Siapakah sebenarnya wanita yang pertama masuk syurga sebelum Fatimah RA?


Salam wrt. Malam ni nak kongsi sebuah kisah Nabi SAW yang tidak kurang menariknya. Moga ada manfaat buat kita bersama. InsyaAllah. Dalam sebuah hadis menceritakan, antara kegemaran Rasulullah adalah suka bergurau yang sopan untuk memberi pengajaran. Suatu hari ketika Rasulullah sedang melayani puteri kesayangannya, Fatimah, baginda bersabda, “Wahai anakandaku! Ketahuilah olehmu bahwa ada seorang perempuan kebanyakan akan masuk syurga terlebih dahulu daripadamu.”


Mendengar kata-kata ayahandanya, serta merta berubahlah air muka Fatimah. Bertanya dia kepada baginda sambil menangis, “Siapakah perempuan itu wahai ayahanda, bagaimana keadaannya dan bagaimana pula amal ibadahnya sehingga dia terlebih dahulu masuk surga daripada anakanda? Kabarkanlah di mana dia sekarang, anakanda mahu jumpa dia.”

Lalu Rasulullah menjelaskan, “Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di sebuah kampung kawasan pedalaman dekat Jabal Uhud, kira-kira 3 mil dari Kota Madinah. Nama Perempuan itu ialah Muthi'ah.”

Tanpa membuang waktu, setelah mendapat keizinan ayahandanya, Fatimah pun keluar mencari perempuan yang dikatakan oleh Rasulullah itu.

Setelah bertanya kepada penduduk setempat, banyak yang tidak tahu dan mengenali perempuan bernama Muthi'ah ini. Dia bukan perempuan yang terkenal. Masing-masing mengatakan tidak pernah mendengar dan tidak mengetahui hal perempuan ini.

Setelah berbagai usaha mencarinya, dengan izin Allah, akhirnya berjumpalah Fatimah dengan rumah perempuan yang dimaksudkan itu. Rumah Muthi'ah berada di kawasan pedalaman, jauh daripada orang. Mungkin sebab itulah susah mencarinya.
Setelah memberi salam dan beberapa kali mengetuk pintu, hanya suara saja kedengaran menjawab salam dari dalam sedangkan orangnya belum juga muncul. Setelah agak lama Fatimah menunggu, penghuni rumah itu pun menjenguk di jendela, sambil bertanya siapakah gerangan di luar dan apakah hajat kedatangannya. Dia tidak mempersilakan tetamunya itu masuk. Mereka hanya bercakap melalui jendela saja.

Fatimah memperkenalkan dirinya: “Saya Fatimah binti Rasulullah, datang kemari kerana hendak berjumpa dan berkenalan dengan kamu.”

Mendengar tetamu yang datang itu ialah anakanda Rasulullah, maka perempuan itu menjawab: “Terima kasih kerana datang ke rumah saya, tetapi saya tidak dapat mengizinkan kamu masuk kerana suami saya tidak ada di rumah. Nanti saya minta izin dulu apabila dia balik dari bekerja. Silakan datang esok hari sajalah.”

Dengan langkah yang amat berat, Fatimah pulang dengan perasaan yang sangat hampa kerana tidak dapat berbincang panjang dan mengorek  rahsia amalannya.
Keesokannya, Fatimah datang lagi bersama-sama anaknya, Hasan. Segera setelah sampai dia memberi salam dan perempuan itu pun terus membuka pintu kerana dia sudah mengetahui tetamu yang datang itu ialah Fatimah.

Apabila hendak mempersilakan masuk, tiba-tiba dia terlihat ada seorang anak kecil bersama-sama Fatimah lalu dia bertanya: “Fatimah, ini siapa?”
"Anak saya, Hasan,” sahut Fatimah.

Perempuan itu berkata, “Saya bersedih kerana saya belum minta izin dari suami saya. Yang diizinkan hanyalah Fatimah seorang. Oleh itu saya perlu minta izin dahulu dari suami lagi. Silalah datang esok hari saja.”
Fatimah jadi serba salah. Akhirnya setelah berfikir panjang lebar, dia pun ambil keputusan untuk balik.

Keesokan harinya, Fatimah datang pula dengan membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husin. Setelah memberi salam, mereka segera disambut oleh penghuni rumah itu.
“Fatimah dengan Hasankah?” Tanya perempuan itu minta kepastian.

Jawab Fatimah, “Kami datang bertiga kerana anak saya yang satu ini (Husin) mahu ikut juga.”
“Fatimah, saya rasa bersedih lagi kerana anak yang satu ini (Husin) belum saya minta izin dari suami saya. Silakan datang esok hari,” tegas perempuan itu.

Mendengarkan kata-kata itu, Fatimah tersipu-sipu menyahut, “Baiklah kalau begitu esok saya datang lagi ke mari.”

Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, hatinya berkata-kata : “Perempuan ini takut benar akan suaminya, sehingga perkara yang sekecil begini pun dia tidak berani melakukannya. Jika dia benarkan aku masuk, takkanlah suaminya marah. Tak usahlah pandang aku ini siapa, anak siapa dan dua budak ini cucu siapa, pandanglah (hormatilah) aku ini sebagai tetamu yang datang dari jauh saja sudahlah,” bisik hatinya, kesal.

Dalam pada itu, sebaik-baik saja suaminya pulang, perempuan itu pun memberitahu tentang anak yang satu lagi ini. Suaminya terkejut dan hairan, “Kenapa engkau ragu sekali? Bukankah Fatimah itu puteri Rasulullah dan dua orang anaknya itu adalah cucu baginda? Lebih daripada itu pun engkau pantas benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung kepada keredhaan Rasulullah. Jangan sekali-kali engkau buat seperti itu lagi. Jika mereka datang lagi ke mari dengan membawa apa pun dan siapa pun, terimalah dengan baik, dan engkau hormatilah mereka semua sebagaimana yang pantas bagi darjat mereka.”

Sahut perempuan itu, “Baiklah, tetapi ampunkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahwa apa yang saya tahu, keselamatan diri saya juga bergantung pada keredhaan suamiku. Oleh itu, saya tidak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati suamiku.”
“Terima kasih,” sahut suaminya. “Tapi takkanlah pula sampai engkau tidak menerima tetamu perempuan melainkan dengan izin aku, kerana menghormati tetamu perempuan itu wajib pada adat dan agama kita.”

Pada hari berikutnya, Sayyidatina Fatimah pun datang seperti yang dijanjikan dengan membawa dua orang puteranya itu. Setelah dijemput masuk dan dijamu dengan sedikit buah kurma dan air, mereka pun berkenalanlah serta memulai perbincangan.

Pertanyaan Fatimah banyak berkisar mengenai rahsia amal ibadah yang menjadi penyebab Muthi'ah menjadi wanita pertama masuk surga menurut ayahandanya. Setelah memperkenalkan dirinya, Muthi'ah menjawab semua pertanyaan Fatimah dengan ikhlas.

Katanya, “Tingkah laku saya biasa saja, tidak ada yang istimewa, amal ibadah pun biasa saja, malah Rasulullah lebih mengetahui akan segalanya. Saya hanya menuruti apa yang dianjurkan oleh baginda dalam hal kewajiban saya sebagai isteri. Antaranya:

1. Saya tidak boleh meninggalkan rumah jika suami saya keluar bekerja.
2. Saya tidak boleh menerima tamu (terutama lelaki) jika tidak ada keizinan suami.
3. Saya tidak akan berkeluh-kesah jika suami tidak mempunyai harta.
4. Saya berusaha agar suami saya senang dan cinta kepada saya.
5. Saya tidak cepat-cepat cemburu.
6. Saling mengerti dan menghargai antara kami berdua.

Soal berhias dan berdandan, menurut Muth'iah, dia hanya mengutamakan kecantikannya untuk suami, bukan untuk ditonton dan diperagakan kepada orang lain.

Sebagian riwayat menyatakan, Muth'iah mondar-mandir berjalan ke pintu rumahnya sambil memandang ke jalan seolah-olah sedang menantikan seseorang. Dia seolah-olah tidak begitu mempedulikan Fatimah.

Di tangannya terdapat tongkat dan sebuah wadah berisi air, sementara tangan sebelah lagi mengangkat ujung kainnya sehingga menampakkan betis dan sedikit bagian pahanya. Wajahnya manis dengan senyuman.

Melihat keadaan Muth'iah yang agak aneh, Fatimah merasa gelisah kerana dia rasa tidak dipedulikan. Fatimah bertanya: “Mengapa begini?”
Sahut Muth'iah: “Fatimah, harap maafkan saya kerana saya sedang menantikan suami saya pulang.”

“Mengapa ada wadah air itu?” Tanya Sayyidatina Fatimah. Jawab Muthi'ah jujur: “Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia balik dari kerja, saya akan segera memberikan air ini kepadanya supaya tidak terlambat. Jika terlambat nanti dia akan marah kepada saya.”
Fatimah bertanya lagi: “Mengapa dengan rotan ini?” Jawab Muthi'ah, “Jika suami saya marah atau kurang layanan dari saya, mudahlah dia memukul saya dengan rotan ini.”

Kemudian Fatimah bertanya, “Mengapa diangkat kain sehingga menampakkan paha, bukankah itu tidak elok?” Maka Muthi'ah menjawab, “Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini, tentulah akan menambahkan nafsu syahwatnya dan memudahkan akan maksud hajatnya itu.”

Fatimah termenung lalu berkata dalam hatinya: “Jika beginilah kelakuan dan perangainya terhadap suami, tidak dapatlah aku mengikutnya. Wajarlah menurut ayahanda, dia terlebih dahulu masuk syurga daripada aku. Ternyata benarlah bahwa keselamatan wanita yang telah bersuami itu bergantung kepada ketaatan dan keredhaan suami terhadapnya.”

Fatimah minta diri. Dia terus pulang menghadap ayahandanya dan menceritakan segala yang berlaku.

“Wahai anakandaku, itulah rahsianya mengapa Muthi'ah wanita pertama masuk syurga,” kata baginda kepada Fatimah.

Dalam muram dan seakan-akan merajuk, Fatimah menjawab, “Anakanda tidak dapat meniru perangai dan amalan Muthi'ah.”

Melihat rintihan puterinya itu, Rasululah tersenyum sambil berkata, “Wahai anakandaku, janganlah anakanda susah hati. Perempuan yang anakanda jumpa itu (Muthi'ah) ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali tunggangan anakanda tatkala anakanda masuk syurga nanti. Jadi dialah yang akan masuk terlebih dahulu daripada anakanda.”

Setelah mendengar penjelasan ayahandanya itu, barulah nampak Fatimah mulai gembira dan tersenyum.

Begitulah ganjaran yang Allah berikan kepada Muthi'ah. Semoga amalan yang dilakukannya itu sedikit sebanyak akan menjadi panduan dan dorongan kepada wanita-wanita terutama bagi mereka yang sudah berumahtangga.

Kafir Quraisy menyiksa orang Islam


Salam wrt. Setelah strategi membunuh Rasulullah Saw ini gagal. Kata mereka, kita tak ada jalan lain. Kita dah sekat orang dari luar Mekah mendengar dari Rasulullah Saw, sekarang kita kena sekat orang Mekah pula. Jangan benarkan sesiapapun mendengar dakwah Rasulullah Saw. Yang dah masuk Islam kita paksa mereka keluar dari Islam. Yang degil kita siksa. Yang hamba abdi, akan disiksa oleh tuan masing-masing. Yang merdeka, akan disiksa oleh kaumnya. Maka bermulalah era para Sahabat Rasulullah Saw diazab satu persatu. Antara yang masyhur kisahnya, Saidina Bilal bin Rabah. Tuannya sendiri Umayah bin Khalaf yang mengazab Bilal.  Umayyah membawa Bilal ke padang pasir diwaktu matahari tengah hari sedang membakar. Apalagi Mekah dengan cuacanya yang sangat panas bahkan anginnya pun panas bahkan pasirnya pun panas. Lalu Saidina Bilal dibaringkan tanpa berbaju bahkan diletakkan diatas dadanya batu besar yang juga panas. Bayangkanlah bagaimana para Sahabat membeli Iman. Mereka bayar harga Iman dengan harga yang mahal, dengan segala yang ada pada mereka bahkan dengan mempergadaikan  nyawa mereka. Saidina Bilal disebat dan disuruh keluar dari agama Islam. Bahkan disuruh mencaci Rasulullah Saw. Namun Saidina Bilal hanya menyebut Ahad, Ahad, Yang Maha Esa Yang Maha Esa. Saidina Bilal walaupun dia hamba dan tak belajar tinggi. Tentunya tak ada sijil. Namun keyakinannya kepada Allah dan kecintaannya kepada Rasululah sangat luar biasa. Walaupun diperlakukan sebegitu namun dia tetap redha dengan Tuhan. Bagaimana dengan kita? Kadang-kadang baru diuji sikit dah tak istiqamah dengan Tuhan bahkan kehilangan Tuhan.

Antara yang diazab lagi ialah Saidina Yasir, isterinya Saidatina Sumayah dan anak mereka Saidina Ammar bin Yasir. Akhirnya Saidina Yasir dan isterinya syahid mempertahankan aqidah. Setelah puas mereka suami isteri disiksa lalu dibunuh di depan mata anak mereka Saidina Amar. Namun hal itu tidak mengubah Iman Ammar. Orang yang mengambil tanggung jawab mengazab keluarga ini tak lain tak bukan ialah Abu Jahal. Setiap kali Rasulullah Saw lalu ditempat mereka Baginda terus mendoakan mereka.

Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya syurga adalah janji untuk kamu.

Beruntung keluarga ini, di dunia lagi dijanjikan syurga oleh Rasulullah Saw yang benar lagi dibenarkan itu. Selepas kedua ibu dan ayahnya dibunuh di depan matanya. Abu Jahal menambah lagi penyiksaan kepada Saidina Ammar. Kata Abu Jahal, demi Allah wahai Ammar, aku tak akan lepaskan engkau sehingga engkau hina Muhammad. Satu ketika lalu kumbang ditepi mereka. Abu Jahal paksa Saidina Ammar mengaku bahawa kumbang itu Tuhannya. Oleh kerana terlalu berat penyeksaan yang dibuat oleh Abu Jahal ini kepada Saidina Ammar sehinga akhirnya terkeluar dari mulut Saidina Ammar perkataan menghina Rasulullah Saw dan mengaku bahawa kumbang itu Tuhannya. Walaupun mulutnya terpaksa berkata namun hatinya tak sedikit pun berubah dari keyakinannya dan kecintaanya kepada Allah juga kepada Rasulullah Saw. Bahkan selepas itu hatinya makin sedih dan makin pilu malu dengan Allah dan malu dengan Rasulullah Saw. Kenapakah sampai dia tak sabar. Memang azab yang ditimpakan kepadanya terlalu berat kerana Abu Jahal melepaskan segala dendam kesumat, benci dan geramnya kepada Islam dan kepada Rasulullah Saw dan kejayaan Baginda terhadap keluarga Saidina Ammar bin Yasir ini.

Selepas itu Saidina Ammar datang kepada Rasulullah dengan hati yang pedih, luka dan malu diatas apa yang berlaku pada dirinya. Dia mengaku kepada Rasulullah Saw apa yang berlaku pada dirinya. Rasulullah Saw dengan mukjizatnya dapat membaca apa yang ada dalam hati Saidina Ammar. Kata Rasulullah Saw, kalau mereka azab lagi kamu, kamu sebut lagi begitu. Benar hati Saidina Ammar tidak berubah sehingga Allah turunkan ayat tentang hati Saidina Ammar ini.

Kecuali orang orang yang dipaksa sedangkan hati mereka tetap dengan Iman.

Tetapi barangsiapa yang hatinya merasa senang dengan kekufuran, ke atas mereka kemurkaan Allah dan bagi mereka azab yang pedih.

Di antara yang diazab lagi, Zinnirah seorang wanita mukminah. Dia diazab sampai buta matanya. Kata Kafir Quraisy kepadanya, Latta dan Uzza telah mebutakan mata kamu kerana kamu kufur dengan Latta dan Uzza. Maha Besar tuhan. Selepas itu Allah kembalikan penglihatan kepada Zinnirah untuk menghina orang-orang kafir dan musuh-musuh Allah ini. Bahkan ramai lagi yang diazab dan disiksa. Akhirnya datang Saidina Abu Bakar membela mereka. Saidina Abu Bakar datang menebus mereka dari tuan-tuan mereka dan membebaskan mereka. Untuk menebus Saidina Bilal, Saidina Abu Bakar telah menggantikan kepada Umayyah dengan hambanya yang lain bahkan Saidina Abu Bakar membayar wang kepada Umayyah.

Saidina Khabbab bin Arat juga mengalami penyiksaan yang dahsyat. Pernah satu ketika dizaman pemerintahan Saidina Umar Al Khattab. Dalam satu majlis, Khalifah Saidina Umar bertanya kepada Saidina Khabab. Apakah azab yang paling dahsyat kamu lalui? Kata Saidina Khabab, wahai Amirul Mukminin, tidak pernah aku alami azab yang seteruk ini sambil dia membuka belakangnya. Rupanya dibelakang Khabab dari atas sampai kebawah ada lubang-lubang hitam kesan terbakar. Terkejut Khalifah melihat, bagaimana Kafir Quraisy sampai begitu telah memperlakukan Khabab.

Saidina Khabab meneruskan ceritanya, wahai Amirul Mukminin, ketika itu Kafir Quraisy mengumpulkan batu-batu lalu dibakar batu-batu itu sampai merah menyala. Ketika itu mereka menaggalkan pakaian aku dan mereka menyeret aku diatas batu-batu yang menyala ini bahkan mereka seret dari kaki aku. Selepas disiksa begitu, Saidina Khabbab datang mengadu kepada Rasulullah Saw sambil menangis menahan azab diseret dari kaki tampa baju diatas batu-batu yang menyala. Bayangkan kalau kita ditempat Saidina Khabab, apakah kita boleh pertahankan Iman kita. Para Sahabat Rasulullah Saw yag mulia, dengan pengorbanan mereka kita dapat nikmat Iman dan Islam. Dua nikmat yang paling besar dunia ini yang tak dapat dibayar dengan wang ringgit dan mata benda dunia.

Saidina Khabab datang kepada Rasulullah Saw yang sedang  duduk disisi Ka'bah. Kata Saidina Kahbab, wahai Rasulullah Saw, Quraisy telah telah mengazab kami, sambil ditunjukkan kepada Rasulullah Saw apa yang telah perlakukan oleh orang Kafir kepadanya. Alangkah besar penderitaan yang ditanggungnya. Wahai Rasulullah Saw berdoalah untuk kami, mohonlah bantuan dan kemenangan untuk kita? Saidina Khabab minta Rasulullah Saw berdoa agar segera Allah menangkan Islam. Apakah jawapan Rasulullah Saw kepada Khabab?! Wahai Khabab, pejuang sebelum kita, para Nabi, ada yang ditanam di dalam lubang dan digergaji dari atas kepalanya hingga terbelah dua badannya. Ada yang disikat dagingnya dengan penyikat besi. Namun semua itu tidak menyebabkan dia berganjak sedikitpun dari agamanya dan dari keyakinannya. Wahai Khabab, demi Allah, Allah akan menangkan agama ini. Hingga nanti  seseorang boleh menunggang kenderaan seorang diri dalam perjalanan dari Sanna' sampai Hadramaut. Tidak ada yang dia takut melainkan Allah, aman perjalanannya tapi kamu semua mahukan kemenangan yang segera.

Kemenangan  pasti datang, kemenangan itu janji Allah, Allah tidak mungkir janji tapi mesti ada ujian yang merupakan penapisan sehingga yang tinggal untuk mendapat kemenangan hanya yang sangat ikhlas, sehingga Allah pisahkan antara yang beriman dan yang munafik. Begitulah Saidina Khabab sabar dan yakin, tidak berubah Imannya dengan Rasulullah. Bagaimana kalau kita.? Cuba bayangkan, mungkin kita dah murtad dan menghina Rasulullah Saw dan sangka buruk pada Rasulullah Saw tapi Saidina Khabab tidak pun sedikit ragu dengan berita dari Rasulullah Saw itu. Hatinya tak berubah dengan Rasulullah Saw. Maha Besar Tuhan, Allah telah memanjangkan umur Khabbab sehingga dia menyaksikan dengan mata kepalanya janji Rasulullah itu berlaku. Bukankah pada zaman Saidina umar Rom dan Parsi telah tunduk kepada Islam. Dunia dipenuhi dengan keamanan dan keadilan dibawah pemerintahan Khalifah Rasulullah Saidina Umar yang terkenal sangat bertakwa dan adil itu.

Kisah Nadr bin Harist


Salam wrt. Bila mereka kafir Quraisy melihat usaha ini juga tidak berjaya. Kafir Quraisy mencipta helah lain pula untuk menentang kebenaran. Mereka  panggil seorang yang bernama Nadr bin Harist. Dia keturunan Quraisy tapi tinggal di Thaif. Nadr seorang yang banyak bermusafir. Oleh itu macam-macam yang dia tahu terutama macam-macam cerita dongeng dan khurafat dari kabilah-kabilah Arab dan bangsa-bangsa lain diketahuinya. Mereka telah mendatangkan Nadr dan mereka minta pada Nadr berada dimana saja Rasulullah Saw berdakwah. Kata mereka kepada Nadr: Bila Muhammad membuka 'cerita khurafatnya', kamu buka pula cerita-cerita khurafat yang ada pada kamu.

Pada peringkat awal, perancangan jahat ini dilihat berjaya. Bila saja Rasulullah Saw berdakwah, Nadr pun datang ketempat itu serta membuka halqah cerita dongengnya dan khurafat-khurafat yang ada padanya. Ramailah orang datang mendengar ceramah Nadr dan mereka meninggalkan majlis Rasulullah Saw. Memang begitulah perangai manusia sejak turun-temurun meminati cerita-cerita dongeng. Cuma wasilahnya saja yang berbeza mengikut perkembangan teknologi setiap zaman. Bahkan di zaman kita sekarang juga masih banyak cerita-cerita dongeng yang diminati oleh masyarakat apalagi ianya dipersembahkan dalam berbagai bentuk saluran bacaan dan audio visual. Nadr akan bercerita kepada orang ramai bahawa Muhammad tak lebih dari aku, dia ada cerita dongeng dan khurafat, aku pun ada cerita dongeng dan khurafat. Begitulah berhari hari, Nadr berjaya menarik orang dari mendengar dakwah Rasulullah Saw. Tapi akhirnya orang jemu mendengar cerita Nadr dan orang kembali mendengar Al Quran dari Rasulullah Saw. Namun, bilakah masyarakat jahiliyah modern akan jemu dengan cerita-cerita dogeng dan kembali kepada ilmu wahyu? Kepada Nadr bin Harist ini juga turun Al Quran. Bukankah bila kita mendalami sejarah Rasulullah kita akan faham banyak ayat Quran yang berkaitan dengang perjuangan dan perjalanan hidup Rasulullah dan Para Sahabat. Semua ayat-ayat Quran yang ada menyebut tentang perihal cerita dongeng, semuanya adalah jawapan dari Allah kepada perbuatan Nadr ini.

Sampai tahap ini Abu Jahal sudah tidak tahan lagi, dia kumpulkan pemimpin pemimpin Kafir Quraisy, para penentang dakwah Rasulullah Saw. Abu Jahal menegaskan bahawa semua yang mereka lakukan untuk menyekat Rasulullah Saw tidak berhasil. Kata Abu Jahal: Oleh itu sekarang aku dah tekad. Aku akan bunuh Muhammad. Terpulanglah kepada kamu, bila Bani Abdul Mutalib menuntut bela di atas kematian Muhammad samada kamu akan mempertahankan aku atau tidak. Kalau kamu tidak mahu mempertahankan aku, biarlah aku dibunuh oleh Bani Abdul Mutalib. Yang penting aku nak bunuh Muhammad. Begitulah kebencian Abu Jahal kepada Islam. Nyawanya sanggup dipergadaikan demi menentang kebenaran ini. Akhirnya Kafir Quraisy bersetuju untuk melindungi Abu Jahal dari Bani Abdul Mutalib. Ringkasnya mereka sudah sepakat untuk bunuh Rasulullah Saw. Telah menjadi kebiasaan Rasulullah Saw, bila bersembahyang di Ka'bah baginda sujud panjang. Pada hari yang dirancangkan mereka menunggu Rasulullah sembahyang dan menunggu Rasulullah Saw sujud. Seperti yang dirancangkan, semasa Rasulullah sujud nanti, Abu Jahal akan angkat batu besar yang sudah tersedia di situ dan menghempapkannya  di atas kepala Rasulullah Saw.

Rasulullah Saw seperti biasa datang sembahyang di Ka'bah dan sujud panjang. Datanglah Abu Jahal membawa batu besar yang dia sendiri mengangkatnya dengan susah payah kerana besar dan beratnya. Namun dipaksakan dirinya mengangkat batu sebesar itu untuk membunuh Rasulullah Saw. Bila dia sampai dekat dengan Rasulullah Saw yang sedang tenggelam dengan Tuhan dalam sujudnya, tiba-tiba Abu Jahal melepaskan batu itu bahkan lari ketakutan bagaikan dikejar sesuatu yang menakutkan. Semua pembesar Quraisy hairan, tadi Abu Jahal sangat bersemangat untu membunuh Rasulullah Saw. Tiba-tiba melepaskan batu begitu saja dan lari ketakutan. Mereka bertanya kepada Abu Jahal, kenapa kamu lari macam orang ketakutan? Kata Abu Jahal, kamu semua tak nampak kah? Kami tak nampak apa apa pun. Kata Abu Jahal, kamu semua tak nampak apa yang aku nampak! Apa yang kamu nampak? Tanya Quraisy. Kata Abu Jahal, aku nampak seekor unta jantan yang sangat besar datang menyerang aku. Unta itu nak bunuh aku. Kata sebahagian Kafir Quraisy, engkau buat cerita dongeng wahai Abu Jahal, kami tak nampak apa-apa pun. Begitulah bantuan Tuhan dan mukjizat Rasulullah Saw telah mengagalkan percubaan Abu Jahal untuk membunuh Rasulullah Saw. Begitulah janji Tuhan kepada para Nabi dan orang orang beriman.

Kafir Quraisy mencabar Rasulullah Saw

Rasulullah Saw terus berdakwah, siang dan malam, tanpa mengenal penat dan rehat. Sampai satu ketika Kafir Quraisy  datang lagi berjumpa Rasulullah Saw dan mengajak Rasulullah Saw berbincang lagi. Rasulullah Saw yang sangat berhikmah dalam mengahadapi kaumnya itu telah menerima ajakan mereka. Tapi mari kita lihat bagimana orang-orang yang Allah sudah tutup pintu hati mereka. Orang yang hatinya telah buta dan tidak nampak lagi kebenaran yang jelas di depan mata. Bagaimana mereka tidak beradap dengan Rasulullah Saw bahkan dengan Allah. Bagaimana Rasulullah Saw menghadapi mereka. Kata mereka, wahai Muhammad, kamu mengaku kamu Rasul, tunjukkanlah kepada kami mukjizat kamu seperti Nabi-Nabi sebelum kamu supaya kami boleh beriman dengan kamu. Kata Rasulullah Saw, aku diutuskan dengan Al Quran. Kalamullah. Al Walid orang yang paling fasih dikalangan mereka sudah mengakui bahawa Al Quran ini mukjizat tiada bahasa dan kata-kata yang boleh menandinginya.

Kata mereka, kami mahu kamu keluarkan mata air di Mekah ini, biar kami senang mendapat air dan Mekah jadi hijau dan subur. Kata Rasulullah Saw, itu kuasa Allah, kalau Allah mahu Allah boleh lakukan. Kata mereka lagi, kalau kamu mahu kami beriman dengan kamu, hidupkan semula ayah-ayah dan datuk-datuk kami yang telah mati. Hidupkan kembali Qusai bin Kilab, barulah kami beriman. Kata Rasulullah Saw, Allahlah yang menghidupkan yang mati. Kata mereka lagi, engkau kata malaikat datang membawa wahyu kepada kamu. Kami nak melihat malaikat, baru kami beriman dengan kamu. Kata Rasulullah Saw, kamu tak mampu melihat malaikat, kata mereka, kami mampu. Kata Rasulullah Saw, itu urusan Allah, kalau Allah mahu, Allah boleh lakukan. Namun hujah mereka belum habis lagi. Wahai Muhammad, macam mana kami nak ikut kamu sedangkan kamu miskin. Kalau kamu kaya menasabahlah kami ikut kamu. Mintalah supaya Tuhan kamu jadikan kamu kaya baru kami beriman dengan kamu. Kata Rasulullah Saw, agama dan kebenaran itu bukan diukur dengan kaya atau miskin. Yang sebenarnya mereka bukan nak beriman tapi nak berdolak-dalih dan nak mencabar Rasulullah Saw. Bahkan juga nak mencabar Allah yang Maha Gagah itu. Mari kita dengar hujah-hujah mereka lagi, mari juga kita berdoa kepada Allah moga Allah pelihara kita, Allah pimpin kita dari berdolak dalih dengan agama Tuhan.

Kata mereka lagi, wahai Muhammad, engkau telah menakut-nakutkan kami dengan bala dan azab. Turunkanlah azab itu! Jatuhkanlah langit seketul-seketul ke atas kami. Rasulullah Saw tetap sabar. Kata Rasulullah Saw, itu urusan Allah. Apa kata Quraisy kepada Rasulullah Saw lagi? Kata mereka, wahai Muhammad, demi Allah kamu ini penipu. Satu pun soalan kami engkau tidak jawab. Engkau ini bukan dapat wahyu tapi engkau belajar dengan seorang lelaki di Yamamah yang namanya Rahman. Sebab itu kamu ajak kami sembah Ar Rahman. Pada mereka Ar Rahman itu bukan nama Tuhan, bukan nama Allah tapi hanya nama sesorang pada waktu itu..

Akhirnya bangun seorang lelaki dikalangan pembesar Kafir Quraisy, namanya Abdullah bin Umayyah bin Al Mughirah. Katanya kepada Rasulullah Saw, wahai Muhammad, aku tak akan beriman dengan kamu sehingga engkau terbang di udara, bahkan itupun tidak cukup, engkau mesti sampai ke langit di depan mata aku. Itupun tidak cukup, engkau mesti bawa turun kepada aku kitab dari langit, kitab yang aku boleh pegang dengan tangan aku ini. Apakah kalau Rasulullah Saw boleh buat semua itu dia akan beriman.? Dengar apa katanya lagi selepas itu. Wahai Muhammad, kalaupun engkau boleh buat semua itu, tetap aku kata engkau ini ahli sihir. Rasulullah Saw tidak menjawab persendaan mereka ini kerana mereka bukan nak beriman tapi nak persendakan Rasulullah Saw dan nak persendakan Tuhan. Kata mereka lagi, kami tak akan beriman kecuali kami dapat melihat Tuhan dan malaikat dengan mata kepala kami sendiri. Rasulullah Saw tidak jawab apa-apa. Sebaliknya Rasulullah Saw hanya diam saja. Maka turun ayat Quran membenarkan jawapan Rasulullah Saw kepada mereka dan jawapan dari Allah kepada Rasulullah Saw tentang keadaan mereka yang sebenarnya. Mari kita lihat ayat-ayat itu:.

Terjemahannya: Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka yang kafir dari keterangan-keterangan Tuhan mereka (sama ada Al Quran atau kejadian-kejadian mukjizat) melainkan mereka selalu berpaling daripadanya. Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran Al Quran ketika ia sampai kepada mereka. Oleh itu akan datanglah kepada mereka berita yang membuktikan kebenaran apa yang  mereka persendakan itu (mereka akan ditimpa bala bencana). Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah kami binasakan sebelum mereka. Padahal umat itu telah Kami teguhkan kedudukan mereka dimuka bumi dengan kekuasaan dan kemewahan yang tidak Kami berikan kepada kamu. Dan Kami turunkan hujan ke atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir dibawah mereka. Kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan selepas mereka umat yang lain!


Kenapa Rasulullah Saw tidak menjawap permintaan mereka? Bukankah Rasul-Rasul sebelum Rasulullah Saw juga telah datang membawa mukjizat yang lahir yang dapat dilihat oleh semua kaumnya, tapi tetap mereka tidak beriman. Apa yang mereka tanyakan itu semata mata untuk bermujadalah. Allah terangkan dalam Al Quran kenapa Allah tidak datangkan permintaan mereka. Firman Allah :

Terjemahannya :

Ketika berlaku perbualan ini diantara Rasulullah Saw dan Kafir Quraisy, Saidina Jibril datang kepada Rasulullah Saw sambil berkata: wahai Rasulullah Saw Allah utuskan aku kepada kamu.

Wahai Rasulullah Saw kalau engkau masih memberi tempoh lagi kepada mereka maka sabarlah.

Kalau kamu mahu mendatangkan segala yang mereka minta kami akan tunaikan

Kalau mereka tidak beriman lepas itu, mereka semua akan dimusnahkan.

Pilih wahai Rasulullah Saw. Samada engkau sabar atau kami datangkan semua permintaan mereka. Kalau mereka tidak beriman. Mekah akan dimusnahkan.

Kata Rasulullah Saw : Bahkan aku mahu menangguhkan kepada mereka, moga nanti Allah lahirkan dari zuriat mereka orang orang yang beriman dengan Allah

Betapa sabar Rasulullah Saw dalam berhadapan dengan kaumnya. Baginda telah dituduh gila, dituduh ahli sihir, dituduh kena rasuk jin, dituduh memecah belahkan masyarakat, diejek, dihina, dipersendakan, dipukul, diusir bahkan mahu dibunuh. Namun Rasulullah Saw tetap sabar dan berakhlak mulia kepada mereka. Betapa agung peribadi Rasulullah Saw. Selawat dan salam sebanyak-banyaknya keatasmu wahai Rasulullah Saw. Terima kasih Ya Rasulullah…..terima kasih ya Rasulullah. 

Saidina Abu Zar Masuk Islam


Salam wrt. Orang pertama dari luar Mekah yang menerima Islam ialah Saidina Abu Zar Al Ghifari dari Kabilah Ghifar. Kabilah Ghifar ini terkenal sebagai perompak dan penyamun padang pasir. Allah telah memilih Saidina Abu Zar dari kelompok ini untuk mendapat kebenaran. Sedangkan dia memang sudah lama mencari kebenaran itu. Bila dia mendengar tentang Rasulullah Saw. Dia, saudaranya dan ibunya bermusafir ke Mekah. Bila sampai diperbatasan Mekah, Abu Zar menghantar adiknya dulu pergi bertanya tentang Islam. Bila adiknya bertanya orang Mekah tentang Islam, dia kena pukul. Bila dia balik, dia beritahu Saidina Abu Zar bahawa dia tidak mendapat sebarang berita. Akhirnya Saidina Abu Zar pergi sendiri. Sedangkan Abu Zar ini tak ada duit dan tak ada pula bekalan makan-minum. Jadi makan dan minumnya hanya air Zamzam. Dengan kuasa Allah dia merasa kenyang. Begitulah keberkatan Zamzam. Tiga hari tiga malam dia mencari maklumat tentang Islam, dia belum mendapat apa-apa. Kalau orang dari luar Mekah bertanya tentang Islam mereka akan dipukul. Manakala orang Islam di Mekah dihalang dari menyampaikan dakwah. Begitulah tekanan yang dibuat oleh Kafir Quraisy kepada dakwah dan perjuangan Rasulullah Saw ketika itu.


Malam keempat, ketika Abu Zar di Ka'bah. Maha Besar Tuhan, pada malam itu Allah datangkan rasa mengantuk kepada semua orang Mekah. Semua orang tertidur. Tak ada siapa di Ka'bah melainkan Abu Zar seorang seorang diri. Biasanya Ka'bah sentiasa dipenuhi dengan orang siang dan malam. Tapi malam itu hanya Abu Zar seorang di Ka'bah. Sedang Abu Zar tafakur, datang dua orang jariah iaitu hamba perempuan beribadah dekat Isaf dan Nailah. Abu Zar memberanikan diri bertanya pada jariah ini. Apakah kamu tahu tentang agama Muhammad. Kata mereka kepada Abu Zar, apa urusan kami dengan agama baru itu. Takkan engkau nak tinggalkan Isaf dan Nailah dan nak cari Tuhan baru. Kata Abu Zar, bukankah Isaf dan Nailah ini asalnya dua orang yang berzina? seperti yang kita dah cerita sebelum ini. Dua orang jariah ini bila mendengar Saidina Abu Zar menghina Tuhan mereka, mereka menjerit dan bangun berlari nak mengadu. Ketika mereka nak keluar terserempak dengan Rasulullah Saw dan Saidina Abu Bakar yang baru sampai ke Ka'bah. Melihat keadaan itu Rasulullah Saw tanya dua orang jariah itu, apa yang berlaku kepada mereka. Kata mereka, ada seorang lelaki dekat Ka'bah menghina Tuhan. Rasulullah Saw tersenyum dan tanya mana orang itu? Akhirnya bertemulah Saidina Abu Zar dengan Rasulullah Saw. Saidina Abu Zar terus masuk Islam dan minta izin untuk belajar Islam dengan Rasulullah Saw sendiri, bukan melalui orang lain.

Rasulullah Saw berpesan, nanti Kafir Quraisy akan menyakiti kamu. Saidina Abu Zar tetap merayu. Aku nak belajar tentang Islam wahai Rasulullah Saw. Bila Rasululah melihat kesungguhan yang luar biasa dari Saidina Abu Zar ini. Rasulullah Saw memberi jalan padanya. Kata Rasulullah Saw, besok aku akan keluar dari rumah dan pergi ke rumah Arqam bin Abi Arqam. Darul Arqam markaz pertama dakwah Rasulullah Saw. Tempat Rasululah dan para Sahabat berkumpul. Pusat pendidikan Rasulullah Saw yang pertama. Kamu perhati dari jauh dan ikut dari jauh. Lepas tu nanti engkau datang ke situ. Selepas itu Abu Zar pun datang dan selama 15 hari dia belajar dengan Rasulullah Saw dan para Sahabat yang lain tentang Iman dan Islam. Telah berlaku satu proses pemindahan rasa dan pemindahan ilmu dari Rasulullah Saw dan para Sahabat kepada Abu Zar yang baru Islam. Ilmu yang tersurat sikit sangat pada waktu itu. Syariat belum turun. Yang besar itu proses pemindahan rasa. Rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mesti ada dalam hati setiap orang yang beriman. Sepanjang 15 hari itu Abu Zar hanya minum air Zamzam. Dia kenyang. Allah beri dia kenyang kerana hatinya telah penuh dengan Iman.

Selepas itu dia minta izin pulang kepada kaumnya berbekalkan 15 hari dia bersama dengan Rasulullah Saw dan para Sahabat di Darul Arqam. Dia dah tak jumpa lagi Rasululah selepas itu. Maklumlah Saidina Abu Zar ini bukan orang kaya, manalah mampu nak bermusafir selalu. Namun 15 tahun selepas itu, setelah Rasulullah Saw berhijrah ke Madinah. Abu Zar telah datang mengadap Rasulullah Saw dengan membawa bersamanya separuh dari kaumnya. Semua mereka dah Islam. Inilah hasil dakwah Saidina Abu Zar yang mendapat kursus dakwah dari Rasululah selama 15 hari di Darul Arqam.  Mari kita belajar dengan Saidina Abu Zar. Bagaimana dia memperjuangkan  Islam. Dia tak jumpa Rasulullah Saw tapi terpimpin untuk berkerja dan berjuang. Inilah dia pimpinan roh. Walaupun tak bertemu tapi rohnya terhubung dengan roh Rasulullah Saw. Akhirnya semua kerja dan usahanya Allah berkati dan Allah bantu. Inilah yang tidak ada pada kita Umat Islam hari ini. Makin berbincang makin tak boleh buat kerja, makin berbincang makin gagal, makin hina di depan musuh Islam. Sebab itu dalam Islam, proses membaiki hati dan membaiki roh ini sangat penting. Membersihkan hati dari sifat-sifat keji kepada sifat-sifat yang terpuji. Bila hati bersih Allah pimpin dalam segala hal.

Kafir Quraisy mula berkeras

Salam wrt. Kafir Quraisy yang melihat semua usaha yang mereka cuba laksanakan itu tidak berjaya, mulalah mereka bertindak kasar dan diluar akhlak Arab dan akhlak kemanusiaan. Mereka mula mengejek-ngejek dan menghina-hina Rasulullah Saw bila saja mereka bertemu dengan baginda khususnya ketika Rasulullah Saw tawaf di Ka'bah. Satu hari para pembesar Mekah berpakat untuk memukul Rasulullah Saw. Pada hari yang mereka tetapkan itu, ketika Rasulullah Saw datang ke Ka'bah kesemua mereka berkerumun kepada Rasulullah Saw dan memukul Rasulullah Saw dari semua penjuru. Siti Fatimah puteri Rasulullah Saw yang lalu disitu nampak hal itu tapi dia tak berdaya nak menolong ayahnya. Cepat-cepat dia mengadu kepada Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar berlari ke Ka'bah. Terus dia masuk kedalam kumpulan pembesar-pembesar Kafir Quraisy yang sedang memukul Rasulullah Saw dan dikeluarkannya Rasulullah Saw sambil dia menangis. Kata Abu Bakar kepada Kafir Quraisy, apakah kamu hendak membunuh orang, hanya kerana dia menyebut Tuhannnya Allah. Hanya kerana ini kamu mahu membunuhnya? Namun Rasululah tetap sabar.

Satu hari lain pula, pembesar-pembesar Kafir Quraisy sedang duduk-duduk dekat Ka'bah, Abu Jahal pun ada sekali. Setiap kali Rasulullah Saw melalui mereka Abu Jahal mencerca dan mengutuk-ngutuk Rasulullah Saw dengan perkataan yang tak pernah sesiapa menyebutnya. Rasulullah Saw tetap sabar dan tenang. Ada seorang perempuan menyaksikan kejadian itu dan hatinya tak tahan melihat Rasulullah Saw dihina begitu. Dia terpaksa meninggalkan Ka'bah kerana tak sanggup menyaksikan perkara itu dan dia tak berdaya berbuat apa apa. Dalam perjalanan dia bertemu dengan Hamzah bapa saudara Rasulullah Saw, pahlawan Kafir Quraisy yang tiada tandinganya. Dia baru saja pulang dari memburu. Hamzah ini diantara hobinya ialah memburu singa. Begitulah kegagahan Hamzah. Perempuan ini mengadu apa yang Abu Jahal perlakukan pada Rasulullah Saw. Hamzah tanya, apakah tidak ada orang bangun mempertahankan Rasulullah Saw dan menghalang Abu Jahal? Kata perempuan ini, tak ada wahai Hamzah. Ketika itu Hamzah belum Islam lagi tapi dia terlalu marah mendengar penghinaan itu. Terus dia cepat-cepat ke darul Nadwah. Abu Jahal ada disitu sedang duduk ditengah-tengah pembesar-pembesar Kafir Quraisy yang lain. Hamzah datang pada Abu Jahal dan tanpa cakap banyak terus dipukulnya Abu Jahal. Berdarah kepala Abu Jahal. Sepontan Hamzah dengan tegas bercakap kepada Abu Jahal dan pembesar-pembesar Kafir Quraisy, Apakah kamu menghina Muhammad sedangkan aku juga telah masuk agamanya? Lalu dipukulnya lagi Abu Jahal sambil bertanya siapa yang berani membalasnya dikalangan kamu. Tidak ada yang berani. Tapi Bani Makhzum, Kabilah Abu Jahal, bangun untuk membela Abu Jahal. Namun Abu Jahal sendiri yang menghalang mereka. Jangan, jangan. aku yang bersalah, aku yang menghina anak saudaranya.

Hamzah datang menuntut bela ke atas anak saudaranya Rasulullah Saw. Tapi dia sudah mengeluarkan satu kenyataan yang dia sendiri tak tahu macam mana kata-kata itu boleh melucur dari mulutnya sedangkan dia belum Islam lagi. Sampai di rumah Hamzah masih hairan dengan dirinya sendiri. Orang semua sudah tahu bahawa dia telah Islam. Tak mungkin besok dia tarik balik kata-katanya itu. Tak boleh tidur Saidina Hamzah pada malam itu. Akhirnya dia bermunajat kepada Allah. Kalau ini adalah kebenaran dan kebaikan datangkanlah keyakinan kedalam hatiku, tapi kalau sebaliknya berilah jalan keluar kepadaku. Kata Saidina Hamzah, selepas itu Allah campakkan keyakinan ke dalam hati aku. Terus dia mencari Rasulullah Saw dan mengucap dua kalimah syahadah di depan Rasulullah Saw. Rasulullah Saw terlalu gembira dengan Islamnya Saidina Hamzah ini. Bahkan ia adalah satu kemenangan untuk Islam.

Al Walid bin Mughirah


Walaupun begitu Kafir Quraisy tidak putus asa, mereka bersidang lagi di Darul Nadwah. Kali ini mereka mengambil keputusan untuk bersemuka terus dengan Rasululah Saw. Mungkin dengan perbincangan begini boleh menyelesai masalah. Namun mereka telah bertekad kalau Rasulullah berkeras mereka akan lebih berkeras lagi. Untuk itu mereka hantar Al Walid bin Mughirah, diantara orang yang paling berpengaruh dikalangan mereka dan disegani oleh semua Arab. Al Walid ini ( bapa kepada Saidina Khalid yang telah memulakan upacara meruntuh binaan Kaa'bah dahulu) mencari-cari waktu yang sesuai untuk dia bersemuka dengan Rasulullah Saw. Akhirnya ketika Rasulullah Saw sedang seorang diri ditepi Ka'bah dia datang dan duduk sebelah Rasulullah Saw dan mengajak Rasulullah Saw berbincang. Dengan penuh berhikmah Al Walid melontarkan pertanyaannya kepada Rasulullah Saw. Wahai Muhammad, apa yang telah terjadi? Apa yang kamu bawa ini? Dakwah kamu telah memecah belahkan kami, antara ibu ayah dan anak-anak, antara suami dan isteri. Kalau engkau sakit, kami sedia mengumpul wang untuk mengubati kamu. Kita cari doktor yang paling pakar. Kalau kamu berharap dari perjuangan kamu ini harta dan wang, kami Kafir Quraisy bersedia mengumpulkan harta dan wang untuk kamu sehingga kamu jadi orang yang paling kaya. 


Rasulullah Saw yang begitu sabar dan berakhlak mendengar dengan baik walaupun kata-kata yang disampaikan oleh Al Walid itu bagi Rasulullah Saw satu yang remeh sangat. Tapi begitulah adab berbincang bagi Rasulullah Saw penghulu segala Rasul dan Imam segala pendakwah. Al Walid menyambung lagi. Kalau kamu mahu kemuliaan, kami jadikan kamu ketua kami. Kalau kamu mahu kekuasaan kami angkat kamu jadi raja kami, raja Mekah. Kalau kamu mahu kahwin, kami kahwinkan kamu dengan siapa saja yang kamu mahu dari gadis-gadis kami. Apa saja yang kamu mahu wahai Muhammad kami tunaikan. Yang penting kamu berhenti dari dakwah dan perjuangan ini. Bila Al Walid sudah selesai bercakap Rasulullah Saw dengan penuh bijaksana pula bertanya kepada Al Walid, apakah engkau sudah selesai wahai Al Walid,. Benar, kata Al Walid. Kata Rasulullah Saw, kalau begitu izinkan aku bercakap pula, aku telah mendengar apa yang kamu sampaikan dan sekarang giliran engkau mendengar dari aku pula. Dengan akhlak Rasulullah Saw itu Al Walid jadi bersedia untuk mendengar dari Rasulullah Saw. Apa yang dia akan dengar dari Rasulullah Saw? Apakah Rasulullah Saw nak jawab satu persatu soalan dan cadangannya? Mari kita dengar apa yang Rasulullah Saw nak sampaikan kepada Al Walid salah seorang pemimpin Qurasiy yang dihormati itu. Bagi Rasululah Al Walid ini macam orang yang datang menyerah diri kepada Rasulullah Saw. Jadi Rasululah Bacakan kepada Al Walid orang yang paling fasih dikalangan Arab ketika itu beberapa ayat dari surah Fussilat.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Haa Mim. Turunnya kitab ini dari Allah. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Sebuah kitab yang diperjelaskan ayat-ayatnya satu persatu, iaitu Al Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab untuk faedah orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang mengembirakan bagi orang yang beriman dan membawa amaran kepada orang yang engkar. Namun kebanyakan mereka berpaling engkar maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya. Bahkan mereka berkata ; hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis menghalang kami dari memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat  menjadikan kami tidak mendengarnya, serta diantara kami denganmu ada sekatan yang memisahkan kefahaman kita. Oleh itu bekerjalah engkau untuk agamamu. Sesungguhnya kami juga terus bekerja untuk mempertahankan kepercayaan kami. Katakanlah wahai Muhammad "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada aku bahawasanya Tuhan kamu adalah hanyalah Tuhan yang Satu. Maka hendaklah kamu berpegang teguh diatas jalan yang betul lagi lurus dan mohonlah kepadanya keampunan dan kecelakaanlah kepada orang-orang yang menyekutukannya. (Al Fussilat)

 Sampailah ayat :

Oleh itu, jika mereka berpaling daripada mengesakan Allah maka aku (Allah) memberi peringatan kepada kamu semua dengan panahan seperti yang berlaku kepada Kaum Aad dan Tsamud.

Bila sampai ke ayat ini, yang mana dari tadi ke semua ayat-ayat yang dibaca oleh Rasulullah Saw menguasai seluruh fikiran dan pancaindera Al Walid. Pakar bahasa Arab malah orang yang paling fasih dikalangan Arab ketika itu mendengar mukjizat Al Quran dari mulut Rasulullah Saw sendiri. Sedangkan Al Quran diturunkan dalam bahasa arab yang sangat luar biasa itu. Sampai diayat tadi Al Walid dah tak boleh tahan lagi, Al Walid terlalu takut, dia tahu yang sedang bercakap dihadapannya itu Sodiqul Amin, dan dia yakin kata-kata itu bukan dari Rasululah tapi dari Allah. Mendengar ayat ini terbangun Al Walid menerpa kepada Rasulullah Saw sambil meletakkan tangannya dimulut Rasulullah Saw. Dia merayu kepada Rasulullah Saw agar jangan menyambung lagi. Al Walid rasa seolah-olah akan turun panahan itu kepada Kafir Quraisy pula. Setelah itu Al Walid duduk kembali ke tempatnya. Rasulullah Saw menyambung lagi bacaan ayat-ayat tadi sehinga sampai ke ayat sujud, maka Rasulullah Saw pun sujud. Bila Rasulullah Saw bangun dari sujud kata Rasulullah Saw kepada Al Walid. Inilah jawapan dariku. Rasulullah Saw tak cakap apa-apa pun, baginda hanya membacakan beberapa ayat dari surah Fussilat kepada Al Walid sebagai jawapan kepada tawaran Kafir Quraisy yang berbagai bagai tadi. Maha Besar Tuhan. Di sini berlaku kebesaran Kalamullah itu, kebesaran Al Quran dan mukjizat Rasulullah Saw. Al Walid bangun dari pertemuan itu dalam keadaan lemah longlai malah tak mampu bercakap apa-apa lagi. Dia terkejut, terpegun, tersentuh. Kali pertama dia mendengar Al Quran secara life begitu, tanpa sebarang gangguan, tampa terputus-putus, dari mulut Rasulullah Saw terus. Dia berjalan menuju kepada pembesar-pembesar Kafir Quraisy yang sedang menunggunya di Darul Nadwah. Bila Al Walid masuk saja, melihatkan keaadaan Al Walid, Kafir Quraisy sudah perasan perubahan yang jelas pada Al Walid. Dia sangat terkesan dengan ayat-ayat yang didengar tadi. Sebab itu Rasulullah Saw sebut :

Sesungguhnya pada kata kata yang indah tersusun itu ada sihir

Apa lagi Al Quran, Kalamullah, Mukjizat terbesar kepada Rasulullah Saw. Bila Al walid masuk, pembesar-pembesar Kafir Quraisy berbisik sesama mereka. Demi Allah  dia balik dengan wajah yang lain, bukan lagi dengan wajahnya sewaktu dia pergi tadi. Meraka bertanya, apa yang dah berlaku wahai Al Walid. Kata Al Walid, aku telah mendengar kata-kata yang belum pernah aku dengar dalam hidupku. Ketika itu Al Walid orang yang paling fasih dikalangan Arab, menjadi tempat rujuk kepada penyair-penyair Arab telah menyatakan pengiktirafannya kepada Al Quran.

Sedangkan kemahiran orang Arab ialah berbahasa. Sebab itu setiap Nabi datang membawa mukjizat dari jenis kemahiran kaumnya. Nabi Musa datang membawa tongkat sakti berhadapan dengan Firaun yang terkenal denga sihir. Nabi Isa datang dengan mukjizat boleh mengubat penyakit-penyakit malah boleh menghidupkan orang mati kepada kaumnya yang merupakan pakar-pakar perubatan ketika itu. Maka Rasulullah Saw  membawa mukjizat Al Quran dalam bahasa Arab yang sangat indah dan sangat luarbiasa kepada  bangsa Arab yang sangat mahir berbahasa. Kebolehan berbahasa  menjadi satu yang dipertandingkan diantara mereka. Ketika itu pembesar-pembesar Kafir Quraisy bertanya lagi kepada Al Walid, apakah kamu telah meninggalkan agama kamu? Tidak…tidak…kata Al Walid. Tapi aku tak pernah dengar kata-kata seperti itu. Kata Kafir Quraisy itu Syair! Bukan Syair! bentak Al Walid. Bukankah aku orang yang paling mahir tentang syair dikalangan kamu!.Kata mereka, kalau begitu Kahin, Pendeta. Kata Al Walid, Tidak! Aku tahu sangat bagaimana gelagat pendeta. Kalau begitu orang gila. Tidak, kata Al Walid, aku kenal macam mana orang gila. Kalau begitu, ahli sihir! Bukan! Kata Al Walid, aku juga kenal dan tahu selok-belok ahli sihir. Semua yang kamu sebut aku tahu, ini yang lain, malah luar biasa.

Pening kepala pembesar-pembesar Kafir Quraisy, kalau begitu apa yang kita nak sebut? Al Walid bertanya pula pada Kafir Quraisy. Apakah kamu mahu mendengar cakap aku? Kata mereka silakan. Kata Al Walid, wahai  Quraisy, aku beri dua pilihan kepada kamu semua dalam masalah ini. Pertama kita ikut Muhammad kerana dia memperkatakan kebenaran. Kata-katanya benar. Tak mungkin! bentak Kafir Quraisy. Kata Al Walid, kalau begitu dengar yang kedua, biarkan dia, jangan ganggu dia, beri jalan padanya, kalau dia berjaya menguasai Arab dan dia menang, itu juga kemenangan kamu dan kemuliaan kamu. Bukankah dia juga dari bangsawan  Quraisy. Kalau dia ditentang dan dibunuh, bukankah itu yang kamu mahu selama ini?. Bijak orangnya Al Walid ini. Tapi Kafir Quraisy tetap tidak menerima cadangan kedua yang diajukan oleh Al Walid. Akhirnya Al Walid berkata kepada mereka. Kalau begitu kita kata dia ahli sihir, paling dekat yang boleh kita labelkan, ahli sihir, Muhammad ada kata-kata yang boleh mensihirkan masyarakat. Malah boleh memecah belahkan antara ibu ayah dan anak-anak, antara suami dan isteri. Ini paling dekat kita boleh sebut pada Muhammad. Lihatlah kerana sayangkan pengaruh, sekarang Al Walid sudah terbalik. Tadi dia cuba nak mengajak kaumnya kepada kebenaran malah dia sendiri yakin apa yang Rasulullah Saw bawa itu satu kebenaran. Kerana mahu memnangi hati kaumnya dia telah menghina Rasulullah Saw. Dengan itu turun ayat Quran tentang Al Walid.. Firman Allah :

Terjemanhannya :
{Janganlah engkau bimbang wahai Muhammad} Biarkanlah aku sahaja membalas {orang yang menentangmu} yang aku telah ciptakan dia seorang diri {tidak berharta dan beranak-pinak}. Lalu aku jadikan baginya harta yang banyak serta anak-pinak yang ramai yang sentiasa disisinya. Dan aku mudahkan kepadanya mendapat kekayaan dan kekuasaan dengan semudah-mudahnya. Kemudian dia ingin sangat untuk Aku tambah lagi. Tidak sekali-kali akan ditambahi. Sesungguhnya dia telah menentang dengan degilnya ayat-ayat Kami {Al Quran yang disampaikan oleh Rasul Kami}. Aku akan menyiksanya dengan azab yang memuncak beratnya. Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagi tuduhan terhadap Al Quran. Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu). Kemudian dia telah mertenung dan memikirkan (berkali-kali jalan-jalan mencaci Al Quran, tetapi dia gagal). Kemudia dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam dan berkerut. Kemudian dia berpaling dari kebenaran dan berlaku sombong angkuh. Lalu dia berkata "Al Quran ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari dari ahli-ahlinya". "Ini tidak lain hanyalah kata-kata rekaan manusia'. (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia kedalam neraka Saqar. (Al Mudassir 11-26)


Al Walid sudah nampak kebenaran bahkan hampir-hampir berjaya membawa kaumnya kepada kebenaran namun kemudian dia berpatah balik kebelakang. Begitulah nasib orang yang Allah tidak pilih untuk mendapat kebenaran. Oleh itu sudah sepatutnya kita sentiasa berdoa agar Allah hidayah dan pertunjuknya kepada kebenaran. Sedangkan kebenaran itu sangat mahal lebih mahal dari emas dan intan berlian. Orang macam ini layak mendapat neraka. Aku ( Allah ) akan bakar dia (Al Walid ) di naraka Saqar. Inilah sejarah sebab turunya ayat ini, iaitu kepada Al Walid bin Mughirah.

Kafir Quraisy minta Abu Talib berhentikan dakwah Rasulullah Saw


Orang Kafir Quraisy makin tak senang, mereka datang sekali lagi berjumpa dengan Abu Talib. Anak saudara kamu ini menghina kami, menghina ayah-ayah kami, malah menghina datuk-datuk kami bahkan menghina tuhan-tuhan kami. Kami tak boleh sabar lagi. Jangan kamu biarkan sampai berlaku fitnah antara kita Keseluruhan Quraisy dengan Bani Abdul Mutalib. Oleh itu engkau tahanlah dia dari menyampaikan dakwahnya. Abu Talib yang melihat suasana yang begitu tegang hampir-hampir membawa peperangan di antara Quraisy dan Bani Abdul Mutalib. Maka Abu Talib mengumpulkan semua Bani Abdul Mutalib dan kemudian Abu Talib menyampaikan kepada Rasulullah Saw. Wahai Muhammad, kaum kamu mengadu tentang kamu, hal ini boleh membawa peperangan antara kita Bani Abdul Mutalib dengan Quraisy yang lain. Kata Rasulullah Saw kepada Abu Talib. Wahai bapa saudaraku. Demi Allah kalau mereka meletakkan matahari disebelah kananku dan bulan disebelah kiriku supaya aku meniggalkan dakwah ini, perjuangan ini, nescaya aku tidak akan tingalkan sehinggalah Allah menangkan agama ini.

Abu Talib bila melihat begitu sekali pendirian Rasulullah Saw, di atas nama Asobiah {semangat perkauman} Kabilah Bani Abdul Mutalib berkata, kalau begitu buatlah apa yang kamu mahu wahai Muhammad. Walaupun  apa pun yang berlaku engkau tetap dalam pembelaan Bani Abdul Mutalib. Dengan itu Rasulullah Saw mengambil peluang ini semaksimumnya. Rasulullah Saw sampaikan dakwahnya kesemua tempat. Bahkan sampai kepada Kabilah-Kabilah Arab lain yang datang menunaikan haji di Mekah.

Kafir Quraisy makin tak senang, makin tercabar. Mulalah mereka menyusahkan Rasulullah Saw. Namun usaha mereka tidak berjaya menghalang dakwah Rasulullah. Akhirnya mereka datang lagi mengadap Abu Talib. Kali ini mereka membawa satu tawaran yang agak pelik. Mereka membawa bersama mereka seorang pemuda Quraisy yang terkenal dari keturunan mulia, akhlaknya terpuji, kaya, tampan wajahnya dan gagah. Kata Quraisy : Wahai Abu Talib, kami  serahkan kepada kamu I'marah bin Walid ini, jadikanlah dia anak kamu dan binkanlah dia kepada kamu tapi serahkan Muhammad kepada kami. Disebalik apa yang mereka harapkan, tawaran ini telah mencetuskan kemarahan Abu Talib. Kamu serahkan anak kamu untuk aku jaga dan kamu minta aku serahkan anak untuk kamu sembelih. Minta maaf, aku tak boleh terima sama sekali. Begitulah Allah membela Rasulnya melalui tangan bapa saudaranya Abu Talib. Bukankah Allah telah berjanji dalam Al Quran bahawa Dia pasti memenangkan agamanya dan Rasulnya.

berdakwah kepada keluarga terdekat


Salam wrt. Selepas itu, Rasulullah Saw diperintahkan untuk menyampaikan secara khusus kepada keluarganya yang terdekat. Jadi baginda kumpulkan kaum kerabatnya  dari Bani Abdul Mutalib di rumahnya. Kesemua mereka datang. Sebelum Rasulullah Saw bercakap Abu Lahab bangun bercakap dulu. Wahai Muhammad, kalau engkau kumpulkan kami untuk memperkatakan tentang agama kamu, cukup, jangan bercakap, kami tidak ada masa untuk mendengarnya. Oleh kerana suasana yang begitu tegang Rasulullah Saw menangguh dulu apa yang Rasulullah Saw nak sampaikan. Selepas itu Rasulullah Saw panggil lagi semua kaum kerabatnya tapi baginda tidak panggil lagi Abu Lahab. Rasulullah Saw buat kenduri dan Rasulullah Saw muliakan mereka dan jamu mereka makan.  Lepas itu baru Rasulullah Saw bercakap kepada mereka. Rasulullah Saw sebut nama mereka seorang demi seorang sampailah ibu-ibu saudaranya dan anak-anak permpuannya. Wahai polan-polan, Wahai Sofiyah, Wahai Fatimah, aku tidak dapat membela kamu di depan Allah melainkan kamu menerima agama Allah ini. Dengan majlis itu sebahagian dari kerabat Rasulullah Saw menerima Islam. Antara yang menerima Islam waktu itu, ibu saudaranya Saidatina Sofiyyah binti Abdul Mutalib. Ibu Saidina Zubair bin Awam.


Rasulullah Saw meneruskan dakwahnya mengajak masyarkatnya kepada Tuhan yang sebenarnya. Allah yang Maha Gagah Perkasa, Maha Adil dan Bijaksana, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Segala galanya. Maka mulalah ramai orang masuk Islam terutama dari golongan orang-orang miskin dan golongan yang lemah. Kebanyakannya orang-orang yang tidak ada kuasa, golongan masyarakat jelata, kurang sekali dari orang kaya dan penguasa. Antara yang masuk Islam ketika itu Saidina Yasir, isterinya Saidatina Sumayyah dan anaknya Saidina Ammar. Begitu juga Saidina Khabab bin Arat, Saidina Bilah, Saidina Suhaib Ar Rumi, Saidina A'mir bin Fuhairah, Saidina Abdullah bin Masu'd RA. Kesemua mereka dari golongan orang orang yang lemah. Ada yang dari golongan hamba abdi, ada yang merdeka tapi tidak ada harta dan tak ada kuasa.

Ketika itu Pembesar pembesar Kafir Quraisy sudah mula melarang masyarakat dari mengikut Rasulullah Saw. Saidina Abu Bakar yang ketika itu tekad untuk menyampaikan dakwah. Akhirnya dia pergi ke Ka'bah dan membaca Quran di situ dengan suara yang kuat. Pembesar-pembesar Kafir Quraisy yang tak tahan melihat hal itu memukul Saidina Abu Bakar sampai berdarah-darah mukanya. Begitulah kegigihan dan kesabaran Saidina Abu Bakar dalam menyampaikan dakwah, memperjuangankan agama Allah, memperkenalkan Tuhan Rafiqul A'la dan memperkenalkan Rasulullah Saw kepada orang orang Mekah.

Antara yang mengiklankan keIslamannya lagi ialah Saidina Abdullah bin Masu'd. Saidina Abdullah bin Masu'd ketika itu mengambil upah menjaga kambing-kambing Uqbah bin Muayyeth salah seorang pembesar Quraish. Sejarah menceritakan Saidina Abdullah ini sangat kurus orangnya. Malah orang-orang Mekah selalu memperlecehkannya kerana badannya yang sangat kurus itu Bahkan para Sahabat di Madinah juga pernah tertawa melihat melihat betis Saidina Abdullah yang sangat kurus itu. Satu ketika sedang dia naik ke atas Himarnya, terbuka betisnya, para Sahabat tertawa. Kata Rasulullah Saw kepada para Sahabat:

Wahai Para Sahabat, apakah kamu mentertawakan kurusnya betis Ibnu Masu’d. Demi Allah, kaki Ibnu Masu’d ini dalam timbangan Allah lebih berat dari Bukit Uhud.

Saidina Abdullah bin Masu'd ini pergi ke Ka'bah dan membaca surah Al Rahman dengan suara yang kuat. Mulalah orang orang kafir Mekah berdatangan kepadanya dan memukulnya. Abdullah meneruskan bacaan. Dia tahan dan buat tak tahu orang pukulnya tapi dia terus baca surah Arrahman. Bila sampai beritanya pada Rasulullah Saw. Rasulullah Saw bertanya. Wahai Ibnu Masu'd, apa yang kamu telah buat. Kata Ibnu Masu'd, kalau Rasulullah Saw mahu saya ulang lagi hal itu esok, saya akan ulangkan lagi. Kata Rasulullah Saw, cukup, nanti dulu. Begitulah semangat dan jiwa perjuangan yang Allah campakkan ke dalam hati mereka. Biar mereka dipukul dan dihina demi memperkenalkan Tuhan dan wakil Tuhan kepada masyarakat. Bagaimana pula kita memperkenalkan Tuhan dan memperkenalkan Rasulullah Saw wakil Tuhan kepada manusia. Mungkin kepada diri dan anak isteri kita pun belum sungguh-sungguh lagi kita perjuangkan Tuhan dan perjuangkan Rasulullah Saw dalam kehidupan kita.


Bila dakwah makin rancak, orang-orang kafir Mekah makin tercabar kerana merasa tuhan-tuhan mereka telah diperbodohkan. Mereka datang mengadu kepada Abu Talib sebagai ketua Mekah ketika itu sedangkan Rasulullah Saw berada dalam jaminan keselamatan Abu Talib. Mereka menghasut Abu Talib berlepas tangan dari Rasulullah Saw untuk mereka menghadapi Rasulullah Saw dengan cara mereka atau Abu Talib memerintahkan Rasulullah Saw berhenti dari dakwahnya. Kata Abu Talib, ini anak saudaraku dan jangan ada siapa ganggu dia. Jadi teruslah Rasulullah Saw menyampaikan dakwah dibawah pembelaan dari Abu Talib, bapa saudaranya, ketua Mekah ketika itu.

diperintahkan menyampaikan dakwah


Sampailah satu hari ketika Rasulullah Saw ditempat tidurnya sedang berselimut, datang Saidina Jibril menyerunya. Wahai orang yang berselimut (Wahai Rasulullah) Bangunlah dan beri peringatan. Lihat, sekarang ini perintah memberi peringatan iaitu perintah menyampaikan.

Wahai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah memberi peringatan. Tuhanmu besarkanlah. Dan Pakaianmu bersihkanlah. Dan berhala (kejahatan) tinggalkanlah. Janganlah engkau memberikan untuk mendapat pulangan yang lebih banyak. Dan untuk menurut perintah Tuhanmu sabarlah. (Al Mudassir 1-7)

Selepas itu wahyu datang berterusan. Kemudian Saidina Jibril  datang lagi dengan perintah membangunkan ibadah. 


Wahai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah diwaktu malam melainkan  sedikit waktu malam saja. Iaitu separuh malam atau kurangkanlah sedikit dari itu. Atau tambahkan dari itu dan bacalah Al Quran dengan bacaan yang teliti. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (Al Quran). Sesungguhnya beribadah di malam hari lebih menusuk ke dalam hati dan lebih lurus bacaannya. Sesungguhnya engkau mempunyai tugas dan urusan yag banyak di siang hari.
(Al Muzammil 1-7)

Kemudian  Jibril datang lagi membawa Surah Waddhuha.

Demi waktu Dhuha. Demi malam apabila ia berlabuh. Tuhanmu tidak meninggalkan engkau wahai Muhammad dan tidak pula membencimu. Sesungguhnya Akhirat lebih baik bagimu dari dunia. Nanti Tuhanmu akan mengurniakan kepadamu sehingga engkau redha. Bukankah Dia mendapatimu seorang anak yatim lalu dilindunginya. Dan dia telah mendapati kamu dalam keadaan sesat (belum mendapat pertunjuk) lalu ditunjukinya. Dan Dia telah mendapati kamu miskin lalu dikayakannya. Maka, anak-anak yatim janganlah kamu paksa. Dan orang-orang yang meminta janganlah kamu herdik. Adapun dengan nikmat Tuhanmu hendaklah kamu beritakan.

Tidak datangnya wahyu dalam tempoh 6 bulan itu bukan bermaksud Allah membiarkan Rasulullah Saw tapi hikmahnya besar sebagai tempoh persediaan. Maka selepas itu ayat demi ayat telah turun.

Bilamana Rasulullah Saw diperintah menyampaikan, orang pertama Rasulullah Saw sampaikan ialah isterinya Siti Khadijah. Siti Khadijah tidak teragak-agak sikit pun, terus dia terima Islam. Dengan itu Siti Khadijah adalah orang pertama memeluk Islam. Selepas itu Zaid bin Harithah masuk Islam. Zaid ini tinggal di rumah Rasulullah Saw. Bahkan dia dinamakan Zaid bin Muhammad. Zaid ini asal ceritanya begini. Dia bukanlah dari keturunan hamba. Oleh kerana Kabilahnya diserang dan dia ditawan Ketika itu dia masih kecil lagi. Kemudian dia dijual sebagai hamba dan berpindah dari satu tangan ke satu tangan sampailah pada Siti Khadijah. Bila Siti Khadijah berkahwin dengan Rasulullah Saw, Siti Khadijah menghadiahkannya kepada Rasulullah Saw. Jadilah Zaid khadam Rasulullah Saw.

Ayahnya selepas perang mencari anaknya dari satu tempat ke satu tempat. Akhirnya dia dapat tahu anaknya ada di Mekah. Ringkasnya, ayahnya datang berjumpa Rasulullah Saw untuk menebus anaknya. Rasulullah Saw tak mahu terima tebusan itu sebaliknya Rasulullah Saw memberi pilihan kepada Zaid sendiri apakah dia nak pulang bersama ayahnya atau nak terus bersama Rasulullah Saw. Kalau Zaid mahu pulang bersama ayahnya Rasulullah akan melepaskannya tanpa sebarang tebusan. Kata Zaid; Demi Allah aku tidak akan mendapati orang yang memberi kasih sayang kepadaku lebih dari Rasulullah Saw walaupun ibu dan ayahku sendiri. Semua terkejut, ayahnya terkejut dan Rasulullah Saw juga terkejut. Jadi untuk memuliakan Zaid dan ayahnya, Rasulullah Saw mengiklankan Zaid dimerdekakan dan menjadi anak angkat Rasulullah Saw lalu dia dinamakan Zaid bin Muhammad. Sehinggalah turun ayat melarang membinkan anak angkat kepada ayah angkatnya. Rasulullah Saw menukar kembali nama Zaid kepada nama asalnya iaitu Zaid bin Harithah.

Bila Rasulullah ajukan Islam kepada Saidina Zaid, dia terus terima. Begitulah orang pilihan. Allah pilih dia untuk dia bersama dengan Rasulullah Saw. Orang ketiga menerima Islam di rumah Rasulullah Saw Saidina Ali RA. Saidina Ali memang tinggal di rumah Rasulullah Saw. Bagaimana Saidina Ali boleh tinggal di rumah Rasulullah Saw? Sejarahnya begini. Satu masa Abu Talib menghadapi kesempitan. Rasululah yang sangat menyayangi bapa saudaranya ini berbincang dengan Saidina Hamzah yang juga bapa saudaranya dan ahli keluarga terdekat yang lain. Mereka berpakat setiap seorang mengambil seorang dari anak anak Abu Talib untuk mereka pelihara. Semua ini cadangan dari Rasulullah Saw. Abu Talib juga bersetuju namun Abu Talib tetap mempertahankan anak sulungnya Uqail. Yang lain-lain semuanya diambil oleh saudara-saudaranya. Ketika itu Rasulullah Saw mengambil Saidina Ali. Ini juga pemilihan dan kemuliaan dari Allah untuk Saidina Ali. Jadi dari kecil Saidina Ali hidup di rumah Rasulullah Saw. Dengan itu Saidina Ali tidak pernah sujud kepada berhala. Sebab itu Saidina Ali ini dipanggil Karramallahu Wajhah. Allah muliakan wajahnya dari sujud kepada berhala. Jadi Saidina Ali telah menerima Islam. Ketika itu umurnya baru sepuluh tahun. Begitu juga anak-anak perempuan Rasulullah Saw, Ruqayyah, Umu Kalthom, Zainab dan Fatimah. Semua masuk Islam. Lihat bagaimana Rasulullah Saw memulakan dakwah, bermula dari dirinya dulu kemudian isterinya dan ahli rumahnya.

Adapun daripada luar rumah Rasulullah Saw, orang pertama Rasulullah Saw ajak kepada Islam ialah Saidina Abu bakar. Kata Rasulullah Saw :

Tiada seorang pun yang aku ajukan Islam kepadanya melainkan dia bertanya kepada aku melainkan Abu Bakar.

Saidina Abu Bakar tak tanya sikit pun, malah terus dibenarkan apa yang disampaikan oleh Rasulullah Saw. Dia beriman dengan sahabat baiknya yang telah diangkat menjadi Rasul. Begitulah iman Saidina Abu Bakar. Hatinya yang terlalu dekat dengan Rasulullah Saw sejak sebelum Islam lagi. Hatinya telah dapat merasa, maka akalnya dan lidahnya tidak bertanya lagi. Dia sangat kenal siapa Rasulullah Saw. Seorang yang sangat benar dan tidak pernah bercakap melainkan yang benar.

Setelah Saidina Abu Bakar Islam. Islamnya bukan saja untuk dirinya saja. Terus dia berperanan menjadi regu Rasulullah Saw. Membantu Rasulullah Saw meyampaikan Islam. Dengan pengaruh, kedudukan dan kepercayaan orang padanya terus dia bergerak. Disampaikannya kepada Saidina Othman, Saidina Othman Masuk Islam. Disampaikan kepada Saidina Zubair, Saidina Zubair masuk Islam.Ketika itu umur Saidina Zubair bin Awam baru 16 tahun. Kemudian Saidina Abu Bakar sampaikan kepada Saidina Saad bin Abi Waqqas, Saidina Saad masuk Islam ditangan Saidina Abu Bakar. Saidina Saad ini bila dia masuk Islam, ibunya tak mahu bercakap dengan dia lagi bahkan tak mahu makan dan tak mahu minum. Dia mogok supaya Saidina Saad keluar semula dari Islam. Tapi Saidina Saad tetap dengan Imannya. Akhirnya ibunya kembali makan dan minum. Dia tak berjaya mempengaruhi anaknya dengan cara itu. Kemudian Saidina Abdul Rahman bin Auf pula Islam ditangan Saidina Abu Bakar, kemudian  Saidina Talhah bin Ubaidillah. Inilah golongan  As Sabiqunal Awwalin dan regu-regu utama Rasulullah Saw. Kesemua mereka masuk Islam ditangan Saidina Abu Bakar.

Sabda Rasulullah Saw :

Kalaulah ditimbang Iman Umat ini dengan Iman Abu bakar, nescaya Iman Abu bakar lebih berat.

Begitulah kedudukan Saidina Abu Bakar dalam Islam. Dengan Iman yang begitu Saidina Abu Bakar mampu menyampaikan Iman itu kepada orang orang lain yang semua mereka itu adalah orang-orang terpilih dari kabilah masing-masing.

Selepas itu Rasulullah Saw diperintahkan untuk mengiklankan dakwahnya  bukan saja kepada ahli keluarganya dan Sahabat-Sahabatnya terdekat bahkan kepada semua manusia. Nyatakanlah dengan apa yang telah kamu diperintahkan. Maka Rasulullah Saw pada satu pagi memanjat ke atas Jabal Qubais. Bukit yang betul-betul bersebelahan dengan Ka’bah. Ketika ini sebuah istana telah dibina oleh kerajaan Arab Saudi di situ. Orang yang berada di Ka’bah dan orang di Mekah tidak dapat melihat apa yang ada dibelakang bukit ini. Jadi bila Rasulullah Saw sudah berada diatas bukit. Rasulullah melaungkan dengan suara yang didengari orang Mekah. Satu suara memberi amaran dalam masyarakat Arab yang menandakan ada perkara besar. Bila orang dengar laungan ini dan orang tahu pula laungan ini dari Muhammad Sodiqul Amin {benar lagi dibenarkan}. Apa lagi baginda tidak pernah berbuat begitu sebelum ini. Tentu ada perkara besar yang berlaku, jadi semua bergegas ke bawah bukit.

Jadi Rasulullah Saw yang berada di atas bukit itu mula berdakwah kepada mereka dengan caranya yang bijaksana. Kata Rasulullah Saw, Wahai Quraisy, kalau aku katakan dibelakang bukit ini ada tentera yang siap untuk menyerang kamu. Apakah kamu membenarkan aku?. Kata mereka, kami percaya sebab tidak pernah kami ketahui engkau bercakap sesuatu yang tidak benar. Ketika itu Kata Rasulullah Saw kepada mereka.

Sesungguhnya aku adalah orang yang memberi peringatan kepada kamu dari azab Allah yang maha pedih.

Rasulullah Saw memberitahu kepada mereka bahawa dialah Rasulullah Saw yang Allah utuskan untuk mengajak manusia kepada Tuhan yang Esa, Tuhan yang maha Agung, Tuhan yang Maha Baik, Yang menghidupkan dan mematikan, Yang Berkuasa diatas segala sesuatu bahkan Tuhan yang Maha Segala galanya. Ketika itu salah seorang dari bapa saudara Rasulullah Saw, Abdul Uzza yang kemudiannya digelar Abu Lahab oleh Al Quran. Dia bangun dan berkata:

Celaka kamu wahai Muhammad, apakah kerana ini engkau kumpukan kami

Apakah kerana ini kamu kumpulkan kami dan kerana ini kami tinggalkan kerja-kerja kami dan kami datang ke sini. Dia mula mengarah-ngarahkan orang lain supaya bersurai. Jadi orang ramai pun beredar meninggalkan Rasulullah Saw kerana yang mengarahkan mereka bapa saudara Rasulullah Saw sendiri dan salah seorang pemimpin Mekah. Malang semalang-malangnya kepada Abu Lahab. Dengan reaksinya bersikap menentang dan mendustakan berita yang dibawa oleh Rasulullah itu sedangkan itu adalah berita dari langit dari Tuhan Yang Maha Benar maka ianya adalah satu kebenaran. Peristiwa itu telah mengabadikan nama Abu Lahab dalam firman Allah :

Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan binasalah. Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Dia akan menderita dengan api neraka yang marak menjulang. Dan isterinya seorang perempuan pemunggah kayu api. Dilehernya sejenis tali dari tali yang dipintal. (Al Masad)


Isteri Abu Lahab ini selepas peristiwa itu, kerjanya ialah mengumpulkan kayu-kayu api yang berduri. Di mana jalan Rasulullah Saw lalu, di situ diletakkan kayu-kayu berduri itu untuk menyusahkan Rasulullah Saw malah supaya Rasulullah Saw terkena duri itu. Nanti dia diazab dengan diletakkan dilehernya tali dari api neraka kerana dia menyakiti Rasulullah Saw dan menghalang dakwah Rasulullah Saw.

Bumi Tuhan... Bersaksilah