Pengertian Haji



Mengerjakan haji  ertinya seseorang hamba itu membawa hatinya kepada Tuhan, mengosongkan fikirannya dari memikirkan dunia.
Hati yang merasa hancur luluh kerana takutkan Tuhannya.
Hatinya fana' daripada memikirkan dunia dan nikmatnya,
hanya kebesaran Tuhan sahaja dirasakannya.
Membawa hati yang berdosa, menginginkan rahmat daripada Tuhan agar diampunkan dosanya.
Hamba yang hatinya merasakan hina-dina, tidak berguna,
mengharapkan kemuliaan daripada Tuhannya.
Hatinya yang penuh merasakan kebesaran, keagungan, kekuasaan dan kehebatan Tuhannya.
Hati yang mengharapkan hidayah dan taufiq dari Tuhan sepanjang hayatnya.
Inginkan keselamatan, keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan dari Tuhannya.
Hati yang penuh mengharap dosa-dosanya diampunkan,
kesalahan-kesalahannya dimaafkan.
Mengharap kepada Tuhan iman ditinggikan, taqwa ditambahkan, istiqamah dikekalkan.
Hamba-hamba yang pergi menuju Tuhan, mengharapkan pandangan rahmat dari Tuhannya.
Pergi haji seseorang hamba itu mengharapkan dosanya dihapuskan,
mati di dalam husnul khatimah yang diharapkan.
Membawa hati yang derita kerana dosa-dosanya yang sudah dibuatnya, sedih dengan amalan yang tidak sempurna.
Kekurangan amalannya agar ditampung, doanya diterima, kecuaiannya dimaafkan.
Pergi haji seseorang itu rasa kesal di hadapan Tuhannya di atas kecuaian dan keterlanjuran.
Hati yang penuh tawadhuk, khusyuk, malu berhadapan dengan Tuhannya.
Selain itu, manakala melihat kesan sejarah, teringat para Rasul.
Sahabat menderita dan terseksa kerana memperjuangkan kebenaran.
Terkenang dan terasa sangat jasa-jasa mereka itu hingga Islam hidup berpanjangan.
Kerana jasa merekalah Islam sampai kepada mereka ke akhir  zaman  dan mereka menganutinya.
Teringat bagaimana kekasih Tuhan di dalam sejarah, cekal, sabar, redha menerima ujian.
Apabila balik ke tanah air membawa perasaan yang insaf dan terkesan.
Hingga perasaan itu menjadi pemangkin dan pendorong hendak berjuang sekalipun berhadapan dengan kesusahan.
Mati angan-angan kepada dunia, rasa bertuhan dan hambanya  penuh di dalam perasaan.
Jiwanya sangat hidup, perangainya sangat berubah, ibadahnya bertambah.
Menjadi orang yang berkasih sayang, bertimbang rasa, 

rasa bersama bekerjasama sesama manusia.
Halus perasaannya, tinggi kemanusiaannya, bertolak ansur dengan sesama.
Itulah kesan seorang yang bertaqwa balik dari haji.
Melahirkan manusia baru yang luar biasa, senang hati orang yang melihatnya.
Orang yang macam itulah yang mendapat haji mabrur daripada Tuhannya.
Pulang membawa jasadnya manusia, hatinya malaikat.
Dosanya diampunkan Tuhan, bersih daripada dosa macam bayi yang baru dilahirkan.
Itulah dia orang Tuhan,
kesan daripada haji yang mabrur yang menggembirakan.
Begitulah gambaran hati orang yang balik dari haji yang mendapat haji mabrur.
Kalau begitu tentu sekali tidak ramai yang mendapatnya,
kerana haji yang mabrur itu sangat mahalnya. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah