Kita ini dari pemimpin hinggalah rakyat jelata mudah sahaja berkata:
"Kita kenalah bertolak ansur! Barulah kita boleh hidup bersama."
Apakah bertolak ansur itu mudah, apa kaedahnya?
Apa pemangkinnya?!
Pernahkah kita didik rakyat cara itu dari kecil lagi?
Cuba jawab bersama.
Marilah kita bekerjasama untuk kepentingan bersama!
Mudah sahaja kita berkata begitu, ilmunya tidak pernah diperkata.
Kalau kita bercakap orang sudah boleh menerima dan boleh melakukannya,
ertinya mudahnya mendidik manusia, begitukah?
Mendidik manusia, kena kenallah manusia, ada ilmunya, ada kaedahnya.
Mendidik manusia tidak semudah dikata.
Dari kecil tidak pernah diasuh, dari sekolah lagi tidak pernah diperkata,
tiba-tiba setelah dewasa minta dikota?!
Tidak masuk akal, tidak munasabah manusia boleh terus bertindak.
Sikap dan watak manusia itu adalah hasil asuhan dan didikan.
Ia mestilah dilatih dari kecil lagi barulah berkesan.
Marilah kita cintakan agama, bangsa dan negara!
Slogan ini tidak semudahnya orang boleh cinta.
Kalau cinta nafsu, memang tidak payah diajar, tidak payah diasuh,
orang sudah sedia pandai.
Macam cinta laki-laki atau perempuan, ia cinta nafsu mudah berlaku.
Kita kenalah faham ini.
Tapi cintakan agama, bangsa dan negara tidak mudah berlaku hanya sekadar berkata.
Ia bukan cinta kepada sesuatu yang terangsang dan merangsang macam cinta laki-laki dan perempuan.
Cinta yang ini mudah berlaku.
Tidak diceritakan pun berlaku, memang setiap hari berlaku.
Cintakan agama, bangsa dan tanah air tidak begitu.
Ia perlu diasuh dari kecil, dididik dari sekolah lagi.
Ia perlu pemangkin, perlu ilmu, perlu kesedaran, perlu galakan,
hingga mendarah mendaging.
Disebut selalu itu hanya hendak menyuburkan sahaja.
Sedangkan asasnya sudah ada, sudah bertapak di jiwa.
Diharap semua golongan faham dan ambil tahu bahawa sebenarnya perkara besar, semua hal adalah hasil didikan.
Bermula dari kecil lagi.
No comments:
Post a Comment