Mengapa Derhaka dalam Membangun?!


Islam tidak melarang membangun,
bahkan menggalakkan
Mampu membangun, membangunlah
Tapi mengapa derhaka di dalam membangun?
Islam membenarkan berkemajuan
Sejauh yang termampu buatlah
Mengapa berkemajuan bersama kederhakaan?
Atau berkemajuan membuat yang haram?!
Tidak bolehkah membangun dan berkemajuan
tanpa derhaka serta hindarkan perbuatan haram
Gunakanlah kebebasan
Tapi jangan sampai merobek-robek hak asasi manusia
Atau hingga melanggar larangan Tuhan
Buatlah apa sahaja tapi jangan menjolok mata
Hingga separuh telanjang pun tak apa?
Pakaian jarang jadi budaya
Jangan sampai terlanggar akta
Jangan pula undang-undang dilanggar
Atau untuk golongan tertentu aja
Berusahalah untuk kemajuan
Untuk keluarga, untuk bangsa, untuk negara
Jangan pula sampai agama terhina
Atau agama tidak diambil kira
Carilah kekayaan, perolehilah kesenangan
Tapi jangan makan seorang
Hidup di dunia ini kenalah fikir semua hal
Di dalam memikirkan diri, fikirlah juga orang
Di dalam membangun dan berkemajuan,
agama jangan korbankan
Di dalam menegakkan kebebasan,
jangan korbankan maruah
dan adat resam yang mulia
Di dalam berusaha untuk kekayaan dan kesenangan,
jangan menyusahkan orang
Pelajarilah dan dalamilah ilmu apa sekalipun,
tiada larangan
Tapi maruah diri, agama, bangsa dan negara
kenalah jaga
Beginilah hidup manusia sebagai hamba Allah
di dunia
Semuanya ada peraturan, ada tata susilanya,
ada panduan, ada budi bicaranya
Bukan sekadar hidup mengikut kemahuan
Bagaimana hidup, tidak dipersoalkan

UMAT ISLAM MESTI MEMBANGUN DAN BERTAMADUN BERSAMA AKHLAK MULIA



Assalam wrt. Pepatah pujangga Islam ada berkata yang bermaksud:

“Sesungguhnya bangsa itu wujud ketika mana masih wujud akhlak mereka. Bilamana akhlak mereka punah maka dianggap mereka tidak wujud lagi.”

Agar selamat dunia Akhirat, umat Islam hendaklah membangun, berkemajuan dan bertamadun bersama akhlak yang terpuji. Tamadun mestilah ditegakkan bersama akhlak dan disiplin hidup yang mulia. Kalau tidak, walaupun mungkin berjaya, megah di dunia sahaja, di Akhirat akan kecundang. Ini kerana segala usaha dan kemajuan itu tertolak dan tidak diterima oleh Allah, maka Nerakalah padahnya.

Selain itu, jika umat Islam membangun dan berkemajuan tanpa akhlak, ketenangan, keselamatan dan keharmonian hidup tidak akan tercapai. Kemajuan tanpa akhlak, umat Islam hanya memperolehi sekadar kemudahan hidup atau kemewahan semata-mata. Namun, sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, pembangunan dan kemajuan yang dibangunkan tidak bertunjangkan iman dan taqwa iaitu bersama akhlak yang mulia,


ia ada side effectnya. Ia tidak terlepas daripada gejala-gejala masyarakat yang tidak sihat dan kemungkaran. Ia tidak terlepas daripada berlakunya perpecahan, jatuh-menjatuhkan, khianatmengkhianati dan lain-lain lagi. Maka dengan itu kekuatan umat Islam tidak akan kekal lama. Kemajuan semata-mata, ia pasti cepat runtuh jika orang-orangnya tidak dibangunkan insaniahnya.

Selain itu kemajuan yang tidak berserta akhlak mulia, kita akan dibenci oleh bangsa-bangsa di dunia. Mereka akan mengutuk, sakit hati dan kita akan mendapat banyak musuh. Lihatlah apa yang berlaku kepada bangsa-bangsa Eropah, Amerika dan Rusia. Di zaman kemegahannya, mereka kuat, tapi dunia benci. Mereka maju, tapi dunia tidak senang. Mereka bertamadun, tapi mereka tidak disukai. Orang bersandar dengan mereka secara terpaksa bukan secara rela. Dunia akui mereka berilmu dan maju, tapi dunia benci kerana perangai mereka, insaniah mereka adalah seperti haiwan.

Di dalam kemajuan dan tamadun, mereka membawa bermacam-macam penyakit dan masalah kepada dunia. Hari ini tidak ada dunia yang tidak diserang oleh penyakit-penyakit dari Barat dan Amerika seperti penzaliman, pendedahan aurat, kemiskinan, pelacuran, pembunuhan, rompak, curi, disko, perjudian, minum arak, perogolan, hidup nafsi-nafsi, tidak hormat ibu bapa, binatang-binatang lebih disayangi daripada manusia, homoseksual, lesbian, AIDs, pergaulan bebas dan seribu satu macam penyakit kekufuran dan moral.

Apakah kita umat Islam hari ini sedang berjuang ke arah kemajuan, pembangunan dan tamadun seperti yang telah dicipta oleh Barat dan Amerika? Apakah kemajuan dan tamadun seperti yang telah diperjuangkan oleh orang Barat yang kita mahu bangunkan? Apakah kemajuan seperti itu boleh membawa kebahagiaan dunia Akhirat?

Kalau cara itu yang kita mahu, tidak payah kita menyebut Al Quran dan Sunnah. Tanpa Al Quran dan Sunnah pun mungkin kita boleh laksanakan. Kita juga tidak perlu jadikan Islam sebagai panduan jika kita hendak bertamadun secara Barat. Ini kerana telah banyak bangsa di dunia yang bertamadun tanpa Islam, sepertimana bangsa Rom, Farsi dan Yunani. Kemudian diikuti oleh Barat dan Amerika. Hingga hari ini belum ada negara yang sedang membangun dapat mengatasi kemajuan mereka, sama ada di bidang ilmu, pembangunan, kemajuan sains dan teknologi, ekonomi, ketenteraan dan lain-lain. Tapi bagaimana?

Dunia kutuk Barat, dunia tidak senang hati dengan mereka. Oleh itu umat Islam harus berjuang untuk bangun membina kekuatannya yang tersendiri, yang mempunyai bentuk dan identiti tersendiri, yang berlainan, yang unik dan dapat mengatasi mereka tapi disenangi oleh manusia sejagat serta memberi kebaikan dunia dan Akhirat.

Umat Islam pernah membina tamadun dan peradaban fizikal dan spiritual (kerohanian) memakan masa beratus tahun lamanya. Mereka pernah membawa keamanan dan keharmonian, mereka menguasai dunia dan disenangi, mereka menjadi guru-guru yang dihormati, penaung yang melindungi, adil di dalam melayani, tapi sekarang semuanya telah hilang. Kita umat Islam wajib mencari semula barang yang hilang itu. Ia ada tersembunyi di dalam Al Quran dan Sunnah. Kita wajib keluarkan kembali agar ia menjadi satu tenaga super power yang akan melindungi dan menyelamatkan dunia sekali lagi. Wallahua'lam.


Orang yang Ada Prinsip Hidup


Orang yang ada prinsip hidup itu
adalah orang yang beragama
Kerana mempertahankan prinsip,
dia tidak berubah mengikut suasana
Dia kayakah atau miskin, sikapnya sama
Bertemu orang besar atau orang kecil,
amalan kebiasaannya tetap dipertahankan
Bagaimana sibuk sekalipun, amal ibadahnya
tidak akan dicuaikan
Dia tidak akan inferiority complex
bertemu orang kaya sekalipun dia miskin
Dia boleh bergaul dengan sesiapa
sekalipun dia berpangkat dan kaya
Walaupun berhadapan dengan keadaan apa sekalipun,
disiplin hidupnya tetap dipertahankan
Syariat tetap dijaga,
maruahnya tidak dikorbankan oleh suasana
Di waktu susah atau senang,
sikap hidupnya tidak berubah
Di masa sakit atau sihat, sikap hidupnya sama sahaja
Berubah suasana,
dia tidak akan mengubah sikap hidupnya
Kata-kata dan penghinaan orang
tidak akan menggugat pendiriannya
Keyakinannya tidak akan berubah
dengan berubahnya suasana
Dengan Tuhan sangat taat
dengan cara menjaga syariat-Nya
Walau dalam keadaan apa sekalipun
Begitulah orang yang hidup yang ada prinsip
Dia tetap istiqamah di dalam mempertahankan
disiplin hidupnya
Kerana rasa bertuhan begitu dijiwainya
Rasa kehambaan subur sekali
Menjadikan dia orang yang ada pendirian
Yang tidak dapat digugat oleh suasana kehidupan
Walau di dalam keadaan apa sekalipun
dia tetap dengan prinsipnya

TEGAS DENGAN PRINSIP


Assalam wrt. Seorang Islam yang tegas dengan prinsip ialah orang yang kuat berpegang dengan agamanya dan sentiasa mengamalkan ajarannya. Tegas dengan hukum-hakamnya. Memperkatakannya dengan tidak segan silu. Memperjuangkannya dengan gigih dan berhikmah di  mana saja dia berada, tidak kira di waktu mana, di dalam keadaan apa dan di dalam situasi dan kondisi yang bagaimana pun.

Begitulah yang dikatakan orang yang ada prinsip. Ia tidak dapat digugat oleh keadaan, dihalang oleh tempat dan dihentikan oleh suasana, kecuali ada kuasa yang menghalang ke atas dirinya, sedangkan dia di waktu itu tidak ada daya dan upaya melawannya. Misalnya dia ditangkap oleh musuhnya atau dia dibuang di suatu tempat yang dia tidak mampu melepaskan dirinya. Maka waktu itu, banyak hal dan amalan yang biasa dibuat tidak dapat dibuatnya oleh keadaan tadi. Dia tidak boleh melakukannya kecuali hanya di dalam hati. Ini ertinya sudah di dalam keadaan darurat.

ORANG ISLAM YANG TEGAS DAN TEGUH DENGAN PRINSIP

Orang yang tegas dengan prinsip, dia tidak peduli apa orang kata, dia tidak fikir orang. Dia tidak malu-malu atau takut kepada sesiapa. Yang dia fikir, dia dengan Tuhannya. Kerana Islam itu benar-benar menjadi pegangan hidupnya, diyakini dan dihayati, telah mendarah mendaging dan telah sebati dan menjadi tabiat dirinya. Dia rasa Islam adalah hidup matinya hingga menjadi cita-cita perjuangannya. Kalau ada amalan-amalan Islam itu yang dia terlupa mengamalkannya, terlalu amat kesal dirasakannya. Dan dia sangat tersinggung kalau ada orang menentang dan menghina agamanya.

Oleh itu dia sanggup susah dengan Islam. Sanggup berkorban untuknya. Dia lebih sayang Islam daripada dirinya sendiri bahkan sanggup mati kerananya. Orang ini tidak akan boleh diugutugut atau dihalang. Namun dia tetap mencari jalan mengamalkannya dan memperjuangkannya sama ada Islam itu dapat diamalkan atau diperjuangkan atau dia mati kerananya.

SEBAB TEGAS DENGAN PRINSIP/BERPRINSIP

Orang Islam yang tegas dengan prinsip tidak ramai sekalipun di kalangan para pejuang dan pendakwah-pendakwah atau da'ei-da'ei. Oleh kerana itulah Islam amat susah diterima oleh orang ramai sebagai cara hidup. Lebih-lebih lagi orang kafir, mereka sangat takut dengan Islam. Di antara sebab-sebab seseorang Islam itu tegas berpegang dengan prinsip atau dikatakan orang ada prinsip ialah:

1. Kerana seseorang itu mendapat pendidikan yang betul dan baik. Mungkin bernasib baik berada di dalam keluarga yang kuat mempertahankan prinsip dan mendapat guru yang baik pula.

2. Islam yang dipelajari oleh seseorang itu sangat dihayati bukan sekadar ilmu atau mata pelajaran yang diwajibkan.

3. Seseorang itu ada cita-cita. Islam bukan setakat untuk dirinya tapi inginkan agama Islam itu menjadi cara hidup di alam sejagat ini.

4. Kerana seseorang itu benar-benar faham tentang Islam, kemudian diamalkannya untuk diri dan keluarganya kemudian diperjuangkannya ke tengah masyarakat.

5. Kerana seseorang itu bernasib baik bertemu dengan jemaah Islamiah yang baik kemudian mendapat pemimpin yang baik yang boleh menyampaikan Islam secara baik dan pemimpin itu benar-benar boleh menjadi contoh peribadinya.

6. Seseorang itu berjiwa besar. Kerana rasa besar dan bangga dengan agamanya yang datang dari Tuhan yang Maha Besar dan Maha Agung. Dia rasa seronok mengamal dan  memperjuangkannya.

ORANG YANG TIDAK TEGAS ATAU TIDAK TEGUH DENGAN PRINSIP

Biasanya orang Islam yang tidak teguh dengan prinsip atau pegangan hidup dikatakan orang yang tidak ada prinsip. Dia mengamalkan Islam itu tidak istiqamah. Kadang-kadang buat, kadang-kadang tidak. Bertukar sahaja suasana dia pun bertukar sikap. Berpindah saja tempat, dia longgar dengan syariat. Kalau bergaul sahaja dengan orang yang lalai maka dia pun ikut serta lalai. Bila berhadapan saja dengan orang-orang besar, amalan biasa yang selalu dibuatnya dia pun malu hendak membuatnya. Kalau ada orang yang bercakap bertentangan dengan Islam di sesuatu majlis, lebih-lebih lagi kalau majlis itu majlis orang-orang besar, dia diam sahaja. Sudah tidak berani lagi memberi pandangan. Dia rasa rendah diri atau inferiority complex di dalam majlis itu. Keberaniannya hilang. Hanya mendengar sahaja apa yang orang kata. Begitu juga sibuk saja kerja, prinsip pun tertinggal. Susah hati sedikit, hukum-hakam pun terlanggar. Sakit sahaja sedikit, syariat pun cuai.

SEBAB ORANG ISLAM TIDAK TEGAS DENGAN PRINSIP

Antara sebab orang-orang Islam tidak lagi tegas dengan prinsip adalah seperti berikut:

1. Kerana sudah jahil dengan ajaran Islam. Apabila sudah jahil, bagaimana hendak mengamalkannya. Betapalah pula untuk memperkatakan dan memperjuangkannya.

2. Kalaupun dia seorang yang alim, tapi tidak teguh dengan prinsip ialah dikeranakan oleh kelemahan iman atau jiwa lemah. Lemah iman kerana cinta dunia. Cita-cita Islam sudah tidak ada.

3. Kerana mengamalkan Islam itu secara tradisi atau ikut-ikutan, bukan atas dasar keyakinan dan kesedaran beragama.

4. Seseorang yang mengamalkan Islam itu kerana dididik oleh suasana, bukan kerana didikan oleh satu pengajian dan ikutan. Apabila bertukar suasana maka dia pun bertukar prinsip hidupnya.

5. Seseorang yang belajar atas dasar ilmu atau mental exercise, bukan atas dasar penghayatan. Dia belajar itu mungkin tujuan makan gaji dan sebagainya. Orang itu akan hanyut mengikut arus masyarakat walaupun dia mempunyai ilmu Islam.

6. Seseorang yang mendapat didikan Islam secara kasar dan paksa, bukan mendapat didikan yang penuh berhikmah serta dapat mengikut suri teladan yang baik. Apabila bebas daripada suasana itu, maka dia pun bebas meninggalkan atau membuat secara cuai.

7. Seseorang yang asalnya tegas dengan prinsip, entahkan macam mana satu masa terpengaruh dengan dunia yang menipu, maka dia pun berubah prinsip hidupnya daripada tegas kepada cuai mengamalkan atau lalai mengamalkannya.

8. Mungkin seseorang itu lemah kerana dia keseorangan. Kawan-kawan tidak ada, maka di sini keberaniannya menjadi kurang atau luntur. Maka di dalam suasana yang tertentu, tidak berani lagi dia memperkatakan kebenaran itu dengan tegas.

9. Boleh jadi juga seseorang itu kerana ujian yang teruk, dia tidak tahan lalu kecewa serta diburu oleh ketakutan. Akhirnya dia longgar atau rasa serik mengamalkan prinsip hidupnya.

ISLAM MENYURUH TEGAS, BUKAN KERAS

Ajaran Islam menganjurkan kepada kita agar tegas mengamalkannya, tegas mengeluarkan hukum. Tegas menyampaikannya atau memperkatakannya dan gigih memperjuangkannya di mana saja dan di dalam keadaan apa sekalipun. Islam tidak menyuruh kita berlaku keras tapi menyuruh tegas. Islam adalah agama kasih sayang dan lemah lembut, bukan agama keras tapi disuruh tegas.

Kebanyakan umat Islam terutama para pejuang dan pendakwah-pendakwah melakukan kekerasan di dalam perjuangan atau di dalam dakwahnya tapi dia sendiri tidak tegas mengamalkannya. Di dalam mengamalkan, sama saja dengan orang lain. Di dalam menyampaikan, suaranya lantang dan keras memperkatakan hukum-hakamnya. Tegas kalau untuk orang lain tapi untuk diri sendiri longgar dan cuai.

Di dalam menyampaikan Islam, dia mengata, mengumpat dan menuduh kepada golongan-golongan yang tertentu. Adakalanya hingga sampai maki-hamun, mengutuk dan menempelak orang yang tertentu, tapi dia sendiri syariatnya cuai, akhlaknya rosak, maruahnya tidak dijaga. Mereka menyangka cara itulah yang dikatakan tegas.

Sebenarnya sikap mereka itu bukan tegas tapi keras. Tegas ertinya memperkatakan hukuman yang sesuai dengan kehendak Islam. Disampaikan dengan penuh berhikmah dan kasih sayang, tidak ditujukan kepada mana-mana golongan tapi untuk semua, terutama diri sendiri. Dan orang yang berkata dan memperjuangkan itu mempunyai peribadi yang baik dan mempunyai akhlak yang mulia kerana dia tegas mengamalkan Islam itu lebih dahulu di dalam diri mereka dan tegas berpegang dengan hukum. Begitu juga tegas mendidik anak dan isteri serta keluarga. Agar mereka mengamalkan ajaran Islam itu serta sangat menghormati hukum-hakam.

Begitulah orang yang tegas dengan prinsip. Oleh kerana tidak tegas mengamalkan Islam tapi keras memperkatakan dan memperjuangkannya, maka orang ramai jadi benci dengan Islam. Lebih-lebih lagi orang kafir, mereka takut dengan Islam. Melihat peribadi para pejuang dan para da’ei serta keluarga mereka, Islam itu tidak ada di dalam diri mereka. Yang mereka lihat ialah kekerasan dan kekasaran. Keindahan tidak dapat dilihat kerana bersikap keras bukan tegas. Wallahua'lam.

Hidayah dan Taufik adalah Hak Tuhan



Setiap manusia boleh berusaha
Usaha tidak memberi bekas
Ia hanya diperintah oleh Allah Taala
Tapi hidayah dan taufik adalah hak Tuhan
Ia adalah sangat berharga dan mahal
Ia adalah rahsia Tuhan,
Dia memberi kepada sesiapa yang Dia suka
Hasil usaha manusia dia jadi pandai
Tapi hidayah dan taufik tidak mesti dia dapat
Sekalipun hafaz Al Quran, Hadis di dalam kepala
Tidak semestinya dia dapat hidayah dan taufik dari Tuhan
Menjadi orang alim boleh, tapi hidayah dan taufik hak Tuhan
Ertinya orang alim pun belum tentu ilmunya menjadi panduan
Siapa pun boleh menceritakan Islam
Tapi Islam itu tidak mesti menjadi pakaiannya
Kerana hidayah dan taufik itu tidak mesti didapati
oleh orang yang boleh menceritakan
Beberapa banyak para motivator Islam
Hanya dia sebagai saluran mencari makan
Namun tukang cakap tidak mesti mengamalkan
Pensyarah Islam tidak semestinya dia muslim
Orang Islam pun tidak mesti mengamalkan Islam
Memanglah hidayah dan taufik itu sangat mahal
Penentu kebahagiaan manusia di dunia dan Akhirat
Ia adalah hak Tuhan
Ia adalah rahsia Tuhan
kepada sesiapa sahaja boleh Dia berikan
Oleh itu pinta hidayah dan taufik selalu kepada Tuhan
Kerana ia adalah aset yang paling berharga
untuk keselamatan insan


Hidayah Suatu yang Mahal



Hidayah suatu yang mahal
Taufik lebih lagilah bertambah mahal
Mahalnya tidak boleh ditukar gantinya
Sekalipun dengan mata benda yang paling mahal
Intan berlian yang diidam-idamkan oleh manusia
Hidayah dan taufiq harta yang paling berharga
dunia dan Akhirat
Intan berlian harta benda yang berharga di dunia aja
Kiamat dunia hanyutlah dia tidak sampai ke mana
Hidayah dan taufik hingga ke Akhirat kekal abadi
Tiada hidayah, tiada taufik hidup tidak ada erti
Atau hidup sia-sia tiada gunanya
Sekalipun kita menjadi orang yang paling kaya
atau paling berkuasa
Hidup di dunia panjang umur pun tiada gunanya
Justeru itulah Islam memerintahkan
Di dalam doa pintalah hidayah serta taufik-Nya
Apabila keduanya dapat menjadi milik kita
wah mulianya
Hidup di dunia miskin papa pun tidak mengapa
Kekayaan Akhirat sedang menunggu kita
di dalam Syurga
Panjatkanlah doa, mintalah hidayah dan taufik
Semoga kita mendapat rahmat Allah
sepanjang masa di dua negara


ANTARA SEBAB SESEORANG MENDAPAT HIDAYAH


Assalam wrt. Hidayah adalah satu perkara yang sangat berharga kerana dari sanalah sebagai titik tolak seseorang itu masuk Islam. Kemudian dari situ terus dia berusaha untuk mendapatkan iman serta lain-lain lagi yang ada di dalam ajaran Islam. Atau seseorang Islam itu telah terbuka pintu hatinya untuk beramal maka dari situlah dia berusaha untuk mempelajari ilmu Islam dari sumber Al Quran dan Hadis serta mengamalkannya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.” (Al An’am: 125)

Kalau seseorang yang belum Islam, belum mendapat hidayah ertinya hatinya belum terbuka untuk menerima Islam atau masuk agama Islam. Begitu jugalah seseorang yang berketurunan Islam, jika hidayah belum didapati ertinya hatinya tidak akan terbuka untuk beramal dan memperjuangkannya. Setelah berusaha mempelajari dan setelah hati terbuka untuk beramal maka selepas itu mungkin akan mendapat taufik dari Allah Taala. Ertinya apa yang diamalkan itu tepat atau berbetulan dengan kehendak Allah Taala. Maka sempurnalah Islam seseorang itu kerana seluruh amalan telah bergabung di situ di antara hidayah dengan taufik. Walau bagaimanapun setakat hidayah itu pun sudah merupakan satu anugerah yang sangat berharga dari Allah Taala yang Maha Pemurah. Ini kerana dari hidayah itu pintu hati telah terbuka menjadi seorang Islam, atau seorang Islam telah terbuka pintu hatinya untuk mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam.



Oleh kerana hidayah satu benda yang berharga, bukan semua orang mendapatnya atau memperolehinya. Walau bagaimanapun, untuk mendapat hidayah ada bermacam-macam sebab atau ada berbagai-bagai cara yang tidak sama di antara satu sama lain. Di bawah ini di senaraikan beberapa sebab seseorang itu mendapat hidayah iaitu:

1. Mereka lahir di dalam keluarga yang beragama, maka mereka mendapat didikan secara langsung dan praktikal daripada suasana keluarga. Orang ini agak bernasib baik.

2. Mereka yang lahir-lahir sahaja Allah telah bekalkan kesedaran dan petunjuk. Dari kecil lagi sudah suka kepada kebaikan dan kebenaran. Mereka terus mencari dan mengamalkan. Golongan itu amat sedikit. Ini adalah pemberian Allah secara wahbiah.

3. Orang yang di dalam perjalanan hidupnya terjumpa golongan atau kelompok yang beragama Islam dan mengamalkan syariat manakala dilihat kehidupan mereka begitu baik dan bahagia lantas mengikut golongan itu.

4. Orang yang sentiasa mencari-cari kebenaran, mereka sentiasa membaca, mengkaji, memperbandingkan serta melihat-lihat berbagai golongan dari berbagai-bagai agama dan ideologi serta bergaul dengan golongan itu maka akhirnya mereka bertemu dengan kebenaran itu.

5. Golongan yang mendapat pendidikan Islam, mendengar ceramah agama, ikut kursus agama, menghadiri majlis-majlis agama maka mereka sebahagiannya mendapat petunjuk dari mengaji dan mendengar itu.

6. Golongan yang diuji oleh Allah, mungkin selepas kaya jatuh miskin, atau mendapat sakit teruk, atau ditimpa bencana alam dan lain-lain lagi. Di situ dia sedar dan insaf. Lantaran itu dia kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT.

7. Ada golongan yang mendapat kebenaran kerana Allah beri mereka mengalami alam kerohanian seperti mimpi melihat alam Barzakh, mimpi melihat orang kena azab atau dia sendiri yang kena azab atau melihat Kiamat atau Allah perlihatkan kepadanya pokok sujud, pokok bertasbih, dan lain-lain lagi benda yang ajaib. Selepas itu mereka pun kembali kepada kebenaran.

8. Ada orang yang sedar setelah melihat ada golongan atau keluarga yang kehidupan dunianya begitu hebat, rumah besar, kaya-raya, kenderaan yang mewah, harta banyak tapi kehidupan keluarga itu sentiasa porak-peranda, krisis sering berlaku, kasih sayang tidak ada, masing-masing membawa haluan sendiri, ukhwah tiada. Maka dari peristiwa itu mereka sedar dan insaf bahawa kemewahan hidup di dunia lagi tidak menjamin mendapat kebahagiaan, apatah lagi di Akhirat kelak.

9. Ada golongan yang mereka sendiri alami kehidupan mewah, serba ada, apa hendak dapat, pangkat ada, duit banyak, namun kebahagiaan tidak dirasai. Hidup di dalam keluarga porak-peranda. Lantas mereka insaf dan sedar, akhirnya mencari jalan kebenaran.

10. Ada golongan yang dapat petunjuk kerana ada orang yang soleh atau orang yang bertaqwa mendoakannya, lantas doanya dikabulkan oleh Allah. Maka Islamlah dia, seperti kisah Sayidina Umar Al Khattab dapat petunjuk kerana doa Rasulullah SAW.

HIDAYAH DAN TAUFIK KENALAH JAGA

Hidayah dan taufik adalah merupakan intan berlian maknawi dan rohani. Ia adalah sangat berharga. Seperti jugalah intan berlian yang bersifat maddi (material). Sesiapa yang memilikinya, dia dianggap orang kaya dan mulia. Begitulah orang yang memiliki intan berlian maknawi dan rohani. Dia merupakan orang kaya Tuhan. Dia telah mendapat segala-galanya. Sesiapa yang mempunyainya, hidupnya terpimpin. Akhlaknya mulia. Syariatnya terjaga. Imannya teguh dan bercahaya dan dia menjadi orang yang berbahagia.

Perlu diingat, hidayah dan taufik seperti jugalah barang yang berharga, umpama emas, intan, berlian, ia boleh hilang. Oleh itu kenalah jaga dan pelihara sebaik-baiknya agar ia jangan hilang dari kita. Barang yang hilang dari kita, susah hendak memilikinya semula melainkan terpaksa berhempas pulas berusaha mencarinya. Kalau tidak ia tetap terus hilang dari kita buat selama-lamanya. Oleh kerana itulah Allah SWT mengingati kita di dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan hati-hati kami selepas Engkau memberi kami petunjuk dan kurniakan kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi.” (Ali Imran: 8)

MENJAGA HIDAYAH DAN TAUFIK

Bagaimana menjaga dan memelihara hidayah dan taufik agar ia kekal menjadi milik kita atau agar ia tidak hilang dari kita. Di antaranya ialah:

1. Kita syukuri nikmat Tuhan yang paling berharga itu. Kita rasakan bahawa ia adalah nikmat dan pemberian yang tidak ternilai.

2. Kita istiqamah mengamalkannya dengan tekun serta penuh rasa bimbang kalau-kalau Allah SWT mengambilnya semula atau bimbang kalau Allah Taala tarik semula.

3. Kenalah mujahadah selalu dengan penuh sabar. Terutama di waktu-waktu terasa malas hendak mengerjakan kebaikan dan terasa ringan hendak melakukan kemungkaran.

4. Bergaul selalu dengan kawan-kawan yang baik. Ini sangat membantu kita menjaga syariat di dalam kehidupan dan  kita terasa ada kawan.

5. Kalau kita memang orang yang dipimpin, jangan terlepas daripada pimpinan. Adanya pimpinan itu perlu kerana kita sentiasa mendapat nasihat, tunjuk ajarnya serta ilmunya yang diberi dari masa ke semasa.

BAGAIMANA HIDAYAH DAN TAUFIK DITARIK SEMULA

Hidayah dan taufik kalau tidak pandai menjaganya ia akan diambil semula atau akan hilang semula dari kita. Di waktu itu kita akan hidup terumbang-ambing. Tiada disiplin, tiada istiqamah, malas beramal, ringan saja dengan maksiat, jiwa derita dan sengsara walaupun punya kekayaan yang banyak dan serba ada. Di antara sebab-sebab hidayah dan taufik ditarik balik ialah:

1. Kita derhaka dengan guru kita yang pernah memberi tunjuk ajar kepada kita dan lari dari pimpinannya. Di waktu itu kita kehilangan pemimpin. Terumbang-ambinglah hidup kita.

2. Derhaka dengan dua ibu bapa. Kita sia-siakan kedua-duanya. Kita biarkan ibu bapa tidak terurus dan terjaga hingga terbiar kehidupan kedua-duanya. Lebih-lebih lagi kalau dia marah atau rasa tidak senang dengan kita.

3. Apabila jiwa kita telah terpengaruh dengan dunia, maka dengan ibadah sudah tidak seronok atau telah mula terasa berat mengerjakannya. Maka ia perlahan-lahan luntur dan mula cuai, dengan halal dan haram mula tidak ambil kira, akhirnya takut dengan Tuhan perlahan-lahan dihakis dari hati kita hingga hilang semuanya sekali.

4. Menzalim orang lain. Dengan sebab menzalim, rasa takut dengan Tuhan sedikit demi sedikit dicabut. Selepas itu cuaipun datang. Malas beribadah. Kemungkaran dan maksiat sedikit demi sedikit sudah berani dibuat. Begitulah seterusnya hingga hanyut dan tenggelam di dalam maksiat.


5. Mula bergaul bebas dengan orang-orang yang tidak menjaga syariat. Kemudian terus terasa seronok dengan kebebasan itu. Kemudian terus terlajak dan sedap dengan perbuatan itu dan selepas itu terus hanyut dengan arus kemungkaran dan maksiat. Takut dengan Tuhan pun lenyap.

Bumi Tuhan... Bersaksilah