allah tambah lagi nikmat itu.
Berpuas hatilah dengan apa yang ada, agar hati tidak susah dengan perkara yang tiada.
*482*
Amalan yang dihayati secara istiqamah memberi kesan kepada jiwa, buahnya pula akan memberi kesan kepada peribadi, dari situ lahirlah akhlak mulia yang dikehendaki. Inilah bunga di dalam kehidupan yang semua makhluk menyenangi.
*483*
Apabila manusia sudah tidak berlapang dada, bertolak ansur pun tidak akan ada. Di waktu itu manusia hidup di dalam bala, di jalan raya akan berlakulah kesesakan, di lorong-lorong tempat lalu lalang akan bersempit-sempit dan berhimpit-himpit, waktu menaiki bas atau kereta api akan berlakulah bertolakan, di tempat-tempat mengambil tiket akan berlakulah berpusu-pusu dan menyiku, jiwa radang selalu membawa jiwa tidak tenang.
*484*
Jangan kita anggap orang yang berkorban selalu berpuluh atau beratus-ratus ribu itu pemurah, begitu juga jangan kita anggap orang yang selalu berkorban dua, tiga ringgit atau sepuluh, dua puluh ringgit tidak pemurah. Allah menilai seseorang itu pemurah atau tidak adalah berdasarkan senang dan susahnya pada seseorang itu, bukan berdasarkan banyak dan sedikit.
Contohnya:
Kalau seseorang itu pendapatannya seribu ringgit sebulan, tanggungannya seramai 5 orang, dia selalu berkorban 50 atau 60 ringgit, mungkin sudah dianggap pemurah oleh alak.
Tapi kalau seorang itu pendapatan bulanannya satu juta, tanggungannya 5 orang, dia selalu menderma di antara 5 hingga 10 ribu, mungkin Allah belum menganggap hamba Allah itu pemurah.
Tapi ukuran orang ramai, bila mendengar sahaja orang menderma 20 ribu, oh! pemurahnya orang itu, padahal dia masih lagi dianggap orang yang bakhil oleh Allah kerana pendapatan bulanan 1 juta ringgit, mana padan menderma 20 ribu.
*485*
Hendaklah kita menjadi orang yang pemurah dengan harta, dengan tenaga, dengan buah fikiran, dengan kemesraan, dengan masa, dengan nasihat, dengan tolak ansur, dengan lapang dada.
No comments:
Post a Comment