Mujahadah adalah satu jalan untuk seseorang menuju Allah.
Tanpa mujahadah, adalah mustahil seseorang hamba sampai kepada-Nya.
Kerana yang menjadi penghalang seseorang itu menuju Allah ialah syaitan dan nafsunya.
Tapi nafsu adalah lebih menghalang dari syaitan laknatullah.
Kehendak nafsu dengan kehendak Tuhan biasanya selalu sahaja berlawanan.
Di sinilah perlunya bermujahadah bersungguh-sungguh dan bermati-matian.
Bermujahadah adalah sangat menjemukan.
Bermujahadah adalah terseksa dan menyakitkan.
Tapi di sinilah pahalanya yang besar dari Tuhan.
Bermujahadah adakalanya sangat susah dan payah.
Ada juga dengan rahmat Tuhan, bermujahadah dipermudahkan.
Tapi para rasul dan para nabi dengan anugerah Tuhan, dipelihara Tuhan.
Mereka diberi kelebihan tanpa mujahadah menuju Tuhan.
Mereka itu orang istimewa dan orang Tuhan.
Terlepas daripada syaitan dan bebas daripada nafsunya.
Mereka adalah orang pilihan Tuhan.
Kerana mereka hendak dijadikan contoh dan ikutan.
Mereka itu benar-benar orang Tuhan dan wakil Tuhan untuk diikut oleh manusia berbagai-bagai lapisan.
Kita yang bukan rasul dan nabi ini kenalah bermujahadah.
Di dalam bermujahadah mintalah pertolongan dengan Tuhan.
Agar dibantu Tuhan di dalam bermujahadah melawan nafsu dan syaitan.
Bertawasullah selalu dengan Rasul dan Mursyid,
meminta tolong di dalam bermujahadah agar dimudahkan oleh Tuhan.
Bermujahadahlah secara istiqamah dan jangan jemu-jemu.
Nanti dengan rahmat Allah, mujahadah kita dipermudahkan.
No comments:
Post a Comment