Sifat Akhir Zaman

 


Di akhir zaman sudah ramai umat Islam yang kehilangan Tuhan.
Atau mereka sudah tidak fikirkan lagi adanya Tuhan.
Hingga mereka sudah tidak terasa lagi peranan Tuhan di dalam kehidupan.
Walaupun mereka percaya adanya Tuhan
tapi pada mereka kehidupan ini seolah-olah Tuhan tidak campur tangan.
Oleh itu umat Islam sudah ramai tidak perlukan Tuhan.
Kalau mereka pandai adalah usaha mereka, Tuhan tidak kena-mengena.
Jika mereka kaya, berpangkat, berkuasa kerana kemampuan mereka,
Tuhan tidak ada kuasa menentukan nasib mereka.
Tuhan itu hanya sekadar ada.
Peranan-Nya kepada manusia seolah-olahnya tidak ada.
Cuma sekali-sekala terasa perlukan Tuhan,
setelah mereka tidak ada kuasa pada diri mereka.
Seperti sakit, miskin, dianiaya sesama mereka.
Barulah mereka berdoa atau meminta kawan-kawan tolong doakan keselamatan mereka.
Setelah baik atau senang semula, lupa pula dengan Tuhan, 
Tuhan tidak diperlukan pula.
Sikap ini bukan sahaja berlaku kepada ramai umat Islam di akhir zaman
bahkan yang kelihatan beragama pun; seperti masih bersembahyang,
berpuasa, naik haji; sama aja.
Orang beragama dengan tidak beragama sudah sama sikapnya.
Jadi yang paling rosak di waktu ini adalah aqidah mereka.
Pada mereka, Tuhan ada atau tidak ada sama aja.
Kalaupun percaya adanya Tuhan, Tuhan tidak diperlukan di dalam hidup mereka.
Kalau begitu umat Islam, pergantungan dengan Tuhan sudah tidak ada.
Betapa pulalah untuk ditakuti atau dicintai, tidak ada di dalam perasaan mereka.
Side effectnya apa sudah terjadi?
Orang beragama dengan tidak, perangainya sama aja.
Sama-sama jahat, sama-sama membuat mungkar, sama-sama bergaduh,
sama-sama berkrisis.
Sama-sama tidak ada kasih sayang, sama-sama tidak ada bertimbang rasa,
sama-sama tidak peduli-mempeduli.
Sama-sama tidak sabar, sama-sama tidak pemurah, sama-sama tidak merendah diri.
Mengapa perangai sama?
Mengamalkan agama hanya tradisi, warisan, tidak ada ilmu, tidak dihayati,
hanya harap pahala.
Bukan ditunjang oleh takut atau cintakan Tuhan
maka sebab itulah ibadah mereka tidak melahirkan akhlak yang mulia. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah