Di antara hati nurani dan nafsu, sentiasa berperang.
Peperangan yang tidak kunjung padam.
Peperangan yang sungguh sengit dan menggerunkan.
Di dalam sejarah peperangan batin, nafsu selalu sahaja menang.
Nafsu sering memacak bendera tanda kemenangan.
Kemenangan yang selalu di pihak nafsu itulah yang membawa bencana kepada alam.
Kerananyalah berlakunya penzaliman, penindasan, peperangan dan pembunuhan.
Darah tumpah setiap hari.
Manusia mati merata bumi.
Belum lagi yang cacat anggota, ada yang merana sepanjang masa.
Aduh! Dahsyatnya peperangan batin ini.
Bahaya dan kerosakannya melibatkan kehidupan yang lahir ini.
Manusia kebingungan, mati akalnya, fikirannya buntu.
Tidak tahu bagaimana hendak dilakukan.
Agar peperangan ini kemenangannya di pihak hati nurani, bukan nafsu.
Tidak ada profesor yang mampu menyekat kemenangan nafsu.
Ahli-ahli fikir telah kecewa bahkan ada yang putus asa.
Terhadap kemaraan dan kemenangan demi kemenangan yang diperolehi nafsu.
Penduduk dunia bingung, putus asa dan kecewa.
Mereka telah lama jemu dengan kehidupan yang begini.
Kita harap Allah Taala akan lahirkan pemimpin rohani.
Yang mampu menyekat kemenangan nafsu.
Dan mampu memberi kemenangan kepada hati nurani.
Agar dunia aman, damai, bahagia dan harmoni.
No comments:
Post a Comment