Assalam wrt. Seorang Islam yang tegas dengan prinsip ialah orang yang kuat
berpegang dengan agamanya dan sentiasa mengamalkan ajarannya. Tegas dengan
hukum-hakamnya. Memperkatakannya dengan tidak segan silu. Memperjuangkannya dengan
gigih dan berhikmah di mana saja dia berada, tidak kira di waktu mana, di dalam
keadaan apa dan di dalam situasi dan kondisi yang bagaimana pun.
Begitulah yang dikatakan orang yang ada prinsip. Ia tidak dapat
digugat oleh keadaan, dihalang oleh tempat dan dihentikan oleh suasana, kecuali
ada kuasa yang menghalang ke atas dirinya, sedangkan dia di waktu itu tidak ada
daya dan upaya melawannya. Misalnya dia ditangkap oleh musuhnya atau dia dibuang
di suatu tempat yang dia tidak mampu melepaskan dirinya. Maka waktu itu, banyak
hal dan amalan yang biasa dibuat tidak dapat dibuatnya oleh keadaan tadi. Dia
tidak boleh melakukannya kecuali hanya di dalam hati. Ini ertinya sudah di dalam
keadaan darurat.
ORANG ISLAM YANG TEGAS DAN TEGUH DENGAN PRINSIP
Orang yang tegas dengan prinsip, dia tidak peduli apa orang kata,
dia tidak fikir orang. Dia tidak malu-malu atau takut kepada sesiapa. Yang dia
fikir, dia dengan Tuhannya. Kerana Islam itu benar-benar menjadi pegangan
hidupnya, diyakini dan dihayati, telah mendarah mendaging dan telah sebati dan
menjadi tabiat dirinya. Dia rasa Islam adalah hidup matinya hingga menjadi
cita-cita perjuangannya. Kalau ada amalan-amalan Islam itu yang dia terlupa
mengamalkannya, terlalu amat kesal dirasakannya. Dan dia sangat tersinggung
kalau ada orang menentang dan menghina agamanya.
Oleh itu dia sanggup susah dengan Islam. Sanggup berkorban untuknya.
Dia lebih sayang Islam daripada dirinya sendiri bahkan sanggup mati kerananya.
Orang ini tidak akan boleh diugutugut atau dihalang. Namun dia tetap mencari
jalan mengamalkannya dan memperjuangkannya sama ada Islam itu dapat diamalkan
atau diperjuangkan atau dia mati kerananya.
SEBAB TEGAS DENGAN PRINSIP/BERPRINSIP
Orang Islam yang tegas dengan prinsip tidak ramai sekalipun di
kalangan para pejuang dan pendakwah-pendakwah atau da'ei-da'ei. Oleh kerana
itulah Islam amat susah diterima oleh orang ramai sebagai cara hidup.
Lebih-lebih lagi orang kafir, mereka sangat takut dengan Islam. Di antara
sebab-sebab seseorang Islam itu tegas berpegang dengan prinsip atau dikatakan
orang ada prinsip ialah:
1. Kerana seseorang itu mendapat pendidikan yang betul dan baik.
Mungkin bernasib baik berada di dalam keluarga yang kuat mempertahankan prinsip
dan mendapat guru yang baik pula.
2. Islam yang dipelajari oleh seseorang itu sangat dihayati bukan
sekadar ilmu atau mata pelajaran yang diwajibkan.
3. Seseorang itu ada cita-cita. Islam bukan setakat untuk
dirinya tapi inginkan agama Islam itu menjadi cara hidup di alam sejagat ini.
4. Kerana seseorang itu benar-benar faham tentang Islam, kemudian
diamalkannya untuk diri dan keluarganya kemudian diperjuangkannya ke tengah
masyarakat.
5. Kerana seseorang itu bernasib baik bertemu dengan jemaah Islamiah
yang baik kemudian mendapat pemimpin yang baik yang boleh menyampaikan Islam
secara baik dan pemimpin itu benar-benar boleh menjadi contoh peribadinya.
6. Seseorang itu berjiwa besar. Kerana rasa besar dan bangga dengan
agamanya yang datang dari Tuhan yang Maha Besar dan Maha Agung. Dia rasa
seronok mengamal dan memperjuangkannya.
ORANG YANG TIDAK TEGAS ATAU TIDAK TEGUH DENGAN PRINSIP
Biasanya orang Islam yang tidak teguh dengan prinsip atau pegangan
hidup dikatakan orang yang tidak ada prinsip. Dia mengamalkan Islam itu tidak
istiqamah. Kadang-kadang buat, kadang-kadang tidak. Bertukar sahaja suasana dia
pun bertukar sikap. Berpindah saja tempat, dia longgar dengan syariat. Kalau bergaul
sahaja dengan orang yang lalai maka dia pun ikut serta lalai. Bila berhadapan
saja dengan orang-orang besar, amalan biasa yang selalu dibuatnya dia pun malu
hendak membuatnya. Kalau ada orang yang bercakap bertentangan dengan Islam di sesuatu
majlis, lebih-lebih lagi kalau majlis itu majlis orang-orang besar, dia diam
sahaja. Sudah tidak berani lagi memberi pandangan. Dia rasa rendah diri atau inferiority complex di
dalam majlis itu. Keberaniannya hilang. Hanya mendengar sahaja apa yang orang
kata. Begitu juga sibuk saja kerja, prinsip pun tertinggal. Susah hati sedikit,
hukum-hakam pun terlanggar. Sakit sahaja sedikit, syariat pun cuai.
SEBAB ORANG ISLAM TIDAK TEGAS DENGAN PRINSIP
Antara sebab orang-orang Islam tidak lagi tegas dengan prinsip adalah
seperti berikut:
1. Kerana sudah jahil dengan ajaran Islam. Apabila sudah jahil,
bagaimana hendak mengamalkannya. Betapalah pula untuk memperkatakan dan
memperjuangkannya.
2. Kalaupun dia seorang yang alim, tapi tidak teguh dengan prinsip
ialah dikeranakan oleh kelemahan iman atau jiwa lemah. Lemah iman kerana cinta
dunia. Cita-cita Islam sudah tidak ada.
3. Kerana mengamalkan Islam itu secara tradisi atau ikut-ikutan,
bukan atas dasar keyakinan dan kesedaran beragama.
4. Seseorang yang mengamalkan Islam itu kerana dididik oleh suasana,
bukan kerana didikan oleh satu pengajian dan ikutan. Apabila bertukar suasana
maka dia pun bertukar prinsip hidupnya.
5. Seseorang yang belajar atas dasar ilmu atau mental exercise,
bukan atas dasar penghayatan. Dia belajar itu mungkin tujuan makan gaji dan
sebagainya. Orang itu akan hanyut mengikut arus masyarakat walaupun dia
mempunyai ilmu Islam.
6. Seseorang yang mendapat didikan Islam secara kasar dan paksa,
bukan mendapat didikan yang penuh berhikmah serta dapat mengikut suri teladan
yang baik. Apabila bebas daripada suasana itu, maka dia pun bebas meninggalkan atau
membuat secara cuai.
7. Seseorang yang asalnya tegas dengan prinsip, entahkan macam
mana satu masa terpengaruh dengan dunia yang menipu, maka dia pun berubah
prinsip hidupnya daripada tegas kepada cuai mengamalkan atau lalai
mengamalkannya.
8. Mungkin seseorang itu lemah kerana dia keseorangan. Kawan-kawan
tidak ada, maka di sini keberaniannya menjadi kurang atau luntur. Maka di dalam
suasana yang tertentu, tidak berani lagi dia memperkatakan kebenaran itu dengan
tegas.
9. Boleh jadi juga seseorang itu kerana ujian yang teruk, dia tidak
tahan lalu kecewa serta diburu oleh ketakutan. Akhirnya dia longgar atau rasa
serik mengamalkan prinsip hidupnya.
ISLAM MENYURUH TEGAS, BUKAN KERAS
Ajaran Islam menganjurkan kepada kita agar tegas
mengamalkannya, tegas mengeluarkan hukum. Tegas menyampaikannya atau
memperkatakannya dan gigih memperjuangkannya di mana saja dan di dalam keadaan apa sekalipun. Islam tidak menyuruh
kita berlaku keras tapi menyuruh tegas. Islam adalah agama kasih sayang dan
lemah lembut, bukan agama keras tapi disuruh tegas.
Kebanyakan umat Islam terutama para pejuang dan pendakwah-pendakwah
melakukan kekerasan di dalam perjuangan atau di dalam dakwahnya tapi dia
sendiri tidak tegas mengamalkannya. Di dalam mengamalkan, sama saja dengan
orang lain. Di dalam menyampaikan, suaranya lantang dan keras memperkatakan hukum-hakamnya.
Tegas kalau untuk orang lain tapi untuk diri sendiri longgar dan cuai.
Di dalam menyampaikan Islam, dia mengata, mengumpat dan menuduh
kepada golongan-golongan yang tertentu. Adakalanya hingga sampai maki-hamun,
mengutuk dan menempelak orang yang tertentu, tapi dia sendiri syariatnya cuai,
akhlaknya rosak, maruahnya tidak dijaga. Mereka menyangka cara itulah yang
dikatakan tegas.
Sebenarnya sikap mereka itu bukan tegas tapi keras. Tegas ertinya
memperkatakan hukuman yang sesuai dengan kehendak Islam. Disampaikan dengan
penuh berhikmah dan kasih sayang, tidak ditujukan kepada mana-mana golongan tapi untuk semua, terutama
diri sendiri. Dan orang yang berkata dan memperjuangkan itu mempunyai peribadi
yang baik dan mempunyai akhlak yang mulia kerana dia tegas mengamalkan Islam itu lebih dahulu
di dalam diri mereka dan tegas berpegang dengan hukum. Begitu juga tegas
mendidik anak dan isteri serta keluarga. Agar mereka mengamalkan ajaran Islam
itu serta sangat menghormati hukum-hakam.
Begitulah orang yang tegas dengan prinsip. Oleh kerana tidak
tegas mengamalkan Islam tapi keras memperkatakan dan memperjuangkannya, maka
orang ramai jadi benci dengan Islam. Lebih-lebih lagi orang kafir, mereka takut
dengan Islam. Melihat peribadi para pejuang dan para da’ei serta keluarga
mereka, Islam itu tidak ada di dalam diri mereka. Yang mereka lihat ialah
kekerasan dan kekasaran. Keindahan tidak dapat dilihat kerana bersikap keras
bukan tegas. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment