Assalam wrt. Hidayah adalah satu perkara yang sangat berharga kerana dari
sanalah sebagai titik tolak seseorang itu masuk Islam. Kemudian dari situ terus
dia berusaha untuk mendapatkan iman serta lain-lain lagi yang ada di dalam
ajaran Islam. Atau seseorang Islam itu telah terbuka pintu hatinya untuk beramal
maka dari situlah dia berusaha untuk mempelajari ilmu Islam dari sumber Al
Quran dan Hadis serta mengamalkannya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi
hidayah kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk
menerima Islam.” (Al An’am: 125)
Kalau seseorang yang belum Islam, belum mendapat hidayah ertinya
hatinya belum terbuka untuk menerima Islam atau masuk agama Islam. Begitu
jugalah seseorang yang berketurunan Islam, jika hidayah belum didapati ertinya hatinya tidak akan terbuka
untuk beramal dan memperjuangkannya. Setelah berusaha mempelajari dan setelah
hati terbuka untuk beramal maka selepas itu mungkin akan mendapat taufik dari Allah
Taala. Ertinya apa yang diamalkan itu tepat atau berbetulan dengan kehendak
Allah Taala. Maka sempurnalah Islam seseorang itu kerana seluruh amalan telah
bergabung di situ di antara hidayah dengan taufik. Walau bagaimanapun setakat hidayah
itu pun sudah merupakan satu anugerah yang sangat berharga dari Allah Taala
yang Maha Pemurah. Ini kerana dari hidayah itu pintu hati telah terbuka menjadi
seorang Islam, atau seorang Islam telah terbuka pintu hatinya untuk mempelajari
dan mengamalkan ajaran Islam.
Oleh kerana hidayah satu benda yang berharga, bukan semua orang
mendapatnya atau memperolehinya. Walau bagaimanapun, untuk mendapat hidayah ada
bermacam-macam sebab atau ada berbagai-bagai cara yang tidak sama di antara
satu sama lain. Di bawah ini di senaraikan beberapa sebab seseorang itu mendapat
hidayah iaitu:
1. Mereka lahir di dalam keluarga yang beragama, maka mereka mendapat
didikan secara langsung dan praktikal daripada suasana keluarga. Orang ini agak
bernasib baik.
2. Mereka yang lahir-lahir sahaja Allah telah bekalkan
kesedaran dan petunjuk. Dari kecil lagi sudah suka kepada kebaikan dan
kebenaran. Mereka terus mencari dan mengamalkan. Golongan itu amat sedikit. Ini
adalah pemberian Allah secara wahbiah.
3. Orang yang di dalam perjalanan hidupnya terjumpa golongan atau
kelompok yang beragama Islam dan mengamalkan syariat manakala dilihat kehidupan
mereka begitu baik dan bahagia lantas mengikut golongan itu.
4. Orang yang sentiasa mencari-cari kebenaran, mereka sentiasa membaca,
mengkaji, memperbandingkan serta melihat-lihat berbagai golongan dari
berbagai-bagai agama dan ideologi serta bergaul dengan golongan itu maka akhirnya mereka
bertemu dengan kebenaran itu.
5. Golongan yang mendapat pendidikan Islam, mendengar ceramah
agama, ikut kursus agama, menghadiri majlis-majlis agama maka mereka
sebahagiannya mendapat petunjuk dari mengaji dan mendengar itu.
6. Golongan yang diuji oleh Allah, mungkin selepas kaya jatuh miskin,
atau mendapat sakit teruk, atau ditimpa bencana alam dan lain-lain lagi. Di
situ dia sedar dan insaf. Lantaran itu dia kembali mendekatkan diri kepada
Allah SWT.
7. Ada golongan yang mendapat kebenaran kerana Allah beri mereka
mengalami alam kerohanian seperti mimpi melihat alam Barzakh, mimpi melihat
orang kena azab atau dia sendiri yang kena azab atau melihat Kiamat atau Allah perlihatkan
kepadanya pokok sujud, pokok bertasbih, dan lain-lain lagi benda yang ajaib.
Selepas itu mereka pun kembali kepada kebenaran.
8. Ada orang yang sedar setelah melihat ada golongan atau keluarga
yang kehidupan dunianya begitu hebat, rumah besar, kaya-raya, kenderaan yang
mewah, harta banyak tapi kehidupan keluarga itu sentiasa porak-peranda, krisis sering berlaku,
kasih sayang tidak ada, masing-masing membawa haluan sendiri, ukhwah tiada.
Maka dari peristiwa itu mereka sedar dan insaf bahawa kemewahan hidup di dunia lagi
tidak menjamin mendapat kebahagiaan, apatah lagi di Akhirat kelak.
9. Ada golongan yang mereka sendiri alami kehidupan mewah, serba
ada, apa hendak dapat, pangkat ada, duit banyak, namun kebahagiaan tidak
dirasai. Hidup di dalam keluarga porak-peranda. Lantas mereka insaf dan sedar,
akhirnya mencari jalan kebenaran.
10. Ada golongan yang dapat petunjuk kerana ada orang yang soleh
atau orang yang bertaqwa mendoakannya, lantas doanya dikabulkan oleh Allah.
Maka Islamlah dia, seperti kisah Sayidina Umar Al Khattab dapat petunjuk kerana
doa Rasulullah SAW.
HIDAYAH DAN TAUFIK KENALAH JAGA
Hidayah dan taufik adalah merupakan intan berlian maknawi dan
rohani. Ia adalah sangat berharga. Seperti jugalah intan berlian yang bersifat
maddi (material). Sesiapa yang memilikinya, dia dianggap orang kaya dan mulia.
Begitulah orang yang memiliki intan berlian maknawi dan rohani. Dia merupakan orang
kaya Tuhan. Dia telah mendapat segala-galanya. Sesiapa yang mempunyainya,
hidupnya terpimpin. Akhlaknya mulia. Syariatnya terjaga. Imannya teguh dan
bercahaya dan dia menjadi orang yang berbahagia.
Perlu diingat, hidayah dan taufik seperti jugalah barang yang berharga,
umpama emas, intan, berlian, ia boleh hilang. Oleh itu kenalah jaga dan
pelihara sebaik-baiknya agar ia jangan hilang dari kita. Barang yang hilang
dari kita, susah hendak memilikinya semula melainkan terpaksa berhempas pulas
berusaha mencarinya. Kalau tidak ia tetap terus hilang dari kita buat selama-lamanya.
Oleh kerana itulah Allah SWT mengingati kita di dalam Al-Quran:
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan
hati-hati kami selepas Engkau memberi kami petunjuk dan kurniakan kami rahmat
dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi.” (Ali Imran: 8)
MENJAGA HIDAYAH DAN TAUFIK
Bagaimana menjaga dan memelihara hidayah dan taufik agar ia
kekal menjadi milik kita atau agar ia tidak hilang dari kita. Di antaranya
ialah:
1. Kita syukuri nikmat Tuhan yang paling berharga itu. Kita rasakan
bahawa ia adalah nikmat dan pemberian yang tidak ternilai.
2. Kita istiqamah mengamalkannya dengan tekun serta penuh rasa
bimbang kalau-kalau Allah SWT mengambilnya semula atau bimbang kalau Allah
Taala tarik semula.
3. Kenalah mujahadah selalu dengan penuh sabar. Terutama di
waktu-waktu terasa malas hendak mengerjakan kebaikan dan terasa ringan hendak
melakukan kemungkaran.
4. Bergaul selalu dengan kawan-kawan yang baik. Ini sangat membantu
kita menjaga syariat di dalam kehidupan dan
kita terasa ada kawan.
5. Kalau kita memang orang yang dipimpin, jangan terlepas daripada
pimpinan. Adanya pimpinan itu perlu kerana kita sentiasa mendapat nasihat,
tunjuk ajarnya serta ilmunya yang diberi dari masa ke semasa.
BAGAIMANA HIDAYAH DAN TAUFIK DITARIK SEMULA
Hidayah dan taufik kalau tidak pandai menjaganya ia akan diambil
semula atau akan hilang semula dari kita. Di waktu itu kita akan hidup
terumbang-ambing. Tiada disiplin, tiada istiqamah, malas beramal, ringan saja dengan maksiat, jiwa derita dan
sengsara walaupun punya kekayaan yang banyak dan serba ada. Di antara
sebab-sebab hidayah dan taufik ditarik balik ialah:
1. Kita derhaka dengan guru kita yang pernah memberi tunjuk ajar
kepada kita dan lari dari pimpinannya. Di waktu itu kita kehilangan pemimpin.
Terumbang-ambinglah hidup kita.
2. Derhaka dengan dua ibu bapa. Kita sia-siakan kedua-duanya. Kita
biarkan ibu bapa tidak terurus dan terjaga hingga terbiar kehidupan kedua-duanya.
Lebih-lebih lagi kalau dia marah atau rasa tidak senang dengan kita.
3. Apabila jiwa kita telah terpengaruh dengan dunia, maka dengan
ibadah sudah tidak seronok atau telah mula terasa berat mengerjakannya. Maka ia
perlahan-lahan luntur dan mula cuai, dengan halal dan haram mula tidak ambil
kira, akhirnya takut dengan Tuhan perlahan-lahan dihakis dari hati kita hingga
hilang semuanya sekali.
4. Menzalim orang lain. Dengan sebab menzalim, rasa takut dengan
Tuhan sedikit demi sedikit dicabut. Selepas itu cuaipun datang. Malas
beribadah. Kemungkaran dan maksiat sedikit demi sedikit sudah berani dibuat.
Begitulah seterusnya hingga hanyut dan tenggelam di dalam maksiat.
5. Mula bergaul bebas
dengan orang-orang yang tidak menjaga syariat. Kemudian terus terasa seronok
dengan kebebasan itu. Kemudian terus terlajak dan sedap dengan perbuatan itu
dan selepas itu terus hanyut dengan arus kemungkaran dan maksiat. Takut dengan
Tuhan pun lenyap.
No comments:
Post a Comment