*686*
Hari ini manusia hidup di dalam kegelisahan kerana gejala tidak sihat berlaku di mana-mana, di rumah, di sekolah, di tempat kerja bahkan di rumah Allah.
*687*
Di dalam keluarga kalau anak-anak tidak terdidik, kesalahannya ada pada ibu bapa, isteri kalau tidak terdidik, kesalahannya kepada suami, di dalam sekolah, kalau pelajar-pelajar tidak terdidik, kesalahannya kepada guru-guru, di dalam masyarakat umum, kalau rakyat tidak terdidik, kesalahannya kepada pemimpin.
*688*
Kalaulah kita datang ke tempat peleseran atau ke tempat ramai, orang membuang-buang masa dengan tujuan semata-mata hendak mencari kesalahan mereka atau dengan tujuan menangkap mereka atau dengan tujuan menakut-nakutkan mereka, gejala masyarakat tidak akan selesai, bahkan mungkin bertambah menebal tapi cuba pihak-pihak yang ingin menangani gejala sosial ini pergi bergaul dengan mereka, berbual-bual dengan mereka, ajak mereka makan dan minum, kemudian tunjuk kasih dan sayang, tunjuk akhlak yang mulia, secara tidak langsung kita dapat menyelami jiwa dan masalah mereka, kemudian lakukan begini secara selalu dan istiqamah, kemudian didik mereka secara perlahan-lahan dengan tidak secara rasmi, cara ini insya-Allah sangat memberi kesan.
*689*
Di dalam masa hendak membanteras gejala-gejala masyarakat yang ditimbulkan oleh pelajar-pelajar dan para remaja, di dalam masa yang sama orang-orang besar, guru-guru, pihak keselamatan, ibu bapa, pegawai-pegawai kerajaan pun menimbulkan masalah, bagaimanakah pelajar-pelajar dan para remaja mahu menerima nasihat dan disiplin hidup kerana hati kecil mereka berkata:
"Alah, penyakit kita orang muda-muda disibukkan, orang-orang besar dan orang-orang tua pun buat masalah."
*690*
Apabila kebanyakan manusia telah diasuh dari kecil oleh ibu bapanya, guru-guru, masyarakat, pemerintahnya, bahkan cita-cita dirinya sendiri, bahawa belajar itu dengan tujuan jawatan, mencari kekayaan dunia, kemegahan dan pangkat kebesaran, sudah tentu buahnya akan lahirlah nanti di kalangan bangsa di negara itu doktor-doktor yang mementingkan diri, ahli undang-undang yang mementingkan diri, ahli ekonomi yang mementingkan diri, ahli-ahli politik yang mementingkan diri, ahli-ahli pentadbir yang mementingkan diri, ahli-ahli sains yang mementingkan diri, ahli-ahli sastera yang mementingkan diri, ahli-ahli pasukan keselamatan yang mementingkan diri, kesannya orang awam atau rakyat jelata akan menjadi sasaran negatif, timbul kegelisahan di dalam masyarakat oleh sikap golongan tadi, itulah dia gejala-gejala masyakarat yang kebanyakan manusia tidak menyedari, bila lahir gejala masyarakat dari golongan yang menjadi penyebab gejala itu terjadi, golongan itu pula lah yang bangun kononnya hendak menangani gejala-gejala masyarakat, bolehkah gejala masyarakat itu menjadi baik?!
No comments:
Post a Comment