MADAH baru 443


*741*
Kalau kita orang besar atau orang pandai dan cerdik atau ada kuasa di tangan atau orang penting pada orang besar...
Segala kesalahan kita boleh kita sorok, kecurangan kita tidak ada orang yang berani memperkatakannya, kezaliman kita tidak sanggup orang membawa ke mahkamah, penipuan kita tidak ada orang yang berani membongkarnya. Janganlah kita merasa senang hati, janganlah kita merasa orang istimewa kerana ada satu lagi mahkamah yang paling adil menunggu-nunggu iaitu Mahkamah Rabbul Jalil.
Di waktu itu segala-galanya terbuka,
yang samar-samar menjadi jelas,
yang tertutup,  terbuka,
yang terlindung, nampak,
yang tersorok akan nyata.
Di waktu itu anggota-anggota kita akan bercerita, membuka pekung kita, 
mulut tertutup, tidak ada pembela sekalipun kekasih kita.
Tidak takutkah kita?! 

*742*
Pokok yang besar lagi tinggi itu, kalau ia tumbang atau jatuh, bunyinya kuat bergema satu kampung tapi kalau pokok yang kecil lagi mudah tumbang, bunyinya tidak kuat, adakalanya tidak di dengar.
Begitulah pemimpin besar, kalau dia jatuh dari jawatannya, gemanya besar, riuh rendah orang memperkatakannya, seluruh negara bahkan seluruh dunia. 

*743*
Setinggi-tinggi pokok ada hujung nya. Kalau kita memanjat pokok sampai ke hujung, berhati-hatilah, di waktu itu petanda kita akan turun. 
Biarlah kita turun secara biasa, ia akan selamat. Jangan turun terjatuh kerana tidak berhati-hati, kita akan dapat mudharat.
Begitulah seseorang itu bila naik menjadi pemimpin, janganlah mentang-mentang telah berkedudukan tinggi, kita sombong, kita boleh buat apa saja. Kalaulah nanti sikap kita itu menjadi sebab kita jatuh, gemanya besar dan kita dapat malu besar. 

*744*
Apabila seseorang pemimpin itu tidak cukup tinggi wibawanya, sudah tentu rakyat di dalam sesebuah negara atau pengikut di dalam sesebuah jemaah, tidak mungkin boleh disatukan. 

*745*
Pemimpin di dalam sesebuah negara atau sebuah jemaah, ibarat tali pengikat di dalam seberkas potongan-potongan kayu. Apabila tali itu kukuh dan kuat, berkas kayu itu akan kuat.
Tapi apabila tali pengikat itu tidak teguh, berkas kayu itu longgar dan tidak kuat, akhirnya mudah terburai dan terungkai.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah