Bala yang besar bukan gempa bumi, bukan ledakan gunung berapi, bukan banjir besar yang memusnah tapi ialah kekufuran di dalam diri atau di dalam hati.
Bala yang disebutkan tadi bahayanya di dunia tapi kekufuran bahayanya Neraka yang amat dahsyatnya.
Kemiskinan dan kefakiran bukanlah masalah masyarakat dan negara.
Ada masalah yang lebih besar dari itu sebenarnya.
Iaitu orang yang kaya, yang bakhil, tamak dan mengambil harta bangsa dan negara.
Mereka tidak bertanggungjawab kepada fakir miskin dan orang yang menderita.
Harta mereka untuk mereka dan keluarga bukan untuk bangsa dan negara.
Pemuda-pemudi yang berlepak-lepak membuang masa, membuat kerja yang sia-sia, bahaya juga.
Tapi ada yang lebih bahaya lagi ialah pembesar-pembesar dan orang-orang kaya yang berlepak-lepak membuang masa di gedung-gedung besar yang tertutup,
ada penjaga, membuat kerja laknat dan membuang wang sia-sia.
Sedangkan wang ringgit yang mereka dapati dari hasil negara dan bangsa.
Tapi sikap mereka tidak begitu dibising-bisingkan sangat, maklumlah orang istimewa.
Yang dibisingkan sangat kerja muda-mudi yang sia-sia membuang masa.
Bencana yang merosak bukan hanya bencana alam yang berlaku sekali-sekala .
Bencana yang sebenarnya adalah sifat sombong atau ego, pemarah, pendendam, tamak, bakhil, rasuah, hasad dengki, tipu daya.
Sifat-sifat ini boleh memecahbelahkan perpaduan, boleh berlaku perbalahan, boleh berlaku pergaduhan dan peperangan.
Musnahnya merata, kerosakannya global, bahayanya menimpa bangsa dan negara.
Kebodohan adalah bahaya tapi orang pandai yang mementingkan diri, mengguna bangsa dan negara untuk kekayaan, lagi bahaya.
Begitulah manusia yang sudah kehilangan Tuhan.
Menilai masalah dan bahaya pun tidak begitu kena.
Yang bukan masalah dianggap masalah, yang masalah tidak dianggap masalah.
Yang bahaya kecil dipandang besar, yang bahaya besar dipandang remeh sahaja.
Begitulah orang pandai yang hanya mengguna otak semata-mata.
Ukurannya otak, segala-galanya dinilai berdasarkan otak.
Wahyu sudah tidak dijadikan neraca lagi di dalam menilai.
Oleh yang demikian, banyak perkara disalah nilai.
Bahkan sampai mudah menilai yang sesat dianggap tidak sesat,
yang tidak sesat dianggap sesat.
Yang bid'ah dianggap sunnah, yang sunnah dianggap bid'ah.
Yang patut fanatik tidak dibolehkan, yang tidak patut fanatik dibolehkan pula.
No comments:
Post a Comment