Umat Islam Kini Tidak Berjiwa Besar




Perbualan umat Islam hari ini jika bertemu, 
perbualan bersifat peribadi.
Skop perbualannya sangat sempit dan terbatas sekali.
Sekitar makan, minum, pakaian, tempat tinggal, gaji, isteri.
Tuhan, bangsa, agama, negara, perjuangan, Akhirat jarang diperbualkan setiap hari.
Jika bertemu di sekitar itulah perbualannya.
Anda kerja apa? Berapa gaji anda? Tempat tinggal di mana? 
Sudah kahwinkah?
Berapa orang anak?
Kalau tidak bercerita tentang tadi, bercerita tentang tempat kerja.
Bos aku itu asyik menyinga aja! Apa sahaja aku buat serba tidak kena,
pening kepala aku dibuatnya!
Kalau belum kahwin, cerita fasal kahwin.
Susahlah hendak kahwin sekarang ini, belanja hantaran mahallah!
Orang macam aku ini siapalah hendak, jawatan kecil, gaji kecil,
perempuan sekarang mata duitan!
Orang macam engkau mudahlah kahwin, ramai perempuan yang hendak,
engkau yang susah hendak pilih!
Jawatan engkau besar, gaji engkau besar, mana perempuan yang tidak hendak!
Cuma engkau sahaja yang belum mahu kahwin.
Sekitar yang disebutkan tadilah rata-rata perbualan umat Islam bila bertemu.
Jika ada orang menceritakan Tuhan, agama, bangsa, perjuangan,
ramai yang tercengang-cengang.
Mereka rasa pelik, mereka tidak tahu hendak ikut sama membualkannya,
mereka rasa asing.
Kalau begitu umat Islam memandang agama, bangsa, negara perkara kecil sahaja.
Agama kepunyaan ulama, bangsa dan negara ini urusan pemimpin negara.
Ia bukan persoalan orang biasa atau urusan rakyat jelata.
Oleh itu bagaimanakah agama hendak kuat, bangsa hendak dihormati,
negara hendak berdaulat.
Ia bukan merupakan tanggungjawab bersama, bukan kepunyaan bersama,
hanya untuk orang tertentu sahaja.
Begitulah nasib agama, bangsa dan negara di seluruh dunia Islam.
Sungguh malang dan menyedihkan.
Bilakah agaknya umat Islam bertanggungjawab, berjiwa besar dan bercita-cita besar serta berpandangan jauh?
 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah