Cinta dan Takutkan Tuhan sudah hilang


Cintakan Tuhan, takutkan Tuhan sudah hilang.
Cintakan selain-Nya, takutkan selain-Nya itulah yang mendatang.
Hampir setiap manusia ditimpa penyakit itu.
Itulah menunjukkan orang bertaqwa susah hendak dicari.
Cintakan sesama manusia pun sudah hilang.
Kerana manusia sudah memikir diri dan mementingkan diri.
Orang lain miskin, susah, apa peduli? Aku jaga diri.
Begitulah hampir setiap orang bersikap begitu setiap hari.
Bila takutkan Tuhan tidak ada, peri kemanusiaan gersang.
Mudahlah hasad dengki, mudahlah bermusuhan sesama sendiri.
Jatuh-menjatuhkan, fitnah-memfitnah akhirnya jadi  budaya.
Hilanglah ketenangan dan kebahagiaan dan hilanglah hidup yang harmoni.
Bila takutkan Tuhan, cintakan Tuhan tiada di hati.
Hormat-menghormati di antara murid dan guru, ibu bapa dengan anak-anak tidak ada lagi.
Pemimpin dan rakyat apatah lagi tidak terjadi.
Sesama rakyat jelata apatah lagi.
Bila takutkan Tuhan sudah tidak ada di hati setiap peribadi.
Berbagai-bagai cinta murahan di dalam masyarakat terjadi.
Akibatnya ke mana sahaja kita pergi, ketakutan menghantui.
Bilalah ketakutan hidup yang begini diakhiri.
Tuhan, selamatkanlah kami yang hidup di dalam ketakutan ini.
Datangkanlah seorang penyelamat yang tangannya diberkati. 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah