1. Sikap
orang mukmin dengan Allah, Tuhannya
Tuhan sangat dibesarkannya, melalui ibadah sembahyang, zikir,
membaca Al Quran, tasbih dan tahmid. Rasa bertuhan sangat mendalam hingga
terserlah pada mukanya dan sikap hidupnya. Misalnya merendah diri, pemalu,
sabar, redha, tenang, pemurah, tawakal, pemaaf, bertolak ansur dan berdisiplin,
sehingga melihat mukanya mengingatkan kita kepada Allah dan hari Akhirat. Melihat mukanya kita rasa senang dan tenang.
2. Sikap orang mukmin dengan syariat
Syariat sangat dijaga. Pakaiannya menutup aurat, bersih dan kemas.
Makan minumnya sangat dijaga yang haram dan syubhatnya. Pergaulan dijaga
daripada bergaul bebas lelaki dan perempuan yang bukan muhram. Matanya selalu
ditundukkan. Percakapannya disukat dan dikawal daripada tersalah dan tersilap. Pendengarannya
juga begitu, sangat dijaga daripada mendengar perkara-perkara yang haram.
Masanya tidak dibiarkan terbuang dengan sia-sia. Setiap peralihan waktu dia
pandai menggunakannya untuk diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah atau kerja-kerja yang sesuai dengan waktu itu.
3. Dengan gurunya
Dia sangat menghormati gurunya. Malu ketika di hadapannya, merendah
diri dengannya. Sekalipun guru yang mengajarnya tentang ilmu dunia. Jasa
gurunya selalu dikenang seperti menyebut-nyebut nama dan jasa. Bila ada masa
selalu menziarahinya, memberi bantuan dan hadiah. Bukan sahaja gurunya
dihormati, bahkan isteri-isteri gurunya dan anak-anak gurunya dihormati. Kesalahan
gurunya dilupakan, apatah pula dihina dan diberi malu serta diumpat, pasti
tidak akan dilakukannya, sebaliknya selalu mendoakan gurunya pula.
4. Dengan ibu bapa
Ibu bapa sangat dihormati, sangat merendah diri di hadapannya, jasa
mereka selalu dikenang, bahkan dibalas selalu. Kesusahannya dibantu. Kalau
senang diberi hadiah selalu. Selalu menziarahinya, sering mendoakannya, aibnya
ditutup, bercakap dengan ibu bapa tutur bahasa sangat dijaga. Kalau ibu bapanya
memarahinya, dia tidak akan melawan. Kalaupun perlu bercakap sekadar
menjelaskan.
5. Dengan kawan
Pandai bergaul dengan kawan, setia dengan kawan. Kesusahan kawan
ditolong dan dibantu apatah lagi kalau diminta. Suka menziarahi kawan kalau ada
masa. Janjinya ditepati, aibnya ditutupkan, anak dan isterinya dimuliakan. Kesalahannya dimaafkan
walaupun tanpa diminta. Kalau dia yang membuat salah cepat-cepat meminta maaf.
Menziarahi kawan memilih waktu, waktu ziarah tidak meliarkan mata, kehormatan
keluarga kawan dijaga.
6. Dengan manusia umumnya
Dalam pergaulan dengan manusia umumnya, pandai pula menyesuaikan
diri. Dalam pergaulan dia sedar diri hingga pandai meletakkan diri pada
tempatnya sesuai dengan kedudukannya. Pandai melayan orang sesuai dengan
kedudukannya dan mengikut tarafnya. Kalau dia seorang yang pandai, atau kaya,
atau berpangkat, dia tidak akan sombong atau menunjuk-nunjuk diri di depan
orang ramai. Dia tetap tawadhuk dan merendah diri. Dan kalau dia orang yang
serba kurang tidak pula rasa rendah diri atau hina diri lebih-lebih lagi tidak
mudah dihambakan orang. Kalau dia susah, tidak akan meminta-minta apalagi
menipu. Dia tetap menjaga maruah dirinya. Mudah memberi salam dan mudah pula
menjawab salam orang.
7. Dengan tetamu
Dia sangat menghormati tetamu, mengutamakan keperluan tetamunya,
sangat dijaga seperti makan minum dan tempat tinggalnya. Datangnya disambut,
kepulangannya dihantar hingga di hadapan pintu atau di hadapan rumahnya hingga hilang
dari pandangannya. Memberi hadiah kepada tetamu atau memberi buah tangan kalau
ada di waktu mampu.
8. Dengan anak isteri
Dia mengelokkan pergaulan dengan mereka. Memberi nasihat dan
memimpin mereka selalu. Kesilapan mereka dibetulkan dengan bijaksana. Sabar
dengan kerenah mereka. Beribadah fardhu bersama, makan bersama. Kewajipan
terhadap anak isteri ditunaikan. Mendidik dan mendisiplinkan mereka di dalam
sebarang perkara. Anak-anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang. Anak yang
masih belajar didisiplinkan mereka. Jangan sangat tunjukkan kasih sayang dan
jangan tunjukkan benci. Anak yang sudah dewasa atau sudah berkeluarga, dilayan
macam kawan, ajak mereka berbincang. Berbual-bual dengan mereka. Dengan isteri
perlu ada gurau senda yang tidak berlebih-lebihan, berbual-bual dengannya
sesuai dengan kedudukan isteri untuk mengambil dan menjinakkan hati isteri itu
bagi yang ramai isteri. Bagi orang yang berpoligami, bertolak ansur dalam
hal-hal yang dibolehkan. Boleh juga tidak bertolak ansur dalam hal-hal yang dibolehkan,
di masa-masa tertentu untuk didikan mereka.
9. Dengan situasi
Orang mukmin sentiasa menjaga maruah diri. Kalau dia lalu
ditempat-tempat yang penuh dengan keadaan-keadaan yang boleh melalaikan dan
boleh jatuh kepada haram, atau yang boleh menggugat iman, dia tidak akan
terpengaruh. Dia tetap terhormat dengan tidak meliarkan pandangan, tidak
membuka telinga untuk laluan perkara-perkara yang melalaikan itu. Seolah-olah
dia tidak melihat apa-apa di sekelilingnya, seolah-olah tidak ada apa-apa
terjadi. Hatinya tidak rosak oleh suasana sekelilingnya. Keadaannya macamlah
ikan di laut, dia tidak masin oleh masinnya air laut.
10. Dengan ilmu
Orang mukmin sentiasa menambah ilmu dan pengalaman. Makin
berumur semakin banyak ilmu. Semakin tua, ilmunya juga ikut tua dan matang,
semakin luas pengalaman. Ia sangat peka dengan ilmu. Setiap kejadian diambil
iktibar dan pengajaran. Setiap isu semasa, pandai pula dia mengambil hikmahnya serta
pandai menilai buruk baiknya hingga mendapat ilmu pengajaran darinya serta dia
boleh menetapkan pendirian dan sikapnya terhadap isu tersebut. Tambahan pula
orang mukmin itu sepatutnya mengambil tahu setiap kejadian di dunia ini. Sebab
itu orang mukmin tidak mudah tertipu dan ditipu, tidak mudah terpengaruh dengan
yang negatif tapi mudah terpengaruh dengan yang positif. Orang mukmin tidak
mudah dicorak tapi mudah mencorak.
11. Dengan masa
Orang mukmin sangat menjaga masa. Masa tidak dibuang dan disia-siakan
begitu saja. Setiap masa diisi dengan sesuatu yang berfaedah. Bahkan pandai
membahagi-bahagikan masa diisi dengan jadual hidupnya. Ada masa untuk beribadah, ada masa untuk
membaca, ada masa untuk berjuang, masa untuk menziarah, masa dengan anak dan
isteri-isteri, masa untuk tidur baring dan rehatnya. Kalau dia orang penting,
ada masa untuk tetamu dan orang-orang yang hendak berjumpa dengannya. Begitulah
seterusnya masa itu sangat berharga. Masa adalah umurnya. Mensia-siakan masa
ertinya mensia-siakan umurnya, dia sudah tentu tidak akan mensia-siakan
umurnya.
12. Dengan harta dan mata benda
Orang mukmin bila berhadapan dengan harta dan mata benda kekayaan,
sangat cemas dan bimbang, takut disalahgunakan, kerana itu dia bersyukur dengan
Tuhan. Menggunakan harta benda kekayaan itu untuk Allah dan untuk khidmat kepada manusia
lebih-lebih lagi dia sangat cemas kalau-kalau dia membuat kerja-kerja yang
boleh membazirkan harta benda dan membuangnya kepada yang haram dan sia-sia.
Orang mukmin merasa harta benda dan kekayaan adalah amanah Tuhan yang perlu dipertanggungjawabkan
sebaik-baiknya. Untuk diagih-agihkan kepada yang sebenarnya dan yang
empunyanya. Terutamanya digunakan kepada fakir miskin dan kepada jihad
fisabilillah.
No comments:
Post a Comment