lasak badan, hati lembik!!

Ramai orang yang lasak badannya, tidak lasak hatinya.

Ketahanan badannya luar biasa, tidak tahu letihnya

tapi hatinya rapuh.

Boleh berjalan jauh, boleh membuat kerja berat, kurang rehat, sungguh luar biasa.

Jarang sakit, kalau sakit ringan, masih boleh membuat kerja.

Mampu mendaki gunung, larat merenangi lautan, sanggup merentas hutan belantara.

Kerja tidak rehat-rehat, cergas, tangkas, gegas.

Begitulah hebatnya tubuh kasarnya, boleh menanggung beban yang berat, kurang rehat.

Tapi malang sekali, ramai orang hatinya rapuh.

Jiwanya tidak tahan lasak, mudah sakit, mudah letih, mudah sedih.

Hatinya mudah merajuk, susah dipujuk, mudah sakit hati, mudah gelisah.

Mudah sahaja hatinya benci, meluat, jemu, lesu.

Jiwanya mudah terseksa, derita, sengsara, resah.

Jiwanya mudah sahaja tersinggung. Padahal masalah kecil sahaja, tapi jiwa tidak mampu menanggung.

Mudah sakit hati, mudah berdendam, mudah dengki, mudah kecewa.

Yang lebih dahsyat, mudah sombong, mudah marah, mudah menyerang, mudah tercabar.

Hati tidak tahan ada saingan, ada cabaran, ada tekanan, ada gesaan.

Begitulah manusia ramai yang fiziknya tahan lasak,

tapi jiwanya rapuh, reput, mudah terpelengot.

Jiwanya tidak tahan lasak.

Tidak mampu dibebankan dengan kesusahan, dibenci, diberi malu, dihina, dikata.

Tidak sanggup ada saingan dan cabaran.

Tidak mampu berhadapan dengan tekanan, gesaan dan arahan.

Lebih-lebih lagi dengan kemarahan.

Oleh itu ramai orang yang sakit jiwa di dunia ini, paling tidak, sering sahaja risau, resah dan gelisah.

Orang yang takut dan cintakan Tuhan sahaja jiwanya lasak dan tidak rapuh.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah