Assalam. Tidak ada di kalangan manusia yang suka kepada bala atau bala
bencana. Kerana bala itu sangat menyusahkan manusia. Lantaran itulah manusia
susah hati dengan bala. Walaupun demikian tidak ada di kalangan manusia sama
ada secara perseorangan mahupun secara kelompok, dapat mengelak atau dapat
terlepas daripada bala bencana, sekalipun dia seorang yang berkuasa atau
seorang yang kaya. Cuma ada orang yang ditimpa bala sekali-sekala, ada yang
selalu, ada yang ringan, ada yang berat, ada yang berlaku pada dirinya,
keluarga dan harta bendanya atau kedudukannya dan lain-lain lagi. Di antara
bala-bala itu mana yang lebih merbahaya?
Sebenarnya bala terbahagi kepada dua:
Pertama: Yang bersifat hissi atau bersifat zahir
Berbagai-bagai bentuknya, di antaranya seperti sakit badan, harta
hilang, kematian keluarga yang tercinta, difitnah, diberi malu, dipukul orang,
jatuh miskin, turun pangkat, perniagaan rugi, dibuang kerja, musnah harta oleh
bencana alam, tidak naik pangkat, dipenjara dan lain-lain.
Kedua: Yang bersifat maknawi atau rohani
Berbagai-bagai bentuk pula, di antaranya seperti melupakan ilmu
yang telah dipelajari, tercabut iman, atau iman bertambah kurang, ilmu tidak
diamalkan, iman tercabut yang ada hubungan dengan akidah.
Kurang iman atau iman merosot kerana beberapa sebab, di antaranya
seperti ada amalan yang biasa dibuat tidak dibuat, atau membuat dosa sama ada
kecil mahupun besar. Dosa itu pula, ada dosa lahir ada dosa batin. Di antara
dosa-dosa itu ialah seperti berzina, riba, rasuah, mencuri, menipu, minum arak,
judi, mengumpat, memfitnah, menghina, menghasut, hasad, tamak, bakhil, pemarah,
mengadu domba dan lain-lain.
Di antara dua bentuk bala ini, bala yang paling merbahaya ialah
bala yang bersifat rohani dan maknawi, kerana bala ini akan membawa ke Neraka.
Tapi bala yang bersifat hissi tidak membawa ke Neraka. Bahkan mungkin menguntungkan sama ada
ia menghapuskan dosa atau mendapat darjat di dalam Syurga, asalkan pandai menerimanya.
Oleh itu bala yang bersifat rohani dan maknawi ini sangat dibenci
dan wajib dijauhi. Maksudnya, setiap dosa adalah bala, wajib dijauhi. Tapi bala
yang bersifat hissi tidak
dibenci. Ia hanya menyusahkan. Dan tidak pula menjadi satu kesalahan untuk berusaha
mengelaknya. Juga tidak salah kalau setelah ditimpa sesuatu bala, berusaha
menghilangkannya kerana bagi orang yang lemah iman dan tidak tahan dengan ujian
boleh jatuh kepada dosa atau tercabut iman dengan ujian yang berat itu. Tapi
bagi orang yang mampu berhadapan dengan ujian atau orang yang imannya kuat,
tidak salah pula untuk tidak berusaha menghilangkannya kerana sifat redha
dengan ketentuan Allah itu salah satu sifat terpuji. Ia merupakan sifat-sifat
rasul. Dari itu pahalanya amat besar di sisi Allah yang Maha Pemurah.
Di akhir zaman ini oleh kerana kebanyakan umat Islam sudah jahil
dengan ilmu agamanya sendiri, kemudian cinta dunianya pula begitu mendalam,
maka mereka hanya terpaut dan terpengaruh dengan kehidupan yang terdekat iaitu
dunia ini. Kehidupan di Akhirat sekadar tahu adanya Akhirat, namun hatinya tidak
ke situ. Timbullah acuh tak acuh dengan Akhirat. Maka timbullah salah berfikir.
Mereka memandang perkara yang terdekat itu amat besar dan serius sekali.
Nikmatnya pun dipandang besar. Balanya pun dipandang besar. Akibatnya nikmat dan
bala di Akhirat dipandang kecil sahaja. Maka sebab itulah mereka lupa daratan
dengan nikmat dunia. Terasa sangat menderita dengan bala dunia.
Justeru itu bilangan yang teramai di kalangan umat Islam apabila
ditimpa bala yang bersifat hissi di dunia ini, seperti sakit, miskin, dibuang kerja, tidak naik
pangkat, turun pangkat, difitnah, hilang harta, rugi di dalam perniagaan,
dipukul, dipenjara dan lain-lain, masya-Allah bukan main kepalang lagi susahnya.
Derita jiwanya, kusut fikirannya, marah-marah sahaja, merungut-rungut,
hilang bahagia, gelisah sahaja, rasa kesal tidak sudah. Mengadu di sana,
mengadu di sini, jumpa siapa sahaja diluahkan perasaan susahnya. Kekusutan
fikirannya sampai begitu ketara sekali kelihatan pada mukanya. Buat apa sahaja serba
tidak kena. Begitu dia rasa kecewa dengan ujian itu. Bila iman tiada atau iman
terlalu lemah, terus putus asa. Ada yang mahu bunuh diri untuk menyelesaikan
masalahnya. Dia rasa dengan cara itu boleh menyelesaikan masalah. Dia ditipu
oleh syaitan terkutuk kerana memandang besarnya dunia ini. Tersesat jalan dia
di dunia ini, ke Neraka padahnya. Wal’iyazubillah.
Bagi orang Islam yang kuat imannya, dengan ujian dan bala dunia
ini yang bersifat hissi,
dia tidak begitu mengambil pusing. Bahkan bagi golongan muqarrobin dan siddiqin
seperti para nabi, para Sahabat dan para auliya, mereka sangat terhibur dengan
ujian dunia itu. Mereka rasa dosa mereka terampun dengan ujian dunia dan bala
itu. Contohnya cerita di bawah:
Di zaman Rasulullah SAW, ada seorang perempuan mempunyai tiga
orang anak lelaki. Dia sanggup melepaskan kesemua anaknya ke medan perang. Dia
senyum ketika anak sulung dan anak keduanya mati syahid di medan perang. Dia
menangis apabila diberitahu yang anak bongsunya turut mati syahid. Bila ditanya
mengapa dahulu senyum, sekarang baru menangis, beliau menjawab, “Aku sedih
kerana tiada lagi anak yang hendak kukorbankan untuk jihad fisabilillah.”
Umat Islam di zaman gemilang dan di zaman keemasan terutama di
sekitar 300 tahun selepas Rasulullah SAW, mereka sangat sensitif dengan bala
yang bersifat maknawi dan rohani. Mereka sangat memandang besar akan bala itu.
Mereka terlalu takut dengan ujian yang bersifat maknawi dan rohani itu. Jiwa mereka
sangat terseksa dengan ujian itu. Bahkan bala yang berbentuk ini, belum datang
pun mereka amat takut kalau-kalau di masa depan akan ditimpa dengan bala ini,
sama ada secara sedar atau tidak. Kerana bala ini adalah dimurkai oleh Allah dan
kalau Allah tidak ampun, akan ke Neraka, wal’iyazubillah.
Justeru itulah jika mereka ditimpa bala ini, hati mereka
menderita. Mereka menangis mengalirkan air mata. Hilang selera makan, hilang
rangsangan dengan isteri, tidak senyum berbulan-bulan. Mereka akan tebus dengan
apa sahaja kebaikan bahkan jika mereka tertinggal yang sunat sekalipun mereka
merasa telah berdosa, mereka merasa ini adalah satu bencana. Hayati cerita di
bawah ini:
“Pada suatu hari, Sayidina Abu Bakar pergi ke kebunnya untuk
melihat hasil tanamannya itu. Dilihatnya pokok-pokok tanamannya banyak yang
sudah berbuah. Kerana terlalu asyik melihatkan buah-buahnya yang sudah masak itu, beliau terleka dan
tertinggal solat jemaah Asar bersama Rasulullah SAW. Dengan rasa takut dan
kesal yang tidak terkira, kebun itu terus diwakafkan untuk umat Islam dan
digandakan sembahyangnya sebanyak 70 kali.”
Sebaliknya kebanyakan umat Islam di akhir zaman ini tidak sensitif
dengan bala maknawi dan rohani. Mereka tidak terasa apa-apa pun dengan bala
ini. Mereka relaks sahaja. Mereka tidak rasa bersalah bahkan ada yang melupakan
terus seolah-olah bala ini tidak berlaku dan tidak pernah berlaku kepada diri
mereka.
Sebagai contoh, mereka tidak rasa bala apabila meninggalkan sembahyang
atau lewat sembahyang. Mereka tidak rasa bala dengan mengumpat, dengan
memfitnah, dengan menghina, dengan menderhakai kepada ibu bapa, kepada guru,
dengan zina, berbohong, dengan menipu, dengan rasuah, dengan pendedahan aurat,
dengan pergaulan bebas, dengan tidak berzakat, tidak berpuasa, dengan sombong,
riyak, dengan tamak, bakhil, dengan pemarah, berdendam, hasad dengki, mengadu
domba, menghasut, bergaduh, membunuh, riba, tidak belajar, tidak belas
kasihan, tidak timbang rasa, tidak tolak ansur, tidak sabar, tidak pemurah,
tidak redha, tidak membantu dan lain-lain.
Oleh kerana bala maknawi dan rohani ini tidak dianggap dan tidak
dipandang bala bencana, maka adakalanya dianggap seronok pula diamalkan setiap
hari hingga dijadikan budaya. Sebagai contoh, ada orang bila berkumpul sahaja,
mengumpat dan mengata mesti didengar bersama, ketawa bersama, rasa seronok bersama,
sambung-menyambung antara satu sama lain mengumpat orang lain. Adakalanya yang
diumpat itu kawan sendiri, emak ayahnya, tok gurunya, pemimpin sendiri, isteri
dan suami sendiri, hingga terlewat atau tertinggal sembahyang.
Bertambah lagi membesar bala itu yang tidak lagi dianggap bala.
Kemudian selepas bersurai ada yang menipu, ada yang balik ke rumah marah-marah
sahaja pada isteri, membentak-bentak sahaja tidak tentu pasal. Bertambah
merebak lagi bala itu, ibarat orang sakit, sakitnya telah kronik. Namun tidak
terasa itu adalah bala yang memecahbelahkan rumah tangga, keluarga, satu
masyarakat, satu bangsa kemudian terjun ke Neraka.
Yang malangnya orang-orang ini juga yang memikirkan masyarakat.
Yang membuat program untuk menangani gejala masyarakat, yang menganjurkan
motivasi, yang memimpin, yang berdakwah, yang berceramah, yang menyalahkan orang,
yang buat kaunseling.
Cuba gambarkan apa
yang akan terjadi, bahkan sudah terjadi pada masyarakat. Para membaca boleh
memberi jawapan. Saya sendiri ada jawapan. Biarlah jawapan saya untuk saya
sendiri. Kerana kalau saya dedahkan ada sesetengah orang terlalu sensitif dan
jawapan anda adalah untuk diri anda sendiri, dengan jawapan-jawapan itu tidak
ada yang sakit hati. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment