*111*
Kalau seseorang itu amalan dunia serius dibuatnya, dihalusi dan dipercantikkan, diperluaskan dan dibanyakkan, dijaga dan dikawal,
tapi amalan akhiratnya dibuat cincai-cincai, tidak dihalusi, tidak dijaga dan dikawal,
tanda orang itu akan menyesal di akhirat kelak.
*112*
Lumrah berlaku di dunia ini, para nelayan nasibnya seperti ikan yang diburunya.
Kalaulah ikan-ikan itu rezekinya tidak pernah disimpan,
begitulah para nelayan, rezekinya juga jarang disimpan.
Kalaulah ikan-ikan selalu sahaja kena jebak oleh pukat-pukat nelayan, begitulah juga para-para nelayan selalu sahaja dijebak oleh taukeh-taukeh ikan.
*113*
Kalau kita hidup 70 tahun, bermula waktu lahir hingga 7 tahun,
hidup yang tidak tahu apa-apa dan tidak merdeka.
7 tahun hingga 20 tahun, hidup yang belum merdeka
kerana masih dikongkong oleh ibu bapa.
20 tahun hingga 55 tahun, hidup yang merdeka dan selesa.
55 tahun hingga 70 tahun, hidup yang sudah tidak selesa.
Kalau dipanjangkan lagi oleh Allah, berhadapan pula dengan hidup yang tidak berguna dan menyusahkan manusia.
Keindahan hidup pada seseorang itu sekadar 35 tahun.
Kalau dipanjangkan umur lagi sudah tidak selesa dan tidak indah. Selepas itu, berhadapan pula dengan kehidupan yang tidak berkesudahan, syurga atau neraka,
tidak gerunkah kita?
*114*
Kalau kita tidak boleh sabar membuat kerja-kerja akhirat,
apakah kita boleh sabar kelak di dalam neraka?
*115*
Kalau kita takut susah membuat kerja-kerja akhirat,
apakah ada jaminan kita tidak akan susah membuat kerja-kerja dunia?
No comments:
Post a Comment