UMAT ISLAM MESTI MEMBANGUN DAN BERTAMADUN BERSAMA AKHLAK MULIA



Assalam wrt. Pepatah pujangga Islam ada berkata yang bermaksud:

“Sesungguhnya bangsa itu wujud ketika mana masih wujud akhlak mereka. Bilamana akhlak mereka punah maka dianggap mereka tidak wujud lagi.”

Agar selamat dunia Akhirat, umat Islam hendaklah membangun, berkemajuan dan bertamadun bersama akhlak yang terpuji. Tamadun mestilah ditegakkan bersama akhlak dan disiplin hidup yang mulia. Kalau tidak, walaupun mungkin berjaya, megah di dunia sahaja, di Akhirat akan kecundang. Ini kerana segala usaha dan kemajuan itu tertolak dan tidak diterima oleh Allah, maka Nerakalah padahnya.

Selain itu, jika umat Islam membangun dan berkemajuan tanpa akhlak, ketenangan, keselamatan dan keharmonian hidup tidak akan tercapai. Kemajuan tanpa akhlak, umat Islam hanya memperolehi sekadar kemudahan hidup atau kemewahan semata-mata. Namun, sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, pembangunan dan kemajuan yang dibangunkan tidak bertunjangkan iman dan taqwa iaitu bersama akhlak yang mulia,


ia ada side effectnya. Ia tidak terlepas daripada gejala-gejala masyarakat yang tidak sihat dan kemungkaran. Ia tidak terlepas daripada berlakunya perpecahan, jatuh-menjatuhkan, khianatmengkhianati dan lain-lain lagi. Maka dengan itu kekuatan umat Islam tidak akan kekal lama. Kemajuan semata-mata, ia pasti cepat runtuh jika orang-orangnya tidak dibangunkan insaniahnya.

Selain itu kemajuan yang tidak berserta akhlak mulia, kita akan dibenci oleh bangsa-bangsa di dunia. Mereka akan mengutuk, sakit hati dan kita akan mendapat banyak musuh. Lihatlah apa yang berlaku kepada bangsa-bangsa Eropah, Amerika dan Rusia. Di zaman kemegahannya, mereka kuat, tapi dunia benci. Mereka maju, tapi dunia tidak senang. Mereka bertamadun, tapi mereka tidak disukai. Orang bersandar dengan mereka secara terpaksa bukan secara rela. Dunia akui mereka berilmu dan maju, tapi dunia benci kerana perangai mereka, insaniah mereka adalah seperti haiwan.

Di dalam kemajuan dan tamadun, mereka membawa bermacam-macam penyakit dan masalah kepada dunia. Hari ini tidak ada dunia yang tidak diserang oleh penyakit-penyakit dari Barat dan Amerika seperti penzaliman, pendedahan aurat, kemiskinan, pelacuran, pembunuhan, rompak, curi, disko, perjudian, minum arak, perogolan, hidup nafsi-nafsi, tidak hormat ibu bapa, binatang-binatang lebih disayangi daripada manusia, homoseksual, lesbian, AIDs, pergaulan bebas dan seribu satu macam penyakit kekufuran dan moral.

Apakah kita umat Islam hari ini sedang berjuang ke arah kemajuan, pembangunan dan tamadun seperti yang telah dicipta oleh Barat dan Amerika? Apakah kemajuan dan tamadun seperti yang telah diperjuangkan oleh orang Barat yang kita mahu bangunkan? Apakah kemajuan seperti itu boleh membawa kebahagiaan dunia Akhirat?

Kalau cara itu yang kita mahu, tidak payah kita menyebut Al Quran dan Sunnah. Tanpa Al Quran dan Sunnah pun mungkin kita boleh laksanakan. Kita juga tidak perlu jadikan Islam sebagai panduan jika kita hendak bertamadun secara Barat. Ini kerana telah banyak bangsa di dunia yang bertamadun tanpa Islam, sepertimana bangsa Rom, Farsi dan Yunani. Kemudian diikuti oleh Barat dan Amerika. Hingga hari ini belum ada negara yang sedang membangun dapat mengatasi kemajuan mereka, sama ada di bidang ilmu, pembangunan, kemajuan sains dan teknologi, ekonomi, ketenteraan dan lain-lain. Tapi bagaimana?

Dunia kutuk Barat, dunia tidak senang hati dengan mereka. Oleh itu umat Islam harus berjuang untuk bangun membina kekuatannya yang tersendiri, yang mempunyai bentuk dan identiti tersendiri, yang berlainan, yang unik dan dapat mengatasi mereka tapi disenangi oleh manusia sejagat serta memberi kebaikan dunia dan Akhirat.

Umat Islam pernah membina tamadun dan peradaban fizikal dan spiritual (kerohanian) memakan masa beratus tahun lamanya. Mereka pernah membawa keamanan dan keharmonian, mereka menguasai dunia dan disenangi, mereka menjadi guru-guru yang dihormati, penaung yang melindungi, adil di dalam melayani, tapi sekarang semuanya telah hilang. Kita umat Islam wajib mencari semula barang yang hilang itu. Ia ada tersembunyi di dalam Al Quran dan Sunnah. Kita wajib keluarkan kembali agar ia menjadi satu tenaga super power yang akan melindungi dan menyelamatkan dunia sekali lagi. Wallahua'lam.


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah