Tuhan! Aku merasakan Kuasa-Mu di dalam diriku luar biasa.
Engkau sungguh Maha Berkuasa, Maha Pentadbir yang bijaksana.
Pada diriku, aku tidak ada kuasa sedikit pun.
Engkaulah yang menentukan pada diriku segala-galanya.
Adakalanya aku tidak hendak tidur, Engkau tidurkanku, maka aku terpaksa tidur.
Adakalanya aku ingin tidur, aku tidak boleh tidur.
Sakit sihatku Engkaulah yang mentakdirkan tanpa kemahuanku.
Adakalanya aku ingin sangat hendak makan,
mula sahaja makan tiba-tiba selera tidak mahu.
Adakalanya lauknya simple sahaja, makan berselera dan lalu.
Berlaku juga di dalam diriku di waktu sihat tiba-tiba sakit datang mengejut.
Tanpa sebab-sebab yang memberi isyarat lebih dahulu.
Gelombang jiwaku tanpa dapat aku kontrol ia berlaku.
Ia datang silih berganti tidak menentu.
Adakalanya rasa gembira, adakalanya sedih, adakalanya marah, adakalanya biasa sahaja.
Tanpa aku menentukannya, ia datang tidak diduga.
Tidak kurang adakalanya benci, rasa malu, jijik bukan kehendakku.
Fikiranku juga begitu.
Aku memikirkan sesuatu sentiasa silih berganti tanpa aku duga.
Adakalanya aku memikirkan nasibku, memikirkan alam yang dapat dilihat oleh mata.
Sekali-sekala memikir mati, alam Barzakh, Akhirat, Syurgakah aku atau Neraka?
Memikirkan sesuatu yang tidak menentu, datang silih berganti.
Aku tidak mampu mengontrolnya untuk sesuatu yang tertentu sahaja.
Badan lahirku juga begitu, adakalanya sengal-sengal, lenguh-lenguh, lesu, segar, letih.
Ia datang silih berganti tidak menentu.
Adakalanya ia datang tidak bersebab pun.
Begitulah kuasa-Mu Tuhan pada diriku.
Aku tidak mempunyai kuasa sedikit pun pada diriku.
Hanya menunggu dari ketentuan dari-Mu Tuhan sahaja (semata-mata).
Apa yang datang atau terjadi terima ajalah tanpa ada pilihan buatku.
No comments:
Post a Comment