Akal Yang Bersendiri


Akal tanpa ditunjangi oleh tauhid, akal yang bersendiri.
Akal yang bersendiri, akal yang tidak ada kontrol, bebas memikirkan apa sahaja.
Sedangkan akal bukan Tuhan, ia dicipta Tuhan. Tentulah lemah,
jangkauannya aadalah terbatas.
Tidak semuanya dapat diteroka oleh akal.
Padahal ciptaan Tuhan itu ada yang lahir, ada yang batin.
Ada yang boleh dilihat, ada yang tidak boleh dilihat.
Ada alam nyata, ada alam ghaib.
Ada yang tersirat, ada yang tersurat.
Ada yang bersifat zahir, ada yang bersifat maknawi, ada yang bersifat rohani.
Bahkan Tuhan, Dia adalah Zat yang mempunyai sifat.
Dia adalah pencipta alam lahir dan alam ghaib.
Menjadikan yang tersurat dan yang tersirat.
Yang zahir, maknawi dan rohani.
Dia pencipta bukan dicipta.
Lebih-lebih lagilah akal tidak mampu mengetahui semata-mata kekuatan akalnya.
Kalau dia tidak bersandar dengan kekuatan wahyu dari Tuhan,
kebenaran mutlak sudah tentulah tidak diketahuinya.
Kerana itulah orang yang berbangga dengan akal hendak menyelesaikan dengan akal, selalu sahaja bercanggah dan tersalah.
Apabila bercanggah, selalulah berbalah.
Apabila selalu berbalah, memecahkan ukhwah.
Manakala nafsu pula campurtangan, dititi pula oleh syaitan.
Orang yang menggunakan akal semata-mata, datang sakit hati,
hasad dengki pun menyerang.
Jurang perbalahan pun bertambah dalam.
Berlakulah pergaduhan, permusuhan dan peperangan.
Begitulah sifatnya akal apabila bersendiri tanpa ditunjang oleh Tuhan.
Dia telah mentuhankan diri sendiri iaitu akalnya.
Fikirlah, tuhan yang bukan Tuhan hendak menjadi Tuhan. Tentulah banyak kesilapan.
Macam manalah tidak haru-biru kehidupan insan.
Akal yang lemah tidak mengaku lemah.
Akal yang banyak perkara tidak tahu, memaksa-maksa diri tahu.
Tidak haru-birukah? Tentulah haru-biru.
Dunia yang haru-biru kerana akallah.
Dunia sudah jadi neraka kerana akallah yang mengambil alih kuasa Tuhan.
Tuhan berlepas diri, tanggunglah sendiri.
Tuhan tidak susah, Maha Suci Tuhan daripada susah.
Yang susah dan parah adalah manusia itu sendiri. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah