Assalam. Salah satu di antara sifat atau tabiat semula jadi manusia ialah
bersifat gopoh. Ini jelas telah dinyatakan oleh Allah Taala melalui Al Quran
yang berbunyi:
Maksudnya: “Dijadikan manusia itu bersifat terburu-buru atau
gopoh-gapah.” (Al Anbiya’: 37)
Ini juga salah satu di antara ujian kepada manusia, apakah dia
berjaya atau tidak mendidik dan mendisiplinkan diri agar menjadi manusia yang
tenang. Orang yang gopoh akan sentiasa gelisah dan resah lebih-lebih lagi jika dia
ditimpa ujian. Ujian bagi golongan bawahan antaranya miskin, orang tidak peduli
atau orang benci. Ujian golongan biasa, seperti ada saingan dalam merebut
jawatan, dilucutkan jawatan, rugi dalam perniagaan atau tidak lagi dilantik menjadi menteri dan sebagainya.
Manusia itu jika tidak berusaha mendidik dan bermujahadah dengan
nafsu yang gopoh-gapah dan gelojoh, maka benih gopoh semula jadi yang Allah
cipta dalam diri manusia itu ibarat benih pokok. Ia akan bertunas, berdaun,
berbatang yang akhirnya membesar, subur lalu berbuah. Di waktu itu sifat
gopohnya benar-benar berakar umbi dan mendarah mendaging di dalam diri manusia
hingga menjadi tabiat, sikap dan seterusnya menjadi budaya hidupnya.
Apabila sifat gopoh telah mendarah mendaging, maka di waktu itu
amat sulit sekali untuk membuangnya. Dia sedar, sifat gopoh yang telah begitu
subur di dalam diri itu sangat menyusahkan dan menyesakkannya. Namun untuk
membuangnya amat sulit sekali. Kecuali dengan berusaha dan bersungguh-sungguh berjuang
berhempas-pulas memerangi sifat gopoh itu serta memohon kepada Allah SWT selalu
agar membantunya membuang sifat tersebut. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Bertenang-tenang itu dari Allah dan bergopoh-gapah
itu dari syaitan.” (Riwayat Baihaqi)
Justeru itulah manusia sejak kecil lagi memerlukan didikan Islam
terutama dari ibu bapanya, kemudian guru-guru, selepas itu masyarakatnya turut
sama mendidik bagaimana mengenal sifat-sifat mazmumah. Gopoh tadi salah satu di
antaranya. Kemudian bagaimana hendak membentuknya agar sifat gopoh itu jangan
subur kerana kalau hendak membuangnya seratus peratus dari diri manusia adalah
mustahil. Memanglah setiap yang negatif itu mudah dikawal sewaktu ia masih
kecil lagi. Apabila menjulur sahaja,
pangkas, potong, akhirnya ia akan bantut tapi kalau ia dibiarkan menjadi
sebatang pokok yang besar maka waktu itu sudah amat sulit dan susah sekali
untuk memusnahkannya.
MERBAHAYANYA SIFAT GOPOH
Sifat gopoh pada seseorang itu jika dibiarkan tidak dididik dan
tidak diasuh sejak kecil hingga terbiar sampai dewasa bahkan sampai ke tua,
maka sifat gopoh itu sangat merosakkan pada empunya diri dan juga orang lain. Di
antara kejahatan dan keburukannya yang timbul dari sifat gopoh itu ialah:
1. Mudah mengeluarkan kata-kata atau percakapan tanpa berfikir
lebih dahulu baik buruknya. Akhirnya banyak tersalah. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang percaya dengan Allah dan Hari
Kemudian maka hendaklah bercakap yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan
Muslim)
2. Dalam perbualan dan perbincangan, mudah sahaja memotong cakap
orang. Ramai orang tersinggung, banyak orang benci, akhirnya berlaku perpecahan
hati yang akan membawa perpecahan yang lebih besar lagi.
3. Gopoh membuat sesuatu keputusan tanpa memikirkan lebih dahulu
atau tanpa berunding dengan orang-orang yang boleh dipercayai. Akhirnya
keputusan itu tersalah atau tidak jitu. Akibatnya penyesalan yang tidak
berkesudahan.
4. Mudah menuduh atau menghukum, akibatnya selalu sahaja tersalah.
Banyak orang yang terfitnah dengan sebab kegopohan kita. Sedangkan fitnah itu
mengikut Islam lebih dahsyat daripada pembunuhan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan.”
(Al Baqarah: 191)
Teraniayalah orang yang difitnah itu. Kalau mereka tidak sabar
atau gopoh pula, dia akan menyerang kita. Seterusnya memusuhi kita atau kita
terheret ke mahkamah.
5. Daripada sifat gopoh itu mudah memukul orang, menyerang orang
dan membunuh orang. Timbullah kerosakan dari kejahatan di dalam bermasyarakat.
Selepas itu akan berlaku dendam-berdendam. Mungkin nanti masing-masing membawa
klik atau mengumpul kawan-kawan masing-masing. Maka kerosakannya lebih besar
lagi.
6. Daripada sifat gopoh, kita selalu sahaja mendapat malu. Padahal
malu itu menghilangkan maruah kita. Hilang wibawa kita dan seterusnya hilang
keyakinan orang.
7. Sifat gopoh mudah membawa orang cepat merajuk, mudah jemu
membuat kerja yang baik, kalau lebih berat lagi mudah putus asa iaitu sifat
yang sangat dilarang oleh Allah SWT seperti dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Tiada yang berputus asa dari rahmat Allah melainkan
kaumnya yang kafir.” (Yusuf: 87)
Maksudnya: “Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah.” (Az
Zumar: 53)
8. Orang yang gopoh makin tidak tenang hidupnya kerana selalu
sahaja tersalah, tersilap, terlajak, tersasul yang merugikan dan menyusahkan
hati.
9. Dengan sifat gopoh yang ada pada seseorang itu, orang lain tidak
suka berkawan. Orang takut berkawan kerana adakalanya kalau dia marah, mendadak
sahaja tanpa munasabah, sekalipun pada kawannya, isteri atau anak-anaknya lebih-lebih
lagi yang bukan kawannya.
10. Sifat gopoh itu bukan sahaja mendorong membuat sesuatu kerja
itu tanpa mengkaji lebih dahulu. Bahkan mudah sahaja meninggalkan sesuatu kerja
itu lebih-lebih lagi bila terasa kerja itu susah dan berat, iaitu kerja akan
terbengkalai dalam kehidupan.
11. Sifat gopoh seseorang itu boleh membawa seseorang itu melulu
bertindak, mudah menjadikan musuh itu kawan, dan juga mudah menjadikan kawan
itu musuh. Segala tindakan dan usaha-usahanya semberono, tidak berdisiplin, tidak
tersusun dan teratur.
12. Mudah menukar fikiran, mudah mengubah sikap, mudah menukar
prinsip, mudah dicucuk. Mudah dihasut dan melatah hingga susah kita hendak
berpegang dengan pendiriannya. Kalau di dalam satu perjuangan mudah menyebelah musuh
atau mudah memukul kawan seperjuangan, lebih-lebih lagi setelah kena uji. Ia
sangat merbahaya di dalam perjuangan.
13. Sifat gopoh itu selalu sahaja membuatkan seseorang menyesal
tidak sudah, sesal berpanjangan.
14. Gopoh itu termasuk akhlak yang buruk, perangai yang hodoh,
budi pekerti yang jelik, dibenci oleh Allah Taala, Rasul dan seluruh makhluk.
15. Sifat gopoh pada seseorang itu menyebabkan dia mudah atau
cepat menolak kebenaran yang dibawa oleh orang lain, tanpa fikir panjang, tanpa
kaji dan selidik.
16. Sifat gopoh yang tidak dapat dikekang dan kontrol
menjadikan seseorang itu hilang sifat sabar atau menjadi orang yang tidak sabar
terutama bila diuji sama ada dengan nikmat mahupun dengan bala.
PUNCA ATAU SUMBER SIFAT GOPOH
1. Punca atau sumber sifat gopoh itu benihnya adalah ciptaan Tuhan
semula jadi. Dia lahir sama-sama dengan tubuh kasar manusia kemudian dibiarkan
tanpa dididik hingga menjadi subur.
2. Didorong lagi oleh sifat ego atau sombong sama ada disedari oleh
orang itu atau tidak, kerana sifat ego juga benihnya juga telah Allah Taala
cipta dari sejak lahir lagi, apatah lagi didorong oleh faktor-faktor yang mendatang seperti ada pangkat
yang tinggi, kaya, ada kuasa dan lain-lain lagi.
3. Mungkin kekurangan ilmu pengetahuan tentang ilmu-ilmu hati
atau jiwa sama ada mahmudah mahupun mazmumahnya. Ertinya hatinya atau jiwanya
terbiar tanpa dapat pimpinan dan didikan yang sempurna secara Islam maka ia
terdorong dari dalamnya.
4. Boleh jadi juga faham tentang ilmu hati atau jiwa tapi lemah
bermujahadah. Atau tidak bersungguh-sungguh bermujahadah disebabkan lemahnya
iman. Atau lemah akidah dan tidak tahan godaan dari luar diri yang sentiasa mencabar jiwanya.
5. Mungkin juga didorong oleh sifat-sifat tamak dan rakus atau didorong
oleh jiwa yang lemah, kerana lemahnya akidah sekalipun di sudut ilmunya pakar
akidah atau pakar tauhid, tapi ilmu itu tidak dapat dihayati.
GOPOH MENJADIKAN MANUSIA MELULU
Sifat gopoh boleh menjadikan manusia itu tidak berdisiplin hidupnya
dalam segala tindak-tanduk dan sikapnya terutama bila berhadapan dengan dua
keadaan berikut:
Pertama: Apabila waktu senang atau mewah.
Di waktu mereka ada duit, hilang pertimbangan waktu berbelanja,
terlalu gopoh berbelanja. Dia beli apa sahaja, macam-macam dia beli, berfaedah
atau tidak berfaedah, perlu atau tidak, terutama jangan sahaja nampak barang
atau benda yang dia suka atau barang yang orang lain ada, dia akan beli. Nampak
sungguh macam orang kemarukan atau tidak siuman. Hilang rasional sekalipun dia
seorang berpelajaran, mendapat pelajaran tinggi, berjawatan tinggi,
berkedudukan penting di dalam masyarakat. Akhirnya rumah macam muzium. Apabila
sudah terlalu banyak hingga tidak terurus, timbullah pembaziran. Maka
kesenangan tidak dapat dikongsi oleh orang lain.
Kedua: Apabila mendapat kesusahan seperti miskin, sakit, bencana alam,
kemalangan.
Di waktu itu mereka yang gopoh itu nampak sangat melulu di
dalam hendak menyelesaikan masalah atau hendak mengatasi masalah.
Keluh-kesahnya begitu ketara, mukanya tidak ceria, maka mengadulah dia ke sana
ke mari. Dia tidak fikir orang suka atau tidak suka, sesuaikah orangnya tempat
mengadu atau tidak, orang itu simpati atau benci, dia akan menceritakan
masalahnya, dia akan luahkan perasaannya. Dia tidak kira orang itu jemu atau
tidak jemu mendengarnya, setiap kali berjumpa mesti bercerita tentang masalah
walaupun sebelum ini entah berapa kali sudah diceritakan kepada orang itu namun
dia tidak jemu-jemu bercerita masalahnya.
Kalau hendak mengatasi kemiskinan hingga membuat perkara yang
tidak patut, hingga menimbulkan masalah yang lebih kusut lagi seperti berhutang
di sana, berhutang di sini, hingga hutang di sekeliling pinggang. Begitu juga
kalau sakit, apabila berjumpa sahaja ubat di mana-mana dia mesti beli,
digunakan atau tidak dia tidak kira, yang penting beli. Padahal apabila sudah
dibeli sekali dua sahaja digunakan atau dimakan. Kemudian beli lagi ubat yang
jenis lain pula. Begitu sekali gopoh membeli ubat.
Itu boleh tahan, setengahnya jumpa bomoh, sami, berubat dengan
cara yang menyalahi syariat, bersandar dengan Tuhan langsung tidak ada, Tuhan
terus dilupakan, Tuhan tidak ada di dalam jiwanya. Dia rasa segala masalahnya
boleh diselesaikan oleh usahanya, hingga terlalu bersandar dengan usaha, hilang
disiplin diri. Bila hilang disiplin nampaklah melulunya tindak-tanduknya hingga
hilang pertimbangan akal fikirannya.
BAGAIMANA MENGUBAT PENYAKIT GOPOH?
Sebelum ini telah kita katakan bahawa penyakit gopoh itu kerana
jiwa tidak tenang. Tidak tenang disebabkan oleh sifat ego, tamak, tidak faham
perjalanan hati atau jiwa, membiarkan sifat gopoh semula jadi itu hingga
menjadi subur hingga jiwa menjadi kosong. Kosong daripada menghayati tauhid
atau kosong menghayati akidah. Sekadar ada ilmu akidah, boleh jadi ilmu akidah pun
tidak ada, lebih-lebih lagilah teruknya. Ertinya iman sudah tidak ada atau
telah lemah maka Tuhan sudah tidak ada di dalam kamus hidupnya. Tuhan bukan
tempat sandaran lagi, Tuhan tidak lagi menjadi tempat rujuk, Tuhan tidak lagi
dijadikan penyelesai segala masalah. Maka timbullah jiwa tidak tenang. Apabila
tidak tenang datanglah sifat gopoh. Oleh itu untuk menghilangkan gopoh kenalah
tenangkan jiwa atau hati.
BAGAIMANA MENENANGKAN HATI ATAU JIWA?
Di dalam ajaran Islam, semua masalah ada jalan penyelesaian atau
jalan keluar. Cuma faham atau tidak sahaja, mahu atau tidak. Ini kerana Islam
itu agama keselamatan dunia Akhirat, penyelesai semua masalah. Al Quran ada mengatakan:
Maksudnya: “Dan Kami (Tuhan) turunkan daripada Al Quran itu
barang yang menjadi ubat dan rahmat kepada orang mukmin dan tidak menambah akan
orang yang zalim itu melainkan rugi.” (Al Israk: 82)
Allah SWT mengatakan bahawa Al Quran atau Islam itu adalah ubat
untuk penyakit lahir dan batin. Penyakit fizikal dan rohani, penyakit dunia dan
Akhirat dan juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan Akhirat bagi orang mukmin. Allah SWT
menyebut orang mukmin, kerana orang mukmin sahaja yang mahu tunduk dan patuh
kepada Al Quran atau ajaran Islam. Kalau orang kafir atau orang Islam sahaja,
mereka tidak akan mahu menerima atau payah mahu menerimanya. Allah Taala ada
menyebut melalui Al Quran bahawa orang mukmin sahaja mudah diingatkan dan mudah
menerima ajaran Islam atau ajaran Allah Taala.
Maksudnya: “Sesungguhnya jawapan orang mukmin itu apabila
diajak kepada Allah dan Rasul-Nya agar menghukum di kalangan mereka itu
melainkan mereka berkata, ‘Kami dengar dan kami patuh’.” (An Nur: 51)
Ertinya berkira dengan orang mukmin mudah, tetapi berkira dengan
orang-orang Islam lebih-lebih lagi yang bukan Islam susah sangat. Apatah lagi
hendak diajak merujuk kepada Allah Taala dan Rasul-Nya, lebih liat lagi. Justeru
itu bagi orang mukmin, untuk menenangkan jiwanya Allah Taala memberitahu di
dalam satu ayat yang berbunyi:
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa mengingati Allah Taala itu akan menenangkan hati.” (Ar Ra’d: 28)
Di sini fahamlah kita ubat kepada hati tidak tenang ialah banyak
mengingati Allah Taala. Apabila banyak mengingati Allah Taala jiwa akan tenang.
Sebaliknya, jika tidak mengingati Allah Taala maka jiwa tidak tenang atau
terasa kosong. Al Quran ada menyebut lagi:
Maksudnya: “Barang siapa yang berpaling daripada mengingati
Aku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.” (Thaha: 124)
Maksudnya orang yang menolak atau melupai Tuhan serta tidak
faham atau tidak mahu faham apa yang Allah Taala suruh dan larang serta tidak
faham apa yang Allah Taala lakukan pada dirinya maka jiwanya sentiasa sempit,
tidak tenang, gelisah, resah, susah, sekalipun kaya, berkuasa, ada nama, ada glamour.
ZIKRULLAH MENENANGKAN HATI
Di dalam Al Quran jelas sekali menyatakan bahawa untuk
menenangkan hati hendaklah mengingati Allah Taala (zikrullah). Di sini mungkin
akan ada orang yang berkata, “Orang Islam hampir setiap hari berzikir kepada
Allah Taala melalui sembahyang lima waktu, membaca Al Quran, paling tidak
membaca surah Yasin malam Jumaat seminggu sekali. Selain itu sesetengah orang
Islam ada zikir tambahan lagi iaitu zikir harian dan juga ada zikir-zikir
khusus dibaca sekian-sekian banyak setiap hari atau minggu, namun jiwa tidak
juga tenang. Dengan itu sifat gopoh kalaupun tidak serius, setidak-tidaknya
masih ada lagi di dalam sikap hidupnya, masih lagi menguasai diri kebanyakan umat
Islam. Padahal zikrullah telah dilakukan.
Sebagai jawapannya, zikir yang boleh menenangkan hati itu ialah
zikrullah (mengingati Allah Taala) yang difahami, diyakini, kemudian dihayati,
hingga mendarah mendaging segala hikmah dan kehendak-kehendaknya. Bukan sekadar
membaca lafaz zikir, pun tidak juga sekadar tahu terjemahannya. Berzikir dengan
Allah Taala dengan berbagai-bagai bentuk itu hendaklah difahami
kehendak-kehendak zikir itu, diyakini dan dihayati, faham hikmah dan
kehendaknya. Kita ambil satu sebagai contoh:
Apabila kita menyebut alhamdulillah, hendaklah kita jadikan satu keyakinan serta dijadikan amalan
bahawa setiap nikmat yang kita dapat kita disuruh bersyukur. Dan hendaklah rasa senang hati kerana dapat peluang membuat kebaikan daripada nikmat
itu, di samping rasa bimbang kalau-kalau tidak dapat digunakan untuk kebaikan.
Begitu juga apabila ditimpakan kesusahan, seperti takut, miskin,
difitnah, ditimpa bencana alam, kita sebut alhamdulillah
dengan penuh rasa gembira kerana kita
yakin benar bahawa dengan ujian kesusahan itu dapat pahala percuma atau
penghapusan dosa atau mungkin darjat di Akhirat. Kita hendaklah yakin
benar-benar dan rasakan benar-benar di dalam hati kita apabila bertemu dengan
ujian itu.
Apabila begitu keyakinan kita dan kita hayati sungguhsungguh di
dalam hati, tentulah hati kita tidak cacat apabila berhadapan dengan ujian yang
berbagai-bagai ragamnya itu. Kita masih boleh menahan perasaan hingga kita
tenang. Kalau ada sedikit rasa sedih atau susah di dalam hati, itu hanya
sebagai perasaan fitrah semula jadi yang tidak kuat. Ia memang tidak boleh
dihilangkan, namun ia tidak mencacatkan hati kita kerana keyakinan dan
penghayatan di dalam hati itu terhadap apa yang Allah lakukan kepada diri kita
dapat mengatasi kesedihan itu.
Ini sebagai satu contoh bagaimana zikir yang boleh mengubat hati.
Betapa pulalah kalau banyak zikir lain yang kita lafazkan setiap hari. Kalau
kita faham, yakin dan hayati pula dan faham hikmahnya hingga menjadi kekuatan jiwa
kita dan mendarah mendaging, maka bertambah lagilah zikir yang menjadi ubat hati
kita yang akan menenangkan hati. Memang orang mukmin yang sejati itu hati
mereka sentiasa tenang. Begitulah kedudukan dan peranan zikrullah kalau kita
faham, yakin, hayati dan dijadikan panduan di dalam kehidupan kita. Inilah yang
dikatakan iman itu. Sudah pasti ia menjadi ubat penyakit jiwa (penyakit
mazmumah). Tidak perlu makan pil tidur, ambil dadah, arak, rokok, berhibur
dengan yang haram kerana ia menambahkan rosak lagi jiwa dan fizikal serta
kehidupan kita dan berdosa pula. Di Akhirat ke Neraka, wal’iyazubillah.
No comments:
Post a Comment