*M321*
Di antara amalan-amalan baik yang hampir pupus di bandar dan di pekan ialah tidak suka kedatangan tetamu, gotong-royong hampir tiada, tengok-menengok di kalangan jiran sudah tiada lagi, sifat malu sudah terlalu nipis, baik sangka sudah tiada, belajar secara percuma sudah tiada, bersedekah terlalu kurang, berkenalan dan bermesra sudah tidak diperlukan, berbincang secara tidak rasmi sudah jarang berlaku, kecuali rasmi dalam forum di tv, di universiti, justeru manusia lebih suka duduk di kaca tv daripada berbincang sesama jiran atau kawan.
*M322*
Kalau di dalam kehidupan bermasyarakat, di dapati ada pula orang yang derhaka dengan ibu bapa, bukan ibu bapanya saja yang tidak senang, semua anggota masyarakat memandang serong dengan orang itu. Begitu juga kalau ada rakyat yang tidak taat dengan pemimpin negara, banyak orang yang marah, padahal setiap hari orang ramai, sama ada rakyat jelata mahupun orang yang dikatakan istimewa, derhaka dengan Allah, tidak begitu ada orang yang marah dan tidak senang.
Begitulah mentaliti umat Islam di akhir zaman ini, Tuhan telah diperkecilkan.
*M323*
Kalau seseorang itu boleh mendapat kejayaan terhadap sesuatu yang naluri memang suka (fitrah semula jadi memang suka) bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan dan tidak boleh dikatakan luar biasa (wira), seperti memiliki kekayaan yang banyak, ilmu yang tinggi, rumah yang besar dan cantik, kerana ujian dari dalam tidak ada, hanya ada ujian atau cabaran dari luar, tapi kalau seseorang itu boleh mendapat kejayaan di dalam soal-soal fitrah semula jadi tidak suka, ia adalah manusa luar biasa (wira),
seperti mengorbankan harta yang banyak, sanggup ibadah banyak, gigih memperjuangkan kebenaran hingga mendapat kesusahan atau mati kerananya, memperjuangkan kepentingan masyarakat hingga menderita kerana bukan senang hendak melawan nafsu (mujahadatun nafsi).
*M324*
Apabila kebenaran itu dibawa oleh orang yang sudah hilang wibawa, (hilang taqwa), kebenaran itu tidak akan diikuti atau kebenaran itu tidak akan bernilai.
*M325*
Apabila makin pesat kemajuan tapi banyak orang jahat dan membuat kemungkaran, Itu menunjukkan kemajuan itu sudah tidak mengikut syariat.
No comments:
Post a Comment