MADAH baru 415


*406*
Kalaulah kejahatan para remaja dan para pelajar sahaja yang hendak ditumpaskan, sedangkan kejahatan ahli-ahli politik, ekonomi, para pentadbir, cerdik pandai tidak ditumpaskan, akan timbul dendam kesumat daripada remaja dan pelajar serta penentang-penentang daripada mereka. Mereka akan mempersoalkan, mengapa kejahatan mereka sahaja yang hendak diperangi, sedangkan kejahatan orang-orang politik, ahli ekonomi, pentadbir, cerdik pandai tidak diperangi, padahal kejahatan golongan tersebut ada mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang tidak sama bentuknya dengan kejahatan mereka. 

*407*
Secara umum, kemungkaran yang dilakukan oleh anggota masyarakat satu sama lain tidak sama walaupun setengah-setengah hal itu berlaku pada semua peringkat masyarakat, iaitu lumrah berlaku pada orang politik, kejahatannya menyalahgunakan kuasa, diskriminasi, ada klik-klik, menerima rasuah, mengadu domba, zina, sombong, berbohong, berpura-pura. 
Ahli ekonomi pemberi rasuah, tamak, pembaziran, zina, sombong. 
Pentadbir pula cuai, sombong, songlap wang, menekan orang bawah. 
Cerdik pandai menggunakan ilmu untuk mencari kekayaan, sombong, hasad, tidak bergaul dengan masyarakat, kedekut, mengumpat. 

*408*
Kejahatan, ia adalah racun di dalam masyarakat seperti racun di dalam makanan. Bahkan racun masyarakat lebih berbahaya kerana racun makanan ia tidak menular, tapi racun masyarakat ia menular, racun makanan ia merosakkan individu, racun masyarakat merosakkan agama, bangsa dan negara. 

*409*
Kalau kejahatan dan kebaikan itu dinilai dengan akal, seluruh kebaikan dan kejahatan tidak akan dapat dinilai dengan tepat. Akan berlakulah sebahagian kebaikan dianggap kejahatan dan sebahagian kejahatan akan dianggap kebaikan. Berlakukah krisis nilai yang akan membawa krisis moral dan masyarakat, oleh itu ukurlah dengan neraca iman dan syariat. 

*410*
Kejahatan yang lahir di tengah masyarakat atau kehidupan, ia bermula daripada kejahatan hati. Oleh itu, di samping memikirkan kejahatan lahir, jangan lupa memikirkan kejahatan hati...

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah