Assalam. Allah Taala adalah segala-galanya. Kalau bukan kerana Allah Taala,
segala-galanya tidak akan ada. Segala-galanya ada kerana Allah Taala
mengadakan. Kalau Dia tidak mengadakan, segala-galanya termasuk kita pasti
tiada. Allah Taala mengadakan sesuatu sama ada di dunia mahupun di Akhirat,
nikmat dunia mahupun nikmat Akhirat, menjadikan alam ghaib mahupun alam nyata, menjadikan manusia, malaikat,
jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain semuanya ada maksud, ada hikmah,
bukan suka-suka lebih-lebih lagi bukan sia-sia.
Setiap makhluk yang dicipta-Nya ada peraturannya, ada cara kehidupannya
yang tersendiri, mempunyai sistem yang tersendiri. Malaikat ada sistem yang
tersendiri, jin ada sistemnya yang tersendiri, haiwan ada sistemnya yang
tersendiri, manusia ada sistemnya yang tersendiri, tumbuh-tumbuhan ada sistem
yang tersendiri. Begitulah setiap makhluk sama ada sebesar-besar makhluk
hinggalah sekecil-kecil makhluk, yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa,
semuanya ada peraturan dan sistemnya yang tersendiri.
Setiap makhluk itu adalah berjalan mengikut peraturan atau
sistemnya masing-masing. Siapa sahaja yang tidak mengikut peraturan yang Allah
Taala sediakan, dia pasti binasa. Sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang.
Bahkan dunia nanti binasa (Qiamat) setelah setiap planet-planetnya tidak
mengikut peraturan dan sistemnya lagi.
Seterusnya, setiap makhluk ciptaan Tuhan itu dengan peraturan serta
sistemnya, setiap gerak-geri dan gerak-lakunya tidak terlepas daripada
ilmu-Nya, penglihatan-Nya, kuasa-Nya, kehendak-Nya, pendengaran-Nya, walaupun
sebesar habuk tidak terlepas daripada Tuhan hinggakan manusia walaupun dia
sudah berusaha, usaha manusia itu pun tidak terlepas daripada kuasa dan
kehendak Allah Taala. Kemudian ke mana makhluk ini akan pergi, ke mana
kesudahannya, ke mana destinasi akhirnya, apa nasibnya, semuanya tidak terlepas
daripada ketentuan Tuhan yang telah disebut sifat-sifat-Nya di atas.
Kalau begitu, siapa Tuhan? Tentu Tuhan Maha Agung, Maha Hebat,
Maha Gagah, Maha Kuasa, Maha Berilmu, Maha Berkehendak, Maha Pengasih, Maha
Penyayang, Maha Sempurna, entahkan Maha, Maha apa lagi yang tidak dapat dicapai
oleh akal untuk mengetahui dan memikirkannya, yang tidak ada makhluk dapat
menyukat maha-maha-Nya Tuhan itu. Sifat Maha Kuasa Allah Taala sahaja sudah
cukup menggerunkan kita. Kerana jika Allah berkata: Jadilah, terus terjadi. Jika
Allah Taala berkata: Binasalah, maka binasalah benda atau makhluk itu. Kehendak
dan kuasa-Nya tiada makhluk yang dapat menolaknya. Kalau Allah Taala berkata
senang, pasti senang.
Kalau Allah Taala berkata susah, pasti susah. Kalau Allah Taala
berkata hidup, pasti hidup. Kalau Allah Taala berkata mati, pasti mati. Kalau
Allah Taala berkata pandailah, pasti pandai. Kalau Allah Taala berkata
bodohlah, pasti bodoh. Kalau Allah Taala mengatakan sakitlah, pasti sakit.
Kalau Allah Taala berkata sembuhlah, pasti sembuh. Begitulah seterusnya apa
sahaja Allah Taala katakan pasti terjadi.
Begitulah agungnya Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang Maha
Sempurna. Apakah Tuhan itu kita tidak perlu kepada-Nya? Tidak mahu meminta
kepada-Nya? Tidak mahu ingatkan-Nya? Tidak mahu mengagungkan-Nya? Tidak cinta
kepada Nya? Tidak takut? Tidak mengharap? Tidak memerlukan? Tidak mematuhi-Nya.
Tidak mensyukuri-Nya? Apakah kita boleh terlepas dari-Nya? Boleh lari dari-Nya?
Boleh hidup tanpa-Nya? Boleh selamat tanpa-Nya? Tuhan sehebat itukah yang kita
hendak lawan? Hendak tidak ambil tahu? Hendak tidak peduli? Hendak sombong
dengan-Nya?
Kita perlu kepada Tuhan di waktu senang, di waktu susah, di
waktu miskin, di waktu kaya, di waktu aman, di waktu darurat, di waktu sakit,
di waktu sihat, di waktu sempit, di waktu lapang, di waktu bodoh, di waktu
pandai, di waktu di rumah, di waktu di luar rumah, di waktu takut, di waktu
tenang, di waktu seorang, di waktu ramai, di waktu aman, di waktu huru-hara. Sepatutnya
kita perlu kepada Tuhan di dalam sebarang waktu dan situasi, di setiap tempat
dan keadaan. Jangan anggap kita boleh bersendiri.
Tapi malangnya kebanyakan umat Islam kerana sombongnya, perlukan
Tuhan di waktu-waktu tertentu sahaja. Tidak setiap waktu dan situasi. Yakni di
waktu kemarau, waktu sakit, waktu miskin, waktu bala menimpa, waktu musuh
menyerang. Itu pun tidak semua orang berbuat sedemikian. Ada yang lebih sombong
dan angkuh lagi, di waktu kemarau, di waktu sakit, di waktu bala menimpa pun
tidak juga memerlukan Tuhan. Seolah-olah memerlukan Tuhan itu rasa terhina,
rasa jatuh martabat, rasa malu, rasa jatuh wibawa.
Sepatutnya Tuhan itu
adalah segala-galanya, dapat Tuhan dapatlah segala-galanya. Kehilangan Tuhan,
kehilangan segala-galanya. Tuhan adalah hidup mati kita. Tuhan adalah dunia Akhirat
kita. Dia adalah tempat rujuk, tempat mengadu, tempat bermanja-manja, tempat
berhibur, tempat lari, tempat menyerah diri. Dialah harapan kita, Dialah
kebahagiaan kita yang sejati. Walahua'lam.
No comments:
Post a Comment